Salam, admin dan warga FS yang dikasihi. Selamat membaca.
#3
AKU mencari Jon semula selepas seminggu peristiwa di restoran itu berlalu. Minggu lalu aku cakap pada dia, aku kecewa dengan sentuhan kecundangnya tetapi aku terpaksa tarik balik cakapku itu setelah menyaksikan sendiri betapa berbekasnya kesan yang Jon tinggalkan.
Memang aku tidak sangka pukulan biasa-biasa Jon telah membuahkan hasil yang sangat memuaskan. Perlu tahu, bukan mudah memecahkan kekebalan hati seorang lelaki, apatah lagi menyungkurkan seorang jantan. Namun, Jon berjaya melakukan kedua-duanya dengan sekali harung. Aku halalkan upah yang aku bayar padanya.
Dendam pertama sudah terbalas. Jalan terus untuk melunaskan dendam kedua. Jalan terus, menuju ke tempat lepak Jon. Ternyata, duit menukarkan Jon dari ‘seekor binatang buas’ yang sangat ganas kepada ‘seekor binatang separa jinak’ yang mendengar kata. Sebagaimana yang aku minta, Jon tidak menukar tempat lepak seperti kebiasaannya, padahal dia tidak pernah melekat lebih daripada dua hari di lokasi yang sama.
Bila ternampak aku, Jon terus tersenyum. Aku tidak membalas kerana aku tahu bukan aku yang mengorakkan senyuman itu. Upah yang bakal aku bayar, itulah yang membuatkan hatinya dipenuhi bunga. Jon tahu upah yang bakal diterimanya pasti lumayan tetapi tengoklah nanti. Tugasan terbaharu ini lebih gila daripada yang pertama. Ada kemungkinan aku terpaksa bekerja keras untuk meyakinkannya menerima tugas kali ini.
Jon membuka mulut untuk menyapaku.
“Kau pernah pergi PD, Jon?” Aku memotong niatnya. Jon kena faham, aku mencarinya bukan untuk berjimba.
“PD?” Jon ketawa mengejek.
Macai-macainya menyokong tawanya.
“Port Dickson?” Jon mengekek lagi. Tawa macainya gegak gempita.
Apa yang lelucon sangat, aku pun tidak tahu.
“Aku nampak je macam ni, bro tapi aku Rusia pun dah sampai kau tahu tak?” Jon terkilan. Terasa dirinya dihina. “Satu China tu pun aku dah jajah, dia boleh tanya aku pernah pergi PD ke tak,” katanya pada macai-macainya. Suaranya berbaur sindiran yang penuh kekesalan.
“Aku nak kau bawak empat orang macai kau ke PD petang ni,” kataku, mengabaikan ayat sendunya. Namun, tertanya-tanya juga, betulkah Jon pernah ke Rusia dan China? Percayalah, aku boleh baca jika orang menipu. Jon tidak menipu. Cuma, buat apa dia ke sana? Jadi keldai dadahkah?
“Empat orang je?” Jon mengira kepala tujuh orang macainya.
“Empat orang!” balasku dengan tegas.
Aku tahu dia hendak membawa kesemua macainya ke sana. Memang boleh pun, tidak ada masalah tetapi sengaja aku menetapkan empat orang sahaja kerana aku mahu dia faham bahawa aku yang berkuasa di sini bukan dia.
“Kau ada lesen memandu?” Aku tahu dia memiliki lesen memandu yang sah. Sengaja aku bertanya.
“Heh! Dia ni… buat lawaklah pulak!” Jon merenungku, marah dirinya dihina di hadapan pengikutnya. “Aku lesen internasional pun aku adalah, bro. Kau jangan tanya soalan bodoh, boleh?”
“Ni kunci kereta.” Aku tidak mempedulikan cakap penuh egonya. “Kau pakai kereta tu.” Aku talakan pandangan ke arah pacuan empat roda yang aku pandu ke situ tadi. Kepala mereka berpaling serentak ke arah yang aku maksudkan.
“Range Rover tu?” tanya Jon, padahal dia tahu kenderaan itulah yang aku maksudkan kerana pada fob kunci kereta yang dipegangnya pun ada bertulis perkataan Range Rover.
“Yup!” Aku angguk.
“Padulah kau ni, bro!” Jon ketawa besar, begitu juga dengan macai-macainya, seolah-olah ketua mereka baru sahaja memenangi cabutan bertuah dan dihadiahkan Range Rover itu. Hei, aku pinjamkan sahaja. Bukan bagi!
Aku membiarkan mereka berbalah sesama sendiri tentang siapa yang patut mengikut Jon ke Port Dickson petang nanti. Lelucon. Sangat menghiburkan bila melihat mereka berebut tempat duduk di dalam Range Rover itu tetapi aku hendak tengok, siapa yang masih mahu ikut selepas aku beritahu tentang tugas yang bakal mereka lakukan.
“Kat PD nanti korang duduk kat homestay ni.” Aku menyerahkan sekeping kertas berisi alamat kepada Jon.
“Okey. Apa benda yang kau nak kami buat kat sana?” Jon mula hilang sabar. Pacuan empat roda, inap desa dan Port Dickson membuatkannya teruja. Jangan lupa upah yang bakal diterima. Percutian dua hari dua malam yang ditaja penuh oleh orang lain. Siapa yang tidak mahu?
Senyumanku terpalit. Sengaja aku hamparkan yang indah-indah dahulu supaya fikiran mereka berkabus. Kini, tiba masanya aku membentangkan realiti di hadapan mereka.
Aku serahkan sekeping lagi kertas kepada Jon. Sebelum sempat dia membaca isi kandungannya, aku menerangkan kehendakku kepadanya dan macai-macainya. Aku mahu dia menghafal detail yang aku senaraikan dengan terperinci di atas kertas itu. Aku tegaskan betapa pentingnya dia dan macai-macainya menurut arahanku, dari detail pertama hingga ke kesudahannya. Walaupun detail itu kecil dan remeh pada tanggapan mereka, ianya penting bagiku. Maka, mereka wajib melakukannya.
Sebagaimana yang sudah aku jangkakan, Jon dan macai-macainya ternganga mendengar rancangan yang sudah aku susun untuk mereka. Kegelisahan memurungkan wajah mereka. Kepala mereka menggeleng beberapa kali. Tangan kasar mereka menggosok tengkuk, tanda kegundahan yang maha hebat.
Beberapa kali juga mereka mengesat peluh resah yang meleleh pada wajah yang tegang. Reaksi mereka itu lebih teruk daripada reaksi kali pertama yang mereka pamerkan minggu lalu. Di antara macai-macainya itu, ada seorang yang tidak henti-henti tersenyum sejak dari mula. Ya, dia macai yang sama yang aku curigai dahulu. Dia ikut menggeleng seperti kawan-kawannya tetapi bibirnya tersenyum, tidak gelisah seperti yang lain. Terus terang aku katakan, aku tidak menyukainya.
Aku fokus pada Jon dan yang lain-lain. Aku tahu mereka teragak-agak hendak menurut kehendakku yang, bila telingaku sendiri mendengar penerangan yang aku berikan pada mereka, ternyata memang gila. Namun, aku kena jalan terus. Aku tidak boleh berhenti sekarang dan mengendalakan langkah yang sudah aku mulakan.
Tanpa mempedulikan reaksi mereka, aku keluarkan lipatan tebal not lima puluh ringgit dari dalam kocek seluar jeanku. Aku tarik lima ratus ringgit dari lipatan yang dikepitkan dengan klip. Selebihnya aku sorokkan kembali di dalam poket.
“Ni duit belanja dua hari kat PD. Makan, minyak, tol. Selesai tugas, aku bagi bakinya,” kataku. Macai yang kucurigai tadi semakin melebar senyumannya.
“Nanti dulu…” Jon menolak duit yang aku unjukkan padanya. Tangan menolak tetapi matanya mahukan duit itu.
Aku membiarkan dia bertelagah dengan diri sendiri, tidak mahu terlalu mendesak, nanti nampak sangat aku yang terdesakkan bantuannya tetapi sengaja aku mengira duit lima ratus ringgit yang aku pegang di hadapannya sambil memerhati kelakuannya, melihat bagaimana dia bertungkus-lumus cuba mencapai keputusan.
Dia mahukan wang yang aku tawarkan tetapi sukar menerima tugas yang perlu dilakukan. Macai-macainya juga begitu. Mereka memandang ke arah lain, berkelakuan seolah-olah mereka tidak nampak aku yang berdiri di situ tetapi mereka tidak tahu, aku menangkap mata mereka yang sesekali menjeling pada duit di tanganku.
Kuasa duit, sangat menakjubkan.
“Bro…” Jon berdecit sambil menggeleng. “Upahnya…”
“Tak cukup?” potongku.
“Bukan macam tu, bro. Duit tu cukup tapi…” Sebaik sahaja menuturkan ayat kedua itu, air muka Jon berubah. Dia merenung duit di tanganku, mengeluh, menyesal kerana menjawab terlalu cepat, barangkali. Tunggu sesaat lagi, mungkin dia boleh menggandakan upahnya.
“Tapi apa?” soalku.
“Kerja tu.” Sekali lagi Jon menggeleng dengan seribu kerutan di mukanya.
Tentangan yang memang sudah aku duga. Aku tidak mencelah lagi. Biar dia sendiri mencari ayat yang ingin dituturkannya. Biar dia melepaskan apa yang membebankan dadanya. Yang penting bagiku, di akhir perbualan nanti, dia akan memberikan persetujuannya.
Macam mana aku tahu dia akan bersetuju? Sebab dia belum lagi menyuruhku mencari orang lain untuk melakukan tugas itu seperti dahulu.
“Kau nak kami buat kerja tu kat tempat awam, bro. Tengah orang ramai. Orang serang kami nanti macam mana?” Akhirnya, Jon bersuara. Macai-macainya mengangguk. Itu yang mereka risaukan.
“Ah, Jon. Kau anggap je masalah tu selesai.” Aku merunggas nafas kelegaan. “Orang kita lebih suka jadi penonton dari membantu. Diorang takkan masuk campur punya.”
“Kau cakap senanglah, bro! Kerja yang kau nak aku buat ni bukan macam yang hari tu. Yang ni memang sengaja cari bala namanya!” bentak Jon. Menggeleng lagi kepalanya. “Kau boleh gerenti ke diorang yang tengah berkelah tu tak serang kami? Ramai manusia kat Malaysia ni suka berlagak hero. Belasah dulu baru tanya,” tokok Jon.
“Kau sendiri tahu, Jon hidup ni mana ada gerenti,” jawabku. Penakut rupanya dia. Kalau dia buat orang, boleh pula.
“Tu lah masalahnya, bro. Kami tak nak m**i. Tak nak masuk jel.” Semakin kuat gelengan kepala Jon. “Satu je aku nampak, bro. Ni semua perangkap. Ni semua permainan kau nak sumbat kami ke dalam penjara. Kau sebenarnya siapa? SB ke? D9?”
“Macam mana pulak kau boleh cakap macam tu?” Aku pandang dia dengan penuh kehairanan. Ke situ pula dia.
“Sebab aku tak faham satu benda. Pasal kau berani bagi kami guna kereta mahal kau? Apa niat kau sebenarnya?” kata Jon, meluahkan soalan yang bermain di fikirannya. “Ni yang aku nampaklah, bro… lepas kami settle kerja yang kau nak kami buat tu, kau pun pergi buat report polis. Kau tuduh kami curi kereta kau. Entah-entah ada dadah kat dalam kereta tu. Tak pasal je kami semua mampus kat tali gantung!”
Jon pandang aku sebelum mengeluh kuat. Macai-macainya semakin gelisah. Tiada siapa bersuara lagi. Aku diam kerana mencari umpan lain untuk memaksanya bersetuju. Aku tersilap langkah tadi kerana menggunakan perkataan gerenti dalam ayat berbaur negatif yang sekali gus telah merosakkan usahaku meyakinkannya untuk memenuhi kehendakku. Semua cakapku selepas itu tidak mungkin boleh dipakai lagi, malah segala tindakanku mula dicurigai.
“Kalau kau dah fikir macam tu, Jon aku tak boleh buat apa. Tapi memang takde dadah kat dalam kereta aku tu. Kau boleh cek sendiri sebelum kau bawak kereta tu pergi PD. Pasal laporan polis tu kau tak perlu risau. Aku takkan buat. Aku sendiri yang kena balik kalau aku buat sebab saksi kau ramai. Bukan macai-macai kau ni je, CCTV tu pun boleh buktikan aku sendiri datang cari kau, aku sendiri bagi kunci kereta aku pada kau, aku sendiri bayar upah seribu ringgit kat kau.” Aku tekankan perkataan seribu ringgit supaya fikiran Jon dan macai-macainya kembali berkabus.
Jon masih berjeda, namun aku lihat ada harapan baharu pada air mukanya semasa dia mendongak ke arah kamera litar pintas yang aku maksudkan, yang melekat pada sebatang tiang lampu dengan lensanya menghala betul-betul ke arah kami. Aku rasa otak Jon jadi tepu semula bila dengar berapa upah yang bakal aku bayar dan dia sekarang sedang serius memikirkan, antara upah yang lumayan dengan risiko yang bakal dihadapi, mana satu yang lebih berbaloi?
Satu sahaja tuduhan Jon yang hampir mengenai sasaran. Tentang kenderaan yang aku bagi dia pinjam itu. Sengaja aku ikat dia pada Range Rover itu supaya dia tidak boleh lari dari menjalankan tugas yang aku berikan. Aku tidak mahu dia menghilangkan diri selepas menerima separuh daripada upah yang aku tawarkan, jadi aku bagi dia kereta.
Jon bukan bodoh. Dia sendiri tahu akibatnya jika dia gagal memenuhi kehendakku selepas menerima Range Rover itu. Namun, jika dia nekad melarikan kenderaanku, aku tidak rugi apa-apa kerana pihak insurans akan menggantikan kenderaan itu dengan yang baharu tetapi dia, aku akan pastikan dia disumbatkan ke dalam penjara buat selama-lamanya. Itu pun kalau dia mengkhianati akulah!
“Okeylah, Jon. Takpelah. Aku cari orang lain.” Aku simpan balik duit lima ratus ringgit itu ke dalam poket dada baju. Aku ambil dua keping kertas tadi dan fob kunci Range Rover dari tangan Jon, lalu mula melangkah dari situ. Aku tekan butang pada fob kunci itu. Range Rover itu berbunyi dan menyalakan lampu.
Aku tahu mereka sedang memerhati. Aku melangkah dengan tenang meskipun dalam hati, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Menyesal betul aku kerana mengambil keputusan drastik itu. Aku tersilap membaca Jon. Aku betul-betul sangka dia akan tunduk pada kehendakku semasa aku mengambil semula fob kunci keretaku tadi. Namun, sampai sekarang dia masih belum menahanku, sedangkan aku sudah hampir sampai ke kenderaan. Menyesal betul. Berpatah balik menunjukkan keterdesakan. Ia akan menyebabkan Jon hilang hormat padaku. Susah aku nanti bila aku mencarinya semula untuk melangsaikan dendam ketiga.
“Yo, bro!” laung Jon.
Aku berhenti melangkah lantas tersenyum kelegaan. Buat saspens sahaja kau ini, Jon. Buat aku hilang percaya pada diri sendiri sahaja. Selepas ini aku kena belajar bersabar dan lebih yakin dengan keputusan yang aku ambil!
Wajahku sudah kembali serius semasa aku berpaling memandang ke arah Jon yang sedang berlari anak ke arahku. Bila nampak air mukanya, aku tahu aku sudah menang besar.
Jon tiba di hadapanku. Dia terus merangkul bahuku, seolah-olah kami berkawan baik.
“Ada apa, Jon?” soalku sambil melepaskan rangkulannya. “Aku takde masa nak bersembang.”
“Okey, bro. Okey! Kami setuju,” kata Jon.
“Setuju apa?”
“Pergi PDlah. Hei, kau ni… buat bodoh pulak dia.” Jon tersengih-sengih sambil menadah tangan.
“Betul ke ni? Aku bukan main-main, Jon!”
“Betul, bro. Aku pun bukan main-main.”
“Okey.” Aku serahkan semula fob kunci Range Rover dan dua keping kertas tadi kepadanya. “Petang ni kau pergi sana. Aku nak kau tengok tempat tu dulu. Pukul empat petang esok, stand-by kat situ. Berdoalah PD tak hujan petang esok.”
“Okey, bro. Aku faham. Errr… duitnya.”
“Lima ratus dulu. Bakinya kemudian.” Aku serahkan lima ratus ringgit kepadanya. “Jon!”
“Ya, bro!”
“Jangan kecewakan aku macam minggu lepas!” Aku memberi amaran, padahal kerja yang dilakukannya minggu lepas membuahkan hasil yang aku mahukan. Hanya dia sahaja yang masih menyangka dia telah mengecewakanku. Salah sangkanya itu menguntungkan aku, jadi apa gunanya aku memperbetulkan keadaan.
“Okey, bro, okey. Aku faham.”
“KAU, kau, kau, kau… ikut aku ke PD petang ni.” Jon memilih empat orang macainya. Matanya terarah pada Range Rover yang terparkir tidak jauh dari situ. Kenderaan pacuan empat roda itu akan diperiksa dengan terperinci sebelum dia memandunya ke Port Dickson.
“Aku tak dapat pergi, Jon.” Salah seorang macai yang terpilih cuba menarik diri.
“Apa masalahnya?” Jon memandang macainya itu dengan muka keras. Tidak suka betul dia bila ada yang berani membantah arahannya.
“Ada hal sikit.” Macai itu beralasan.
“Hal apa?” soal Jon dengan renungan yang tajam.
Macainya berjeda seketika, akhirnya dia mengambil keputusan untuk menjawab dengan jujur. “Aku tak nak terlibatlah, Jon. Kerja bahaya. Memang betul cakap dia, orang takkan masuk campur tapi diorang akan rakam. Diorang akan viralkan. Kau nak ke muka kau merata-rata orang share kat Facebook?”
Jon merenung macainya itu dengan tajam.
“Kata nak famous,” sampuk Kob, orang kanan Jon. Dia terpilih. Memang Jon sentiasa membawanya ke mana-mana kerana dia penyokong tegar ketuanya itu, hatta menerima kecelakaan menggantikan tempat Jon pun dia sanggup.
“Memanglah, Kob… tapi tengok famous cara mana. Ni famous jadi target orang. Target polis. Kita ada prinsiplah! Selama ni kita serang orang yang serang kita je. Kita tak pernah kacau orang yang tak kacau kita. Kenapa nak start sekarang?” jawab macai yang menarik diri itu dengan berani, namun dia tidak berani memandang ke arah Jon yang masih merenungnya sejak dari tadi.
“Bacul!” sindir Kob.
“Lantak kaulah nak kata apa. Aku tak nak pergi, Jon!” Macai itu berkata dengan tegas, lantas meninggalkan tempat itu. Dia tidak peduli jika Jon akan menghukumnya dengan teruk kerana mengingkari perintah, asalkan dia tidak terlibat dalam kerja gila itu.
“Ada lagi yang nak tarik diri?” Jon memanahkan renungannya pada dua orang lagi macai yang terpilih.
Kedua-duanya menggeleng, ketakutan.
“Siapa berani nak gantikan tempat mangkuk tu? Aku tak naklah paksa, kan. Siapa berani, angkat tangan,” kata Jon dengan nada sarkastik.
“Aku, Jon!” Seorang macai dengan cepat mengangkat tangan. Dia sanggup buat apa sahaja demi mendekatkan dirinya pada Jon.
“Okey. Kau, kau, kau pergi cek kereta tu dulu. Pastikan takde dadah ke senjata ke apa ke kat dalam kereta tu.” Jon melemparkan fob kunci Range Rover itu kepada macai yang dengan sukarela menggantikan tempat kawannya yang menarik diri tadi. “Okey, bos,” kata macai itu, bangga diberikan kepercayaan untuk melakukan sesuatu. “Jom, korang. Jangan buang masa!”
Dari jauh Jon memerhati macai-macainya menyelongkar Range Rover itu dengan terperinci. Pandangannya juga ditalakan ke serata arah, memastikan tidak ada pihak mencurigakan sedang memantau perbuatan mereka. Cakap tuan punya Range Rover tadi dia terima tetapi bukan bermakna dia harus percaya bulat-bulat. Namun, setakat itu, tidak ada sesiapa mengawasi mereka dan kenderaan tersebut juga bersih.
“Korang, pergi tolong diorang jap,” arah Kob kepada dua orang lagi macai yang duduk bersama mereka. Kedua-duanya memandang ke arah Jon. Bila Jon mengangguk, barulah mereka pergi.
“Kau nak cakap apa?” tanya Jon bila tinggal dia dan Kob sahaja di situ.
“Kau dah setuju nak buat kerja tu. Aku akan sokong setiap keputusan kau…”
“Tapi?” p****g Jon.
“Kau tak rasa apa ke, Jon? Kenapa dia cari kau? Kenapa dia tak cari orang lain,” kata Kob.
Jon berjeda. Memang soalan-soalan itulah yang sedang difikirkannya, yang menimbulkan curiga tentang identiti sebenar lelaki yang mengupah mereka tadi. Gaya lelaki itu tidak ada gaya polis tetapi gaya polis itu macam mana? Jon sendiri tidak boleh menjawab soalan itu.
“Aku tak rasa dia polis,” kata Kob, seolah-olah dia dapat membaca fikiran Jon. “Aku rasa dia ada wayar putus kat dalam kepala dia. Tapi patut ke kita libatkan diri?”
Seperti tadi, Jon hanya diam membisu. Memandang ke arah Kob pun tidak. Fikirannya kacau. Dia berasa seperti sedang diuji. Oleh siapa? Entahlah, Jon pun tidak tahu tetapi ada sejenis perasaan sedang berkocak dalam hatinya, sejak minggu lepas lagi perasaan itu hadir dan dia tidak menyukai perasaan itu.
Salah seorang macai yang memeriksa Range Rover itu membuat isyarat bagus kepada Jon. Segera Jon berdiri.
“Kau masih nak ikut?” Jon pandang Kob.
“Mestilah! Pernah ke aku tak menurut perintah?”
“Jom.”
JON dan macai-macainya mengambil tempat yang telah ditetapkan tepat pukul 3.30 petang. Port Dickson panas terik tetapi yang menakjubkan, seluruh tubuh badan Jon berasa seram sejuk diserang semilir dingin yang menyelinap ke segenap sarafnya bak pencuri di malam hari. Dia tidak duduk diam dalam usaha untuk menyorokkan bulu romanya yang meremang dari mata macai-macainya.
Menyesal? Jangan cakaplah. Pada saat itu ada pertarungan hebat dalam dirinya. Bermati-matian Jon berpaut pada paksi janji agar dia tidak termakan pujukan hati yang menyuruhnya melepaskan diri dari tugasan yang diberikan kepadanya, meninggalkan tempat itu dan pulang ke Kuala Lumpur. Dia sudah berjanji. Percaya atau tidak, dia jenis yang mengotakan janji.
“Pukul berapa dah sekarang?” tanya Jon sambil membayangkan macainya yang menarik diri semalam. Pastinya lelaki itu sedang bersenang hati di rumah. Penyesalan Jon semakin tebal.
Dia akan menjatuhkan hukuman atas lelaki itu sebaik sahaja mereka pulang ke Kuala Lumpur petang esok tetapi tidak sampai membinasakannya sebagaimana yang lazim dilakukannya kepada macai yang melawan perintahnya sebelum ini. Kepala lelaki itu bijak. Dia memerlukan kepala yang sebegitu dalam kumpulannya.
“3.40,” jawab Kob.
Jon mengeluh. Terasa waktu begitu lambat bergerak. Sebolehnya dia hendak menyelesaikan tugas itu secepat mungkin dan terus balik ke Kuala Lumpur. Macai-macainya juga diam. Kesemuanya susah hati memikirkan apa yang bakal berlaku sebentar lagi.
Pantai itu masih lagi kosong kecuali mereka berlima. Mungkin bila redup sedikit barulah pengunjung keluar membawa keluarga berkelah. Jon berdoa tidak ramai orang yang turun pada pukul empat nanti. Semakin ramai orang, semakin tinggi risiko terhadap mereka. Itu yang dia risaukan. Dia tidak mahu mereka bergaduh dengan orang lain atau muka mereka tular di media sosial. Sebolehnya dia mahu kekal hidup di bawah radar.
“Jon,” panggil Kob.
Jon menoleh, sekali gus ternampak mangsanya berjalan dengan beberapa orang budak lelaki dalam usia belasan tahun, sebagaimana yang tertulis dalam kertas berisi arahan yang diterimanya semalam.
“Pukul berapa sekarang?” tanya Jon pada Kob. Dia bangun sambil memutar-mutarkan bahunya, bersedia untuk melancarkan serangan.
Serentak, telefon bimbit Jon berbunyi. Tiada nombor yang tertera pada skrinnya tetapi Jon dapat meneka siapa pemanggilnya.
“Mana kau dapat nombor aku?” soal Jon.
“Relaks, Jon. Tunggu pukul empat.”
Panggilan itu diputuskan selepas dua baris ayat itu dituturkan.
“Sial!” rungut Jon. Dia duduk semula. “Pukul berapa dah?”
“3.50,” jawab Kob dengan patuh.
“Apa yang dia tunggu?” soal Jon.
Pada masa itu kedengaran suara manusia berbual dan melaung-laung. Kepala Jon dan macai-macainya menoleh ke arah yang sama, melihat sekumpulan manusia sedang melangkah ke pantai sambil berbual-bual. Nampaknya seperti dua atau tiga buah keluarga. Mereka membawa bola, jaring dan batang besi.
Jon perhatikan kesemua lelaki dalam kumpulan itu. Kebanyakannya masih kecil, belasan tahun dan yang dewasa pula semuanya gemuk. Berjalan pun mengah. Yang perempuannya pula geng mak cik-mak cik. Jon mula faham. Lelaki yang mengupahnya mahukan penonton dan dia memastikan penonton itu dari spesifikasi yang berada di hadapan mata Jon sekarang supaya apa yang berlaku sebentar lagi, tidak akan dicampuri oleh sesiapa. Cuma, Jon tertanya-tanya, bagaimana lelaki itu memilih penontonnya?
“Pukul 4.00, Jon!” kata Kob.
Jon melepaskan nafas lega. Dia bangun. Kob dan macai-macainya pun ikut berdiri. Mereka merapati mangsa yang sedang bermain bola tampar tanpa jaring dengan budak-budak lelaki yang datang bersamanya.
“Iqram!” sapa Jon.
Iqram menoleh. Berubah air mukanya bila ternampak Jon. Ritma jantungnya yang tenang, kini berdegup laju. Keseronokan bersantai dengan adik-adik angkatnya, punah dengan sekelip mata. Iqram tahu kehadiran Jon di situ hanya membawa satu makna sahaja. Kecelakaan untuknya!
“Boleh kami join?” tanya Jon sambil merampas bola daripada tangan Iqram. “Korang belah sana.” Dengan selamba dia menuturkan arahan kepada Iqram dan budak-budak lelaki itu.
Muka Iqram masam, marah kerana Jon menafikan haknya untuk membuat keputusan, sementara adik-adik angkatnya tidak menyedari langsung situasi tegang itu. Mereka mengambil tempat yang Jon arahkan sambil bertolak-tolak sesama sendiri. Suka mereka kerana ada orang menawarkan diri menjadi pihak lawan. Tidak terfikir langsung buruk baik niat pihak tersebut. Yang berlegar di fikiran mereka hanya mahu bermain.
Bola tampar mula melambung tinggi. Permainan itu berlangsung dengan meriah walaupun air muka Iqram jelas tegang. Dia keresahan menunggu serangan yang bakal Jon lancarkan terhadapnya. Dia tahu Jon akan menyerangnya bila dia alpa, namun dari saat ke saat dia melihat Jon sangat leka bermain dengan mereka. Tidak diketahuinya Jon juga sedang dalam kegundahan menunggu seseorang muncul. Orang yang menjadi isyarat bagi Jon untuk memulakan serangan terhadapnya.
Iqram mulai tenang. Dia mula menikmati permainan itu, bergelak ketawa dan melagakan buku limanya pada buku lima adik-adik angkatnya setiap kali mereka berjaya mengalahkan pihak Jon. Dia semakin terlupa Jon siapa.
Pelanduk! Memang mudah terlupa sedangkan jerat tidak pernah melupakan pelanduk.
Sorak-sorai bergema lagi bila kumpulan Iqram berjaya mengalahkan Jon dan macai-macainya.
“Menang sekali tak bermakna korang dah menang,” ejek Jon sambil melambungkan bola tampar ke atas, kemudian ditumbuknya bola itu ke arah pihak lawan. Iqram hanya menjeling ke arah Jon. Dia kembali berwaspada selepas menganggap ejekan Jon itu sebagai amaran bahawa Jon akan melancarkan serangan pada bila-bila masa sahaja. Gemuruh melanda Iqram. Dia benar-benar takut. Benar-benar mahu lari dari situ. Beberapa kali dia menoleh ke arah laut. Beberapa kali juga terlintas dalam hatinya untuk terjun sahaja ke dalam lautan ganas bergelora dan tidak timbul-timbul lagi, asalkan dia dapat melarikan diri dari Jon. Namun, sanggupkah dia menamatkan riwayatnya?
Dia memantau Jon semula. Dilihatnya Jon sedang dilekakan oleh sesuatu.
Hakikatnya memang Jon sedang terleka. Ketika itu mata Jon sedang merayau mencari petanda yang dimaksudkan oleh arahan yang diterimanya. Sehingga ke saat itu petanda tersebut masih belum muncul-muncul lagi. Jon semakin resah. Mana dia ni, bisik hatinya. Dia mahu menamatkan sandiwara petang itu pada saat itu juga. Pantai itu semakin lama semakin dipenuhi orang. Semakin berbahaya kepada mereka.
“Jon!” jerit salah seorang macai Jon apabila melihat ketuanya sedang terleka.
Jon tergamam, namun dia masih sempat menumbuk bola yang jatuh hampir mengenai kepalanya ke arah lawan. Cemas dadanya. Laju hatinya berdebar. Dan debarannya menjadi semakin pantas apabila dia ternampak petanda yang ditunggu-tunggu sedang melangkah perlahan-lahan ke arah mereka. Jon bersiul kecil, menarik perhatian Kob dan macai-macainya yang lain. Kemudian dia memberi isyarat mata kepada mereka, menyuruh mereka bersedia sementara dia mencari peluang terbaik untuk melancarkan serangan.
Dan peluang itu datang juga akhirnya. Perlahan. Namun, ia tetap tiba.
“Nah, Iqram. Kau punya bola,” laung Jon, menumbuk bola tampar itu dengan sekuat hati sehingga ia melambung jauh dari bulatan yang mereka bentuk.
“Cepat, Bang Iq! Kejar!” jerit salah seorang adik angkat Iqram.
Terpaksa Iqram mengejar bola itu walaupun kejutan yang Jon berikan itu membuatkannya tidak sedap hati. Namun, dia juga tidak mahu menghampakan adik-adik angkat yang memandang tinggi padanya.
“Tangkap bola tu, Bang Iq. Malulah kat adik-adik kau ni kalau kau kalah!” ejek Jon.
Iqram dengar ejekan Jon. Iqram tahu dia berada di ambang bahaya. Malangnya, dia tidak dapat mengawal langkah kakinya.
“Eleh, tak kalah punya. Abang Iq power!” Seorang lagi adik angkat Iqram membalas ejekan Jon.
Semangat yang diberikan oleh adik angkatnya itu membuatkan perasaan Iqram libang-libu. Dia berada di persimpangan, antara berhenti dan mengelak kecelakaan berlaku atau terus mengejar bola tampar itu menuju kehancuran. Pilihan kedua mengatasi yang pertama, semata-mata kerana Iqram tidak mahu mengecewakan adik-adik angkatnya. Dia tahu bencana bakal menimpanya, namun dia terus mengejar bola tampar yang masih melambung di udara. Tanpa disedari, dia sedang berlari laju menuju ke arah seorang gadis yang sedang mendukung seorang anak kecil. Jon memerhati dengan debaran, menunggu detik-detik perlanggaran yang dirancang itu berlaku.
“Come on! Come on!” gumam Jon.
“Bang Iq! Jaga! Jaga kakak tu, Bang Iq!” jerit salah seorang adik angkat Iqram.
Namun, amaran itu terlewat sampai ke pendengaran Iqram. Satu perlanggaran yang maha kuat berlaku antara Iqram dengan gadis itu, menyebabkan gadis itu jatuh terduduk. Anak kecil yang gadis itu bawa berjalan-jalan tercampak dari rangkulannya lalu jatuh tersembam di atas pasir. Budak yang berusia lebih kurang tiga tahun itu melalak kesakitan.
Iqram terduduk. Telinganya berdengung. Matanya terkebil-kebil merenung Jon yang sedang berlari laju. Iqram dapat merasakan Jon sedang berlari ke arahnya dan mahu menyerangnya. Gementar seluruh tubuh badannya. Dikerah seluruh kudratnya supaya dia dapat bangun dan lari dari situ, malangnya tubuh badannya kaku. Tubuh badannya bagaikan terkunci sedangkan Jon semakin menghampiri. Iqram tidak dapat berbuat apa-apa. Dia terpaksa pasrah menerima serangan, namun sekali lagi Jon mengejutkannya. Langkah Jon menghala ke lain. Sasaran Jon bukannya dia, sebaliknya budak kecil itu.
Setibanya di sisi budak kecil itu, Jon terus mendukungnya. Dia membersihkan pasir pada muka budak kecil yang sedang meraung kesakitan dan ketakutan itu sebelum menyerahkannya kepada gadis muda yang masih tergamam, tidak memahami apa yang telah berlaku padanya. Kemudian Jon mendapatkan Iqram yang ketika itu masih melekat di atas pasir, tidak bergerak-gerak. Wajah Jon keras.
Jantung Iqram mengepam laju, selaju adrenalinnya yang mengalir deras. Dia merenung Jon dengan wajah meminta simpati tetapi mana ada tertulis perkataan simpati dalam kamus hidup Jon? Tanpa amaran, Jon terus mencengkam rambut Iqram, menolak kepala Iqram ke pasir lalu membenamkan muka Iqram ke dalam pasir yang panas dan kasar. Menggelupur Iqram cuba melepaskan diri, sayangnya tekanan tangan Jon pada kepalanya sangat kuat. Jon juga sudah duduk di atas badannya, mengunci pergerakannya. Memang Iqram tidak boleh berbuat apa-apa selain menggapaikan tangan meminta pertolongan, meminta sesiapa sahaja menyelamatkannya dari m**i kelemasan. Pasir itu terlalu panas dan menyukarkannya bernafas, namun tidak ada seorang pun yang berani menghentikan perbuatan Jon terhadapnya.
Orang keliling hanya memerhati tanpa berani membantu, sedangkan mereka lihat sendiri betapa menderitanya Iqram. Ternyata nilai kemanusiaan memang sudah terhakis dari diri mereka. Jika tidak, mereka tidak akan tergamak berdiri di situ sambil memandang sahaja pada Iqram yang tergapai-gapai sehingga akhirnya tangan Iqram layu terkulai di atas pasir. Mereka tidak akan tergamak memandang sahaja semasa tubuh badan Iqram tersentak-sentak membutuhkan oksigen. Sepatutnya mereka berasa kasihan. Sepatutnya mereka meluru untuk menolong. Tetapi tidak! Sedikit pun mereka tidak menghulurkan bantuan. Malah, orang ramai yang memerhati mulai mengundurkan diri. Seorang demi seorang mulai menjauhi, seolah-olah kejadian itu tidak punya nilai di mata mereka.
Nyawa manusia tidak punya harga. Mereka terus melangkah menyelamatkan diri sendiri. Masing-masing seperti yakin apa yang terjadi pada Iqram, tidak akan terjadi pada mereka atau anak-anak mereka atau orang yang mereka sayangi, sedangkan kebanyakannya tahu tentang hukum kehidupan yang berputar bak roda. Hidup tidak semestinya sentiasa berada di atas!
Jon melepaskan genggamannya pada rambut Iqram. Dengan lemah Iqram memusingkan kepalanya, tergocoh-gocoh merunggas oksigen ke dalam salur pernafasannya. Nazaknya seperti ikan yang tercampak ke tebing sungai. Seluruh tubuhnya menggogoh. Air matanya mengalirkan d***h dari luka pada tepi matanya yang tersagat dengan pasir. Matanya perit, mukanya pedih, begitu juga dadanya. Kesakitan yang tidak tergambarkan. Dia hampir m**i tadi. Hampir m**i. Dan dia tidak tahu sama ada serangan itu sudah berakhir atau belum lagi kerana Jon masih lagi duduk di atas badannya.
“Kau nak buat lagi?” herdik Jon sambil menunjal kepala Iqram dengan kasar.
Iqram menggeleng lemah, meskipun kesalahan yang dilakukannya sebentar tadi bukanlah disengajakan.
“Kalau ya pun tengoklah keliling. Kau tengok apa kau buat kat budak tu. Tengok!”
Jon menarik semula rambut Iqram dengan kasar, menyentakkan kepala Iqram supaya memandang ke arah budak kecil yang masih menangis dalam pelukan gadis itu. Meleleh air mata Iqram menahan kesakitan. Kulit lehernya tegang, terasa seperti hendak terkoyak.
“Lain kali,” Jon mengambil segenggam pasir lalu digonyoh-gonyohnya dengan kasar pada muka Iqram yang merah dan calar-balar, “kau buat lagi aku b***h kau!”
Kepala Iqram ditolaknya dengan kasar sebelum dia bangun lantas berlalu dari situ bersama macai-macainya
Krik, krik, sambung la lagi
fuhh!!. .brdebo dada den lyn cite nie ha. .cpt2 smbung ar kn. .t.t. .
Sumpah tak faham. Dari part satu sampai 3. Krik2
Tolong bg link part 1 n 2.. yg ni pun x fhm ni.. cpt2 smbung la wei