Pelesit Kiriman ‘Kawan’

Salam buat semua pembaca FS. Hai, nama aku Nasha, anak bongsu dari 8 beradik. Sebelum ini aku pernah menghantar kisah yang bertajuk ‘Derita Abah’ menceritakan tentang sakit yang ditanggung arwah abah aku akibat perbuatan laknat manusia selama berbelas tahun. Al-fatihah buat arwah abah yang telah pergi setahun yang lalu.

Di hantaran kali ini, aku akan bercerita tentang kak lin, anak ke-6 dari kami 8 beradik. Kak lin berusia lewat 20-an dan masih belum ditemukan jodohnya lagi. Pernah juga aku bertanya pada kak lin, tak nak kahwin ke kau kak.. tapi kata dia lagi selesa hidup bujang. Tambahan pula, kak lin mempunyai masalah usus dan kanser rahim yang memerlukan dia untuk kerap ulang-alik ke hospital. Oleh yang demikian, dia risau tiada orang yang mampu menerima kekurangan dia seadanya. Walaupun begitu, kak lin mempunyai kerja yang stabil sebagai guru tadika di salah sebuah tadika berhampiran kawasan perumahan kami.

Setelah hampir 3 tahun bekerja, kak lin dilantik menjadi guru besar tadika di cawangan dia bekerja. Namun, dia tak pernah menghebohkan perkara tersebut kepada rakan sekerjanya yang lain kerana tidak mahu mereka bercakap atau berfikir yang bukan-bukan. Kak lin mempunyai 3 orang lagi rakan sekerja yang bekerja di cawangan itu iaitu dua orang guru berbangsa cina, jenny dan Winnie serta seorang lagi guru melayu yang dipanggil kak ani kerana usianya telah masuk 40-an. Kata kak lin mereka sangat baik dan ramah, bahkan kerap kali juga kak ani mempelawa untuk menghantar kak lin pulang ke rumah jika jenny cuti atau pergi mengajar di cawangan lain.

Oh ya, kak lin memang ulang-alik ke tadika dengan jenny. Bagi aku, kak lin seorang yang merendah diri, sopan-santun dan elok budi bahasanya. Dia juga jarang sekali melawan atau membantah apabila seseorang meminta bantuan darinya. Mungkin sebab itu kak lin sangat disenangi majikan dan rakan-rakan guru yang lain bahkan ibu bapa pelajar juga amat suka berurusan dengan kak lin.

Sesiapa yang melihat kak lin dari luaran sudah tentu dapat mengagak kak lin mempunyai penyakit kerana kak lin sangat kurus dan kulitnya sentiasa pucat. Berat badan kak lin turun mendadak dari 65kg kepada 45kg setelah dia didiagnos mempunyai kanser rahim. Kak lin turut mengalami anemia dan setiap bulan pasti dia akan dimasukkan ke wad untuk masuk d***h 1-2 beg. Tak cukup dengan itu, semenjak usianya 8 tahun, kak lin dianugerahkan deria keenam. Dia dapat melihat makhluk dari alam ghaib sama ada secara sengaja atau pon tidak.

Pada awalnya dia takut dan akan meracau setiap kali melihat makhluk itu, tapi lama-kelamaan dia sudah lali dan tidak hairan lagi. Kak lin dah semakin berani apabila berhadapan dengan perkara tersebut. Pernah pada suatu hari, kak lin ‘stayback’ di tadika untuk menyiapkan tugasan yang tertangguh kerana cuti yang panjang sebelum ini. Sedang dia ralit menanda buku, dia terlihat kelibat orang lalu di bahagian dapur tadika itu. Kak lin buat tak endah dan terus sambung kerjanya. Tak lama selepas itu, dia dikejutkan lagi dengan bunyi mainan jatuh ke atas lain.

“Aku tak kacau kau, kau jangan kacau aku. Kalau tak.. nahas kau nanti, syaitan!” Jerit kak lin sambil mengemas mainan yang terjatuh tadi. Tak semena-semena kak lin merasakan seperti ada angin sejuk lalu di depan mukanya. Kak lin bingkas bangun dan menyambung kembali kerjanya. Setelah siap semuanya, dia mengunci pintu tadika itu dan berjalan menuju ke pagar utama. Sebelum itu, dia pusing sebentar dia tadika yang terlatak dia kawasan corner lot itu untuk memastikan pagar masuk yang lain telah dikunci dengan baik memandangkan esok adalah hari cuti. Kak lin terpandang seekor belalang berwarna hijau bersaiz sederhana hinggap di penjuru dinding tadika itu. Dia musykil dari mana datang belalang itu namun dia biarkan sahaja binatang itu tanpa berbuat apa-apa padanya kerana kak lin takut dengan serangga. Kak lin pon cepat-cepat keluar kunci pagar utama dan terus masuk ke kereta sebaik sahaja andak sampai.

Seminggu kemudian, kak lin tiba-tiba mengadu perutnya terlampau sakit seperti dipintal-pintal. Mama dan aku yang risau melihat kak lin menangis kesakitan di tengah-tengah malam terus menghubungi kak lang untuk bawa kak lin ke hospital. Malam itu juga kak lin dikejarkan ke hospital dan terus dimasukkan ke wad biasa untuk tujuan pemantauan. Hampir tiga hari kak lin di hospital namun masih tiada jawapan untuk sakit kak lin. Berbelas kali darahnya diambil, bermacam prosedur seperti x-ray dan ct scan dilakukan tapi semuanya sama.

Doktor tak dapat mengenal pasti sakit kak lin kerana semuanya okay. Hanya ubat tahan sakit sahaja diberikan setiap kali kak lin mengadu sakit. Suhu badan kak lin juga berubah-ubah. Bila siang, kak lin akan menggigil kesejukan dan dia akan mengadu kepanasan seperti malam apabila peralihan waktu dari asar nak ke maghrib. Kak lin akan resah seperti cacing kepanasan sambil menahan sakit perutnya yang seperti dipulas. Sakit itu akan beransur hilang menjelang azan subuh dan sakit itu terjadi lagi apabila matahari rembang. Genap seminggu di hospital, kak lin dibenarkan balik apabila doctor sahkan kak lin sihat. Kak lin dibekalkan ubat tahan sakit dan ubat tambah d***h. Aku lihat riak wajah kak lin agak ceria sebab akhirnya dia dapat pulang ke rumah.

Kesihatan kak lin bertambah baik dan anehnya dia tidak lagi sakit perut. Jadinya dia pon meneruskan kehidupan seperti biasa. Beberapa hari kemudian majikan kak lin, ms wong berjumpa dengannya untuk berbincang tentang prestasi kerja guru di cawangan kak lin bertugas. Ms wong beritahu kak lin dia ingin berjumpa dengan kak ani secara peribadi dalam masa terdekat kerana dia perasan prestasi kerja kak ani kurang memuaskan. Begitu juga dengan kehadiran kak ani. Kak lin cuba pertahankan kak ani dengan alasan kak ani perlu menjaga suaminya yang baru saja pulih dari kemalangan. Kak lin harap ms wong tidak memberhentikan kak ani kerana kak ani perlu menyara anaknya yang masih bersekolah. Lebih-lebih lagi suaminya kini tidak bekerja, dia kasihan dengan nasib yang menimpa keluarga kak ani.

Seminggu selepas itu, kak lin cuti 2 hari atas urusan peribadi. Apabila kak lin masuk kerja, jenny dan winnie terus cerita pada kak lin bahawa kelmarin kak ani bertengkar dengan ms wong dan terus berhenti kerja serta-merta. Kak lin terkejut mendengar berita itu. Dia nak hubungi kak ani tapi niatnya dibatalkan. Risau kalau kak ani marah padanya. Petang itu, ms wong datang ke tadika dan berjumpa dengan kak lin. Dia minta kak lin hubungi kak ani untuk datang ke tadika dan ambil gajinya. Kak lin mesej kak ani dan esok petang kak ani datang berjumpa kak lin untuk mengambil gaji.

“Apa jadi sebenarnya kak? Kenapa akak berhenti tiba-tiba?” Tanya kak lin penuh tanda tanya.

“Orang dah tak suka dengan akak, lin. Nak buat macam mana kan. Orang kalau dah busuk hati, kita kerja elok pon dia tak puas hati.” Jawab kak ani dengan riak wajah yang kurang menyenangkan bagi kak lin.

“Tapi tak apa lah, lin. Kak ani dah dapat kerja baru.. gaji pon bagus dari kerja sini. Lin, kalau nak ikut akak cakap lah ya. Buat apa lin bertahan kat sini, bukannya gaji naik pon.” Sambung kak ani lagi.

“Tak apa lah, kak ani. Lin okay kerja sini.. tak susah pon kerjanya, berbaloi lah dengan gaji.” Balas kak lin sambil tersenyum.

Sebelum pulang, kak ani menyerahkan sebungkus kuih karipap kegemaran kak lin dan sehelai kain batik sarung berwarna merah. Katanya hadiah perpisahan. Kak lin pon ucapkan terima kasih pada kak ani. Kak lin bersyukur dikelilingi dengan orang-orang baik seperti kak ani. Hari-hari seterusnya kak lin jalani seperti biasa, tadika dan rumah, dua tempat itu yang kak lin pergi setiap hari. Kak lin jarang sekali keluar berjalan. Tak lama kemudian, sakit yang kak alami sebulan yang lalu datang kembali sehingga kak lin terpaksa mengambil cuti tanpa gaji. Kali ini keadaan kak lin makin teruk. Perutnya sekejap kembung, sekejap kempis. Badannya kejap menggigil seperti direndam dalam air batu, kejap panas seperti dibakar. Berat badan kak lin juga turun mendadak. Tubuhnya kini tinggal tulang. Aku boleh gambarkan keadaan kak lin tak ubah seperti mayat hidup.

Di tengah matahari rembang pada suatu hari, kak lin yang sedang baring di sofa tiba-tiba menjerit ketakutan. Aku dan mama berlari mendapatkan kak lin. Kak lin menangis sambil beritahu aku ada seorang perempuan berselebung kain hitam cuba masuk ke dalam rumah untuk menerkam kak lin. Aku meluru ke luar rumah dan melihat sekeliling. Kosong. Tiada orang pon di luar rumah.

“Adik tak nampak sesiapa pon kat luar. Mana ada orang nak datang waktu macam ni kak. Tengah panas kot ni.” Ujar aku dengan muka yang sedikit berkerut menahan bahang panas sebentar tadi.

“Perempuan tu ada dik, dia tunggu je kat luar pagar tu.” Balas kak lin dengan suaranya yang teresak-esak menangis ketakutan. Kali ini mama pula yang menjengah ke luar rumah dan tiba-tiba mama bertakbir “Allahu akbar!” Mana taknya, mama nampak perkara yang sama seperti digambarkan kak lin.

“Dik, kau telefon kak lang dengan andak sekarang. Suruh diorang datang sekarang juga. Mama tak tahu setan mana yang cuba kacau kita ni dik” Jerit mama dari depan pintu rumah. Aku pon terus dial nombor kak lang dan andak tapi mereka gagal dihubungi. Dua tiga kali aku cuba tetap sama juga. Akhirnya aku mesej mereka melalui ‘whatsapp’ namun hanya satu ‘tick’ sahaja.

“Ah si8l.” Getus aku perlahan. Aku lihat kakak aku masih menggigil ketakutan dan mama cuba menenangkan kak lin. Melihat keadaan itu aku terus menadah tangan membaca al-fatihah dan ayatul kursi lalu aku usap ke mukak kak lin. Tak semena-mena tangan aku ditepis dan aku hampir jatuh terjelupuk ke atas lantai. Nasib aku sempat berpaut pada meja kopi di tepi sofa, kalau tak naya.

“Panas lah bodoh! Kau tu budak tapi biadap dengan orang tua.” Kak lin menjerkah aku. Aku tahu ini bukan kak lin tapi syaitan yang cuba merosakkan anak cucu adam. Aku minta mama untuk duduk jauh dari kak lin kerana aku tak mahu mama terkena tempiasnya. Yelah aku sorang je di rumah masa tu. Andak dan ijam kerja, kak lang pula di rumahnya. Dengan berbekalkan kekuatan aku cuba membaca beberpa p****g ayat al-Quran untuk menenangkan keadaan.

‘Bila kak lang nak call aku balik ni.. aku dah tak kuat. Setan punya setannn’ Bentak aku dalam hati sambil menoleh ke arah mama yang mula resah dan kak lin yang menjerit-jerit memaki aku.

“Budak bodoh! Kau diam lah setan! SI888LLLL!!” Jerit kak lin sambil tangannya menepuk kuat sofa. Aku yang dia panggil setan? Siapa yang setan sebenarnya? Pening aku hahaha.

Bersambung…

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 31 Average: 4.5]
Nasha

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.