Nurhan: Pelesit

Nurhan: Pelesit

Di sini aku nak kongsi dua cerita berkenaan pelesit. Cerita Tok Deh datang dari salah seorang kenalan dari Kedah, dan cerita kedua pengalaman cikgu aku juga dari kedah. Tak tahu la tempat anda semua panggil apa natang ni. Tapi di tempat Nurhan ni, kebanyakan orang panggil pelesit.

Cerita Pertama: Pelesit Tok Deh

Entah apa nama penuhnya, yang aku ingat aku hanya panggil dia Tok Deh. Tapi awas, jangan selalu sebut namanya. Dia boleh dengar. Umur dia sebaya nenek dan atuk aku. Kenalnya dia dengan keluarga aku ini, tatkala nenek dan atuk di suruh keluar dari rumah sendiri oleh pemaju tanah. Lalu nenek dan atuk di beri rumah flat di tingkat 3. Di situlah kami berkenalan dengan Tok Deh dan suaminya, yang merupakan jiran kami, selang satu rumah dari sebelah kiri.
Aku waktu itu masih sekolah rendah. Turut sama tinggal dengan nenek dan atuk. Maka rajin juga aku di tegur Tok Deh di muka pintu tatkala pulang dari sekolah. Tok Deh nasibnya sama seperti nenek dan atuk, di halau keluar oleh pihak pemaju. Bila di risik-risik, rupanya Tok Deh dan atuk sepupu bau-bau macang.

Tok Deh, katanya dia berketurunan raja. Rumahnya penuh dengan kain-kain kuning. Langsirnya kuning, bunga hiasan juga kuning, sofa kuning dan cadar katil juga kuning. Serba serbi kuning. Bila sebut berketurunan raja, pasti kau akan ingat dia bergaya, berbaju cantik, berwajah bersih, orangnya beradab,dan berbudi bahasa. Sama sekali tidak.

Tok Deh, gemar berkemban, giginya berkarat kerana gemar makan sireh dan curut. Di sisinya ada tin kecil yang hitam, di situ dia ludah air merah sisa sireh bersama buah pinang. Kotor bagi aku. Tawanya kuat, boleh didengar hingga orang aras bawah. Suaranya juga sama. Rambutnya pula panjang paras bahu, beralun dan lebat.

Disebabkan rumahnya bersebelahan tangga, maka terpaksalah aku menemuinya sebelum sampai ke rumah nenek. Entah mengapa aku rasa gerun dengan nenek tua itu. Dia gemar memanggil aku singgah ke rumahnya, namun selalu aku tolak dengan baik. Kadang aku sampai saja di aras tiga terus aku berlari tanpa berhenti dan menoleh.

Jawapan mengapa aku gerun dengan dia mula terjawab. Apabila satu pagi, hari jumaat. Nenek dan atuk bersarapan. Aku pula mendengar perbualan mereka.

“Petang kemarin, masa saya balik dari kedai bawah tu, Kak Deh tegur saya. Saya singgah kejap di rumah dia. Sembang punya sembang. Dia kata nak bagi saya ilmu bagus. Ilmu tu bagi orang sayang, bagi orang jatuh kasih.”
Imbas muka

“Adik, engkau mau ilmu yang bagi orang hormat kau? Aku boleh turunkan. Orang boleh jatuh kasih dengan engkau adik, orang nampak kau manis dik dengan ilmu ni. Dia boleh jaga kau juga dik.” Tok Deh bersuara.

“Tak pa la kak, saya tak berani ilmu-ilmu ni.” Jawab nenek.

“Usah khuatir dik, ilmu ini bagus. Menjaga tuan. Ilmu darjat. Mudah saja diperturunkan. Kau datang maghrib nanti, aku tunjukkan kepada kau dik. Betapa hebatnya dia. Aku letak sebiji telur ayam di tanganku ini, maka kau akan lihat lintasan cahaya terang mengambil telur di tanganku. Hebat ilmu ini dik.” Tok Deh bangga, sambil ketawa kecil.

Atuk mendengar dengan tenang sambil menghirup kopi panas yang masih berkepul asapnya. Nenek pula sambil cerita sambil melurut romanya yang menegak tiba-tiba.

“Saya dah kata abang, Kak Deh tu membela. Ish dia nak pelepas ilmu dia ke saya la tu. Pandai dia, dia dah letih menjaga. Mahu di lepaskan ke saya pula.”

“Jangan layan sangat Kak tu. Biarkan dia.”

Sejak itu nenek jarang bertandang ke Tok Deh. Dia juga melarang aku ambil apa-apa barang dari Tok Deh. Namun hubungan kami masih baik. Kata nenek, hati-hati lebih baik. Kadang-kadang itu rajin juga Tok Deh datang menghantar makanan. Adakala roti canai, adakala mee segera dan macam-macam makanan lain. Nenek cuma ambil, tetapi tidak pernah nenek jamu kepada suami dan cucunya.

Satu hari nenek dan aku pergi melawat Mak Cik Mah, jiran yang berada di atas. Sudah dua minggu dia terlantar sakit. Kakinya di p****g kerana kencing manis.

“Semalam anak-anak Mak Deh datang melawat Mah, Mak Teh.” Cerita Mak Cik Mah kepada nenek aku, sementara aku duduk di sisi, Cuma mendengar.

“Aih, mengarut kamu ni Mah. Mek Deh kamu mana ada anak.” Ujar nenek, berkerut keningnya.
Mak Cik Mah bangun dari perbaringan.

“Hantu dia Mak Teh, hantu dia.”

Imbas Muka. Aku sebagai Mak Cik Mah.

Malam itu, aku tidak dapat tidur. Panasnya semacam. Lalu sebelum anak dan suami aku tidur, aku minta mereka bukakan tingkap untuk aku. Supaya udara panas yang terperangkap di dalam rumah ini, boleh keluar.

Aku pandang kaki aku yang di p****g. Pedih, bagai ada nanah di dalam. Itu akibatnya bila aku tidak dapat kawal ketagihan aku dengan minuman berkarbonat. Ketika itu jam sudah berganjak satu. Suami dan anak sudah tidur. Tinggal cuma Aku.

Selepas beberapa minit, aku mula rasa lali. Namun masih belum lagi tidur. Aku menguap beberapa kali. Aku memejam seketika mata. Dalam lena lena ayam, dapat aku rasa ada seseorang sedang duduk di hujung kaki aku.

Aku membuka mata. Debar dada mula rasa. Di hujung kaki ada tiga anak dara. Berkemban dengan rambut dibiar lepas. Wajah mereka iras Mak Deh. Cuma mata mereka sepet dan mulut mereka muncung ke depan.

“Kamu siapa?” Soal aku.

“Kami tiga beradik, anak Mak Deh.

“Buat apa malam-malam ni?” Soal aku tanpa fikir panjang.

“Mak tak kasi kami makan, dia suruh kami datang sini. Datang tengok kaki kamu.” Jawab mereka serentak.

“Masuk dari mana?”

Mereka diam. Sambil tangan mengusap lembut kaki aku yang d******g. Matanya mereka juga Cuma tertumpu ke arah kaki aku. Lalu di bukanya balutan itu. Aku pula seperti orang bodoh, hanya melihat gelagat mereka bertiga. Sebaik balutan di buka, lidah mereka yang panjang mula menjilat hujung kaki aku yang di p****g. Jilat dan kemudian hisap d***h yang tiba-tiba mula mengalir.

Aku yang mula rasa sakit, mula menjerit memanggil suamiku yang tidur. Berkali-kali hingga akhirnya jeritan aku di dengar suami. Tiga anak dara yang tersentak, mula melayang keluar melalui tingkap dapur.

Kembali masa kini.

Nenek mengucap panjang. Nampak romanya bercerak, tegak.

“Dah dua malam dah mereka datang Mak Teh. Mak Deh tu memang bela pelesit, ada hantu dengan dia. Sebab tu saya ajak petang ni, suami saya bawa saya balik rumah mak. Saya tak nak tinggal sini. Saya takut. Tiap-tiap malam datang makan saya. Katanya mak mereka yang suruh.” Ujar Mak Cik Wa.

Nenek pula mengangguk.

“Memang tu yang sebaiknya.” Ujar nenek.

“Dulu, selalu juga nampak dia menjamu di kaki bukit tu. Jamu hantu la agaknya.” Ujar salah seorang jiran yang datang melawat.

Selepas dua minggu, kami di gemparkan dengan berita perginya Mak Cik Mah. Tentang Tok Deh aku sendiri tidak pasti. Adakah dia masih hidup atau sudah pergi. Selepas beberapa bulan arwah Mak Cik Mah pergi, nenek dan atuk juga berpindah ke rumah kosong milik ayah di sebuah taman perumahan.

Nota si pencerita:

Di tempat aku, pelesit dikenali sebagai belaan atau ilmu yang di amal oleh orang perempuan untuk cantik dan menundukkan suami. Pelesit di kenali sebagai jin belaan wanita yang bijak serta licik. Pak cik aku ada cakap, pelesit itu asalnya dari kakak ponti dan di panggil pelesit apabila dia dibela oleh manusia. Betul atau tidak, tanyalah orang lebih arif. Pesan aku, rajin-rajinlah membawa Al-Quran dan solat. Supaya rumah sentiasa di lindungi.
………………………………………………………………….

Cerita kedua: Pelesit datang walimah (Cerita Benar)

Aku masih ingat waktu ini aku dalam darjah 3. Masih lagi sekolah rendah. Masa itu para guru sedang mesyuarat. Maka riuh rendah murid-murid berkeliaran di koridor, berjalan ke kelas kawan, main kejar-kejar dan macam-macam lagi aktiviti kerana tiada pantauan guru. Biasalah budak-budak.

Tak lama kemudian, suasana riuh rendah itu mulai terhenti. Masing-masing kembali duduk di tempat sendiri. Nampaknya para cikgu dah habis mesyuarat. Cikgu Nani mengajar subjek bahasa melayu menapak masuk sambil menjinjing beg. Badannya montel dan berwajah comel. Dia tersenyum sambil mencekak pinggang. Memandang wajah kami satu persatu.

“Sakan hampa noh.. ish ish.. pantang cikgu tak dak, hampa raya sungguh.” Ujar Cikgu Nani.
Kami semua diam.

Cikgu Nani memandang jam tangan. 15 minit lagi bakal tamat sesi persekolahan. Memang tidak sempat untuk mengajar. Lalu Cikgur Nani menarik kerusi dari meja ke tengah kelas, membelakangi papan hitam.

“Hampa nak dengar cerita dak?”

“Nak…” Serentak murid-murid menjawab.

Imbas Muka

Lewat petang, lagi sejam maghrib bakal tiba. Rumah kayu, beratap zink masih riuh rendah dengan sanak saudara. Ada yang berada di dapur, ada yang membantu ayah mendirikan khemah di halaman luar dan ada yang sedang menyediakan bahan masak untuk esok. Aku pula mengelap peluh yang membasahi wajah sambil duduk di atas tangga. Hari ini memang agak sibuk, kerana esok adalah walimah kakak sulong.

Tak lama kemudian mak muncul dari belakang rumah lalu mula menaiki tangga, wajahnya nampak lesu. Tangannya memaut bahuku sambil kaki memijak anak tangga. Ekor mataku mengekori setiap langkah mak. Sebaik saja mak sampai di muka pintu, terus tubuh mak rebah ke lantai rumah. Keadaan mula riuh rendah, ayah dan sanak saudara yang berada di luar rumah terus berlari masuk, mahu melihat keadaan mak.

“Mak.. mak..” Aku menepuk perlahan pipi mak.

Mak tetap juga tidak sedarkan diri. Kemudian salah seorang orang pak cik datang lalu bersila di hadapan mak, memang kami kenal dengan pak cik ini, agak pandai bab menghalau hantu. Pak Leh namanya. Dia kemudiannya memicit ibu jari mak dan tak semena-mena, mak menjerit sakit.

“Sakit la bodoh.” Ujar mak.

“Hang sapa, kenapa mai kacau orang?”
Diam, sambil mencebik mulut.

“Hang sapa, kenapa mai kacau orang? Jawab… kalau dak aku picit lagi ibu kaki hang ni.”

“Mana makanan..? ha mana makanan? Pa dia ni.. panggil orang mai makan, awat tak dak hidang apa pun.” Mak mula berleter.

“Hang mai awai pasai pa? Kenduri esok bukan hari ni. Kami panggil tuan hang, bukan hang.” Jawab Pak Leh.

Mak mencebik.

“Tuan hang sapa?” Soal Pak Leh.

Diam.

Tiba-tiba jeritan mak kedengaran lagi, tatkala Pak Leh memicit ibu kakinya.

“Jawab tuan hang sapa?” Soal Pak Leh dengan nada keras.
Mak diam seperti tadi.

Sekali lagi jeritan mak bergema di dalam rumah kami. Apabila ibu kakinya dipicit oleh Pak Leh.

“Ha la.. ha la.. aku bagitau. Jangan la picit sakit tau dak.” Ujar mak..

“Ha sapa tuan hang?” Soal Pak Leh.

“Mak aku hat duduk kat kampung sebelah tu, dok juai kain tu. Tapi jangan bagitau dia, sat ni dia marah aku.”

Pak Leh mengangguk. Memang penduduk kampung tahu perihal Mak Cik Siti yang membela pelesit. Siapa lagi kalau bukan dia yang menjual kain pasang. Barang siapa yang berhutang ketika membeli kain dengannya memang akan berhadapan dengan pelesitnya yang datang menuntut hutang kain. Silap hari bulan, pelesitnya boleh berkampung di dalam badan.

“Hang pi balik la ni, esok mai lain dengan mak hang. Hari ni tak dak makan. Esok baru ada, esok baru nak kenduri. Hang mai waktu salah. Pi balik.”

“Tak mau la, tak laqat la jalan kaki. Letih tau dak.” Jawab Mak.

“Tu tumpang lori ayam tu, depa nak pi kampung sebelah.” Pak Leh menunjuk ke arah lori ayam yang berhenti berdekatan rumah kami.

“Aish.. tak mau la, busuk tahi ayam.” Mak mencebik.
Pak Leh menggeleng kepala.

“Banyak helah sungguh hang ni. Ketegaq tak mau balik. Tak pa, tak pa.” Ujar Pak Leh.

Pak Leh memandang ayah.

“Hasan, bawak mai telur rebus sebiji.” Ujar Pak Leh.

Maka berlakulah proses mengeluarkan pelesit tersebut lalu di pasung ke dalam telur rebus. Selesai sahaja proses tersebut, esok paginya ayah dan Pak Leh membuang telur yang dihuni pelesit itu ke dalam sungai. Alhamdulillah mak aku sihat seperti sedia kala. Mujurlah Pak Leh membantu. Takut juga terjadi seperti cerita orang-orang kampung, bahawa pelesit itu gemar makan di dalam badan manusia secara diam-diam. Licik kan.

………………………………
Nota penulis
Aku tak ada pengalaman dengan pelesit. Cuma dulu, pernah terjadi di asrama, pelesit balik semula ke tuannya, bila ustaz tanya macam mana balik. Dia kata tumpang itik angsa. Keh keh keh.. okey sekian. Moga kita semua dilindungi.

Ditulis oleh Nurhan.
Dicerita oleh seseorang.

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Nurhan

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 3 Average: 3]

33 thoughts on “Nurhan: Pelesit”

  1. Aku rs.. aku dh jtuh cinta la kat ko Nurhan.. ehh.. silap2.. kat citer ko la.. cr ko citer tu seolah2 mnggamit prasaan aku utk brhalusinasi dlm garapan kisah yg ko tulis.. ayat demi ayat yg ko taip.. meniti dgn langkah yg lemah gemalai di ruang mataku.. trsnyum sndirian adakala cemas dn seram.. brcmpur baur mnghiasi hlmn kalbu… aku trpana dgn cintamu… ehhh silap2.. asyik silap jer.. aku terpana dgn ceritamu ohh Nurhan… Cisss… ayat mcm tk hengat… 😅😅😅

    Reply
  2. Mmg la x boley sbot nama tuan dy sbb ape yg jdi tuan dy akn taw.seram bila igt dulu pun pnh kna dgn pelesit.sampai lani tuan dy ade lagi..ank sulung aq pun saye pun x brani nk blk kg ayah dy sbb skunk dy suka myumbangkan lagu tangisan kt sblh tingkap

    Reply
  3. Pelesit ni memang banyak songeh. Makcik aku dulu pun kena. Kami suruh dia balik, dia kata takmau, nak balik naik kapal terbang. Hampeh betoi

    Reply
  4. Orang perempuan bela pelesit..
    Orang lelaki bela hantu raya…
    Pelesit ni jin betina gamaknya..
    Hantu raya jin jantan…
    Aku rasa laaaa…

    Reply
  5. hahahaha… part ats mcm seram sikit.. yg bwah nuh lwak gila.. hahaha… mcm2 pe’el la pelesit niyh.. bsuk taik ayam lh, xlrat brjln lah.. acah mnusia plak kna jln bgai, hahaha… best bca.. even ank dok kcau sat2..

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.