PANGSAPURI NGERI 14 TINGKAT

SEGELAS teh tarik yang terhidang dicicip sedikit. Usai berjogging tadi Fahim terus singgah ke kedai mamak di tepi jalan. Memesan sekeping roti canai bersama kuah kacang dhal dan kuah kari serta segelas teh tarik. Biasanya kalau tidak bekerja Fahim meluangkan sedikit masa untuk bersenam. Fahim yang berusia dua puluh tujuh tahun dan masih belum berkahwin, sudah lama menetap di ibu kota bersama keluarganya. Semenjak dari kecil lagi. Dia merupakan seorang pekerja di sebuah syarikat perumahan.

Sambil menikmati sarapan Fahim turut melayan mesej-mesej yang dihantar rakannya. Sesekali mesej yang dibaca membuatkan dia tersenyum. Lucu mungkin.

“Eh, Fahim, kan?”

Sapaan daripada seseorang mengalihkan pandangan Fahim dari terus menatap skrin telefon. Dia lalu mengangkat wajah sambil memandang wajah pemuda yang sedang tersenyum di hadapannya itu.

“Reza?”

“Ya, akulah!”

Kedua-duanya terus berjabat tangan.

“Woi, lama juga kita tak jumpa. Dekat lima tahun. Kali terakhir kita jumpa pun masa raya puasa, kan? Kau duduk mana sekarang? Kerja apa?” Soal Fahim selepas mempelawa rakannya itu duduk bersama.

Dia turut belanja Reza sarapan pagi itu. Dua keping roti canai bersama segelas teh tarik. Reza merupakan rakan sekuliahnya satu ketika dulu.

“Aku kerja dekat Mybank. Dah sebulan aku pindah sini. Rumah keluarga aku tu jauh sikit dari tempat kerja aku. Sebab tu aku pindah. Sekarang ni, aku duduk dekat pangsapuri. Kau pula?”

“Aku masih duduk dengan keluarga aku. Kerja dekat syarikat perumahan. Tapi hari ni aku cuti. Kau dari mana tadi?”

“Aku dari klinik. Ambil MC. Sakit perut. Salah makan semalam agaknya.”

“Kau makan apa semalam?”

“Entahlah. Tak ingat. Semalam aku makan macam-macam. Rojaklah. Mee goreng, nasi lemak. Tak tahu mana satu yang dah tak elok. Aku kalau tak habis makan, bungkus bawa balik rumah. Lepas tu, bila rasa lapar sambung makan balik. Ha,ha,ha!” Ujar Reza sambil ketawa besar. Dia memang tidak suka membazir makanan.

“Samalah perangai kau masa dulu-dulu. Kalau tak habis makan dekat mana-mana kedai makan, mesti kau tapau bawa balik rumah, kan? Ha,ha!” Fahim turut tergelak kelucuan mengenangkan sikap rakannya yang seorang itu.

“Ha,ha,ha….!” Reza sambung ketawa.

“Pangsapuri kau duduk tu okey tak? Kut ada hantu yang tinggal dekat situ sekali.” Sengaja Fahim mengusik. Dia tahu Reza seorang yang penakut. Kalau tak ada hantu pun selalu merasakan kewujudan hantu.

“Setakat ni, okeylah. Tak pernah lagi kena kacau. Cuma kadang-kadang tu terasa seram juga. Sebab tinggal sorang-sorang. Lagi-lagi tengah malam.” Jelas Reza sambil tersengih.

“Tak ada apalah. Perasaan kau aje tu. Tapi cakap pasal pangsapuri ni, aku teringat satu kejadian masa zaman kanak-kanak dulu.”

“Kejadian? Kejadian apa?” Soal Reza. Tidak sabar ingin mengetahuinya.

“Ini pengalaman ngeri zaman kanak-kanak aku dengan abang aku, Nasrul. Masa tu kita orang baru pulang dari sekolah. Macam biasalah. Ada saja aktiviti yang aku dengan Nasrul lakukan sebelum pulang ke rumah. Masa dalam perjalan balik tu, kita orang singgah ke satu tempat. Aku dengan Nasrul terlihat sebuah pangsapuri lama 14 tingkat.”

🌿….”Abang, jomlah balik! Aku takutlah!”

“Kau nak takut apa? Bukannya ada hantu pun. Cuma barang-barang lama aje dalam bangunan ni.”

“Tapi mak dengan ayah marah kalau kita balik lambat. Kalau mak dengan ayah tanya nanti kita nak jawab apa?”

“Kalau mak dengan ayah tanya nanti, tahulah abang nak jawab apa. Jangan risaulah!” Nasrul tetap berdegil. Kakinya sudah menapak ke dalam kawasan pangsapuri tersebut.

Fahim terpaksa turuti arahan abangnya. Perlahan-lahan dia mengekori langkah Nasrul daripada belakang.

Kreerrrrrrrrrrrrkkkk….

Langkah mereka terhenti ketika sedang memanjat anak tangga dan hampir tiba ke tingkat 7. Terdengar seperti bunyi sesuatu.

“Abang, bunyi apa tu?” Soal Fahim cemas.

“Kau diam ajelah. Jangan bising-bising.”

“Takkan kita nak naik sampai atas, bang?”

“Ikut ajelah! Mana tahu kita jumpa barang berharga. Emas, ke? Duit, ke?” Memang Nasrul berharap yang mereka akan menemui sesuatu yang bernilai di dalam pangsapuri usang tersebut.

Kedua beradik, sembilan dan sebelas tahun itu kembali meneruskan langkah. Sesekali mereka terdengar bunyi seperti suara kanak-kanak ketawa. Tetapi mereka tidak menghiraukan. Sehingga mereka tiba di hadapan sebuah pintu. Dari celahan lubang pintu itu mereka cuba mengintai ke dalam. Namun tiada apa-apa yang dapat dilihat dengan jelas.

Kreerrrrrrkkkk….

Tidak semena-mena pintu itu terbuka dengan sendirinya. Fahim dan Nasrul sama-sama terkejut. Biarpun merasa sedikit gementar, mereka memutuskan untuk masuk ke dalam. Bulu roma tiba-tiba meremang. Terasa ngeri apabila melihat di setiap sudut ruangan dengan bau pelik yang menusuk.

Ada beberapa helai pakaian compang-camping bergantungan di sudut dinding. Permainan kanak-kanak yang hampir hancur kerana sudah lama ditinggalkan dan terbiar di situ. Di dinding dan lantai juga kelihatan banyak tompokan d***h kering serta tulisan-tulisan pelik yang sukar dibaca. Sepertinya ruangan rumah itu telah dijadikan tempat pemujaan.

Pang!

Bunyi pintu dihempas dengan kuat. Kedua beradik itu terus tergamam. Perasaan mereka bertambah cemas setelah mendapati pintu tersebut terkunci.

“Macam mana ni, bang? Kita dah terkurung. Macam mana kita nak keluar?”

“Kau jangan takut. Abang tahu, tak ada apa-apa yang akan berlaku dekat sini.” Nasrul cuba menenangkan adiknya, walaupun dia sendiri diselubungi perasaan takut dan cemas.

Mereka kemudiannya berjalan ke arah sebuah bilik. Pintu bilik itu sememangnya sudah terbuka. Nasrul menarik tangan Fahim untuk sama-sama menapak ke dalam. Pandangan mereka menjadi cemas ketika meneroka barang-barang yang ada di dalam bilik itu.

Terdapat sebuah katil beralas cadar putih namun telah lusuh. Cadar tersebut pula dipenuhi dengan d***h segar! Bantal di atas katil itu juga terkoyak serta menampakkan isi kekabunya. Kertas-kertas kelihatan berselerak di sana sini. Sebuah kerusi dan sebuah meja yang telah reput bergelimpangan. D***h bertakung di bahagian bawah katil. Serpihan jari dan mata manusia terlihat di atas lantai. Sebuah potret wanita tua di satu sudut dinding. Wajahnya berkedut seribu. Matanya seolah merenung tajam. Cukup menyeramkan!

Ketika Nasrul dan Fahim mendongak ke atas, mereka terkejut melihat alat-alat tajam bergantungan. Tiba-tiba seekor tikus melintas di hadapan. Membuatkan kedua-duanya hampir menjerit.

“Abang rasa, bilik ni ada hantu tinggal!”

“Jangan nak takutkan aku, abang?!”

“Sebenarnya, abang tak tahu nak buat apa sekarang ni?!”

Tap! Tap! Tap!

Bunyi derapan kaki memijak tangga membuatkan kedua-dua beradik itu terus terdiam. Bunyinya semakin lama semakin mendekat. Hampir ke pintu di mana dua beradik itu terkurung.

Cepat-cepat Fahim menutup pintu bilik itu sebelum dia dan abangnya bersembunyi di belakang sebuah almari yang kelihatan masih elok lagi. Terdengar bunyi pintu dibuka. Kemudian pintu bilik itu pula dikuak dengan luas. Fahim cuba mengintai di sebalik almari. Ketakutan dia apabila kelihatan seorang lelaki separuh abad bertubuh tegap dan berwajah bengis berdiri di muka pintu bilik itu. Di tangan kirinya tergenggam sebilah kapak yang berlumuran d***h. Lelaki itu mula bergerak menapak ke dalam. Matanya terbeliak melilau seperti mencari sesuatu.

Ketika itu juga secara tidak sengaja Fahim tertolak belakang almari. Menyebabkan almari tersebut tumbang dan menghempap ke arah lelaki misteri itu. Mereka berdua panik seketika sebelum bertindak melarikan diri. Ketika menuruni anak tangga, Fahim dan Nasrul dapat mendengar suara jeritan dan derapan kaki yang sedang mengejar mereka.

Mujurlah mereka berjaya keluar dari tempat itu. Segera mereka berlari ke hadapan jalan. Kedua-duanya kelihatan kepenatan dengan nafas tercungap-cungap. Tetapi apa yang menghairankan, tiada sesiapa pun yang keluar dari pangsapuri terbabit selain dari mereka berdua. Sedangkan sebentar tadi telinga mereka menangkap bunyi tapak kasut orang berlari mengejar daripada belakang.

“Nasib baiklah dia tak kejar kita lagi, kan abang?” Lega perasaan Fahim. Tadi dia fikir, dia dan abangnya bakal m**i di tangan lelaki psiko itu.

“Kau rasa, kita patut pergi ke tempat tu semula tak?”

“Kalau abang nak pergi, abang pergi soranglah! Aku takkan ikut lagi.” Tegas Fahim. Cukuplah sekali mereka mengalami kejadian ngeri itu.

Secara kebetulan sebuah kereta lalu di hadapan mereka. Lelaki itu kemudiannya memberhentikan kereta sebelum menurunkan cermin kereta.

“Kamu berdua ni dari mana?” Soal lelaki itu. Matanya meneliti kedua beradik itu yang masih lengkap dengan beg dan seragam sekolah.

“Kami dari pangsapuri lama tu.” Beritahu Fahim sambil menundingkan jari ke arah tempat yang dimaksudkan.

“Apa yang kamu berdua buat dekat situ? Tahu tak tempat tu bahaya! Ada banyak hantu puaka yang tinggal. Ramai orang m**i d*****h di kawasan tu! Tapi tak tahu siapa yang melakukannya. Lebih baik kamu berdua balik cepat. Jangan berani-berani nak datang tempat tu lagi. Faham?!” Pesan lelaki yang tidak dikenali itu.

“Baik pak cik!”

Fahim segera mengajak abangnya pulang. Ketika tiba di rumah mereka dimarahi oleh ibu mereka.

“Ke mana tadi? Orang semua dah balik, tapi kamu berdua masih lagi merayau. Tengok pakaian tu? Kotor!”

“Sebenarnya, Rul dengan Fahim….” Nasrul tidak jadi meneruskan kata. Takut dimarahi ibu dan ayah mereka.

“Sebenarnya, apa?!”

“Sudahlah tu. Budak-budak tu pun dah balik. Rul, bawa adik kamu pergi mandi. Lepas tu, bolehlah kita makan sama-sama.

“Baik, ayah.”

Sama ada Nasrul mahu pun Fahim, mereka tidak pernah sekalipun menceritakan kejadian itu pada ibu dan ayah mereka….🌿

“Lepas apa yang berlaku, aku dengan abang Nasrul dah tak ikut jalan tu. Kita orang dah serik. Takut terserempak dengan ‘penghuni’ pangsapuri lama tu. Sampai sekarang pun kita orang tak tahu siapa lelaki berwajah bengis yang duduk dalam bangunan tu. Manusia ataupun hantu.”

“Mungkin jelmaan? Tapi aku rasa, bangunan tu patut diruntuhkan. Supaya tak ada yang mendiaminya. Macam makhluk halus. Atau dijadikan tempat pemujaan.”

“Biasalah! Orang sekarang. Mana percaya hantu-hantu ni semua. Mereka cuma menganggap kejadian tu macam satu misteri saja.” Ujar Fahim. Dia tidak pasti sama ada pangsapuri usang tersebut masih wujud lagi ataupun tidak.

Tetapi bila sebut tentang pangsapuri, dia pasti akan teringat kembali kejadian ngeri yang dialaminya bersama abangnya di pangsapuri 14 tingkat itu.

-TAMAT-

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 18 Average: 3.8]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.