#NIL: SANG PAHLAWAN – SALJU DAN SURIA

*Amaran – ini bukan kisah benar. Fiksyen semata. Sekiranya pengalaman sebenar yang anda cari, saya minta maaf, bukan disini.*

Part 1: http://fiksyenshasha.com/nil-sang-pahlawan/
Part 2: http://fiksyenshasha.com/nil-sang-pahlawan-si-puteri-salju/
Part 3: http://fiksyenshasha.com/nil-sang-pahlawan-suria/

Cermin itu berpusar bagai ada awan di dalamnya; sebelum menunjukkan imej seorang perempuan digari. Mulutnya ditutup dengan sesuatu seperti yang dipakaikan pada anjing – untuk mengelakkan anjing itu menggigit.
Sang Raja tergamam.
Tidak mungkin. Pahlawannya – masih hidup?
…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………
Suria mengambil sebiji buah pear kuning, ranum di bakul. Digigitnya sedikit.
Matahari masih malu-malu mahu menjengah. Seluruh alam umpama dilimpahi dengan cahaya berwarna biru. Suria melangkah ke beranda, menggeliat sedikit. Bahunya masih terasa sengal selepas dirempuh Si Tembun semalam. Dia menggigit lagi buah pear ranum.

“Suria.” Satu suara menyapanya.

Mujur tidak terjatuh buah pear yang dipegangnya.
“Ayahanda! Awal Ayahanda bangun?” ucap Suria, terkejut. Wahyu sedang bersila di hujung beranda, memerhatinya. Wahyu berdehem-dehem. “Sini.” Wahyu menggodek tangan, meminta Suria menghampirinya. Tanpa banyak cakap, Suria pergi kearahnya dengan mulut masih mengunyah.

“Ada apa, ayahanda?” Tanya Suria, duduk bersila di depan Wahyu.

Wahyu berdehem lagi. Tidak tahu bagaimana mahu memulakan ayat. “Sebenarnya… ini berkaitan kerja kamu.” Wahyu mengatur ayat.

“Oh. Ini pasal perempuan yang mengamuk di sempadan itu harikah, Ayahanda?” Tanya Suria. Wahyu termengkelan. “Mana kamu tahu?” Tanya Wahyu terkejut. “Bendahara yang bagitahu Suria kelmarin, sebelum Suria pulang dari kerja.” Ujar Suria bersahaja, sambil menggigit lagi buah pear. “Maknanya… kamu sudah tahu?” Tanya Wahyu, inginkan kepastian.

“Ya. Perempuan liar itu, kan?” Suria mengangkat kening.

Wahyu mengangguk.

“Hati-hati, Suria. Ini bukan perempuan biasa.” Ujar Wahyu. Suria tersengih. “Tak ada apa-apalah, Ayahanda. Usah bimbang.” Ujar Suria, menepuk-nepuk bahu Ayahandanya. “Suria pergi kerja dulu, yea.” Dia menyambung, bingkas bangun.

Wahyu memerhatikan anak lelaki bongsunya ke bangsal kuda. Sempat Wahyu menyentuh bahu yang ditepuk Suria.

Melekit dengan air buah pear.

“Budak bertuah ni. Dia lap tangannya yang berlengas di bahu aku.” Dengus Wahyu, sewaktu Suria memacu kuda putih bertompok coklat miliknya – hilang dari pandangan.

Di bangsal kuda milik Permaisuri, pekerja lain telah sampai. Ada yang sedang memberus bulu kuda. Suria tanpa banyak soal – mengambil penyedok. Mahu mencedok najis kuda di bangsal mereka. Dicapainya baldi.

“Suria. Simpan balik peralatan tu.” Ujar seorang Hulubalang. Pekerja lain turut menjenguk, aneh dengan kehadiran empat orang Hulubalang di bangsal kuda Permaisuri. Suria terpinga-pinga. “Kenapa pula?” Tanya Suria. “Tentang apa yang Bendahara cakapkan semalam… kerja kamu bermula hari ini.” Jawab salah seorang dari mereka. Suria menggaru kepala yang tidak gatal. Disimpan balik peralatan tadi. Dia mengikut Hulubalang tersebut.

“Ramainya Hulubalang. Kenapa kena ramai sangat?” Tanya Suria. Para Hulubalang diam. Tiada jawapan. Membawa Suria tanpa banyak soal. Suria, melihatkan mereka diam, memilih untuk menutup mulut juga.

Mereka masuk ke taman Istana. Matahari mula menjengah, embun masih belum kering. Suria menarik nafas dalam. Ah, nyamannya. Namun begitu, dia terperasan sesuatu. Langkahnya terhenti.

“Ini bukankah jalan untuk masuk ke Taman Larangan?” Ujar Suria. Para Hulubalang di depannya berpaling. “Ya.” Ringkas jawapannya. Tidak menghiraukan Suria, mereka terus berjalan. “Tunggu. Bukankah hukuman masuk ke Taman Larangan adalah penjara seumur hidup?” Tanya Suria lagi. Dahinya berkerut. Dia masih belum berganjak.
“Ada sebab ia dinamakan ‘Taman Larangan,’ kamu tahu?” Sambung Suria.
“Untuk kamu, Taman Larangan dibenarkan.” Ujar Hulubalang. Ringkas. Pendek. Mahu tak mahu, Suria menurut. Dia mengimbas kembali perbualannya dengan Bendahara.

Sewaktu itu dia baru bersiap-siap mahu pulang. Dia baru sahaja memastikan tiap bangsal kuda dikunci, ditutup. Sewaktu itu Bendahara datang menjenguk.

“Eh, Tuan Bendahara.” Dia menunduk hormat. “Ada apa Tuan?” Suria bertanya.

Bendahara tersenyum. Tiada siapa yang pasti dengan umur sebenar Bendahara, namun dia telah berkhidmat untuk Sultan terdahulu, dan Sultan sebelumnya. Sudah tiga generasi Sultan Bendahara Wazir berkhidmat. Dia sudah bongkok, wajahnya sudah berkedut.

“Suria,” Ujarnya. Suaranya seakan berbisik, namun kasar. “Ada tugas untuk kamu, arahan dari Permaisuri.” Sambung Bendahara lagi. Terus kepada isi, tidak berdolak-dalih. Itu gayanya. Suria tergamam. Tugas khas untuknya? Arahan dari Permaisuri?

“Mari, mari. Kita berjalan-jalan dahulu, ambil angin petang. Sambil itu kita bercerita.” Bendahara mengajak Suria berjalan-jalan di sekeliling Istana.

Suria menurut. Ikatan kuda terakhir itu dikemaskan sedikit lagi, dan dia beredar.

Mereka menuju ke sebuah taman yang dibina Sultan yang baru mangkat – di hadapan Istana.

Taman itu luas, dengan pokok-pokok berbuah seperti mangga, kuinin, pokok ceri, pokok jambu air dan pelbagai lagi. Pokok itu lebat berbuah sepanjang tahun, dan taman itu khas dibuka kepada semua orang awam. Ada juga padang tempat kanak-kanak bermain, dengan ibu-ibu yang seronok berbual.

Mereka berdiri di pinggir taman. Melihat kanak-kanak bermain riang. Ada yang bermain bola. Ada yang membawa patung yang dijahit dari kain. Ada yang memanjat pokok, mahu memetik buah jambu air yang berbuah lebat. Suria tersenyum, keriangan mereka sedikit sebanyak terkesan, membuatkan Suria turut berasa seronok.

“Suria,” Ujar Bendahara Wazir, dengan tangan dikilaskan ke belakang.

“Kamu memiliki ibu bapa yang penyayang. Sebab itu kamu sendiri – merupakan seorang pemuda yang sangat baik budi pekerti.” Sambung Bendahara. Suria tersenyum. “Ya, Bendahara. Saya sangat bersyukur.” Suria menjawab. “Jadi, Suria, “ Ujar Bendahara, suara berbisik serak yang dimamah usia itu menyambung, “Apa kamu fikir pada anak-anak yang kurang bernasib baik?” Ujar Bendahara. Dia memandang anak-anak yang sedang bermain. Suria mengerutkan kening. “Bukankah berat hukuman itu, Bendahara? Mana-mana ibubapa yang mengabaikan anak-anaknya boleh dikenakan denda dan hukuman.” Ujar Suria, bingung. Ada kes penganiayaan kanak-kanak kah?

Bendahara tertawa pendek.

“Suria, kamu dilahirkan dalam negara yang aman. Disini bencana alam jarang-jarang berlaku. Ditambah pula hasil tanaman dan laut melimpah ruah. Keluarga yang kamu lihat – semuanya bahagia, semua anak-anak dididik dengan didikan sempurna.” Ujar Bendahara Wazir. “Kamu tidak pernah melihat anak yang terbiar, yang didera, yang dirosakkan fitrah mereka sejak kecil.” Sambung Bendahara. Suria menggaru kepala. “Saya kurang faham, Bendahara. Apa kaitan tugas yang diarahkan Permaisuri dengan topik ini?”

Bendahara ketawa mengekeh.

“Beberapa hari lepas, ada perempuan mengamuk – di sempadan negeri.” Ujar Bendahara. Suria mengangguk. “Ya, saya ada dengar khabar itu.” Suria teringat abangnya, Bayu dan Banu, menceritakan hal itu di rumah. “Suria, dia seperti anjing. Lagaknya seperti haiwan. Menderam, mencakar. Kemanusiaannya seakan sudah rosak. Dia juga umpama hilang ingatan.” Ucap Bendahara. Suria ternganga. Bendahara memandang Suria sekilas, sebelum memandang taman kembali.

“Dia itu – datangnya dari negeri jiran kita. Disahkan dengan cop jata Negeri Mihstaz sendiri. Cop itu merupakan penunjuk bahawa dia adalah hamba.” Sambung Bendahara. Suria terdiam. Cuba menghadam apa yang dikatakan Bendahara Wazir. “Negeri Mihstaz merupakan negeri yang aneh. Ramai yang mengatakan negeri tersebut disumpah; sebab itulah negeri itu sepanjang tahun dilanda kabus.” Ujar Bendahara. “Disebabkan itu, tanaman sukar tumbuh, ditambah pula dengan kehadiran Nosferatu. Sebab itulah mereka akan menyerang negeri-negeri kecil disekitar mereka, untuk merampas hasil tuaian.” Bendahara menghabiskan ayat.

Nosferatu. Suria tidak pernah bertembung dengan makhluk itu, namun dia selalu ditakutkan dengan Nosferatu sewaktu dia kecil. Nosferatu merupakan makhluk penghisap darah yang kelihatan seperti manusia, namun apabila terkena cahaya matahari, mereka akan lebur; menjadi debu-debu halus. Jarang ada serangan Nosferatu di negeri mereka. Malah Nosferatu sukar untuk hidup di negeri ini. Siang di negeri ini boleh berterusan sehingga 12 jam.

“Perempuan itu, mungkin waktu kecilnya diasuh dalam keadaan yang genting dan menakutkan. Tiada manusia akan bersikap sebegitu, Suria.” Bendahara mengeluh. Suria semakin faham.

“Jadi… Permaisuri mahukan saya mengembalikan perempuan itu kepada asal?” Suria meminta kepastian.
Bendahara tersenyum sambil mengangguk. “Hari sudah lewat petang. Baik kamu pulang dahulu.” Ujar Bendahara, mula beredar.
“Satu soalan lagi. Kenapa Permaisuri sangat ambil berat pada perempuan ni?” Suria bertanya, hairan. Bendahara berpaling.

“Itu akan kamu tahu kemudian. Dan, Suria,” Bendahara mengangkat keningnya yang memutih,
“Perempuan ini memiliki nama yang dianugerahkan Permaisuri.”

“Oh. Apa namanya?”

“Salju.”
Suria mengetap bibir. Salju.

Mereka tiba di gerbang pintu Taman Larangan. Taman Larangan cuma dikhaskan untuk kaum kerabat diraja, dengan pagar menjulang tinggi. Hulubalang yang menjaga di pintu gerbang Taman Larangan lebih ramai dari biasa. Sekilas mereka memandang Suria dan Hulubalang pengiring, mereka membuka pintu tersebut.

Suria terpana.

Taman Larangan itu merupakan sebuah taman yang luas, dengan hamparan rumput menghijau dan pokok-pokok ratusan tahun memenuhi taman tersebut. Jenis-jenis pokok seperti pokok hujan-hujan memenuhi taman tersebut, tiap pokok sudah berusia ratusan tahun. Mungkin setua negeri mereka sendiri. Ada pokok rendang yang tidak berbunga, namun batang mereka berwarna warni bagai pelangi; pokok eucalyptus rainbow.Ada juga pokok akasia yang rendang, lebat berbunga kuning. Tiada satu pun daun yang jatuh di hamparan rumput menghijau itu, dan di sana sini, pohon lilit wisteria ungu dan putih melilit manja pokok-pokok agam itu, dengan bunga ungu mereka terbuai-buai disapa angin. Ditengah-tengah taman, terletak sebuah tasik, lengkap dengan jambatan melengkung berwarna putih. Sesekali cahaya matahari menyapa air kebiruan jernih tasik tersebut, yang berombak perlahan. Pokok-pokok orkid ditanam di ceruk dahan-dahan pokok raksaksa tersebut, bunganya ada yang putih, ada yang merah gelap, ada yang berwarna ungu.

Suria melangkah, ternganga melihat keindahan taman tersebut.

Seorang Hulubalang menghulurkan sebuah wisel halus yang diikat pada rantai. “Suria, kami cuma mampu mengiringi kamu sampai kesini.” Ujarnya. “Jika ada apa-apa berlaku, tiup wisel ini. Kami akan terus ke arah kamu.” Sambungnya lagi. Suria menyambut wisel tersebut, menyarungkannya umpama memakai rantai. “Kenapa sampai ke sini sahaja?” Tanya Suria. Hulubalang tersebut menghela nafas. Mereka berpandangan sesama sendiri.

“Suria, kamu anak Ketua kami. Adik sahabat seperjuangan kami. Sebab itu kami beritahu kamu ini, ya.” Ujar Hulubalang itu. Suria mengenalinya dengan nama Hitam, rakan abangnya Bayu. “Apa yang kamu jumpa selepas ini bukan manusia biasa. Malah,” dia memandang kiri kanan. Hulubalang lain buat-buat tidak dengar. Hitam mendekati Suria, mahu berbisik. “ Dia, bukan manusia!” Bisik Hitam. Suria mengerutkan dahi hairan. Hitam seterusnya mengeluarkan kerisnya yang masih tersarung. “Ambil ini, Suria. Namun hati-hati. Jika apa-apa berlaku, tiup wisel itu.” Bisik Hitam lagi. Suria teragak-agak, namun menyambut keris tersebut. Di semat di pinggangnya. “Hati-hati.” Ujar Hitam lagi. Suria mengangguk.

Mereka berpisah di situ, sebelum pintu Taman Larangan ditutup rapat.

Burung-burung berkicau galak. Sesekali Suria melihat tupai-tupai berkejaran. Suria tersenyum.
Dia melangkah, melihat-lihat taman tersebut. Mana perempuan itu? Sesekali bunga wisteria menyapu bahunya. Matahari mula menyinar, namun pokok-pokok rendang di sini sana membuatkan suasana taman itu nyaman, dengan angin bertiup lembut.

Suria meninjau-ninjau. Dia kemudiannya sampai berdekatan satu tanah yang lapang, ditengahnya ada satu pokok hujan-hujan yang sangat besar. Lumut turut menumpang di batang pokok tersebut, yang mungkin sebesar lima pemeluk orang dewasa. Satu susuk tubuh seorang perempuan, berambut pendek separas bahu, duduk berteleku di depan pokok hujan-hujan itu. Mungkin pokok tertua ditaman ini. Dari jauh, dia duduk membelakangkan Suria, menyarung gaun berlengan pendek, berwarna putih, berkolar tinggi menutup tengkuknya. Dari belakang, Suria nampak lengannya yang putih, pucat.

Anehnya, dia umpama digari. Ada satu tali yang terikat di belakang kepalanya, umpama memakai penutup mulut. Suria berdiri di balik pokok-pokok yang mengelilingi tanah lapang tersebut, sebelah tangannya berpegang pada dahan pokok.

Mungkinkah itu Salju?

Dia cuba melihat lebih dekat. Melangkah kedepan.

“Ktak!”

Suria menunduk ke bawah. Ada satu ranting dipijaknya, patah. Lantas dia memandang kembali ke arah perempuan itu.

Dalam kejauhan beberapa ratus meter, perempuan itu berpaling. Tepat ke arah Suria. Suria menarik nafas. Tidak mungkin dalam kejauhan sebegini, perempuan itu mampu mendengar bunyi ranting patah. Dia mengamati.

Perempuan itu dipakaikan penutup mulut yang khas untuk anjing, terutamanya jika mereka sukar dikawal dan ganas. Dia juga digari. Mata mereka bertemu. Mata hijau cemerlang perempuan itu seakan menyinar di bawah cahaya matahari.

Tiba-tiba, perempuan itu bangun. Dengan tangan digari, tetapi kedua-dua tangannya dirapatkan, seolah mengenggam sesuatu. Dia berlari-lari anak ke arahnya.
Ke arah Suria.

Suria tergamam. Lantas dia memegang keris pemberian Hitam tadi. Kemudian dia teringat wisel. Aduh. Keris atau wisel? Perempuan itu kian mendekati. Suria mengundur ke belakang, sedikit panik. Ah. Keris dahulu!

Keris dikeluarkan, Suria bersedia dalam kekuda mahu menyerang. Perempuan itu berhenti di hadapannya, menghulurkan sesuatu.
“Hubai.” Perempuan itu berkata, perkataannya sedikit berbalam dek kerana penutup mulutnya.

“Hah?” Ucap Suria, terkejut. Masih dalam kekuda mahu menyerang.

“Tupai.” Ulang perempuan muda itu, mungkin sebaya Suria. Mungkin muda beberapa tahun dari Suria. Dia mengangkat tangannya yang digari, menadah sesuatu. Suria menjenguk. Jari-jemarinya terbuka, menampakkan seekor anak tupai menggigil kesejukan di tangan perempuan itu. Mata anak tupai itu masih tertutup. Badannya masih merah.

Waktu itu Suria berasa sedikit bodoh. Dia menyarung kembali kerisnya, tertawa.
Perempuan itu memiringkan kepalanya, hairan.

“Mari, berikan anak tupai itu kepada saya.” Suria menghulurkan tangan kanannya. Perempuan itu sedikit teragak-agak, lalu menyerahkan tupai kecil itu kepada Suria. Tangannya halus, kecil berbanding tangan Suria.

Tangan mereka tersentuh, dan Suria terkejut. Dingin. Sangat dingin. Tangan perempuan itu sejuk. “Kamu kesejukan?” Suria lantas bertanya. Perempuan itu menggeleng. Suria terdiam. “Baiklah… dimana kamu jumpa si kecil ini?” tanya Suria, merapatkan anak tupai itu ke badannya. Tupai itu menggeletar kesejukan.

Perempuan itu menunjuk ke arah pokok hujan-hujan yang tinggi tersebut. Suria mendongak.
“ Aduh, tingginya.” Getus hati Suria.

“Jom.” Ajak pemuda itu kepada perempuan tersebut. Dia memiringkan kepala kepada Suria, dan mengikutinya dari belakang. “Nama kamu Salju ya?” Tanya Suria, sesekali berpaling ke belakang. Perempuan itu jelas lebih rendah dari Suria, separas bahu sahaja. Dia mendongak tiap kali memandang Suria.

Salju mengangguk.

“Kamu datang dari mana?” Tanya Suria lagi. Salju dibelakang – terkocoh-kocoh cuba mengejar langkah Suria yang panjang. Suria memperlahankan langkahnya, dan Salju berjaya menyainginya.

Salju menggeleng.

“Kamu lupa?”

Salju mengangguk.

“Kamu ni tak banyak cakap, kan?” Ujar Suria. Diam. Salju cuma merenungnya bersahaja, mata hijau cemerlangnya bertemu mata coklat cair Suria.

Suria berdehem, lalu memandang ke hadapan kembali. Dia tidak ramai rakan perempuan. Sewaktu kecil dahulu adalah, teman sepermainan. Sekarang, kalau bertembung di mana-mana, mereka sekadar tersenyum sahaja. Kadang-kadang Suria cuba bertanya khabar, berbasa-basi. Biasanya jarang Suria mendapat jawapan, mereka akan ketawa mengekek beramai-ramai sambil bermain mata dengan Suria. Hairan dia dibuatnya.

Lupakan itu dahulu. Sekarang, mengapa dia ditugaskan menjaga Salju? Dia kelihatan tidak berbahaya. Ya, memang Suria perasan, tubuhnya bukan halus seperti perempuan di kampungnya. Tubuhnya agak kasar, lengannya sedikit berotot. Umpama banyak membuat kerja-kerja berat. Bukankah Bendahara ada menyebut perempuan ini dahulunya seorang hamba? Terbit rasa simpati di hati Suria. Perempuan ini tidak memerlukan seorang penjinak haiwan, tetapi seorang tabib yang boleh merawatnya. Lihatlah kulitnya, pucat lesi.

Mereka berdua sampai di bawah pokok raksasa itu. Salju mendongak, memicingkan mata. Sebelah tangannya diletakkan di dahi, menghadang cahaya matahari yang memancar indah.

“Mana sarangnya, ya?” Suria bercakap sendiri.

Salju mencuit-cuit bahu Suria.

“Apa dia?” Tanya lelaki muda itu.

Dia menarik baju di pinggang Suria, seperti mahu Suria mengikuti. Suria sedikit terpinga-pinga, namun menurut. Mereka mengelilingi pokok agam tersebut, dan Salju berhenti di sisi pokok itu. Dia memandang Suria, kemudian menunjuk ke atas.
Suria mendongak. Nun di atas sana, ada satu lubang di sisi pokok tersebut. Lelaki itu mengetap bibir. Pasti itu sarang anak tupai tersebut. Aduh. Tingginya. Suria memandang sekeliling. Berfikir-fikir.

Salju merenung lelaki di hadapannya. Tinggi, tegap. Wajahnya peramah, dia mudah benar tersenyum. Rambutnya lebat, begitu juga keningnya.

Darahnya… pasti segar.

Pasti enak. Jumlah darah lelaki dewasa biasanya lebih banyak dari wanita. Dia tahu. Jika Salju fokus, dia mampu mendengar bunyi jantung lelaki di hadapannya, bunyi darah yang mengalir laju – membawa bekalan oksigen dan nutrisi, membekali organ-organ di tubuh lelaki ini. Dia bagai dapat melihat, hormon-hormon lelaki ini dirembeskan ke sana-sini, cara organ manusia berkomunikasi. Dia dapat melihat juga, betapa paru-paru lelaki ini – Suria, mengembang, menguncup, seiring dengan pernafasannya.

Salju tahu, Suria tidak takut kepadanya. Kalau ya, pasti pernafasannya meningkat, nadinya berdegup laju dari biasa. Tetapi degup nadinya sekata. Relaks.

Tetapi… darahnya, ah. Pasti lazat. Pasti segar.

Salju membuang fikiran itu jauh-jauh. Menggeleng-geleng kepalanya. Dia hairan dengan dirinya. Dia tidak tahu bagaimana, tetapi dia dapat tahu, manusia normal bukan seperti dirinya. Pagi tadi, dia lihat Permaisuri bersantap menjamah makanan, tapi dia tidak mampu telan. Loya tekaknya. Bau hamis ayam mereput, bau rempah, bau minyak bagai bersatu, menjadi sesuatu yang meloyakan.

Permaisuri kemudiannya menyuruh tukang masak menghidang sekeping besar daging lembu mentah. Ia segar, masih berdarah-darah. Itu – boleh pula ditelannya. Darah segar lembu itu dihisap, ditelan sebelum daging tersebut dikunyah rakus. Orang lain semua memandangnya jijik. Hanya Permaisuri sahaja tersenyum. Bertanya sekiranya dia mahu menambah lagi. Salju menolak. Dapat duduk semeja dengan Permaisuri pun dia sudah cukup berbesar hati. Mungkin sebab itu mereka memakaikan gari dan penutup mulut ini padanya.

Salju menunduk. Menguis-nguis rumput dengan hujung kakinya. Kenapa dia begini?

“Salju!” Suria melambai-lambai di hadapan wajah Salju. Salju tersentak.

“Jauh benar mengelamun. Teringat kat mata air ke?” Gurau Suria. Salju memiringkan kepala ke kiri. “Mata air?” dia bertanya. “Ya. Mata air.” Suria mengiyakan. “Mata air tu apa?” Tanya Salju.

Suria menggaru kepala. “Mata air tu… maksud dia…uh, kekasih.”

“Kekasih tu apa?”

“Err… nah. Tupai. Pegang sekejap.” Suria menghulurkan anak tupai tersebut. Salju menyambut. Terkebil-kebil memandang Suria. Lelaki muda itu bercekak pinggang. Mengira-ngira ketinggian pokok tersebut. Adalah mustahil dia mahu memanjat pokok itu tanpa menggunakan kedua-dua belah tangannya. Di tambah lagi, pokok itu berlumut. Tak apalah, cuba dahulu.

Dia mengambil lajak. Mahu berlari, kemudian melompat setinggi mungkin. Baru sahaja dia berlari beberapa tapak, Salju pergi ke hadapannya.

“Whoa! Salju ketepi!” Suria cuba mengelak Salju, lalu dia jatuh terduduk. Salju merenungnya. “Aduhhh… “ Suria berdesis, menggosok punggungnya yang sakit. “Kenapa buat macam tu?” Ujar Suria. Salju memiringkan kepala.

“Suria mahu panjat pokok ini, kah?” tanyanya. Suria berdiri, menepuk-nepuk belakangnya. “Ya. Kita kena hantar dia balik ke sarangnya. Anak tupai ini masih belum putus susu.” Ujar Suria. Dia sedikit bingung. “Maksud Suria, hantar ia balik pada ibunya?” tanya Salju lagi. Suria mengangguk. “Ya. Betul. Kenapa?” Tanya Suria.

Salju tunduk.

“Ibunya telah mati.”

-NOTA PENULIS-
1.
Saya perasan ada ramai yang meminta saya jadikan kisah ini sebagai novel. Saya tidak pasti sama ada nukilan saya layak dibuat novel atau tidak, tetapi saya ada cuba mencari syarikat penerbitan yang sesuai. Saya sudah lama tidak membaca novel, sebenarnya. Pada pendapat kalian, apa syarikat penerbitan yang sesuai? Banyak yang saya cari di enjin carian – tidak sesuai untuk genre saya. Banyak yang muncul adalah sesuai untuk genre cinta. Sedangkan kisah saya agak… ‘ganas’. Untuk pengetahuan, syarikat Fixi menutup penghantaran karya baru sehingga akhir 2017. Hahahahahha terlewat.

2.
Jadi, pada pendapat saya, Fiksyen Shasha boleh cuba-cuba menerbitkan karya terpilih dengan undian pembaca, contohnya. Kalau Youtubers boleh menerbitkan kompilasi status-status mereka, kenapa tidak kisah-kisah seram? Ada ramai silent readers dan likers di page ini. Jadikan sebagai satu kompilasi tahunan, mungkin? Ini cadangan sahaja. Saya sedar ada baaaaaaaanyak beban kerja untuk mereliasasikan cadangan ini. Proofreading lagi, pengagihan duit royalti lagi. Bukan mudah. Saya faham, admin. Tapi ini cadangan sahaja. Tak mahu, tak apa. Hehu.

3.
Baiklah. Tiap pokok yang saya sebutkan di nukilan ini merupakan pokok sebenar, bukan diimaginasi oleh saya. Boleh cari di enjin carian, pokok-pokok ini sangat menarik. Perkataan ‘Mihstaz’ itu dari perkataan Proto-German, saya pun kurang pasti, mungkin satu bahasa lama. Saya cari di Wiktionary sahaja.  maksudnya?
Kabus.

Seperti biasa, maaf karangan kali ini pendek. Ada banyak hal yang tertimbul. Terima kasih kerana meluangkan masa. Selamat membaca!
*ejaan sebenar rasaksa, atau raksaksa? xD

NIL

Leave a Reply

21 Comments on "#NIL: SANG PAHLAWAN – SALJU DAN SURIA"

Notify of
avatar
Sort by:   newest | oldest | most voted
jack

best..menarik…trbayang2 keindahan taman larangan tu…

ultramangirl

hye penulis.. tak cuba hantar dekat ilham karangkraf ke? mana tahu kalau berkenaan dia akan publish buat novel.. ilham karangkraf under alaf 21 punya penerbitan tk silap saya. alaf 21 yang terbitkan buku penulis terkenal genre sains fiksyen thriller seram dari ramlee awang murshid.
ejaan betul adalah raksaksa, klu tk silap sy

Nurhan

Nil, sekarang ni ada juga orang menulis dan menjual sendiri novelnya. Jika nak jual novel sendiri, tanpa perlu mana2 pihak ketiga, awak perlu cari kilang pencetakan, awak ambil tempah orang yang mahu beli novel awak dan kemudian awak boleh cetak di kilang.awk cuma kena pandai cari kilang yang ambil murah, dan kena promote sndiri novel awak di facebook,berurusan menerusi whatsapp.

mey_mawar

yup, setuju dgn Nurhan. betoll
sbb sy penah beli novel online, yg writer nya urus sendiri suma.
kena pandai cari tmpat print murah la.
promote n deal ngan customer guna FB / Whatsapp je senang.
Semoga berjaya #NIL, n untuk Nurhan jugak.

Belom sempat baca karya Nurhan yg latest, tgok ada bnyak admin post.

Fat Cat

Yes dah ada sambungan! Boleh tak aku nak agak yg suria akan jatuh cinta dengan salju? Dan maybe akan ada watak lelaki lain, puteri salju kan? Selayaknya bertemu puteranya sendiri 😀

Fat Cat

Aku akan tunggu part di mana salju dah bertukar normal. Bagaimana penerimaan salju bila dia mula mengingat kembali memori silam dia, bakal mengamuk ke salju ni bila find out kemanusiaannya dirampas begitu sahaja dan literally org sekelilingnya bg aku selfish, ada niat tersendiri mendekatinya. So for that time being, masih adakah sekelumit simpati, cinta & percaya dalam hati dingin beku seorang salju?

koshino

sy tengok kamus, ejaan sebenar “raksasa”.
Kalau nak terbitkn buku, boleh try penerbit X. sy ada baca novel2 dari penerbit X, sesuai utk genre macam cerita Nil.
……..
Sempat Wahyu menyentuh bahu yang ditepuk Suria.

Melekit dengan air buah pear.

“Budak bertuah ni. Dia lap tangannya yang berlengas di bahu aku.” Dengus Wahyu,…

part ni kelakar. nice.

Kak Yulie

RAKSASA yg betul…
Heeheheh sebok nk jawab gaakkk…

Alamaaakkk…
Spoil da mood banget nih…
Baruuuu nk fefeeling…
Huhuhuhuuu…

Cepat carik masa terluang…
Enggak sabar donk…

Klu dh jd novel habaq sni naaa…
Akk naakkkk beliii…!!!
Cerita ni genre seram ganas romantik…
Hahahahaah…

Kak Yulie

Cooopppp…
Salju dh mkn ekkk mak tupai tu…
Adeeehhhh…
Salju lapar banget deh…

Cikedot

Best….x sabar tunggu sambungannya.Teruskan berkarya ya sahabat.gud luck

Burgundy

Taksabar nak tunggu sambungan cerita 👍👍

Cikebombom

Best wey. Cepat ja hang post kan. Sayang hang laa Nil. Sambung cepat tau. Tashabar 😢

ekien

best citer
bosah dah asik dihidangkan novel cinta yang cliche..

Si V

saya akan amek masa yang sangat lama baca cerita2 ni kos syok dok berangan setiap detail yg penulis bagi…

Saljuezora

Suria…Salju…

Gadiss

kalau da siap novel. inform la dekat fiksyen shasha. aku nak beli siap autograph kau eh nanti. hehe. goodluckk

syazwani

Mesti diorang nanti bercinta kan? Kan? Nak tanya, Nil ni peminat novel2 laksamana sunan karya ramlee Awang murshid ke?

NIL

kali terakhir saya baca buku RAM adalah sewaktu saya berumur 15-16 tahun. sekarang saya berusia 25 tahun. 😀

saya tak pasti sama ada saya terpengaruh oleh beliau, tetapi saya lebih gemar membaca Stephen King, Carlos Ruis Zafron, John Saul – to name a few.

ramai betul kata macam begitu. kena belek balik novel RAM xD

Bunga Embun

Apa saudara nil telah mencuba menghantar karya saudara ke Dubook press? Mungkin bisa dicuba hantar

mey_mawar

Tahniah Nil, aku tunggu sambungan hang.
Ramai pembaca dah boleh faham jalan cerita ni, siesly, memang osem wehh
Mcm aku reply komen Nurhan kat atas, aku rasa the best way kalaw tak jumpa penerbit memana,
hang boleh arrange print kat kedai sendiri. n promote buku hang kat fesbuk / IG / memana laa.
n suma urusan pembelian, guna whatsapp / wechat.
aku penah beli novel online jugak. memg writer tu print sniri suma.
n most of his novel, islamik la. sbb bnyak hadis or share nasihat suma.
apa pon, gud luck Nil.

mindblown

Boleh cuba hantar ke lejen press, dubook, atau… Self-publish. Buat dlm bentuk zine, mungkin? Hebahkan dlm media sosial..

Just my 2¢.
Peminat cerita anda.

wpDiscuz