Assalamualaikum pembaca FS, terima kasih jika kisah ini disiarkan.
Kali ini, aku nak kongsi pengalaman yang bagi aku berguna untuk kita semua, terutamanya bila berjalan jauh masuk tempat orang. Mak aku pernah pesan, jangan terlalu gembira macam nak rak dan jangan buat perangai tak senonoh, kerana bumi Allah ni bukan manusia saja penghuninya. Pengalaman kali ni pelik bagi aku kerana kami semua sedar, nampak dan sudah tentu panik dan ketakutan semasa kejadian. Pengalaman yang bagi aku berharga, kerana kalau nak diusik, tidak semestinya bila berseorangan. Ramai-ramai pun akan kena, mungkin dari salah kita sendiri.
Aku setelah aku sembuh dari demam panas yang sangat teruk masa aku tingkatan 5, seringlah makhluk alam lain tu munculkan diri, seolah-olah seperti tahu aku boleh nampak mereka. Lepas baik demam tu, aku aktif aktiviti tabligh sampailah aku masuk universiti. Diganggu dengan kemunculan makhluk alam lain masa remaja sampailah masa belajar di universiti dah sangat biasa. Sangat kerap tapi setelah usia menjelang senja, dah sangat kurang “disapa” makhluk alam lain. Itu sebabnya berderet perkongsian aku di FS ni. Kalau nak percaya, percayalah. Kalau aku bohong, apa yang aku dapat? Kan? Sekadar perkongsian buat sempadan dan pengalaman kerana kita tidak tahu apa akan terjadi pada diri kita.
Perkongsian pengalaman kali ini ialah semasa kami balik dari tugasan di Gua Musang, Kelantan. Kami bertiga, Lan yang paling muda dan suka sangat buat lawak, Uzi paling tua dan batu api menambah perasa kalau Lan buat lawak, dan aku yang kaki ketawa. Sebenarnya walaupun kami bekerja satu department, kami tak berapa rapat. Aku dan Uzi satu level. Skop kerja Uzi teknikal, aku lebih kepada pengurusan. Kami hanya akrab dalam perjalanan kerana banyak berborak fasal kerja. Kami bertiga bergilir memandu, dan aku yang memandu dari KL hinggalah ke Cherating di mana kami makan dan solat di sana. Ini kerana destinasi Terengganu ialah Kemaman, Dungun, Kuala Terengganu dan Besut. Di Kelantan, banyak tempat kami kena singgah dan lokasi terakhir kami ialah Gua Musang.
Kami menetap beberapa hari di Kelantan dan sampailah tugasan terakhir kami di Gua Musang. Kerana Uzi tak pernah sampai ke Kelantan, sempatlah kami ke Rantau Panjang membeli belah kerana kami menyiapkan tugasan lebih awal dari jadual. Selalunya Uzi serius dan tak banyak bercakap, jadi dialah yang paling jakun dan yang paling bising dan excited masa di sana. Barulah nampak karakter sebenar dia. Dia suka buat lawak terutama dialog dari cerita P. Ramlee. Memang sekepala dengan Lan yang terkenal di pejabat dengan lawak-lawaknya yang selamba. Pendek kata, sangat berbeza semasa di tempat kerja.
Semasa kami hendak berangkat balik dari tugasan, kami lalu depan satu kedai perabot yang baru dibuka. Agak bingitlah muzik yang dipasang, lengkap dengan 2 ekor orang angin (dalam bahasa Inggeris infalatable dancing puppet) yang menggedik meliuk-lentuk di depan kedai, seolah-olah melambai memanggil pelanggan untuk singgah. Kerana gedikan orang angin tu, ia menjadi bahan lawak Lan dan Uzi yang turut menggedik macam cacing kena panas sepanjang jalan keluar dari Chiku. Kerana hari makin petang, Uzi yang memandu dengan Lan menunjuk arah. Ada saja lawak yang mereka buat diiringi dengan gedikan seperti orang angin tu. Riuhlah dengan gelak ketawa kami dalam kereta tu.
Semasa memasuki sempadan Pahang, hujan sangat lebat dan kami terasa sangat nak terkencing. Kerana lebuhraya hanya jalan membelah hutan, kami yang sudah tak tahan menahan kencing, berhenti dan kencing di tepi jalan walaupun hujan sedang lebat. Ikut hati, aku takkan buat kerja begitu, tapi nak buat macam mana kan?. Selesai kencing, Uzi buat lawak dan menggedik-gedik macam orang angin sambil berjalan ke kereta. Lan pun segera mengikut aksinya menggedik-gedik sambil berjalan ke kereta diiringi ketawa mereka yang mengilai-ngilai macam langsiur dapat mangsa. Masuk dalam kereta pun mereka masih lagi menggedik walau masa tu giliran Lan pula yang memandu.
Semasa sedang melepas hajat, aku macam ternampak bayangan putih di belakang Uzi yang pegi paling jauh ke depan untuk kencing. Bayangan tu sepintas lalu setinggi pokok-pokok hutan di tepi lebuhraya. Memang tinggi dan sekelip mata saja aku nampak. Serta merta aku berasa lain macam dan cepat-cepat masuk ke kereta. Dalam kereta, aku lebih banyak diam. Uzi dan Lan masih lagi rancak berborak dan membuat lawak dan menggedik macam orang angin setiap kali keluar lawak mereka.
Hari sudah gelap ketika kami sampai ke Kuala Lipis, berhenti untuk makan dan solat. Kerana kami lebih awal dari jadual, aku yang ada sedikit kuasa mencadangkan supaya kami bermalam saja di Kuala Lipis dan aku sanggup bayar sewa hotel. Tapi Lan dan Uzi enggan dan tetap nak meneruskan perjalanan balik malam tu juga. Entah kenapa aku rasa tak sedap hati, tapi untuk menjaga hati kawan-kawan, aku beralah, asalkan bukan aku yang kena drive sebab silau mata aku sangat teruk masa tu. Semasa dalam pasaraya di sana, kami beli jajan dan kopi supaya tidak terlalu mengantuk. Lan dan Uzi masih tetap dengan gedikan orang angin dan terburai ketawa mereka bila mereka menggedik dalam kereta. Waktu itu, hujan masih turun tapi tidak begitu lebat.
Perjalanan kami teruskan merentas lebuhraya dan kadang-kadang terjumpa kampung-kampung yang terpencil di tepi lebuhraya. Uzi dan Lan di depan masih bersembang masa aku terlelap di belakang. Aku terjaga bila aku dengar Lan macam meninggikan suara. Apa yang aku perasan, kami macam dah masuk satu kampung. Jalan kampung dua lorong dan kiri kanan ada rumah kampung yang jauh-jauh letaknya. Semasa aku memandang keluar, aku perasan di kanan aku ada dua batang pokok besar dengan sebuah papan tanda di tengah-tengahnya, mungkin menandakan nama kampung tu. Tapi aku tak dapat baca kerana hujan yang lebat. Papan tanda tu berwarna putih dan kuning mustard, aku ingat lagi.
Tiada lagi lawak-lawak antara Uzi dan Lan kerana hujan sangat lebat. Lan memandu berhati-hati. Keadaaan sunyi saja dalam kereta, hanya mendengar butir hujan yang menimpa windshield dan bumbung yang bingit, menandakan hujan sangat lebat dan hanya boleh nampak beberapa meter di depan. Aku pun perasan, kami melalui satu jambatan lama yang pengadangnya berbelang hitam putih, dengan sungai kecil di bawahnya. Itu yang aku nampak dan ingat.
Kami tetap meneruskan perjalanan, tapi apa yang menghairankan, setelah beberapa lama, kami lalu lagi di tempat sama, pohon besar dua batang dengan papan tanda di tengahnya dan kemudian melepasi jambatan kecil. Kali ni Lan dah tak senang duduk, dan Uzi yang duduk sebelahnya faham keresahan Lan. “Rileks Lan, bawa kereta macam biasa. Kita doa semoga kita jumpa jalan keluar” kata Uzi tenang sambil menepuk-nepuk bahu Lan. “Ai ai kapten” kata Lan yang mula nak melawak tapi fokus memandu. Hujan masih sangat lebat. Visibilty pun masih macam tadi, hanya nampak beberapa meter di depan. Lan memandu perlahan sahaja kerana hujan tersangat lebat.
Perjalanan diteruskan, dan cuba teka apa yang kami nampak? Kami melalui jalan yang sama. Sedikit pun tidak berubah. Melalui jalan kampung sedikit bengkang bengkok, melepasi beberapa buah rumah kampung dan jumpa lagi pohon besar dua batang dengan papan tanda di tengahnya, dan kemudian melalui jambatan kecil pengadang belang hitam putih. Lan yang sudah panik dan ketakutan macam melepaskan tekanan. “Haaaaaaaahhhh” dia menghamburkan keluhan kerana kami macam sudah dipermainkan.
Hujan masih menggila dan aku di belakang mula membaca ayatul Qursi berulang kali. Uzi juga terkumat kamit membaca surah. Lan tetap meneruskan perjalanan dan tak berapa lama, kami seolah-olah dah keluar dari kampung, kerana tidak lagi berjumpa dengan pohon besar dua batang dan jambatan kecil tu. Sangka kami, itulah terakhir sengsara kami. Tekaan kami sangat salah rupanya.
Nun jauh di hadapan, di kanan, kami nampak seperti cahaya. Cahaya itu pelik kerana berwarna putih dan buntang saja, tidak terang seperti lampu jalan. Yang anehnya, cahaya itu menegak sebaris dengan pokok-pokok di tepi jalan. Semakin kereta kami menghampirinya, kami dapat lihat cahaya itu seolah bergerak-gerak. Sudah hendak sampai, seperti tidak percaya, kami nampak cahaya itu seperti bentuk orang angin meliuk-liuk, semakin lama semakin tinggi. Semakin dekat, semakin jelas ia seperti bentuk orang angin, meliuk-liuk bercahaya di dalam hujan, dan semakin lama semakin tinggi.
Kali ni Lan yang jelas sangat takut menekan minyak dan memandu laju. Jalan lebuhraya tapi tiada lampu jalan. Lan memandu dan mengomel-ngomel sambil Uzi menenangkannya. Setelah jauh, dan jalan yang lurus, kami rasa seperti kami telah meninggalkan cahaya tadi. Hujan masih turun dengan lebat. Tak berapa lama kami jumpa jalan yang membengkok ke kiri. Lan memandu cermat dan tiba tiba aku dengar Uzi berkata “Ah sudah, takkan ada lagi!” Jalan itu membengkok ke kiri dan dari jauh, kami nampak cahaya itu ada jauh di depan, kali ini di sebelah kiri jalan. Menegak sebaris pokok dan semakin kereta kami menghampiri, cahaya itu mula meliuk-liuk.
“Ya Allah, dugaan apa niiii…” kata Lan. Semakin dekat kereta kami, cahaya itu semakin memanjang dan meninggi, meliuk-liuk di dalam hujan. Dan yang amat menakutkan, kali ini, dengan jelas dari suluhan lampu kereta, cahaya itu berpecah menjadi tiga. Semakin dekat, kami menjadi sangat takut dan Lan seolah-olah hilang kawalan. Mujur Uzi membentak menyuruhnya bertenang dan mula melaungkan azan.
Apa yang kami nampak sangat menakutkan. Pecahan cahaya tadi semakin meninggi melepasi pokok yang paling tinggi, dan kali ini kami dapat lihat bentuknya seperti pocong yang sangat besar, berdiri berderet dan meliuk-liuk mengeluarkan cahaya putih yang buntang. Uzi tetap melaungkan azan dengan kuat manakala aku pula sudah lintang pukang bacaan Qursi kerana sangat takut. Lan memandu laju melepasi pocong tiga ekor tadi dan Uzi masih mengulang-ulang azan, tidak berhenti.
Selepas lama di atas jalan, kami tidak lagi diganggu. Sepanjang perjalanan aku membaca ayatul Qursi berulang kali tanpa henti sehinggalah kami jumpa signboard menunjukkan kami sudah menghampiri Raub. Masing-masing berhati-hati dan bersedia andai di depan ada lagi gangguan cahaya, tapi Alhamdulillah, menghampiri Raub jalan sudah banyak lampu dan lepas tu kami tidak lagi diganggu. Kami yang masih ketakutan berbincang sama ada hendak bermalam di Raub atau meneruskan perjalanan. Tapi semuanya berpakat untuk terus ke Kuala Lumpur walaupun masa menunjukkan sudah lepas tengah malam.
Alhamduilllah, perjalanan kami lancar sehinggalah kami berhenti di Petronas Genting Sempah. Lama kami berhenti di sana untuk menenangkan hati. Kami tidak meneruskan perjalanan, sebaliknya berhenti di situ, berbagi pendapat sama ada untuk tunggu sehingga pagi atau meneruskan perjalanan. Mujurlah waktu itu, banyak kereta dan lori, jadi kami mengambil keputusan untuk balik. Walaupun masih berdebar, Lan memandu dengan cermat sehinggalah kami tiba dengan selamat. Aku mengajak mereka lepak di mamak dahulu dan berpesan, benda tu mungkin ada lagi. Elok berhenti di tempat lain sebelum balik ke rumah. Kami lepak sehingga pagi. Rancak kami berborak tentang kerja dan keindahan Kelantan dan Terengganu, tetapi langsung tidak menyentuh tentang hal gangguan tadi.
Heboh satu pejabat bila cerita tersebut terkeluar. Selepas kejadian, Uzi tidak lagi mengikut kami. Aku dan Lan tetap menjalankan tugas kami dan pengalaman itu memang tidak dapat kami lupakan sepanjang hayat. Pengalaman itu juga membuatkan aku berdebar bila ke stesen minyak atau kedai kereta yang ada orang angin, sampailah sekarang.
Sekian.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
Brp jam korang lost dari lipis ke raub tu? Huhui seram wehh 💀💀
Reallll… jelas.. penceritaan seketul2 yang boleh buat pembaca terbayang jelas..
Aku pulak pernah lalu bukit tujuh tu dari Gua Musang sampai Lipis.
Lipis – Raub – Bentong memang gelap dulu. skrg terang sikit kot.
Tapi ada bertiga lepas genting sempah pukul 2 pagi kasik tenang2, lepas tu sampai KL lepak mamak pulak , part tu pun best jugak.. hihi
Kata da sampai lipis. Lepastu “Perjalanan kami teruskan merentas lebuhraya dan kadang-kadang terjumpa kampung-kampung yang terpencil di tepi lebuhraya.”..hway mne pulak? Jln dong kot.. Bpe lama sangkut lipis raub tu?