Pagi Raya

Kisah ini berlaku tahun lepas. Kami sekeluarga mengambil keputusan untuk pulang ke kampung sebelah emak untuk berhari raya (tak ingat Aidilfitri atau Aidiladha) pada pagi raya bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Pada pukul 4.30 pagi, kami sekeluarga pun memulakan perjalanan untuk pulang ke kampung yang terletak di Pantai Timur. Tidak jauh, hanya sekitar 2 jam hingga 2 jam setengah perjalanan. Kira-kira pukul 6 pagi, ketika masih di lebuh raya yang terkenal juga dengan pelbagai kisahnya, terdapat sebuah ambulans memotong kereta kami. Di belakang ambulans itu terdapat sebuah kereta mengikut rapat. Kami sekeluarga berpendapat mungkin berlaku kecemasan dan kereta di belakang itu adalah waris kepada pesakit di dalam ambulans itu. Ambulans dan kereta itu semakin hilang dari pandangan, laju membelah lebuh raya.

Semuanya masih normal, pada pandangan aku. Kami singgah di sebuah RnR untuk solat Subuh. Keluar dari lebuh raya, menggunakan jalan biasa untuk sampai ke kampung kira-kira setengah jam lagi perjalanan. Sampai di suatu tempat, ayah menggosok-gosok lehernya. Ibu bertanya “abang ni mengantuk ke?”. Tetapi ayah tidak membalas. Ibu saya membantu juga menggosok leher ayah, mungkin memang mengantuk atau sakit leher, tidur salah bantal, atau tak cukup rehat malam semalam, mungkin.

Hanya kira-kira 10 meter dari rumah kampung kami, ayah tiba-tiba menghentikan kereta dan keluar. Kami sekeluarga berasa pelik. Aku dalam hati “Kenapa ni? Kalau kereta ada masalah pun, dah nak sampai. 10 meter jer lagi. Takkan tak boleh sampaikan dulu?”. Aku tak nampak apa yang ayah aku lakukan di luar.
Kemudian, ayah masuk kembali ke dalam kereta. Mak aku bertanya “kenapa ni?”. Ayah aku menjawab “ada ‘benda’ mengikut”. Ketika itu fahamlah kami semua. Ayah aku bukanlah orang yang terbuka hijabnya, tetapi kerana hobinya memancing dan kerap memancing sampai larut malam hingga dinihari di sungai-sungai dan lombong-lombong, maka mudahlah untuk terserempak dengan ‘benda-benda’ itu semua.

Sampai di rumah kampung kami, bercerita kepada datuk nenek serta saudara mara yang lain. Apa lagi, kecohlah. Sudahlah baru-baru itu ada kes hantu raya menyerupai ramai orang termasuklah nenek aku di kampung itu. Menurut ayah aku, dia nampak ‘benda’ itu sejak ambulans memotong kami di lebuh raya tadi. Di sini terdapat pelbagai versi pandangan dari kami sekeluarga. Pada pandangan ayah, lampu dalam ambulans itu terpasang, ada kelibat seorang perempuan tua berbaju putih, rambut menggerbang dengan posisi duduk di dalam ambulans itu. Sedangkan aku hanya melihat seperti seorang jururawat duduk di sebelah kanan dalam ambulans. Mak aku pula katakan dia nampak lampu dalam ambulans itu tertutup sahaja. Tak ingat pula apa adik perempuan aku kata, tapi adik lelaki aku memang tak kata apa-apa sebab dia tidur waktu itu. Haha!

Seterusnya, kerana ayah aku perasan akan ‘benda’ itu, jadi ‘benda’ itu terus mengikut. Hanya ayah aku yang nampak. Selepas solat subuh di RnR, ayah aku, di luar pengetahuan ahli keluarga yang lain, ada berkata kepada ‘benda’ itu supaya tidak lagi mengikuti kami. Namun, ‘benda’ itu tetap mengikuti sebab itulah ayah menggosok-gosok lehernya kerana bulu romanya meremang akibat ‘benda’ itu masih mengikuti di jalan biasa yang sunyi. Aku yang duduk di belakang kerusi pemandu, sama sisi dengan ayah, tidak nampak apa-apa di luar ketika itu. Semuanya… normal.

Apabila hampir sampai di kampung, ayah keluar untuk menghalau ‘benda’ itu dengan melemparkan segenggam pasir atau tanah begitu. Tak pastilah kalau ada baca apa-apa, aku tak tahu ayah aku ada sebarang kemahiran sebegitu. Mungkin hanya amalan atau petua, apatah lagi bagi pemancing tegar sepertinya. Syukur ‘benda’ itu akhirnya pergi, mungkin ke hutan di belakang lot kosong sebelah rumah kampung kami. Haha! Dekat sangat pula mengusirnya. Patut jauh sikit. Sudahlah rumah kampung kami agak di hujung jalan, hutan pula tak begitu jauh.

Jadi itulah kisahnya. Aku describe kan sebagai ‘benda’ sebab tak tahu apakah jenis makhluk tersebut. Nak terangkan secara terperinci pun, bukan aku yang nampak, tapi ayah aku. Walaupun terdapat pelbagai andaian kami dari sekeluarga mengenai ‘benda’ itu, apakah ‘ia’, dari mana asalnya, apa yang dimahukan dengan mengikuti kami, tapi tidak perlulah untuk aku menulis di sini kerana tiada yang dapat dipastikan.

Banyak juga ‘benda’ lain yang ayah aku nampak (pada waktu lain khususnya ketika dia pergi memancing), tapi sebabkan aku tiada di situ, jadi susah nak bercerita. Sama juga dengan apa yang mak aku, atuk nenek dan pakcik makcik lain alami, di kampung atau di mana-mana, aku susah nak bercerita sebab tak mengalaminya secara “first hand” (tak apalah, tak pernah lagi bagus). Jadi dengar kisah mereka sahajalah. Kisah ini pun adalah yang paling dekat yang aku alami sebab itu bolehlah nak bercerita sikit. Sekian kisah pagi raya saya yang sedikit mistik dan sedikit seram. Maaflah, hanya sedikit.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 5 Average: 1.2]
Wann

2 thoughts on “Pagi Raya”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.