#NIL: SANG PAHLAWAN – SURIA

*Amaran – ini bukan kisah benar. Fiksyen semata. Sekiranya pengalaman sebenar yang anda cari, saya minta maaf, bukan disini.*

Part 1: http://fiksyenshasha.com/nil-sang-pahlawan/
Part 2: http://fiksyenshasha.com/nil-sang-pahlawan-si-puteri-salju/

“Suria!”

Jerit Wahyu. Mana anak bongsunya?

“Suria!!!” Dia melaung lebih kuat. Bercekak pinggang. Mendengus-dengus dia marah. Sudah satu rumah dia kelilingi. Di bangsal kuda pun tiada. Mana budak bertuah ni?

“SURIA!!!”

Wajah isterinya pula yang terjenguk-jenguk di balik tingkap. “Apa yang dijerit-jerit tu kekanda?” Tanya isterinya, Ayu. “Cari anak awaklah!” Ngomel Wahyu. Ayu mencebik muka, pipinya yang sedikit bulat menyembunyikan usianya yang sudah lebih setengah abad. Tak suka benar kalau Wahyu memarahi anak-anaknya.

Kalau dia marah tak apa pula.

“Kan adinda sudah cakap tadi, Suria baru sahaja keluar rumah. Sebelum kekanda sampai.” Ujar Ayu. Dia mengesat-ngesat tangannya yang basah di kain sarung. Giliran anak sulung, anak kedua dan ketiganya pula menjenguk dari tingkap. “Betul Ayahanda. Suria baru sahaja keluar.” Ujar Bayu, berdiri membelakangkan Ayu. Di depan anak-anak lelakinya, Ayu cuma separas ketiak mereka sahaja.

Anak kedua Wahyu, Banu, dan anak ketiganya, Bani – mengangguk-angguk, mengiyakan kata-kata abang sulung mereka. Banu dan Bani adalah kembar seiras.

“Betul Ayahanda. Suria baru sahaja keluar.” Banu mengiyakan. “Betul. Tadi Bani ada nampak.” Bani pula menjawab.

“Anak awak keluar, awak tak boleh tanya dia nak pergi mana?” Marah Wahyu kepada Ayu. Wajah Ayu mula berubah. Bibirnya dicebik merajuk.

“Suria tergesa-gesa tadi Ayahanda. Entah ke mana dia pergi.” Bayu menjawab sebelum Ayu membuka mulut. Bayu mencuit-cuit pinggang Banu. “Ya Ayahanda. Tergesa-gesa betul Si Suria tadi kan, Bani?” Banu mengangkat-angkat kening kepada Bani. “Betul Ayahanda. Entah-entah Si Suria tu mahu jumpa mata air dia agaknya?” Ujar Bani bersungguh-sungguh.
Mata Wahyu terbeliak. Bayu mengurut dahi dengan tangan kanannya; Banu memijak kaki Bani. “Mata air?” Ayu turut terkejut, dia mendongak memandang anak-anaknya. Banu menggeleng-geleng kepalanya pantas kepada Bondanya, mata dibulatkan. “Ooh…” Ayu yang mula-mula terperanjat mengangguk-angguk faham.

Muka Wahyu umpama mahu meletup. Merah berbirat-birat mukanya. Nafasnya turun naik. “Macam ni, macam ni Ayahanda. Ayahanda lapar kan? naik dulu makan ya. Biar kami bertiga cari Suria.” Bayu menenangkan keadaan. Wahyu mengangguk-angguk, perlahan-lahan dia menapak ke pintu rumah, terhuyung-hayang dia. Mujur tak pengsan orang tua tu.

“Kot ya pun!” Bayu mendesis kepada Bani yang terkebil-kebil selepas Wahyu hilang dari pandangan mereka. Banu menepuk belakang kepala Bani. Ayu yang didepan mereka, sedang mendapatkan Wahyu di muka pintu – berpaling kearah mereka. Tangan gempalnya digodek-godek perlahan, menunjuk isyarat keluar melalui pintu belakang.
…………………………………………………………………………………………………………………………………………
Susah payah Suria memanjat pokok hujan-hujan itu, sampai juga dia di sarang burung gembala kerbau tersebut. Anak burung yang di letak di poket baju di dadanya – dicekup lembut. Ibu burung gembala kerbau menciak marah sebelum dia terbang berlegar-legar sekeliling sarangnya.

“Nah, duduk sini diam-diam. Jangan buat perangai lagi.” Ujar Suria, meletakkan anak burung gembala kerbau yang sudah tumbuh sedikit bulu pelepahnya itu kembali ke sarangnya. Ibu burung gembala kerbau hinggap di dahan berdekatan, takut mendekati. Burung itu memiringkan kepalanya.

Suria memaut kemas dahan pokok. Tangan kirinya dihulur.

“Mari.” Bisik Suria.

Bagai memahami, burung itu terbang mendekati sarangnya. Mendekati Suria. Terkelip-kelip burung itu dengan kepala yang sekejap dimiringkan ke kanan, sekejap ke kiri.

“Masuklah ke sarang kamu.”

Dengan patuh, burung itu masuk, sayapnya dilebarkan menutupi anak-anaknya yang kesejukan.
Anak burung yang baru diselamatkan Suria menjenguk kepala dari sayap ibunya. Suria tertawa.
Ah, dia patut pulang sekarang. Matahari kian menghampiri kaki langit. Ayahandanya tentu sudah pulang. Dengan berhati-hati, anak muda itu menghulur kakinya ke dahan pokok. Mahu turun. Lauk apa yang Bonda masak hari ini, agaknya?

“Suria!”

Satu suara menyapanya, kuat. Terkejut Suria, mula hilang imbangan.

“Woahhh!” Jerit Suria, sewaktu dia terjatuh.

Bayu, Banu dan Bani terkejut. Mula menerpa mahu menyambut adik bongsu mereka. Namun Suria dengan lincah – memegang dahan, berpaut dengan lagak ahli gimnastik, lalu melompat turun dari satu dahan ke satu dahan dengan mudah, bagai kucing.

Bani menepuk tangan. “Hebat betul Suria!” Ujar Bani. Suria tersengih-sengih. “Mujur. Pokok ni bukannya rendah. “ Banu mengurut-ngurut dada, mendongak memandang pokok hujan-hujan yang tinggi. “Kenapa kekanda semua mencari Suria?” tanya Suria, menyapu-nyapu daunan kering di rambutnya. Bayu mengeluh. Dia menarik satu cebisan daun kering dari rambut Suria. “Mari kita pulang dahulu. Dalam perjalanan pulang, kekanda ceritakan.”

………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………

Suria menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. “Maaf, Suria. Kekanda terlepas cakap.” Ujar Bani. Suria tersenyum, menepuk-nepuk bahu Bani. “Tak apa, kekanda Bani.” Mereka menghampiri rumah mereka dalam balam senja. Kelihatan Ayahanda mereka sedang menghisap rokok daun di beranda rumah. Berkepul-kepul asapnya di ruang beranda.

“Hm. Baru reti nak balik?” Sindir Wahyu kepada Suria.

“Hm. Rajin Ayahanda halau nyamuk hari ni?” Suria menjawab sambil tersengih.
“Budak ini – “ Wahyu mahu melibasnya dengan kain di bahu. Cepat-cepat Suria berlari ke atas rumah sambil ketawa.

“Suria!” Laung Wahyu. “Ayahanda mahu bercakap dengan kamu!” Panggil Ayahandanya lagi.

Senyap.

“Suria!” Laung Wahyu lagi. Rokok disedut, asap dihembus. Dia menjenguk-jenguk ke dalam rumah. “Biarlah dia makan dulu! Ayah apa kekanda ni, sanggup biar anak lapar.” Ujar Ayu dari dapur. Wahyu terpinga-pinga. Ketiga-tiga anak-anaknya yang lain terkebil-kebil memandang Wahyu, sebelum turut naik ke atas. Mahu menyertai Suria menjamu selera.

Wahyu mengeluh. Puntung rokok dibuang; dia bangun perlahan. Memegang anjung beranda. Angin senja begitu nyaman. Matahari kian terbenam di kaki langit. Langit hari ini begitu indah; mega merah memenuhi langit dengan awan berarak.

Wahyu, si Ketua Hulubalang istana mengeluh. Bimbang. Bimbang akan nasib anaknya, Suria.
Suria dari kecil berlainan dengan budak-budak lelaki yang lain. Sewaktu kanak-kanak, apabila diajak menjerat haiwan, Suria akan menangis teresak-esak, merayu Wahyu melepaskan kancil, kijang, arnab tangkapannya.

Selepas itu Wahyu berhenti mengajak Suria. Kalau menjerat haiwan sekalipun, dia akan pastikan haiwan tersebut sudah disembelih, sudah dilapah, dipotong kecil-kecil dagingnya. Barulah Suria akan makan. Anak bongsunya juga bagai ada satu kelebihan menjinak haiwan.
Cakap sahaja apa yang tidak dijinaknya. Kucing? Anjing? Kuda?Rusa? Semua berjaya dijinaknya, walau kuda itu seliar mana sekalipun. Malah ada sekali masuk babi hutan tunggal sesat di kampung mereka. Dalam hiruk pikuk terkejut, babi itu turut sama terkejut, menyebabkan dia lari merata. Habis pagar penduduk kampung rosak.

Siapa dipanggil? Suria juga. Elok pula selepas itu babi tunggal tersebut – yang sebesar anak lembu terkedek-kedek mengikut Suria macam itik pulang petang – ke birai hutan.
“Anak kamu tersampuk barangkali, Wahyu.” Seorang jirannya menyindir sinis. Wahyu berkerut-kerut dahinya. “Tersampuk dengan apa?” Tanya Wahyu, sambil menyaksikan Suria melambai-lambai ke arah babi hutan tersebut. Jirannya mengangkat bahu sambil tersengih sinis. “Manalah aku tahu. Tapi selepas ini, mungkin aku berhati-hati. Jangan bangga sangat dengan pangkat atas dunia ni!” Getus jirannya sebelum beredar meninggalkannya. Wahyu terpinga-pinga. Bangga dengan pangkat? Pangkat apa? Sebagai ketua hulubalang?

Wajah mulus Suria yang sewaktu itu baru berusia empat belas tahun tersenyum ke arah Wahyu. “Dia dah dapat balik rumah dia, Ayahanda!” Ujar Suria, seronok. Mendapatkan Wahyu. Wahyu cuma mengangguk sambil tersenyum.

Bayu, anaknya yang sulung, berumur 22 tahun, betul-betul mengikut perangai ibunya. Isterinya Ayu, seorang yang penyayang. Tegas, tetapi sedikit lurus orangnya. Bayu mengikut jejak langkah Wahyu, menjadi Hulubalang istana. Mendapat kehormatan untuk berdiri bersama-samanya dalam barisan pertama peperangan baru-baru ini.
Banu pula merupakan anak kembarnya yang kedua. Dia dan adiknya Bani berumur 20 tahun. Selang beberapa minit Banu lahir, Bidan terjerit-jerit ada satu lagi bayi di dalam perut Ayu. Bani merupakan anak yang baik, pendiam, namun dalam diamnya itu – dia suka memerhati. Suka menilik sesuatu; pandai menilai keadaan. Perkataan ‘licik’ adalah sangat tepat untuk menggambarkan perangai Banu. Dia antara perangka strategi perang mereka; dialah orang yang pertama menyetujui cadangan Permaisuri untuk menghumban mayat di sumber air, di sekitar sempadan sewaktu negeri mereka diserang. Idea yang kedengaran jelik di pandangan ramai, termasuk Wahyu sendiri. Siapa sangka ia berjaya?

Bani – anak kembarnya yang ketiga. Lurus, peramah. Dia kurang suka mengikuti jejak langkah Wahyu dan abang-abangnya, dia lebih gemar bertukang. Buat masa sekarang dia menjadi anak didik penempa besi terkenal di kampung mereka,Pak Atma. Dia mahu menjadi pembuat keris, kata Bani.

Sungguh Wahyu tidak kisah. Dia tidak kisah apa sekalipun jejak langkah anak-anaknya, asalkan kerja itu mulia. Malah apabila Suria yang menginjak umur 18 tahun itu menyatakan hasrat mahu menjadi penjaga kuda Diraja, dia tidak menghalang, jauh sekali berasa malu. Apa hendak dimalukan?

“Tugas ini cuma Suria sahaja yang boleh laksanakan. Jangan bimbang, Wahyu. Beta selalu melihat hasil kerja Suria. Beta yakin dengan kebolehannya.”

Kata-kata Permaisuri terngiang-ngiang di telinganya.
Wahyu meraup muka. Malam semakin gelap. Bintang-bintang bertaburan di langit.
Di usia setengah abad, Wahyu masih tegap, masih gagah bertempur, walau rambutnya yang lebat sudah memutih kesemuanya. Badannya kasar. Ayu yang gempal itu pun masih lagi kelihatan kecil, halus jika mahu dibandingkan dengannya. Mukanya ada sedikit kedutan, namun disorok jambang dan misai yang rapi, dipotong pendek. Tidak dibiarkan tumbuh panjang. Matanya ada kedutan kecil di tiap sudut – yang akan sangat ketara apabila dia tersenyum atau ketawa.

Suria betul-betul mengikut dirinya. Dari mata, dari senyumannya, dari riak wajah, tubuh badan. Malah Suria lebih tinggi dari abang-abangnya yang lain.

Wahyu menyalakan sebatang lagi rokok. Kedengaran gurau senda anak-anak dan isterinya di dapur, sedang membasuh pinggan barangkali.

“Pakcik Wahyu! Pakcik Wahyu!”

laung seorang kanak-kanak. Wahyu lantas mencari punca suara. Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dengan rambut diikat ekor kuda terkocoh-kocoh berlari kepadanya.

“Kenapa Pelangi?” Tanya Wahyu. Wahyu mengenali Pelangi, cucu kepada jirannya yang tinggal berdekatan sahaja.

Jiran itulah; yang menuduh Suria tersampuk.

Pelangi seraya naik keatas beranda rumah, memaut lengan Wahyu. Wajah bulat Pelangi pucat. “Si Tembun -“ dia tercungap-cungap, menelan air liur, “Si Tembun mengamuk!” Pelangi menyudahkan ayat.
Wahyu kenal benar Si Tembun. Bukan manusia, kerbau sebenarnya. Kerbau jantan itu sangat gemuk, sangat besar. Jarang-jarang Si Tembun buat perangai.

“Mengamuk?”

“Datuk lapah rusa berdekatan Si Tembun. Si Tembun mabuk darah! Habis diserang ayah dan datuk.” Suara Pelangi mula bergetar. Dia menangis teresak-esak. Kerbau mengamuk bukan perkara enteng. Nyawa boleh melayang. Lihat sahajalah tanduknya.

Wahyu lantas mendukung Pelangi. Baru sahaja dia mahu memanggil Bayu,
Dia ternampak kelibat Suria, yang pantas, melompat turun dari beranda rumah
“Suria!” Wahyu menjerit. “SURIA!!!” Panggil Wahyu lagi. Namun Suria kian jauh dari pandangan, memecut laju. Bayu dan Ayu terpinga-pinga di muka pintu. Banu dan Bani menyertai mereka dengan ketawa yang masih tersisa, mungkin ada lawak yang dikongsi antara mereka. Melihatkan wajah tegang Wahyu dan Pelangi yang menangis di dukungannya, senyuman Banu dan Bani hilang.

“Kenapa, ayahanda?” Tanya Bayu. “Ambil tali di belakang rumah cepat. Ambil seberapa banyak yang kamu boleh ambil. Banu dan Bani, sediakan jamung api. Si Tembun mengamuk!” Tegas Wahyu. Ayu berubah pucat, mula memahami kenapa Suria tiba-tiba menerpa turun. “Kekanda, Suria, Suria.” Ucap Ayu. Lemah. Wahyu cuma mampu merenung Ayu dengan pandangan bimbang. Memang fizikal Suria itu gagah, tegap. Tapi jika mahu dibandingkan dengan seekor kerbau dewasa – itu mahu mati namanya!

Sampainya Suria, dia nampak kedua-dua jirannya di atas pokok kelapa. Tembun di bawah, mendengus marah, melanggar-langgar pokok kelapa yang kian senget tersebut. Baru beberapa orang kampung datang menolong, itu pun takut-takut. Hiruk pikuk jelas kedengaran. Ditambah malam kian pekat. Jamung api diacukan kepada si Tembun, yang makin mengamuk marah. Matanya terbeliak, dia mendengus-dengus kasar. “Tolong!” tempik jirannya, yang jelas cedera di lengan. Pegangannya pada pokok kelapa kian lemah.

“Si Tembun!” Jerkah Suria.

Si Tembun buat tidak endah. Dia menanduk pokok kelapa yang dipanjat tuannya sekuat hati. Menggila. Lantas Suria mengutip sebiji batu sebesar genggaman kanak-kanak.
Dilemparkannya, terkena pada punggung pejal Si Tembun. Kerbau jantan gergasi itu meraung marah. Dia berpusing. Aduh! siapa pelaku yang berani mengapa-apakan punggungnya?

“Si Tembun! Sini!” Suria mengangkat tangannya keatas, melambai-lambai.

Kerbau jantan itu, dengan mata terbeliak, mula meluru kearah Suria. Suria tanpa berlengah, turut berlari kearah binatang yang mengamuk sakan itu. Orang lain ternganga dengan tindakan gila Suria.

Beberapa detik sebelum badan Suria dilanggar Si Tembun, Suria berhenti. Kakinya dikangkang, tangannya di hulur lurus kedepan. Kerbau itu dengan pantas mahu merempuh Suria, dan sepantas itu Suria menangkap tanduknya. Impak tersebut menolak Suria kebelakang, tanah yang dipijaknya bagai mendap.

Keadaan sunyi.

Si Tembun dan Suria – kelihatan umpama kaku. Suria dengan badannya masih memegang tanduk Si Tembun, Si Tembun pula dalam posisi mahu menanduk.

Perlahan-lahan tangan Suria menggosok-gosok pipi Si Tembun. “Shhh.” Gumam Suria. “Shh…” Dia menyambung lagi, dahinya diletakkan rapat dengan dahi kerbau jantan itu.
Bagai memahami, Si Tembun diam. Matanya berkedip-kedip memandang Suria, hilang matanya yang terbeliak. Dia menyendol-nyendol Suria manja, menjilat wajah Suria dengan lidahnya yang panjang. Suria mencapai tali di hidung Tembun. “Mari.” Dia mengajak. Tanpa banyak soal, Tembun mengikut. Mulutnya mengunyah-ngunyah malas, ekornya dilibas-libas.
“Pakcik! Turunlah!” Suria melambai-lambai jirannya yang di atas pokok. Wahyu yang baru sampai ternganga. Banu bergegas kearah pokok kelapa yang dipanjat jiran mereka.
Wahyu merenung anaknya yang tersenyum dalam limpahan cahaya jamung api dan bulan. Ada kedutan kecil di sisi matanya, kedutan itu kian ketara apabila dia tersenyum. Suria menepuk-nepuk kepala Si Tembun, yang sudah kembali kepada asal.

Wahyu teringat perbualannya dengan Permaisuri siang tadi.
“Kamu tahu, kan. Apa yang kamu jumpa di sempadan negeri itu hari?”
tanya Permaisuri.

Wahyu tunduk. Masakan dia tidak tahu.

“Beta lihat dia tidak ubah seperti binatang. Bagai anjing.” Ujar Permaisuri. Wajah angkuh tetapi cantik miliknya memandang Wahyu dari takhta diraja.

“Ampunkan patik, tuanku. Tapi mengapa tuanku masih biarkan ia hidup?” Tanya Wahyu.
Permaisuri tersenyum.
“Pertama; beta mahu tahu – Siapa dia. Kedua; beta mahu tahu, mengapa Nosferatu ini tidak binasa di bawah cahaya matahari. Dan, ketiga;” Permaisuri menarik nafas, “ Beta takut, sekiranya negeri jiran kita sedang merangka cara serang balas. Dan perempuan itu – adalah hasil mereka.” Permaisuri menungkat dagu. Wahyu tersentak.

“Bagai anjing tak bertuan, bila kita berinya tempat tinggal dan perlindungan, dengan mudah ia berubah kesetiaan.” Sambung Permaisuri.

Wahyu semakin faham.

“Sekiranya – ia menganggap dirinya haiwan, dan turut diasuh bagai haiwan, hanya Suria, yang mampu menjinakkan Nosferatu.” Titah Permaisuri.
Wahyu merenung anaknya yang masih membelai-belai Tembun. Entah apa yang dicakapkannya kepada kerbau jantan yang memandang Suria penuh manja.
Suria, penjinak Nosferatu?

-NOTA PENULIS-
Saya perasan, nukilan saya kali ini lebih pendek dari biasa. Saya minta maaf, tugas hakiki terpaksa didahulukan. Maaf ya.
Para pembaca yang dihormati,
Terima kasih kerana membenarkan si gadis dingin – Salju dan watak-watak yang lain menapak ke dalam hati kalian.
Selamat membaca!

NIL

Leave a Reply

23 Comments on "#NIL: SANG PAHLAWAN – SURIA"

Notify of
avatar
Sort by:   newest | oldest | most voted
Kak Yulie

Waaahhhh…
Tak sabar nk tggu Suria merawat Salju…
Tak sabar nk tggu Suria bersahabat baik dengan Salju…
Tak sabar nk tggu next episode…!!!

Aj✌

hahaha.. rilek kak… bawak bersaborr.. hehe 😁😁

Kak Yulie

Hahahahahah…
Buruk nooo ketidaksabarannye tu ekk…

ppslayer

best tho

Ratu Sulaman

Teruskannnn…

Dewataraya

Nexttttt

Sensei

Haha..adakah bakal terbitnya bibit2 cinta antara suria dan salju??? Hmmm

Kak Yulie

Uiikkk…
Bkn ke Suria dgn Salju tu dedua pompuan…????

Kak Yulie

“Suria dari kecil berlainan dengan budak-budak lelaki yang lain…”

Haah…lelaki…!!!
Akk dok terbyg Suria perempuan sbb sepupu akk pompuan name Suria…
Adeehhh…
Ini lg bikin x sabar ni…
Suria feat. Salju…
Yahuuuu…!!!

Hafiza

Walaupun fiksyen semata2..tapi best!

Yusz

Mantap…teruskan berkarya

Burgundy

Mohon dipercepatkan sambungannya!! Thumbs up 👍👍

Si V

We want more… We want more…!!!!

Fat Cat

Karya kau memang gempak. Kau patut hantar kat fixi. First time aku baca part 1, aku terus jatuh cinta dengan penulisan kau. Keep it up! Never stop writing 🙂

NIL

saya ada terfikir mahu menghantar ke fixi, tetapi fixi tidak menerima sebarang karya sehingga akhir 2017 :'(

Fat Cat

Bhahahahahaha takde rezeki. Try penerbitan lain.

ultramangirl

Tak sabar tggu sambungan seterusnya..mgknkah ad cinta yg brputik di antara suria dn salju..jeng jeng jeng..

Cikebombom

Weyyy! Best! Cepat laa sambung 😭
Tashabar ni. 😭

niliszero

baru sahaja hantar. tunggu admin post yea 😀

ANA

Saya suka saya suka.

nuisya

tak sabar nak baca sambungan

Izzlyana

Asyik sungguh cerita kanda Nil.. 🙂

wpDiscuz