Hai semua. Nama aku Mirah Filza (bukan artis), Selalunya aku jadi silent reader je baca cerita-cerita seram dekat Fiksyen Shasha ni. Lepas tu bila nak tidur malam mesti terbayang balik cerita-cerita korang. Sekarang giliran aku pulak nak cerita pengalaman seram aku, tapi tak lah seram sangat sampai korang boleh terbayang balik nak tidur nanti. Ini merupakan kisah benar tau yang dialami oleh aku sendiri atau kawan sekerja aku.
Pengalaman seram ni berlaku sewaktu aku bekerja di sebuah syarikat. Kilang la senang cerita. Tahun 2017 pihak pengurusan membuat keputusan untuk membesarkan operasi kilang, jadi mereka menyewa bangunan kilang sebelah. Untuk pengetahuan korang kilang sebelah ni dah tutup sejak 2007. Jadinya bangunan tu dah terbiar hampir 10 tahun.
Aku cerita dulu latar belakang bangunan ni. Bangunan ni ada 2 tingkat. Aras bawah merupakan bahagian production manakala bahagian atas bahagian pejabat. Jabatan aku merupakan satu-satunya jabatan bahagian pejabat yang diarahkan berpindah ke bangunan itu. Jadinya hanya jabatan aku yang terdiri dari 7 orang staf akan ditempatkan di aras dua.
Sekarang kita focus pada aras dua pulak. Sebab cerita aku akan banyak berkisar diaras ini. Aras dua ni panjang dan terdapat tiga baris bilik-bilik pejabat. Kami hanya mengunakan empat bilik sahaja dan korang boleh bayangkan tak berapa banyak bilik-bilik yang tidak digunakan sepanjang kitaorang berada disitu. Bilik-bilik ini tidak ditinggalkan kosang sebab perabot pejabat (meja kayu, almari kayu, kerusi) dan peralatan lain macam papan putih, alat tulis, file, dan macam-macam lagi masih ada dan berselerak.
Masa aku mula-mula teroka tempat ni teruja jugaklah selongkar semua barang-barang tu macam masa berputar ke zaman dulu-dulu. Dekat aras dua ni juga terdapat bilik kecil yang berkunci sejak kami masuk. Bos aku dah pesan siap-siap kat kitaorang apa-apa jadi jangan sentuh bilik tu. Dan sepanjang aku disana hanya sekali aku nampak bilik tu terbuka tapi sikit je bukan terbuka luas. Aku jeling je lepas tu jalan laju-laju masuk pejabat balik. Esoknya dia bertutup balik macam biasa.
Masa mula-mula masuk aku dah kena kacau. Tapi ringan-ringan jelah. Masa tu aku dengan staf lagi sorang kena alihkan kerusi dari bilik A ke bilik B. Masa Staf lagi sorang tu dekat bilik B dan aku baru je keluar dari bilik A, aku dengar bunyi kaca pecah dan berderai. Kuat bunyi dia. Dalam hati aku dah membebel sebab tambah satu kerja nak sapu kaca pulak nanti. Bila masuk balik bilik A tu aku tengok clear je lantai. Lepastu baru aku perasan bilik tu mana ada barang diperbuat dari kaca. Aku hanya telan air liur dan sambung buat kerja macam biasa. Tapi aku ikut rapat-rapat la staf lagi sorang tu taknak tinggal sorang-sorang dalam bilik tu lagi.
Aircond terbuka sendiri tu pekara biasa. Rakan sekerja yang datang awal cerita satu bilik ni selalu kalau dia datang pagi-pagi tu mesti aircond terbuka. Bukanlah setiap hari tapi adalah dalam sebulan tu sekali atau dua kali terpasang. Bilik tu kitaorang tak guna pun. Aku pulak kena bilik sebelah pejabat kitaorang. Mulanya aku masuk bilik tu nak ambil file. Dalam bilik ni ada dua aircond besar dan bising bunyi dia. Aku memang dah pastikan aircond tu tutup sebelum aku keluar. Dalam 30 minit macam tu aku dengar bunyi bising bilik sebelah. Terus rakan sekerja aku tegur aku lupa tutup aircond ke. Aku pergi periksa, sah satu aircond terpasang. Yang buat aku lagi pasti dia terpasang sendiri sebab tadi aku buka aircond sebelah kanan, yang terpasang sekarang sebelah kiri!
Pernah juga kejadian dimana aku nampak Abang Khalil (rakan sekerja) masuk ke dalam salah satu bilik yang tak digunakan tu. Masa tu aku beranggapan Abang Khalil cari file-file lama yang masih boleh digunakan. Benda boleh berjimat kan buat apa membazir. Tergerak jugak hati aku nak sergah dia, tapi aku matikan niat jahat aku tu. Petang tu baru aku nampak Abang Khalil dekat pejabat, aku terus mengusik dia. “Abang Kahlil tak seram ke masuk bilik hujung tu sorang-sorang pagi tadi?”. Korang tahu dia balas apa? “Pagi tadi? Abang half day la harini dik”. Habis dia cakap tu terus aku laju-laju pandang papan putih yang ada senarai nama staf yang bercuti. Betul wey! Abang Khalil cuti separuh hari masa tu. Nasib baik aku tak pergi sergah. Kalau tak aku balik yang kena sergah agaknya. Terus aku pulak yang kena usik dengan diaorang. Abang Khalil siap cakap, kalau dia tahu dah ada cover dia pagi tadi baik tak payah mohon cuti setengah hari. Kurang asam betul. Haha..
Kisah yang ini pengurus aku yang cerita. Haritu dia overtime sekejap. Rancangnya sampai pukul 7.30 malam tapi pukul 6 lebih dia dah cabut sebab kena kacau. Dia cerita masa dia tengah buat kerja dia nampak bayang orang lalu depan office sebab pintu office aku jenis kaca separuh. Dia tengok dari ekor mata je orang tu lalu slow je. So dia ingat Kak Seri (Cleaner) ni tengah mop lantai. Kan kalau kita mop lantai kita akan jalan slow je maju ke depan. Lepas tu dia nampak lalu lagi arah berlawanan pulak. Slow jugak. Jadinya dia bangun la nak pergi berborak sekejap. Dia buka pintu pejabat sambil tanya “Kak Seri tak balik lagi ke?”. Sunyi. Bayangan tiada. Suara pun tiada. Padahal baru je lalu tadi kan. Tak bincang banyak dia amik beg terus lari balik dangan lampu pun dia tak sempat tutup. Haha. Semua pun tahu kak Seri tak overtime pun haritu. Dah balik pukul 5 petang lagi. Sejak haritu pengurus aku kalau nampak Kak Seri mesti tanya sarapan apa. Kalau dalam satu hari tu jawapan tak sama, sah! salah sorang tu Kak Seri jadian. Haha…
Okeylah, aku rasa takat ni je cerita aku kot. Banyak lagi kejadian gangguan yang berlaku disitu. Tapi ringan-ringan la macam dengar bunyi. Takde lah gangguan berat sampai kena rasuk tu. Tambahan kadang-kadang kami buat bacaan Yassin dekat bangunan tu. Okelah sampai sini saja, bye-bye korang.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
memang tabah hati dan kuat semangat!
Nasib baik xmenyeramkan kalau x leh saya nak tidur😂