#NIL: SANG PAHLAWAN – SI PUTERI SALJU

*amaran – ini bukan kisah benar. Fiksyen semata. Sekiranya pengalaman sebenar yang anda cari, saya minta maaf, bukan disini.*

Part 1: http://fiksyenshasha.com/nil-sang-pahlawan/
“Tuanku Permaisuri,” ujar seorang dayang istana. “Ketua Hulubalang memohon untuk masuk mengadap Tuanku.” Sambung dayang itu lagi.

Permaisuri Bidasari menyisir rambutnya yang ikal mayang. Meningkat umur 50, rambutnya masih hitam, masih lebat, namun ada beberapa helai uban memutih tumbuh di sana-sini.

“Ya, Melur. Beta yang ingin berjumpa dengannya.” Titah wanita separuh abad itu.

Permaisuri itu bangun perlahan, menilik wajahnya di dalam cermin. “Suruh dia masuk.” Titah Baginda.
Hulubalang yang hampir sebaya dengan Permaisuri itu melangkah, langkahnya kemas, badannya masih tegap. Segera dia menunduk hormat. “Tuanku Permaisuri.” Ujarnya.

“Beta ada mendengar khabar, mengenai apa yang berlaku di sempadan negeri.” Ucap Permaisuri. Ketua Hulubalang tersentak. “Bawa perempuan itu kesini. Beta mahu lihat sendiri.” Baginda menyambung lagi.

“Menjunjung perintah.” Jawab Ketua Hulubalang, pendek.

Tidak lama kemudian, sekumpulan hulubalang mengheret sebuah sangkar bersaiz besar yang dipasang roda, masuk ke halaman istana. Di dalamnya seorang perempuan belasan tahun, dikotori lumpur dan tanah hitam. Dia duduk memeluk lutut, kelihatan tenang di lantai sangkar besi tersebut. Si Permaisuri menghampiri. Merenung perempuan muda yang dikatakan mengamuk di sempadan negeri baginda. Habis rosak binasa rumah dan pasar-pasar di kampung itu. Tiada nyawa yang melayang, tetapi penduduk ketakutan.

Sewaktu para Hulubalang sampai – kekuatan lima orang Hulubalang milik baginda lansung tidak setanding perempuan ini. Dia bagaikan gajah naik minyak, mengangkat lelaki tiga kali ganda saiznya, menghumban hulubalang tersebut – lagaknya, umpama hulubalang itu cuma seringan seikat pisang. Dengan bantuan lima Hulubalang yang lain, baru mereka berjaya merebahkan perempuan ini. Bila ditanya, dia diam. Tiada jawapan. Cuma kadangkala perempuan itu menderam, lagaknya seperti anjing.

“Siapa kamu?” Tanya Baginda. Perempuan dengan rambut panjang mengurai itu masih tunduk menghadap lantai sangkar. Permaisuri mendekat. Baginda secara spontan memegang keris yang terselit di pinggangnya, mana tahu, tiba-tiba perempuan ini menerkam ke arahnya dari dalam sangkar.
Sebaik sahaja baginda menyentuk kerisnya, sepasang mata hijau cemerlang mendongak, merenungnya tajam, di balik rambut yang dikotori tompokan lumpur dan tanah hitam. Mata itu menjeling ke arah keris, dan kemudian memandang wajah Baginda.

Permaisuri itu tergamam. Saat itu dirasakan umpama satu ketakutan maha hebat, menjalar ke jantung baginda, bagai tangan dingin mencengkam jantung yang sedang berdegup pantas. “Tidak mungkin mata sebegini milik manusia!” Desis hatinya. Hulubalang masing-masing mula mengacu tombak dan keris ke arah sangkar tersebut. Keadaan sedikit kecoh. Permaisuri mengangkat tangan kanannya, dan para hulubalang mengalihkan senjata masing-masing. “Jawab soalan beta,” tegas si Permaisuri,

“Siapa kamu?” Permaisuri menyambung.

“Be…ta?” Ujar perempuan bermata hijau itu perlahan. Permaisuri mengerutkan dahi, hairan bila perempuan itu tiba-tiba membahasakan dirinya sebagai ‘beta’.

“Kamu ini berdarah Dirajakah?” Tanya Permaisuri.

Perempuan itu diam, menggeleng kepala perlahan.

“Jadi, siapa kamu?”

Mata hijau cemerlang itu sekali lagi menatap mata hitam Permaisuri. Perlahan dia bangun, mendekati Permaisuri dari dalam kurungan sangkarnya. Hulubalang mulai kecoh, bilah-bilah tombak tajam dihunus berdekatan tengkuk, kepala dan dahi perempuan kotor itu. Satu bilah tombak yang terlalu dekat – mengguris pipi perempuan tersebut. Titik-titik darah merah kelihatan, namun secepat ia muncul, secepat itu ia tertutup kembali. Permaisuri terpegun dengan apa yang dilihatnya.

Tangan milik perempuan itu menggapai besi sangkar; merenung dalam wajah Permaisuri. Mata hijau cemerlang itu umpama zamrud yang muncul di balik tanah berlumpur; berkilau.

“Anjing,” bisik perempuan itu. “Patik… adalah anjing Diraja.”

Mata bundar Permaisuri membulat, dahinya berkerut kehairanan. Perempuan itu jatuh di dalam sangkarnya; longlai.
………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………….

Ketua dayang terkocoh-kocoh membawa dirinya yang gempal mengadap Permaisuri. Bengang sungguh dia dengan anak-anak buahnya hari ini. “Tuanku Permaisuri”, dia menyembah, termengah-mengah. “Ampunkan patik, tuanku. Tetapi dayang-dayang patik semuanya takut mahu menghampiri perempuan itu.” Ujar Ketua Dayang dalam lelahnya. Permaisuri terdiam sebentar. Sudah dia agak. Siapa yang mahu?

“Tidak mengapa, Puspa. Tinggalkan dia di kamar bersiram. Biar kita lihat bagaimana.” Ujar Baginda.

“Tuanku mahukan pertolongan Hulubalang?” Tanya Puspa.

Permaisuri tersenyum, memandang Puspa dengan seribu makna. Puspa termengkelan, menyedari kesilapannya. “Ampun tuanku. Patik tiada niat mahu memperendahkan Tuanku, patik cuma-“ Sebelum sempat Puspa menghabiskan ayat, Permaisuri mengacukan jari telunjuk ke bibirnya.

“Shh… tidak mengapa, Puspa. Kamu boleh beredar.” Titah Permaisuri, lembut. Puspa cepat-cepat menyembah, menurut perintah.

Permaisuri Bidasari, ramai rakyatnya mengatakan Permaisuri itu mengamalkan ilmu sihir. Ilmu sakti.
Sewaktu negeri mereka diserang oleh negeri jiran – Permaisuri, walau dalam kesedihan dengan kemangkatan ketiga-tiga puteranya dan Tuanku Sultan dalam wabak yang baru melanda negeri mereka, tetap gagah menyarung perisai dan mengangkat pedang, menunggang kuda putihnya, turut sama berperang.

Lumrah; bisikan nista akan mula kedengaran.

“Tidak sepatutnya Permaisuri berperang. Bukankah dia dalam tempoh berkabung?”

“Apa peranan hulubalang? Membiarkan perempuan mengetuai perang! Malah Permaisuri kita bukanlah berdarah Diraja. Anak gadis desa sahaja dahulunya. Dikahwini Tuanku Sultan, baru dia mendapat gelaran Permaisuri. Lebih sudu dari kuah!”

“Sepatutnya Permaisuri melepaskan sahaja takhta Baginda, diberi pada Bendahara.”

Namun begitu, pasukan tentera yang diketuai Permaisuri – kembali dengan kejayaan. Mereka berjaya menumpaskan tentera lawan. Permaisuri tahu, mereka menyerang kerana menyangka negeri mereka akan lemah dari segi pertahanan. Sultan telah mangkat, begitu juga ketiga-tiga puteranya. Baginda tahu mereka menyangka dalam selepas dilanda wabak, musuh menyangka mereka akan lemah. Akan goyah dengan mudah. Tidak semudah itu.

“Tuan, dalam telaga ada mayat!” lapor seorang tentera kepada Panglimanya. Panglimanya tergamam.

“Jangan ambil air itu. Negeri ini baru dilanda wabak!” tegas Panglima. Dia hairan. Hampir kesemua punca air yang dicari mereka – ada mayat sedang mereput. Membusuk. Kekuatan moral para tenteranya kian merudum. Bekalan makanan dan air terpaksa dicatu.

“Tuan! Anak panah mereka disadur najis manusia!” jerit tentera yang panik, mencabut anak panah dari bahunya yang jelas – bersadur sesuatu yang tengik, busuk dan memualkan. Sebelum sempat panglima lawan memberi arahan, formasi tentera – musnah. Ada yang mula melarikan diri, terjerit-jerit ketakutan. Senjata biologi dan psikologi.

Ada pelbagai infeksi yang bakal terjadi dengan luka yang dicemari najis;, namun apa yang mereka takutkan adalah clostridium tetani; bakteria yang menyebabkan kancing gigi. Mungkin mereka tidak tahu nama bakteria, cara rebakan, tempat pembiakan dan sebagainya. Apa yang mereka tahu – kancing gigi adalah cara yang menyakitkan untuk mati! Apabila formasi mula pecah, waktu itulah tentera Permaisuri menjerkah masuk – meluru dengan pasukan berkuda, masing-masing bertombak, Permaisuri sendiri menghunus pedang panjang. Dengan senang, tentera lawan menyerah kalah.
Namun begitu, desas-desus masih kedengaran.

“Permaisuri mengamal ilmu sihir! Bagaimana tentera kita boleh menang? Bilangan kita lebih sedikit!”

“Ya, aku sokong. Lihat Bendahara sendiri pun menurut telunjuknya, membiarkan perempuan mengepalai negeri.”

“Aku rasa, dia yang meracun ketiga-tiga tengku putera dan Sultan!”

Permaisuri tidak ambil endah. Persetankan itu semua. Dia berperang dengan baju hitam berkabung, dibawah baju perisai emas milik suaminya. Dia berperang dengan pedang panjang milik puteranya yang sulung. Dia menyisip pinggangnya dengan keris milik putera tengah. Dia menunggang kuda putih – milik putera bongsu, yang baru menginjak umur tiga belas tahun sewaktu mangkat. Bagai memahami hati Permaisuri yang sedang galau, kuda putih yang dipanggil Si Arang oleh putera bongsunya meluncur laju di medan perang, menjerkah garang ke depan formasi perang mereka, walau Si Arang yang sangat manja itu tidak pernah di bawa ke medan perang. Mengelak cerdik apabila diterjah musuh, menyelamatkan nyawa Permaisuri beberapa kali.

“Kenapa kuda itu diberi nama Arang, anakanda?” tanya permaisuri, sewaktu kuda itu baru lahir, disaksikan oleh Putera Bongsu dan Permaisuri sendiri.

Kuda kecil cuba berdiri, terketar-ketar mencari puting susu ibunya. Lansung tiada warna hitam. Dari hujung telinga sehinggalah ke hujung ekor, warnanya putih, bersih.

“Kerana dia putih, Bonda. Lansung tiada hitam. Geli hati tak?” Jawab Putera Bongsu yang baru berumur sepuluh tahun waktu itu, petah. Permaisuri cuma tertawa. Itu semua… tinggal kenangan sahaja.

Permaisuri menyalin pakaiannya ke pakaian basahan. Memandang cermin. Wajahnya masih cantik. Seperti baru menginjak umur tiga puluhan. Kulitnya sawo matang. Keningnya terbentuk, namun nipis, menyebabkan wajahnya kelihatan garang. Kelihatan angkuh. Tambahan lagi dia bukan mudah tersenyum, dan suka benar memandang orang lain dengan dagu sedikit terangkat. Hidungnya masih mancung, bibirnya masih penuh, walau sedikit pucat akibat dalam tempoh berkabung. Ada sedikit kedutan di pelusuk matanya. Matanya masih coklat kehitaman. Rambut yang disanggul telah dilepaskan, cantik ikal mayang, panjang menyentuh birai pinggangnya yang ramping. Kalau dilihat betul-betul, ada dua tiga helai uban mula memutih. Ah, dia makin tua.

Permaisuri melangkah masuk ke kamar mandi. Kamar mandi itu – luas, dibina betul-betul pada air terjun kecil bersebelahan istana. Ada kolam sederhana luas yang nyaman airnya. Beberapa pokok teratai tumbuh, bunganya yang putih suci sedang indah memekar. Sesekali kedengaran kicau burung yang galak mengejar sama sendiri. Di tengah-tengah kamar, perempuan kotor itu masih dikurung di dalam sangkar beroda. Memeluk lutut.

Permaisuri mendekati.

“Mari, wahai anak.” Dia menghulurkan tangan. “Kita basuh dahulu kotoran di badan kamu.” Sambung Permaisuri.

Perempuan itu sedikit tersentak dengan panggilan ‘anak’, dan perlahan, dia bangun. Tangan berlumut hitam, berkuku panjangnya menyambut tangan mulus Permaisuri. Mata hijau cemerlangnya memandang Permaisuri, ingin tahu. Tanpa rasa geli, Permaisuri memimpin perempuan itu ke kolam. Namun, tangan perempuan itu sangat dingin. Kedinginan itu mengingatkan Permaisuri akan dinginnya tangan Sultan pada hari kemangkatannya. Mereka berdua menuruni menapak perlahan ke dalam kolam yang sedalam paras dada orang dewasa. Sedikit demi sedikit, air yang jernih – mula kehitaman.
Permaisuri Bidasari berdiri di belakang perempuan itu, mereka berdua berdiri di dalam kolam. Lantas, Permaisuri mencapai gayung kecil, mencurah air perlahan ke atas perempuan itu. Tangannya dielus lembut ke rambut kusut miliknya, meleraikan tiap pintal kekusutan sehingga ia lurus kembali.

“Siapa nama kamu?” tanya Permaisuri.

Diam.

Permaisuri memiringkan kepala. Tangannya masih sibuk menyikat rambut perempuan misteri tersebut. Dia menghela nafas. Nampaknya perempuan ini sudah mula mengunci mulutnya.
“Buka persalinan kamu. Sudah kotor.” Arah permaisuri. Perempuan itu buat tidak endah. Permaisuri menggeleng kepala. Dibukanya baju perempuan tersebut. Tiada respon, dibiarkan sahaja Permaisuri berbuat begitu.

“Jangan pula kamu dengan lelaki juga begini. Jangan dibiar.” Bebel Permaisuri.

Diam.

Permaisuri lantas teringat Hulubalangnya yang dilempar oleh perempuan misteri itu. Ah, tiada masalah barangkali.

Permaisuri tergamam. Di belakang perempuan tersebut – adalah satu simbol. Satu jata negeri.
Negeri yang menyerangnya dahulu. Simbol itu berupa seekor ‘gargoyle’ dari sisi, memegang sebilah pedang. Simbol itu dicop dengan cara sangat menyakitkan, dengan besi panas. Ini bermaksud, perempuan ini merupakan hamba. Hamba yang berkhidmat di negeri tersebut. Permaisuri menyentuh kulit perempuan itu. Dingin. Sangat dingin.

Selesainya bersiram, Permaisuri menarik perempuan itu ke luar kolam. Sekali lagi, dia tergamam.
Kulit putih, pucat, sepucat salju. Bibir merah bagaikan mawar darah. Rambut hitam pekat, bagai pelepah si burung gagak. Mata hijau, hijau cemerlang. Dan di tengkuknya, dua tanda gigitan merah, berkilau di kulitnya yang pucat, bagai delima disapa cahaya mentari. Permaisuri menarik nafas.

“Nosferatu!” ujarnya, terkejut. “Tidak mungkin. Kamu di bawah cahaya mentari! Kamu sepatutnya sudah berubah menjadi debu!” Titah permaisuri lagi, menarik keris yang disisip di pehanya.
Perempuan itu memiringkan kepala. “Nosferatu.” Bisiknya.

“Kepala. Pancung kepala mereka, lebih mudah. Bukan menikam di dada. Pancung. Bunuh.” Dia menyambung. Menggumam sendiri.

“Siapa kamu? Dari mana kamu datang?” Jerkah Permaisuri dengan keris di tangan.

Perempuan itu menggeleng.

“Saya tidak tahu. Sekejap saya ingat. Sekejap saya lupa.” Dia berkata perlahan. “Kamu ini… ibu sayakah?” tanya perempuan itu.

Permaisuri sedikit tergamam. Perempuan muda itu memandang wajahnya penuh harap.

“Bukan. Nama beta Bidasari. Beta merupakan pemerintah negeri yang kamu duduki sekarang ini.” Titah Permaisuri. “Hulubalang beta menjumpai kamu di sempadan negeri beta, mengamuk. Lantas mereka membawa kamu ke sini.” Cerita Permaisuri. Dia menggapai sepersalinan baju yang disediakan dayang. Dilemparkan ke perempuan itu. Perempuan itu menyambut, pantas. “Mulai hari ini, kamu akan menjadi tahanan beta. Kamu tidak dibenarkan keluar istana tanpa kebenaran beta. Ini satu perintah!” tegas Permaisuri.

Perempuan itu merenung Permaisuri, lama. Perlahan, dia melutut. “Menjunjung perintah.” Ujarnya. Permaisuri memeluk tubuh, memiringkan kepala. Menarik. Dia baru sahaja mendapat seorang pahlawan gagah perkasa dari negeri jirannya. Pengintipkah? Atau tentera yang tumpas di tangan Nosferatu, lalu melarikan diri ke sempadan negerinya? Jika tekaan kedua tepat, mengapa wanita ini tidak binasa dibawah cahaya matahari? Mengapa dia tidak menyerang manusia? Ada banyak peluang di kampung tadi.

“Bangun. Pakai persalinan itu.” Arah Permaisuri. Wanita itu menurut. Bangun perlahan dengan kepala ditunduk. Patuh, bagaikan anjing!

“Mulai sekarang, beta namakan kamu – Salju.”

-NOTA PENULIS-
Terima kasih atas sambutan kalian pada kisah Sang Pahlawan. Terima kasih. Berbanyak terima kasih. Terima kasih juga kepada admin yang memberi peluang kepada saya – berkongsi kisah dengan kalian. Terima kasih. Terima kasih!

Pembaca yang dihormati,
Saya mengaitkan dengan kisah Snow White/Puteri Salju, kerana pada pandangan saya, Snow White itu sendiri bagaikan vampire. Lihat saja deskripsi ibunda Snow White.

“Once upon a time, in deep winter, a queen was admiring the falling snow, when she saw a rose blooming in defiance of the cold. Reaching for it she cut her finger and three drops of blood fell. And because the red seemed so alive against the white she thought, “If only I had a child as white as snow, lips as red as blood, hair black as a raven’s wings, and all with the strength of that rose.” Soon after a daughter was born to the queen and was named Snow White.”

Hakikatnya, sekiranya deskripsi ini benar, kulit seputih salju, Snow White akan kelihatan sangat menakutkan. Cantik, ya, tetapi sangat menakutkan. Kalau ada diantara kalian yang suka menonton cerita Melayu lama, mesti pernah dengar kisah Bidasari.  Boleh dikatakan, Bidasari merupakan versi Melayu Snow White. Hikayat Bidasari ditulis pada tahun 1750. Kisah ini kemudiannya dilakonkan oleh Jins Shamsuddin dan Sarimah pada tahun 1965. Sayangnya naskhah asal Hikayat Bidasari – nun jauh di London sana, di simpan di London School of Oriental and African Studies, University of London.
Akhir kata, selamat membaca!

NIL
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

39 comments

  1. ni sambungan ke..
    yang sebelum ni, ratu gigit anak dia.. maknenye ratu da tua.
    yg ni nosferatu belasan tahun.

    pening arrrrrrr

    1. Kira nya, Salju ni = Sang Pahlawan, baby yg kena tinggal masa kecik, mak nye dibunuh kaum nosferatu.
      Last part 1, Ratu ( ibu sang pahlawan ) gigit Sang Pahlawan ni sblom mati.
      So, apa yg ak dpt simpulkan,

      Ibu Sang Pahlawan = Ratu Nosferatu Lama
      Salju = Sang Pahlawan = Ratu Nosferatu Baru

      hehe, yg aku faham, macam ni la, betol or tak, kena tgu #Nil jawab.

    2. Oloo jangan la pening. Hehe. Mintak ampun, cerita ni memang berat sedikit. Apatah lagi kalau yang tak biasa membaca genre sebegini. 😀
      Betul apa yang dikatakan mey_mawar. Begitulah.

  2. Hah..aku ingatkan sang pahlawan tu lelaki. Nampak sgt part 1 tu aku tak fokus. Iye2 je masa baca imagine lelaki. Aiyyakkk. Apa2 pun, best?????? Ini kalo novel ni memang menjadi pilihan utk aku beli.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.