PENCEROBOH

PENCEROBOH
Kiriman : Haikal Fansuri

Dum! Dum! Dum! Dum! Dum!

Ketukan kuat di pintu rumah mengejutkan aku daripada tidur. Aku terpisat-pisat bangun dan menguap panjang. Separuh mamai, aku mendekatkan pandangan ke arah skrin laptop untuk melihat jam. Waktu kian menghampiri tengah malam.

“Siapa pula datang lewat-lewat ni?” rungutku di dalam hati.

Samar-samar cahaya bulan menembusi cermin tingkap yang tertutup rapat. Aku menguap lagi dan meraup wajah beberapa kali. Rupa-rupanya aku tertidur di meja belajar ketika menunggu kepulangan Shuhada dan Hidayah yang tiada di rumah sejak Maghrib tadi.

Skrin laptop dalam keadaan statik ketika aku bangun meninggalkan kerusi. Aku melangkah keluar dari bilik tidur dan membasuh muka di singki. Mataku yang kini segar memandang tajam ke arah pintu rumah di hujung koridor. Wallahi, aku bersumpah. Sekali lagi pintu itu diketuk, aku akan beranikan diri melangkah ke situ dan mengintai siapakah pengacau yang berada di luar.

Rumah ini sederhana kecil, tanpa ruang tamu atau bilik tidur yang luas. Masuk sahaja pintu utama, terdapat tiga bilik tidur di sebelah kanan. Bilik-bilik ini dihubungkan oleh laluan koridor yang terus ke ruang dapur dan tandas di belakang. Kerana itulah walaupun aku tertidur di bilik paling hujung, ketukan di pintu rumah masih mampu mengejutkan aku daripada tidur.

Waktu berdenting perlahan. Aku masih diam di situ, menunggu. Setelah yakin tiada lagi bunyi ketukan, aku berasa lega dan kembali ke bilik. Dua tiga tapak melangkah, hatiku terdetik untuk menjenguk bilik Shu dan Dayah. Aku keluar semula ke laluan koridor dan melangkah ke bilik Shu. Tertera nama DR SHUHADA di pintu biliknya. Aku menolak daun pintu dan memetik suis lampu. Shu masih belum balik. Aku melangkah ke bilik seterusnya. Di depan pintunya tertera nama DR HIDAYAH. Aku membuka pintu dan menyalakan lampu. Dayah juga tiada di biliknya.

Tiba-tiba ketukan tadi muncul lagi.

Dum! Dum! Dum! Dum! Dum!

Aku bergegas ke pintu dan melihat ke dalam lubang intai. Aneh, tidak ada sesiapa di luar. Aku cuba membuka pintu tetapi tidak berjaya. “Aduh, lupa bawa kunci,” Aku segera kembali ke bilik tidur. Selepas mengambil kunci di atas meja, aku menyarung baju hoodie Paan yang tergantung di belakang pintu. Sambil melangkah keluar, rambut ikalku dirapikan ke dalam hoodie supaya tidak kelihatan.

Ketika inilah bunyi ketukan tadi kedengaran lagi. Lima ketukan yang sama, hanya kali ini lebih kuat berbanding sebelumnya.

DUM!! DUM!! DUM!! DUM!! DUM!!

Aku berlari semula ke pintu rumah bersama kunci. Pintu dibuka dan aku terus menjengah keluar. Tetapi sekali lagi, aku tidak menemukan sesiapa. Aku semakin hilang sabar. Rasa macam kena game pun ada. Geram, marah, bengang, menyirap, semuanya berkumpul dalam hatiku yang mendidih kepanasan.

Tanpa lengah, aku mencapai kayu besbol di tepi rak kasut dan terus keluar dari rumah. Aku bergegas naik ke tingkat atas, memeriksa kawasan tangga dan turun pula ke tingkat bawah hingga ke pintu masuk bangunan. Entah apa yang merasukku malam itu. Aku mundar-mandir di depan bangunan MINDEF dengan kayu besbol di tangan.

Kalaulah ada syabab lalu waktu ini tentu terpacul di mulutnya. “Kesian, muda-muda dah gila.” Tapi aku tak peduli. Aku sudah nekad ingin menangkap budak Arab atau sesiapa saja yang mengetuk pintu rumah tadi. Dia ingat kelakar ganggu orang tengah-tengah malam? Tak kelakarlah bodoh. Kita lihat nanti siapa lebih kelakar saat aku berjaya menangkapnya. Nahaslah aku kerjakan.

Malangnya aku tetap tidak menemukan sesiapa. Malam semakin larut dan angin bertiup perlahan menambah dingin. Emosiku yang tadi tegang mula mengendur. Aku berpatah balik dan masuk semula ke dalam rumah. Selesai mengunci pintu, aku kembali ke bilik tidur dan duduk bersandar di kerusi. Aku termenung di depan laptop sambil cuba menenangkan diri.

Tidak semena-mena tubuhku disapa angin dingin dari belakang. Aku berpaling, mengerutkan dahi dan bangun menuju ke tingkap yang separuh terbuka. Aku menutupnya rapat-rapat dan kembali duduk mengadap laptop. Kemudian aku menekan butang refresh pada paparan biru putih yang memenuhi skrin. Ada 32 notifikasi baru yang langsung tidak menarik minatku. Aku menggerak-gerakkan tetikus mencari post-post yang tidak hambar.

– SPM bukan penentu …
(Aduh, tak habis lagi cerita SPM dia ni.)

– Raya pertama sebagai suami isteri. Banyak benda baru yang diajarkan inche suami …
(Ya ya ceritalah lagi, kami nak tahu.)

Mataku tiba-tiba terhenti pada satu post bergambar hitam putih yang dikongsikan ramai orang. Melihat tajuknya sepintas lalu, post itu mengisahkan kejadian misteri yang berlaku di bangunan PUSKOM, tidak jauh dari sini. Aku hampir-hampir mula membacanya sebelum terfikir untuk melihat jam. Menyedari malam sudah terlalu lewat, aku membatalkan niatku. Aku menaip ringkas lalu menekan butang share,

“Selagi tak like selagi itulah naik dekat Timeline. Sebab dulu syabab selalu cerita pasal PUSKOM, esok pagilah baca,”

Waktu berlalu detik demi detik. Tidak ada tanda-tanda Shu dan Dayah akan pulang. Mungkin mereka menumpang tidur di rumah sahabat yang lain. Lama-kelamaan aku mula berasa bosan. Nak tidur tadi dah tidur. Nak makan malas pula ke dapur. “Aku perlu lakukan sesuatu,” bentak hatiku.

Selepas berfikir panjang, aku mengambil keputusan untuk membaca kisah PUSKOM tadi. Kisah itu kan cuma kisah rekaan? Lagipun aku cuma perlu membaca. Apa nak ditakutkan berbanding lihat gambar atau tonton video yang menyeramkan? Begitu hatiku memujuk. Dengan penuh debar, aku mula membaca ayat demi ayat, baris demi baris.

Naratifnya bermula perlahan. Watak utama diperkenalkan sebagai seorang lelaki tak bernama yang baru berpindah ke bangunan PUSKOM. Di rumah barunya dia tinggal bersama Faiz, seorang senior yang suka menyendiri dan berperwatakan misteri. Sampai pada babak ini, aku mula berasa tawar hati. “Klise sangat ni. Dah boleh agak apa jadi hujung nanti.” Namun aku cuba bersabar dan terus membaca.

Ternyata aku silap. Kisah itu tiba-tiba bertukar mendebarkan selepas watak utama menyedari seniornya itu seorang penyamar yang telah m******h rakan serumahnya yang sebenar. Aku kian ralit menggerakkan roda tetikus untuk mengetahui apa yang berlaku seterusnya. Tiba-tiba paparan kisah itu berhenti bergerak. Rupa-rupanya kisah itu tamat dengan pengakhiran yang amat menyakitkan hati, tergantung begitu saja. Secara automatik “What the fish?” terpacul dimulutku.

Tidak berpuas hati, aku melihat pula ruang komen yang dipenuhi kutukan kepada penulisnya. Teruk juga dia kena. Tapi padanlah, siapa suruh tamatkan cerita macam tahi. Aku tahu penulisnya cuba mengeksploitasi ketakutan umum pelajar-pelajar Malaysia di sini terhadap kisah-kisah seram yang melatari bangunan PUSKOM. Masalahnya sekarang kalau tulis cerita tergantung baik tak payah tulis. Teruk betul perangai.

Sedang aku mengetap bibir menahan geram, kedengaran bunyi gugusan kunci dibelek-belek dari pintu hadapan. Pada mulanya aku menyangka Shu dan Dayah sudah pulang. Tapi bunyi itu berterusan agak lama, seolah-olah pemiliknya tidak tahu kunci mana satu yang patut digunakan. Aku mula berasa tidak sedap hati.

Benarkah itu Shu dan Dayah? Kalau itu mereka mengapa ambil masa terlalu lama untuk membuka pintu? Tetapi kalau bukan, bagaimana kunci mereka berada ditangan orang lain?
Aku membatalkan niat untuk keluar. Sebaliknya aku mengunci pintu bilik dan cuba menafikan lintasan hati yang mengatakan “Ada penceroboh sedang cuba memasuki rumah.” Jantungku berdegup kencang. Peluh dingin mula membasahi tubuh.

Tiba-tiba satu bunyi hentakan yang kuat kedengaran.

Pintu rumah sudah dipecahkan!

Penceroboh itu kini berada di dalam. Aku meneliti bunyi derapan kaki yang melangkah pantas di koridor. Aku hampir pasti penceroboh itu lebih daripada seorang. Mustahil bunyi derapan kaki seberat itu milik Shu, Dayah atau mana-mana akhowat di Irbid ini.

“Lari sekarang!” bentak hatiku. Aku segera mencapai beg sandangku dan memasukkan barang-barang penting ke dalamnya. Selesai mengemas, telingaku menangkap pula bunyi pintu bilik dibuka. Mungkin bilik Dayah, mungkin bilik Shu, aku tidak tahu.

Aku bergerak perlahan-lahan menuju ke tingkap, berharap tidak mengeluarkan sebarang bunyi. Masa semakin suntuk dan aku perlu segera keluar sebelum segalanya terlambat. Bila-bila masa sahaja mereka akan memecah masuk bilik ini pula. Tubuhku menggeletar kuat dan rasa panik menguasai diri. Dalam ketakutan, aku membuka tingkap dan memanjat keluar.

Setelah berdiri di hujung tingkap, aku mencari tempat untuk berpaut. Walaupun berada di tingkat dua, aku tidak berani mengambil risiko terus terjun ke tanah. Mujurlah dalam samar-samar aku terlihat rumah di tingkat bawah mempunyai taman kecil berbumbung yang agak hampir dengan tingkap tempatku berdiri. Aku segera melompat ke atas bumbung itu. Selepas mencampakkan beg sandang ke bawah, aku berpaut pada salah satu tiang dan menurunkan diri ke tanah.

Bunyi pintu bilik ditendang memecah kesunyian malam. Pada tingkap yang terbuka itu, kelihatan lampu bilik dinyalakan. Aku bersembunyi di dalam semak sambil memandang ke atas dengan penuh debar. Rasa ngeri mula menguasai mindaku membayangkan apa yang bakal berlaku jika penceroboh itu berjaya menangkapku.

Setelah yakin mereka tidak lagi berada di dalam bilik, aku keluar dari persembunyian dan memanjat pagar ke lorong Felix. Aku mendaki lorong itu hingga tiba di Syari’ Jamiah. Bermula dari Syari’ Jamiah aku tidak menoleh lagi ke belakang. Aku berlari sepenuh hati dan tanpa henti menuju kawasan Syimali.

Setelah jauh berlari, aku mula keletihan. Kakiku tidak mampu lagi berlari. Akhirnya aku berhenti melangkah dan tercungap-cungap mengambil nafas. Aku duduk bersandar pada pagar sebuah bangunan bernombor di belakang Restoran Slatan Thai.

Selepas berehat agak lama, tenagaku kembali pulih. Aku bangun untuk meneruskan perjalanan. Ketika inilah aku menyedari zip beg sandangku sudah separuh terbuka, hampir-hampir mendedahkan isi di dalamnya. Aku membuka zip tersebut, mengalihkan plastik berisi kepala Dr. Farhana di atas kepala Faiz supaya kedudukannya lebih stabil. Setelah berpuas hati, aku mengeluarkan sebilah pisau dan bergerak ke rumah seterusnya.

Kiriman : Haikal Fansuri
(1506 patah perkataan)

Haikal Fansuri

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 3]

19 thoughts on “PENCEROBOH”

  1. Plot twist yg menarik. Rula2nya watak utama ni pembunuh . Mula2 kusangka dia disakat hantu. Rupa2nya dia yg perangai hantu.

    Reply
  2. Best. Mesti ada sebab kenapa dia b***h dr farhana dengan faiz. Boleh kembangkan lagi cerita ni jadi novel. Nak tau jugak siapa watak ‘aku’ ni lebih mendalam.

    Reply
  3. dah mcm gaya tulisan Ramlee Awang Murshid..tahniah dik. Akak mmg suka baca cerita misteri penuh thrill mcm ni. Jgn lama sangat nak buat sambungan tu ye tak sabar nak tau kisah seterusnyer

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.