Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para pembaca yang dihormati.
Nama saya Nisa (bukan nama sebenar). Saya berasal dari Kota Belud, Sabah dan ingin berkongsi satu pengalaman seram yang benar-benar berlaku kepada saya sendiri kira-kira 10 tahun yang lalu. Cerita ini bukanlah rekaan semata, malah ia menjadi igauan saya setiap kali saya pulang ke kampung halaman.
Saya dibesarkan di sebuah kampung yang agak pedalaman di Kota Belud. Kawasan rumah kami dikelilingi kebun kelapa dan dusun buah-buahan, jadi suasananya memang sunyi dan gelap kalau waktu malam. Ketika kejadian berlaku, saya baru habis SPM dan pulang bercuti panjang.
Segalanya bermula pada malam Jumaat, sekitar pukul 10 malam. Ketika itu, saya sedang duduk di ruang tamu bersama nenek dan adik perempuan saya. Kami sedang menonton televisyen sambil berbual-bual ringan. Suasana agak tenang malam itu walaupun hujan renyai-renyai turun sejak petang. Nenek saya ada berpesan sebelum masuk tidur:
“Kalau dengar bunyi pelik nanti jangan tegur. Tutup saja tingkap, baring dan baca ayat suci.”
Saya dan adik hanya mengangguk. Kami memang tahu pantang larang orang kampung, lebih-lebih lagi bila melibatkan makhluk ghaib. Tapi malam itu, hati saya rasa tak sedap. Seolah-olah ada sesuatu yang tak kena.
Sekitar pukul 11 lebih, adik saya sudah lena. Saya masih belum mengantuk, jadi saya duduk di tepi tingkap sambil melihat hujan yang makin lebat. Tiba-tiba saya terdengar bunyi berkepak. Bunyinya kuat, macam sayap besar yang mengibas udara secara laju.
Saya cuba diam dan pasang telinga. Bunyi itu makin lama makin dekat. Dan saya yakin ia bukan burung atau keluang. Bunyi itu disusuli dengan bau yang sangat busuk, seperti d***h dan bangkai yang lama tidak dicuci. Bau itu datang dari arah luar tingkap dapur.
Saya cepat-cepat bangun, ambil surah Yasin dari rak, dan baca perlahan-lahan. Tapi rasa ingin tahu tetap tinggi. Saya mengintai sedikit ke arah tingkap belakang dapu… dan masa itulah saya nampak sesuatu yang takkan saya lupa seumur hidup.
Saya nampak satu kepala manusia perempuan, berambut panjang, bermata merah menyala, terapung di udara dengan usus terjuntai di bawahnya. Mulutnya sedikit ternganga, giginya tajam, dan dari mulut itu meleleh cairan hitam pekat yang menitik ke tanah.
Saya tahu itu balan-balan.
Makhluk itu terbang perlahan-lahan merentasi bahagian dapur rumah kami. Saya tidak mampu menjerit, lidah kelu, kaki kaku. Saya hanya mampu membaca ayat Kursi dalam hati berkali-kali. Selepas beberapa saat, makhluk itu meluncur ke arah kebun belakang rumah dan hilang dalam kegelapan malam.
Saya rebah terduduk. Air mata mengalir tanpa saya sedari. Nafas saya sesak, dada saya berdebar. Saya kejutkan adik saya dan terus suruh dia tidur di bilik mak dan ayah. Saya sendiri tak berani lelap malam itu.
Keesokan paginya, saya menceritakan kepada nenek apa yang saya lihat. Nenek hanya mengangguk perlahan dan berkata:
“Kampung kita memang dari dulu ada kisah balan-balan. Kalau dia datang waktu malam, maknanya ada perempuan mengandung atau lepas bersalin dalam kawasan ini. Dia cari d***h.”
Rupa-rupanya jiran kami, Makcik Laila, baru sahaja bersalin tiga hari lepas. Dan dia tinggal selang tiga buah rumah dari rumah kami.
Nenek segera menyuruh ayah bakar serai dan lada kering sepanjang hari dan malam. Makcik Laila juga diminta pakai jarum peniti dan gunting kecil di bawah bantal sebagai pelindung. Menurut orang tua kampung, benda tajam boleh melemahkan balan-balan.
Sehingga hari ini, saya masih merasakan ngeri bila teringatkan malam itu. Bau hanyirnya, bunyi kepakannya, dan rupa wajahnya tidak pernah saya lupakan. Saya percaya, balan-balan memang wujud…. bukan dongeng, bukan khayalan. Mereka ada di sekeliling kita, cuma tidak semua mampu melihat.
Terima kasih kerana sudi membaca kisah saya. Moga kita semua dilindungi daripada gangguan makhluk yang tidak terlihat oleh mata kasar ini.
Aku cuma ada pengalaman jumpa mr. Bala je