Nurhan : Syah Hakimi (Sang bersayap)

Nurhan : Syah Hakimi (Sang bersayap)

Syah duduk di luar perkarangan rumah sambil mendongak ke langit lalu menyapu air hujan yang terjatuh di atas rambutnya yang berceracak. Hujan yang lebat dari subuh tadi telah pun berhenti. Langit pagi yang kelam mulai ada sedikit jalur cahaya mentari. Lama juga Syah memandang ke arah tujuh jalur warna di langit.

“Jom.” Ujar Hakimi yang muncul tiba-tiba.
“Oih mak engkau terbalik..” Syah melatah

Hakimi pecah ketawa sambil menggeleng kepala.
“Hilang macho kau Syah.”

Hakimi berjalan di hadapan, dituruti Syah yang menggaru kepalanya yang tidak gatal. Masing-masing mula memakai baju hujan. Sementara umi berdiri di muka pintu, melihat gelagat mereka.

“Hakimi pergi dulu umi, doakan kebaikan Hakimi dan kawan-kawan.” Hakimi mencium tangan umi.

“Umi dan walid tak pernah lupa doa untuk kamu semua. Ni nasi lemak sambal sotong untuk Hakimi dan Syah, jangan lupa bawak.” Umi menyerah bekal makanan kepada anaknya.
Hakimi tersengih. Aroma sambal sotong buatkan perut mereka mula berkeroncong irama dondang sayang. Syah diam memandang dengan ekor mata. Andai ibunya masih hidup. Pasti dia juga dapat merasa kasih seorang ibu. Teringat kata ustaz. Hilangnya salah satu nikmat seseorang di dunia ini adalah bila sudah tiada lagi ibu yang akan mendoakan kebaikan untuk dirinya. Wajah Syah nampak sayu. Kalaulah nenek dan atuk masih hidup.
“Bertuahnya Hakimi.” Bisik hati Syah sambil menarik nafasnya yang terasa berat.

Lagi 1 jam mereka akan sampai ke kampus. Kiri dan kanan cuma hutan getah. Tidak pula kelihatan rumah-rumah orang di situ. Hakimi menggosok pahanya yang rasa pedih tatkala rintik hujan mula menghentam bertubi-tubi. Hujan kian lama kian lebat. Hingga jalan berturap tidak lagi kelihatan. Hakimi memperlahankan motosikal. Masing-masing menoleh kiri dan kanan sambil mencari tempat untuk berteduh. Tiada satu pun kenderaan lain yang lalu-lalang. Hanya mereka berdua.

Perlahan motosikal mereka bergerak, selama 15 minit masih belum menemui tempat sesuai untuk berteduh. Namun tanpa di duga motosikal mereka hilang kawalan lalu terseret ke belakang. Seolah-olah di langgar oleh sesuatu yang besar. Hakimi tergolek ke arah kiri manakala Syah pula hilang dari pandangannya. Hakimi cuba bangun walau kaki kanannya berdenyut-denyut sakit, helmet yang di pakai sudah terpelanting entah ke mana. Itulah bahaya mengikat topi keledar terlalu longgar. Dia mula mencari kelibat Syah, sambil memegang jari jemari kanan yang kebas.

“Syah..Syah..” Laung Hakimi.
Tiada sahutan.

Hakimi tidak dapat nampak apa-apa di hadapan, mahupun kiri dan kanan. Semuanya kelabu. Pendengarannya juga terhad dengan bunyi hujan lebat. Tetapi seperti ada suara wanita sedang ketawa kecil. Hakimi cuba amati suara itu sekali lagi, mungkin telinga salah mendengar. Suara ketawa kecil di sebalik bunyi hujan masih kedengaran.

“Syah..Syah..Syah.” Hakimi melaung sekali lagi. Dia mengabaikan suara ketawa itu. Hati lebih bimbangkan keadaan sahabatnya.

“Allah..Allah..”

Suara Hakimi bergetar tatkala dia memandang ke bawah. Air hujan kemerahan. Adakah itu air yang bercampur d***h? Suara ketawa mula jelas kedengaran, seolah-olah dekat sahaja dengannya. Gembira sungguh sang empunya suara. Mungkin seronok melihat dia cedera.

“Ya Allah selamatkan sahabat aku.”

Baju hujan yang dipakai di lempar ke tepi. Tidak beberapa lama, hujan mulai berhenti. Tinggal renyai-renyai nipis. Hakimi tercapik-capik menapak ke arah sekujur tubuh yang terbaring di bahu jalan. Syah tidak sedarkan diri. Lengan dan rusuk kirinya cedera, mungkin bergeser dengan jalan.

“Ya Allah.. Syah..” Sebak suara Hakimi, air matanya bergenang. Terketar-ketar Hakimi cuba memapah Syah.

Tetapi suara ketawa kini sangat dekat. Hakimi memandang ke sekeliling, cuba mencari pemilik suara. Ketawa itu tidak pernah berhenti. Hujung di dalam hutan getah, baris pokok yang ke tiga. Ada seorang wanita berbaju putih, rambutnya panjang. Tajam memandang Hakimi. Mata mereka bertentang. Kemudian kedengaran pula bunyi ranting di pijak. Hakimi pantas menoleh ke belakang. Bau hanyir menusuk hidung. Wanita berjubah hitam tersenyum sinis. Aura kegelapan memenuhi sekeliling. Wanita itu tidak pernah jemu mengganggunya.

“Apik..?” Hakimi bersuara, dengan nada terkejut.

Apik muncul dengan senyuman, matanya tajam memandang Hakimi. Tetapi wajah sempurna itu mula bertukar hodoh, kelihatan tulang dan daging busuk yang berulat terjatuh ke tanah. Bau hanyir kian kuat. Hakimi tahu, itu bukan Apik. Apik, rohnya sudah berada dalam genggaman tuhan. Tidak lagi akan pulang ke dunia.

“D***h engkau milik aku.” Suara bisikan wanita berjubah hitam.

“Kalau jadi apa-apa terhadap saudara aku ni, nahas engkau syaitan.” Hakimi geram.

Prakkk.. Bunyi kuat dari atas. Belum sempat Hakimi melangut. Dahan pokoh getah menimpa kepala. Hakimi terkulai ke tanah. D***h merah mula membasahi wajah. Marisa ketawa, dikuti dengan tiga ekor jin suruhannya. Lantas empat ekor sekutu iblis itu menerpa laju ke arah Hakimi dan Syah. Masing-masing menjelir lidah, air liur bernanah menitis ke tanah. Ketika lidah mereka hampir menyentuh tubuh Hakimi dan Syah, muncul bunyi yang membuatkan mereka tersentak. Kedengaran bunyi rantai gemerincing kian menghampiri. Ngauman raja rimba makin mendekati. Sepantas kilat tiga ekor haiwan berbelang muncul. Tentera Sri Vijaya sudah tiba. Bauan kemenyan memenuhi ruang. Empat lembaga laknat menghilang. Salah seekor sang harimau yang paling besar saiznya iaitu Agra mula mengejar. Kali ini tiada belas kasihan. Biar daging mereka yang berulat terus hancur di cakar kuku yang tajam.

Tidak berapa lama Syah tersedar tatkala ada air hujan yang bertakung di daun, telah menitis ke wajahnya. Dia memandang ke atas, di celahan daun-daun hutan kelihatan langit tetap kelam. Tetapi dia merasakan seolah dunianya bergerak. Tempat yang di dudukinya berbulu, bukan lagi tanah atau jalan raya berturap. Ngauman sapaan dari Agra apabila tahu dia sudah sedarkan diri. Syah tersenyum, dia kini berada di atas belakang sang harimau. Dia kembali teringat akan kejadian tadi. Mula Syah mengelabah. Terbayang wajah Hakimi. Syah bangun dari perbaringan mencari di mana sahabatnya. Kelihatan Hakimi yang tidak sedarkan diri berada di atas tubuh Sang Puli, satu-satunya harimau berbulu putih. Apabila melihat d***h yang masih merah mengalir di kepala Hakimi, Syah terus berlari turun. Tangan dan rusuknya masih berdenyut.

“Assalamualaikum..” Sapa seorang Pak cik tua. Wajahnya berkerut merenung Syah dari atas hingga bawah.
“Pak cik.. tolong sahabat saya.” Suara Syah cemas.

Bunyi cengkerik berzikir menyapa pendengaran tatkala dia mula membuka mata. Hakimi memandang sekeliling, lalu memegang kepalanya yang berbalut. Kini dia berada di dalam bilik berdinding kayu. Di atas katil kayu yang berukir ukiran bunga, bertemankan lampu pelita di atas meja. Tubuhnya berbau herba. Dia melihat ke kaki yang berbalut, lalu Hakimi cuba bangun dari perbaringan. Teringat akan Syah, dia mula risau. Selamatkah Syah?
Sedaya upaya Hakimi cuba turun daripada katil. Kaki kanan Hakimi mula bengkak, saiznya besar daripada kaki kiri. Dia duduk semula selepas berhempas pulas untuk berjalan. Tatkala itu pintu terkuak, ada seorang wanita tua menjenguk ke dalam bilik, lalu pintu kembali di tutup. Hakimi berkerut, tertanya-tanya di mana pula dia berada. Siapa pula wanita tua tadi?
Tidak beberapa lama kemudian, lelaki tua berumur dalam lingkungan 60 tahun pula masuk. Dia memakai baju pagoda putih dan berkain pelikat. Dia melurut janggutnya yang tidak panjang sambil merenung ke arah Hakimi tanpa kata. Kemudian wanita tua tadi pula masuk sambil membawa air minum. Keduanya memandang ke arah Hakimi dan kemudian memandang sesama sendiri.

“Ini isteri aku, panggil dia Mak Lawang dan aku Pak Putih. Kau jangan khuatir, rehat dahulu. Jangan memaksa kaki mu yang sakit untuk berjalan, kelak makin bentan.” Kata Pak Putih.
“Anak muda, minum air ini. Mak Lawang yang rebus, supaya cedera kamu makin cepat pulih. Kaki mu itu uratnya lari.” Ujar Mak Lawang.
“Terima kasih Mak Lawang, Pak Putih.. Tapi mana sahabat saya?”
Mak Lawang dan Pak Putih saling berpandangan. Mak Lawang tanpa bicara terus keluar daripada bilik.
“Sahabatmu itu ada, dia ada di sempadan kampung. Usah kau risau perihal dia. Rehatlah anak muda. Esok sahaja kita berbicara.” Ujar Pak Putih.
“Tapi macam mana….” Belum sempat Hakimi menghabiskan soalannya, Pak Putih melangkah keluar meninggalkan Hakimi yang termangu.

Semalaman Hakimi tidak tidur. Dia memikirkan Syah. Apa jadi dengan Syah? Di mana pula dia berada? Banyak benar soalan bertalu-talu di dalam benak. Kedengaran suara azan subuh mula memecah kesepian. Seketika kemudian, Pak Putih masuk ke dalam bilik, membantu Hakimi mengambil wuduk.

Pagi-pagi lagi, tatkala mentari mula melebarkan sayap siangnya. Pak Putih dan isterinya di datangi oleh tetamu yang di kenali. Hakimi dibawa berjumpa dengan tetamu mereka. Masing-masing bersarapankan kuih putih yang di buat oleh Mak Lawang. Hakimi tidak tahu apa nama kuih itu, itu kali pertama dia melihat dan merasai kuih sebegitu. Rasanya enak dan harum. Tok janggut yang duduk bersila di hadapan Hakimi itu rupanya adalah penghulu Kampung. Tabiat Tok Janggut sama seperti Pak putih gemar melurut janggut. Tok janggut merenung Hakimi, ada sesuatu yang istimewa tentang pemuda ini.
“Tok, maaflah anak muda ini bertanya. Di mana sahabat saya? Saya risau, dia cedera.” Soal Hakimi.
“Sahabat mu ada di hujung kampung. Maafkan aku anak muda. Aku tidak dapat membenarkan dia masuk ke kampung ku.” Ujar Tok janggut.
“Kenapa Tok? kasihan sahabat saya Tok. Cedera dia lebih teruk dari saya.” Ujar Hakimi mengharap.
“Aku kagum dengan persahabatan kamu. Dia sanggup merayu meminta ku merawat mu. Tapi aku tidak boleh membenarkan dia masuk. Sang bersayap memburunya. Aku tidak mahu kampung ku di ganggu. Aku terpaksa anak muda, demi kedamaian masyarakat aku.” Nada Tok Janggut kesal.

Hakimi terdiam. Makin di tanya makin dia pening dengan jawapan Tok Janggut.
“Kalau begitu, saya minta budi baik Tok Janggut dan Pak Putih. Mohon bawa saya ke tempat sahabat saya berada.” Pinta Hakimi penuh mengharap.
Tok Janggut mengangguk selepas lama berdiam.
“Baiklah jika itu kehendakmu.” Ujar Tok Janggut.

Hakimi di papah oleh dua orang pemuda. Sementara Tok Janggut berjalan di hadapan. Anak-anak gadis bertudung kan kain batik tersipu malu memandang Hakimi. Tempat ini aneh, bicara Tok Janggut, Pak Putih dan isterinya seperti orang zaman dahulu kala. Pakaian mereka juga begitu. Dia seolah-olah berada di zaman lampau. Keseluruhan rumah di situ adalah rumah kayu dan beratap daun nipah. Selepas 30 minit mereka berjalan melalui kawasan perkampungan akhirnya mereka tiba di hujung kampung iaitu kawasan hutan. Lima minit mereka berjalan meredah pokok-pokok hutan, akhirnya kelihatan Syah sedang menyandar di batang pokok.
“Syah..” Panggil Hakimi.
“Kau tak patut buat macam ni Syah, mana boleh kau biarkan aku pergi tinggalkan kau sorang.” Ujar Hakimi dengan riak tidak puas hati.
“Kaki kau okey? Dah macam kaki gajah dah.” Soal Syah.

Hakimi mengangguk sambil memandang ke arah Tok Janggut dan dua orang pemuda yang menghantarnya. Namun sudah tiada. Hanya kelihatan pokok-pokok hutan. Hakimi kembali memandang Syah. Syah cuma tersengih dengan wajahnya yang pucat. Fahamlah Hakimi, itu bukan perkampungan manusia.

“Tak patut diaorang biar kau macam ni.” Hakimi berkerut.
Syah diam, dia sudah biasa di benci. Seluruh makhluk alam sana ada yang tidak menyenangi dirinya, termasuklah manusia. Dari kecil dia terbiasa di lontar kata-kata hina.
“Jom kita balik, naik Kawasaki.” Ujar Syah

Hakimi memandang jelmaan tiga ekor harimau muncul di hadapannya.
Zul dan Badrul duduk di luar sambil melihat beg pakaian milik Hakimi dan Syah yang di jumpai di tempat kejadian. Tiga hari mereka masih belum menemui Hakimi dan Syah. Ke mana hilangnya mereka? Andai sudah meninggal mana pula mayat mereka. Jika di amati keadaan motosikal Hakimi, pasti keduanya cedera teruk. Macam-macam hal yang berlaku sejak setahun ini. Termasuklah kes arwah Apik dan Rashidi. Kemudiannya kedatangan jin betina bernama Marissa. Segalanya ada kaitan dengan Hakimi. Badrul pula baru pulih dari gangguan ‘Kak Ponti’ suruhan Marissa. Tiba-tiba kedengaran bunyi gemerincing rantai besi. Hembusan angin membawa bau kuat kemenyan. Masing-masing memandang satu sama lain. Kemudian..

“Assalamualaikum..”
Suara Hakimi memberi salam. Terpacak di hadapan pintu pagar sambil tersenyum bersama Syah. Keduanya berjalan capik. Tangan dan kaki berbalut.
“Waalaikumussalam.. woi hampa hilang mana ha? Walid ngan umi risau, hang tau dak.” Badrul berlari anak ke arah Syah dan Hakimi.
“Pak cik.. mak cik.. Hakimi dan Syah dah pulang.” Teriak Zul di muka pintu.
…………….

Di dalam kegelapan kedengaran suara tangisan. Sudah tiga hari pemilik suara itu hanya menangis. Merintih kesakitan. Pedihnya bisa cakaran sang harimau. Konco-konco nya juga merintih sakit. Namun dia tidak akan serik. Api dendam kian membara. Makin benci dengan Hakimi. Tiba-tiba muncul pula bayang-bayang besar bersayap lalu berdiri di hadapan jelmaan wanita berjubah hitam. Bau hapak memenuhi rongga hidung.
“Kau siapa?” Soal Marissa.
“Aku Tuan Mod, asalku dari kerajaan atas. Aku berseru, bersekutu lah denganku. Maka aku akan membantumu melunas dendam mu. Aku mahukan harimau itu dan manusia bernama Syah. Hakimi itu penghalang aku mendekati Syah. Engkau perlu membantu aku. Kesakitan yang engkau tanggung aku boleh lenyapkan sekelip mata, jika kau rela bersekutu dengan aku.” Suara garau bergema. Sang bersayap mengepak sayapnya yang kelihatan seperti sayap kelawar. Badannya bersisik hitam berkilat. Nadanya angkuh.
…………..

Nurhan: Syah Hakimi (Nota misteri)

Sebaik sampai ke rumah, walid dan umi terus menghantar mereka ke hospital untuk rawatan lanjut. Badrul dan Zul pula sukarela menemani sahabat mereka di sana memandangkan sekarang adalah hujung minggu. Janji sentiasa di terpahat dalam hati, susah sama susah dan senang sama senang. Syah seperti biasa, sudah terbongkang tidur. Hakimi pula sedang menyapu minyak di kakinya, bengkak sudah kian surut. Manakala Badrul dan Zul leka bermain game online. Sejak tadi perasaan Hakimi sedikit terganggu, seperti ada orang sedang memerhati. Tidak lama kemudian, dari tubir mata ada gadis datang menghampirinya. Wajahnya pucat dengan berbaju pesakit hospital. Tiada secebis senyum pun terbit di bibir yang mengelupas, pandangannya sayu. Tanpa sepatah kata, gadis itu meletak lipatan kertas di atas tangan Hakimi, kemudian terus melangkah pergi.

“Kak..kak.. tunggu kejap.” Panggil Hakimi.
“Oih.. kau nak aku panggil nurse ke?” Soal Zul.
“Tak, kakak yang datang sini tadi.” Jawab Hakimi.
“Mana ada orang datang sini tadi.” Badrul berkerut sambil memandang sekeliling.

Jam 2 pagi, mereka sudah tenggelam dalam lautan mimpi. Begitu juga para penghuni lain. Tidak sedikit pun mereka terganggu dengan bunyi batuk tanpa henti daripada salah seorang penghuni di situ, masing-masing tetap juga tidur dengan nyenyak. Tiba-tiba badan Hakimi seperti di goncang. Makin lama makin kuat goncangan. Hakimi mula membuka mata sambil terkebil-kebil.

“Hakimi, teman aku kejap. Aku nak terkucir lah.” Zul berbisik di telinga Hakimi.

Hakimi bangun sambil menggosok matanya beberapa kali. Sempat dia menoleh ke arah Badrul yang meleleh air liur basi dan Syah pula tidur sambil mulut ternganga. Dia ketawa kecil.
“Sorry la, aku gerak si Badrul tu, langsung dia tak bangun. Terpaksalah aku ajak kau.” Ujar Zul serba salah sambil tergedik-gedik menahan kencing.
“Dah berapa lama kau tahan ni?” Soal Hakimi, lalu berjalan bersama Zul ke arah tandas.

Hanya bunyi derapan kaki mereka melangkah menyelusuri kesunyian. Aneh sekali perasaan yang di rasai Hakimi, seperti di dalam mimpinya bertemu Marissa. Zul jalan menghimpit Hakimi, tangannya kesejukan. Perjalanan ke tandas terlalu lama, sedangkan jaraknya tidaklah jauh. Rasa menyesal tiada guna, mereka sudah jauh meninggalkan wad jika di hitung dengan masa yang mereka ambil.

“Aku rasa macam lama je nak sampai tandas.” Ujar Zul berbisik.
“Zul, baca ayat pendinding diri yang kau tahu.” Hakimi mula kumat-kamit.
Kaki Hakimi berhenti melangkah. Dia menoleh ke arah kanan. Sebuah bilik bernombor, tiada pula nama si penghuni. Lama Hakimi memandang sebelum dia mula teringat akan nombor yang tercatit di dalam kertas pemberian kakak misteri. Tiba-tiba pintu terkuak sedikit. Seolah-olah menjemput mereka masuk.

“Hakimi, jomlah aku tak jadi nak terkucil. Jom balik tempat kita.” Zul menarik lengan Hakimi.
Hakimi diam. Melalui ruang pintu yang terbuka, dia nampak wanita tadi yang duduk membelakangi mereka. Di atas katil terbaring jasad lain yang terselindung wajahnya. Ingin sahaja dia masuk, hati Hakimi meronta-ronta. Tetapi Zul sudah menariknya sekuat hati, menjauh dari tempat itu.

“Macam mana kita boleh sampai kat wad orang perempuan?” Bisik Zul, tangannya yang sejuk masih memegang lengan Hakimi.

Hakimi tidak menjawab, mulutnya membaca segala ayat pendinding. Kalau dia cerita pun, hanya membuatkan Zul bertambah lemah semangat. Kepalanya mula berdenyut, deria pendengarannya mula menangkap pelbagai bunyi walau tidak muncul jelmaan aneh. Mengharap tempoh hijab matanya yang di tutup masih lagi belum tamat. Hari demi hari sudah hijab nya kian terbuka sikit demi sedikit, kelak makin banyak makhluk yang bergentayangan dia akan lihat, sepertimana ketika kecil dahulu. Perjalanan mereka pada malam itu sangat panjang. Bermula dengan niat ingin ke tandas dan akhirnya tersesat. Perlahan-lahan Hakimi melaungkan azan, dengan izin Allah pasti akan jumpa jalan.

Keesokan

Hakimi menapak ke arah bilik semalam. Syah dan yang lain turut mengikut di belakang. Dia membuka pintu lalu menjenguk ke dalam bilik. Hampa, hanya bilik kosong. Tilam dan bantal kemas tersusun. Tiada tanda di huni orang.
“Bilik Marissa ke ni?” Soal Zul.

Hakimi menggeleng. Dia memandang sekeliling bilik. Yakin dengan gerak hati, bahawa apa yang terjadi ada kena mengena dengan gangguan Marissa. Zul keluar meninggalkan mereka di bilik. Dia menuju ke arah salah seorang jururawat di situ.
“Assalamualaikum cik, nak tanya. Orang yang huni bilik tu dah balik?” Tanya Zul sopan.
“Owh, maksud adik Puan Khalsom ke? Dia dah di ambil oleh keluarga dia beberapa hari lepas.” Jawab jururawat.

Zul mengangguk senyum. Sah itu cuma gangguan luar, tiada kaitan dengan gangguan Marissa. Hanya gangguan nakal penghuni hospital.
“Banyak-banyak nurse, hat segak tu jugak hang tanya noh. Dasar buaya.” Ujar Badrul sambil menggeleng kepala.

Hakimi membelek kertas yang terlipat kemas. Selain nombor bilik, ada mesej lain lagi. Tetapi bukan dalam bentuk ayat. Hanya beberapa perkataan. ‘tolong’, ‘mak’, ‘pusara’. Adakah ini salah satu muslihat syaitan betina itu? Atau..

Hidup mereka kembali seperti biasa. Gangguan Marissa menyepi selama beberapa minggu. Mungkin dia sedang merencanakan sesuatu atau sudah serik. Usai isyak, mereka masih melepak di masjid. Mendengar tazkirah ringkas daripada Hakimi selama 10 minit. Sehari sedikit kutip ilmu, lama-lama jadi bukit.

“Hakimi, aku nak tanya sikit boleh?” Zul memandang Hakimi. Manakala tiga pasang mata memandangnya.

“Macam mana nak jadi kuat macam kau? Benda-benda susah nak kacau. Aku ni lemah semangat.” Ujar Zul
“Pertama sekali aku minta maaf. Sebab aku, korang semua jadi mangsa. Memang aku kesal sangat atas apa yang dah terjadi kat korang. “
“Tak apa, kami tak pernah salahkan kau.” Tegas Zul
“Terima kasih korang. Erm.. teringat pesan arwah abang, salah satu nak hati kuat, solat jangan tinggal, jangan lewatkan. Amal ayat-ayat pendinding. Berkawanlah dengan Al-Quran. Kena selalu ingat sesungguhnya benda yang kita takut tu, sebenarnya diaorang pun ada rasa takut juga. Manakala Hati yang hanya takut kepada Allah, tak akan takut kepada benda lain.” Hakimi menghela nafas. Dia turut mengambil iktibar. Pesan arwah abang terpahat kuat.
“Erm, betui. Aku ni solat suka lewatkan. Kadang buat lupa.” Ujar Badrul tersengih.
Tiba-tiba Hakimi tersentak. Haba sejuk menyinggah di telinga kiri. Tidak lama kemudian ada suara berbisik halus.
“Tolong..mak..pusara.” Suara berbisik.

Syah mengerut kening, tajam memandang Hakimi. Dia juga dapat mendengar. Aura sejuk sebentar tadi sudah menghilang. Zul dan Badrul tidak dapat mendengar bisikan itu tetapi tekun menggosok bulu roma mereka yang tiba-tiba meremang. Hakimi tekad, dia mesti siasat.

-Tamat-
Sampai di sini sahaja cerita berhingus Syah Hakimi. Maaf tunggu lama. Bila fikir semula cerita ‘part by part’ saya ni macam sesuai untuk di publish di fiksyen shasha. Mungkin lepas ni saya hanya akan publish di facebook sendiri. Namun jika ada cerita fiksyen pendek saya akan kongsi di Fiksyen Shasha. Terima kasih admin FS, selalu publish cerita saya. Terima kasih yang setia membaca. Segala kekurangan harap di maafkan.
Link untuk cerita sebelum ini.

Part 1: Misteri Rashidi
http://fiksyenshasha.com/nurhan-misteri-rashidi/
Part 2: Syah yang aneh
http://fiksyenshasha.com/nurhan-syah-yang-aneh/
Part 3: Syah Hakimi dan kebenaran Marissa
http://fiksyenshasha.com/nurhan-syah-hakimi-dan-kebenaran-marissa/
Part 4: Syah Hakimi (Misteri Marissa)
http://fiksyenshasha.com/nurhan-syah-hakimi-misteri-marissa/

Kongsi kisah anda: http://fiksyenshasha.com/submit

Nurhan

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 4]

11 thoughts on “Nurhan : Syah Hakimi (Sang bersayap)”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.