Howdy, admin dan warga FS. Selamat menghadam cerita psycho-thriller seorang pendosa. Terima kasih, admin sudi siarkan cerita saya ni. Moga menginsafkan.
#4
JON berkurung di dalam bilik. Tubuh badannya menggogoh, kepalanya pusing sehingga dia tidak mampu lagi berdiri, justeru duduk pun dia tidak larat. Terpaksa mengalah pada keadaan dan berbaring di atas katil untuk mengelakkan diri dari tumbang. Terasa berbahang, pendingin hawa dihidupkan untuk menyejukkan tubuh badannya. Dia juga berharap hawa sejuk itu dapat menghentikan keringat dingin yang mencurah-curah keluar dari liang romanya tetapi semakin sejuk suhu badannya, semakin banyak pula peluh yang merembes, tiada langsung tanda-tanda akan berhenti.
Pendingin hawa dimatikan semula. Panasnya lain macam tetapi Jon malas melayan kerenah tubuh badannya. Dibiarkan sahaja dirinya yang menggeletar bermandikan peluh di atas katil. Renungannya terpacak pada siling. Matanya mencerlung tidak langsung berkedip. Caranya memakukan pandangan sangat keras, seolah-olah siling itu telah melakukan kesalahan besar padanya, padahal bukan salah siling itu bila rancangan balas dendam yang diorkestra dengan begitu halus di tepi pantai tadi, tiba-tiba sahaja tertayang di situ.
Jon cuba pandang ke lain tetapi gagal. Matanya sudah dilekatkan tanpa rela pada siling itu. Dia merenung dalam keterpaksaan imbasan setiap adegan petang tadi yang menuntutnya memberikan sepenuh perhatian. Dan telinganya dikerah memainkan semula suara nazak Iqram yang sedang menggelupur tatkala kepala Iqram ditekannya pada pasir.
Bulu roma Jon meremang. Entah mengapa kekejaman yang dilakukannya terhadap Iqram di tepi pantai tadi sangat menakutkannya. Semangatnya merudum. Heh! Semangatnya tidak pernah merudum selepas ‘melapah’ mangsa, malah dia sentiasa berasa rejuvenasi setiap kali dapat ‘m******h’ mangsanya. Sentiasa! Namun, dengan Iqram, dia berasa mual dan jelik terhadap diri sendiri.
“Pendosa! Pendosa! Pendosa!”
Jon terkesima bila satu suara berdentum membelasah gegendang telinganya. Cergas tubuhnya bangun dari pembaringan dan langsung duduk. Pandangannya diratakan ke seluruh bilik tidur utama inap desa itu. Memang dia berseorangan di dalam bilik itu. Lagipun, suara itu tidak dikenalinya. Suara asing entah siapa punya. Ah, imaginasi aku je, desis hati Jon lalu dia kembali berbaring.
“Pendosa! Pendosa! Pendosa!”
Suara itu bergema lagi. Jon kaku di pembaringan, mendengarkan sahaja suara yang semakin kuat melantunkan tuduhan. Walaupun penuturnya tidak kelihatan, namun Jon dapat merasakan tuduhan keras itu ditujukan kepadanya. Jon mulai resah. Dia tahu dia memang banyak dosa tetapi belum pernah lagilah label itu merajalela dilemparkan kepadanya.
“Pendosa! Pendosa! Pendosa!”
Jon pekupkan telinganya. Suara itu mulai bergaung dalam kepalanya. Jon pejamkan mata. Mulutnya terkumat-kamit menyebut ayat ‘aku bukan pendosa’. Berulang kali ayat pendek itu ditutur, melawan suara tuduhan yang semakin lama semakin mengganas dalam kepalanya.
“Kau memang pendosa. Pendosa! Pendosa! Pendosa!” Suara itu ketawa mengejek dan terus membaling tuduhan. “Pendosa! Pendosa! Pendosa!”
Naik berang, Jon membuka matanya. Mukanya semakin merah padam. Dia terlalu marah dengan ejekan yang terlalu berani dilemparkan kepadanya tetapi hendak ditujukan kepada siapa kemarahannya itu? Pada dinding? Pada siling? Pada macai-macainya? Jon mendengus kasar. Mata dipejamkan semula. Saat itu sejenis perasaan tumbuh dan menjalar dengan meliar dalam hatinya. Perasaan itu sangat melemaskan. Ia seakan mengejarnya, memaksanya mengakui sesuatu yang tidak pernah wujud dalam dirinya sebelum ini. Dia berasa bersalah. Rasa berdosa. Rasa mahu meminta maaf pada seseorang.
“Arghhh!!!” Jon menjerit sekuat hati sehingga tegang urat lehernya. Tangannya menumbuk-numbuk angin. Dia tidak suka pada perasaan yang baru muncul itu. Dia tidak suka ketenteraman jiwanya diganggu-gugat oleh perasaan itu.
Sekali lagi Jon menumbuk angin. Dia mahu perasaan bersalah itu pergi tetapi nampaknya perasaan itu memilih untuk terus menghambatnya. Jon melawan. Dia enggan mengaku bersalah, terutamanya tuduhan yang dituding ke arahnya itu berkaitan dengan Iqram. Dalam hal itu m**i-m**i Jon tidak akan mengaku apa-apa. Bukan dia sengaja menganiaya Iqram. Dia diupah. Atas alasan itu Jon melawan perasaan bersalah yang cuba melilitnya sehingga bergegar katil tempatnya berbaring. Segenap tenaga dia melawan sehingga akhirnya dia dapat merasakan perasaan bersalah itu tidak lagi mengacaunya.
Jon memeluk tubuh yang menggogoh persis mat gian yang ketagihan. Melenguh-lenguh bunyi nafasnya. Kepenatan. Dia menunggu dalam resah lantaran tahu perasaan bersalah itu bukannya hilang tetapi hanya senyap menanti masa untuk menyerangnya semula. Lama dia menunggu namun perasaan bersalah itu tidak muncul-muncul juga. Jon merunggas nafas lega tetapi baru hendak tenang, suara macai yang menarik diri semalam bergema dalam kepalanya.
“Kita ada prinsiplah! Selama ni kita serang orang yang serang kita je. Kita tak pernah kacau orang yang tak kacau kita. Kenapa nak start sekarang?”
Jon memejamkan mata dan menekup telinganya tetapi suara itu terus bergema. Terus bertanya.
“Kita ada prinsip. Kenapa nak start sekarang?”
“Diam!” bisik Jon, terlalu marah. Bibirnya diketap. Tubuh badannya kembali menggogoh.
“Kita ada prinsip. Kita tak pernah kacau orang yang tak kacau kita. Kenapa nak start sekarang?”
“Diam aku kata!” Bergetar suara Jon.
“Kita ada prinsip!”
“Ya! Aku tahu kita ada prinsip. Kau boleh diam tak?” herdik Jon.
Suara itu diam. Suasana bening.
Jon membalut dirinya dengan selimut tebal. Menggogoh dalam kepanasan. Matanya meliar, mencari-cari suara yang mengganggunya. Lama dia berkeadaan begitu hingga dia penat sendiri. Surut sahaja gigilnya, dia meraup muka yang lencun dek peluh dingin. Jari tersentuh air panas yang mengalir dari ekor mata. Kening Jon bertaut. Sekali lagi jarinya menyentuh air panas yang masih mengalir keluar dari ekor matanya. Jon terpana. Dia menangis! Apakejadah, jerit hatinya. Dia tidak pernah menangis selepas membuli. Dia tidak pernah berasa apa-apa selepas ‘melapah’ mangsa tetapi sekarang…
Perut Jon memulas. Tiba-tiba sahaja. Isi perutnya terasa sudah sampai ke kerongkong. Dengan pantas dia ke bilik air lantas memuntahkan isi perutnya ke dalam lubang jamban.
Tuk! Tuk! Tuk!
“Jon!” Suara Kob menyusul ketukan di pintu.
“Jangan kacau aku!” jerit Jon, kemudian dia kembali mengosongkan isi perutnya.
Beberapa minit selepas itu Jon kembali ke katil dengan tubuh menggigil. Ketakutan yang maha dahsyat memeluknya. Jon memejamkan mata sambil berharap, selepas terjaga dari tidur nanti, dia akan normal semula.
Dia hanya boleh berharap!
IQRAM meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur selepas menghantar adik-adik angkatnya pulang ke rumah masing-masing. Dia memandu dengan berhati-hati lantaran matanya terlalu sakit dan sentiasa berair. Asyik meleleh sahaja air matanya.
Payah memantau trafik senja dalam keadaannya itu. Luka pada kelopak matanya sudah dibersihkan tetapi di dalam matanya masih perit, masih ada pasir walaupun sudah berkali-kali dibilas dengan air bersih. Yang merunsingkan, air matanya bercampur dengan d***h. Iqram tidak tahu dari mana d***h itu datang. Dari koyakan pada skleranyakah atau dari kelopak mata yang luka. Tidak mahu terus berteka-teki dan enggan mengambil risiko, mahu tak mahu, terpaksa juga dia singgah di sebuah klinik swasta untuk mendapatkan rawatan.
Mata yang buta hanya akan menyusahkan hidupnya. Akan membuatkannya terpaksa membuka lembaran hidup baru, sedangkan dia sudah terlalu penat untuk mengubah cara hidupnya.
Dia memilih klinik yang belum pernah dijejakinya sebelum ini. Doktor di klinik biasa sudah terlalu mengenalinya. Suka mengesyorkan rawatan yang tidak berfaedah padanya. Malam itu dia hanya mahu mendapatkan rawatan mata. Yang lain-lain dia tidak mahu dengar.
“Macam mana boleh jadi macam ni?” soal Doktor Faridah usai melakukan evaluasi terhadap kecederaan yang dialami oleh mata Iqram.
“Jatuh masa main bola tampar di pantai,” tipu Iqram yang berbaring di atas katil pemeriksaan sambil merenung ke siling. Wajah Jon bermain-main di tubir matanya.
“Macam mana encik jatuh?” Doktor Faridah tidak puas hati. Jawapan Iqram seolah memperbodohkannya. Sklera Iqram calar teruk, seteruk calar pada mukanya. Kecederaan seperti itu hanya berlaku jika muka Iqram ditonyoh pada pasir.
“Jatuh muka dulu.” Iqram menghenjutkan bahunya. “Bahaya tak luka pada mata saya ni, doktor?” Iqram melarikan fokus doktor itu dari topik yang kurang menyelesakannya. Doktor Faridah banyak sangat bertanya sedangkan dia hanya memerlukan rawatan sahaja. Bagaimana dia mendapat kecederaan itu, Doktor Faridah tiada hak untuk tahu. “Bahaya. Mata sangat sensitif. Trauma macam ni boleh membutakan mata encik kalau encik tak berhati-hati. Mujur tak kena kornea,” nasihat Doktor Faridah semasa dia membersihkan sklera Iqram yang sedikit calar.
Mujur sedikit sahaja kecederaannya dan tidak menjejaskan keseluruhan matanya. Dengan rawatan rapi, bahagian yang calar itu akan berjaya dipulihkan. Yang penting, tidak ada lagi pasir di dalam mata pesakitnya. “Saya akan berikan ubat titis dan antibiotik. Saya tak mahu encik gosok mata encik dengan jari. Kalau gatal, bilas saja dengan air. Kalau sakit, datang balik ke sini. Kami buka 24 jam.”
“Terima kasih, doktor.”
“Sama-sama. Encik kena datang balik dalam masa lima hari dari sekarang. Saya nak buat pemeriksaan ekstensif sehingga kecederaan pada sklera encik pulih sepenuhnya.”
Iqram tidak memberi reaksi. Doktor Faridah terpaksa berpuas hati walaupun dia dapat merasakan peluang untuk berjumpa lagi dengan pesakitnya itu sangat nipis. Jauh di sudut hati dia berharap mata Iqram akan sakit teruk malam itu. Tidak beretika pemikirannya tetapi dia mahu Iqram mencarinya. Ada sesuatu mengenai pesakit baharunya itu yang membuatkannya ingin lebih mengenali lelaki itu. Bukan berkenalan secara sosial. Tidak! Keinginan itu berlandaskan perubatan. Lebih spesifik lagi, berkenaan psikologi Iqram.
Doktor Faridah dapat merasakan Iqram sangat memerlukan bantuan tetapi ego telah menyebabkan Iqram membina dinding konkrit di sekelilingnya, menghalang orang lain dari mendekati dan menolongnya. Doktor Faridah berazam untuk memecahkan dinding konkrit itu. Dia mahu membantu Iqram keluar dari masalah dalaman yang telah menyuramkan wajah pemuda itu.
“Antibiotik tu kena makan sampai habis ya, encik,” pesan Doktor Faridah.
“Baik.”
Balik ke rumah, usai mandi, benda pertama yang Iqram lakukan ialah membelek muka dan matanya yang cedera teruk. Walaupun dia tidak memberikan kata putus, Iqram akan akur dengan kehendak Doktor Faridah. Lima hari lagi dia akan ke klinik 24 jam itu semula. Calar pada mukanya tidak merisaukan, luaran sahaja tetapi calar pada skleranya itu jika tidak mendapat rawatan yang sempurna, akan menimbulkan bencana di kemudian hari. Ego haruslah bertempat. Dalam situasi yang sedang dihadapinya itu, masa hadapan matanya lebih penting daripada egois seorang lelaki.
Terkedip-kedip beberapa kali merenung pantulan wajah sendiri di cermin. Dipandang dalam-dalam matanya yang sedih. Kasihannya aku, bisik hatinya. Pandangannya melata di atas wajahnya yang sangat suram, persis wajah orang yang tersekat dalam satu tempat dan tidak berjumpa jalan keluar. Hakikatnya, Iqram memang tersekat cuma dia dapat melihat jalan keluarnya. Masalahnya, jalan keluar itu masih jauh. Masih dihadang rintangan. Iqram tahu dia terpaksa mengharungi semua rintangan itu jika dia mahu keluar dari daerah m**i tersebut.
Usai mengasihani diri sendiri, Iqram berdiri di atas sejadah, mengangkat takbiratul ihram. Solat dikerjakan dengan penuh khusyuk. Wajahnya suram, sesuram hatinya yang dihurung kesedihan. Dia cuba bertahan, namun air matanya gugur juga tatkala dia mengalunkan surah al-Fatihah. Maksud ibu al-Quran itu menusuk kalbunya.
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Pemurah.
Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.
Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Yang menguasai Hari Pembalasan.
Hanya Engkau yang kami sembah dan hanya pada Engkau kami meminta pertolongan.
Tunjukkanlah kami jalan yang lurus.
[Iaitu] Jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka, bukan [jalan] mereka yang dimurkai dan bukan [pula jalan] mereka yang sesat.
SELEPAS memberi salam, Iqram kembali sujud. Matanya pejam. Mulutnya dikunci. Dia tidak mahu berkata apa-apa. Hanya mahu sujud pada Allah sahaja. Hanya mahu mendekatkan dirinya pada Yang Maha Esa. Mahu merasai ‘pelukan’ Tuhan yang telah menciptanya. Bertemankan linangan air mata dia menyerah diri. Dia sedang merajuk dengan situasi, terkilan dengan apa yang telah berlaku di tepi pantai tadi. Namun, tiada siapa yang dirasakannya layak untuk memujuknya kecuali Allah SWT.
“Ya Rabb…” seru Iqram dalam keadaan teresak-esak. Dia masih berada dalam keadaan sujud. “Kenapa aku masih rasa berdosa? Kenapa aku masih rasa bersalah? Aku dah mintak ampun dan aku dah diampunkan tapi kenapa aku masih rasa pengampunan tu tak mencukupi? Kenapa lepas aku tebus kesalahanku, aku masih lagi rasa kotor? Rasa jahat? Rasa dosaku masih melekat pada tubuh badanku?
Kaukah yang belum mengampunkanku, ya Rabb? Kaukah yang enggan memaafkan dosa-dosaku? Jika benar, aku mohon kasih sayang-Mu, ya Allah. Dosaku bukan pada-Mu. Dosaku adalah dosa sesama manusia dan aku dah pun terima pengampunannya. Kau Yang Maha Mengetahui dan Kau juga jadi saksi perbualan antara aku dengan dia. Tak ikhlaskah dia memaafkan aku? Atau aku yang tak ikhlas semasa memohon maaf? Sebab itukah Kau enggan mengampunkanku?
Ya Allah, jangan diseksa aku lagi. Aku benar-benar goyang sekarang. Aku mahukan kekuatan-Mu. Aku mahukan kudrat-Mu kerana aku tengah berusaha keras untuk menebus segala kesalahanku pada dia. Selagi tak selesai, selagi itu aku takkan berhenti. Jangan bagi aku goyang, ya Allah. Berikan aku keredaan-Mu. Berikan aku keberkatan dalam usahaku ini agar segala yang aku lakukan tak sia-sia.
Ya Allah, jangan matikan aku dulu sebelum dosaku terhapus. Izinkan aku membayar habis hutang-hutangku terhadapnya, selepas itu barulah Kau ambik nyawaku. Kabulkanlah kehendakku ini, ya Rabb. Kabulkanlah. Aamiiin ya Rabbal’alamiiin.”
Iqram terus berbaring di atas sejadah. Dia masih mahu berasa dekat dengan Allah, masih belum bersedia melepaskan ‘pelukan’ Tuhannya. Sambil melarikan hujung jarinya pada kelopak mata yang luka, dia memainkan semula insiden di tepi pantai tadi dalam kanvas minda. Segala-galanya berlaku dengan pantas sehingga dia tidak dapat mengelak. Dia tidak dapat menyelamatkan diri.
“Macam tu lah jugak yang kau buat kat dia dulu! Dia pun tak sempat mengelak. Tak sempat selamatkan diri!”
Serta-merta Iqram duduk. Pandangannya meliar ke seluruh bilik solat itu, walaupun dia tahu tidak mungkin ada sesiapa di situ. Walaupun dia tahu suara kasar yang sedang memarahinya itu hanya muncul dalam kepalanya sahaja. Namun, suara itu terlalu realistik.
“Aku kecik lagi masa tu,” balas Iqram, kembali merebahkan tubuhnya di atas sejadah, berbaring di situ dengan wajah membungkam.
“Kecik pala otak kau! Dua puluh tahun kau kata kecik?” Suara itu berdekah. Tawanya berisi ejekan yang mampu menjatuhkan maruah.
Iqram terdiam, cuba mengingati semula kisah lama. Ya, dia ingat. Memang dia berusia dua puluh tahun semasa kejadian itu berlaku. Sedang menghabiskan cuti semester. Dan orang yang dimaksudkan oleh suara itu berusia tiga belas tahun.
Tiba-tiba Iqram berasa pedih di ulu hatinya.
“Aku mengaku aku bodoh,” gumamnya.
“Bodoh?” Semakin kuat suara itu ketawa. Mengejeknya. “Kau jangan ingat senang-senang je kau nak lepaskan diri, bingai! Kau bukan bodoh tapi kau kejam. Kau takde hati perut. Manusia paling celaka, paling sombong yang pernah aku jumpa. Kau tak patut hidup kat atas dunia ni. Lebih baik kau m**i!”
“Hidup atau matinya aku bukan kau yang tentukan!” tingkah Iqram. Kalau m**i, dia hendak m**i dalam termanya sendiri, bukan diimlakkan oleh suara itu atau orang lain. Kecuali ketetapan Allah, itu sudah pasti. Kuasa Yang Satu itu tidak mungkin dia dapat menentang.
“Orang macam kau kena m**i sebab orang macam kau tahu perbuatan yang kau buat tu salah tapi kau tetap jugak buat. Kau kena m**i, pendosa. Tak guna pendosa macam kau hidup kat atas dunia ni. Kau kena m**i. M**i! M**i! M**i! M**i! M**i!”
“Diam!” Iqram pekupkan telinganya.
“Pendosa kena m**i! M**i! M**i! M**i! M**i! M**i!”
“DIAMMM!!!” Iqram bangkit duduk lalu menjerit sekuat hati.
Suara itu diam.
Iqram terus duduk di atas sejadah. Terkempul-kempul nafasnya. Pandangannya tajam menjurus ke hadapan, menembusi dinding konkrit rumahnya. Tanpa dipinta, tanpa dia mahukan, peristiwa yang terjadi lima belas tahun yang lalu menjenguknya kembali. Iqram rebahkan kembali tubuhnya sambil menggeleng, cuba menghalau gambaran yang tiba-tiba sahaja muncul di tubir matanya itu tetapi tidak berjaya. Semakin kuat dia mengusir, semakin jelas wajah remaja berusia tiga belas tahun itu menempel pada kanvas mindanya.
Remaja itu tersenyum. Ternyata, remaja itu memandang tinggi padanya dan tersangat memujanya. Iqram dapat melihat dengan jelas kesetiaan tidak berbelah bahagi terhadapnya dalam mata remaja itu. Ke mana sahaja Iqram pergi, remaja itu pasti akan mengekori. Kata-kata yang keluar dari mulut Iqram, biarpun kebenarannya tiada, tetap ditelan bulat-bulat oleh remaja itu, sedikit pun tidak pernah dipertikaikan.
‘Betapa bodohnya aku,’ jerit hati Iqram.
Petang yang penuh kecelakaan itu, mereka bertiga berbasikal; Iqram, remaja itu dan seorang budak perempuan kecil berusia tiga tahun. Remaja itu menunggang basikalnya sendiri. Iqram menunggang basikal besar yang dilengkapi tempat duduk khas untuk budak perempuan berusia tiga tahun itu. Bertiga mereka mengelilingi kawasan perumahan yang masih mesra penduduk di waktu itu. Sekarang, di kawasan perumahan yang sama, anak-anak kecil tidak boleh lagi bermain di luar. Pasti akan hilang buat selama-lamanya.
“Bang Iq, esok ada pesta jagung bakar kat Kampung Tok Ngah Basir. Nak pergi tak, Bang Iq? Hah, Bang Iq? Nak pergi tak, Bang Iq? Bang Iq!” Remaja itu terbersin. Dia kurang sihat petang itu.
“Yaaa!” tengking Iqram.
Dia benar-benar bosan dengan sikap remaja itu yang sangat suka memaksa-maksa bila berbual. Sekali cakap sudah memadai, tidak perlu memanggil namanya berkali-kali. Iqram dengar bukannya tidak dengar soalannya dan Iqram sedang memikirkan jawapannya. Bersabarlah sedikit! Takkan itu pun tidak boleh?
Iqram pandang remaja itu. Wajahnya suram, malu ditengking. Terkebil-kebil matanya, seolah-olah hendak menangis. Iqram rasa bersalah. Rasa hendak membelasah diri sendiri. Selalu sangat dia memperlakukan remaja itu sebegitu sedangkan remaja itu terlalu baik padanya. Sebaik-baik manusia, Iqram rasa. Remaja itu sangat ringan tulang dan selalu menolong Iqram atau sesiapa sahaja yang memerlukan bantuannya. Panggil sahaja dan remaja itu akan muncul, bersedia untuk mengerah tenaganya.
‘Betapa bodohnya aku,’ bisik hati Iqram. “Kita pergi esok. Bangun tidur tu awal sikit.” Iqram memujuk, walaupun air mukanya masam seperti kebiasaannya.
“Yayyy!” Remaja itu bersorak. Berubah 360 darjah air mukanya, tidak lagi kusam atau sedih. Begitu mudah sekali hatinya terpujuk oleh kata-kata orang yang dipujanya.
“Pegang basikal ni kejap. Pegang elok-elok jangan bagi jatuh. Abang Iq nak basuh tangan.”
Tanpa membantah dan sememangnya dia tidak pernah membantah cakap Iqram, remaja itu terus melaksanakan perintah Iqram. Dia memegang basikal Iqram dengan erat, memastikan budak perempuan berusia tiga tahun yang masih duduk di atas pelana khas itu tidak jatuh.
“Jangan bagi jatuh!” Iqram memberi amaran.
“Tak, Abang Iq.” Dia bersin lagi.
Iqram bertinggung untuk membasuh tangannya pada pili air. Remaja itu bersin tidak berhenti pula kali ini. Iqram tidak sedap hati lantas menoleh. Serentak dengan itu juga, dia melihat basikal yang dipegang oleh remaja itu tumbang ke tanah, bersama-sama budak perempuan kecil berusia tiga tahun itu. Budak perempuan itu melalak kesakitan. Mukanya tersembam di atas tanah berpasir. Seluruh tubuh badannya menggogoh, ketakutan yang maha dahsyat.
Dengan pantas Iqram menerpa ke arah budak perempuan itu, lalu didukungnya budak kecil yang masih melalak, memujuknya sambil membersihkan pasir dari mukanya.
“Dah, dah, dah… sikit je. Sikit je.” Iqram memujuk.
Pandangannya melirik ke arah remaja berusia tiga belas tahun yang berdiri tegak di sebelahnya sambil memandang Iqram dengan riak bersalah. Tubuh badan remaja itu menggigil. Jelas di mata Iqram remaja itu sedang menyerah diri untuk dihukum.
Iqram tidak tahu hantu apa yang telah merasuknya, melihat muka remaja berusia tiga belas tahun itu dia terus naik radang. Iqram meletakkan budak kecil yang masih menangis itu ke atas tanah. Semakin kuat budak kecil itu melalak tetapi Iqram tidak hiraukan kerana dia terlalu marah pada remaja itu dan ketika itu dia hanya mahu menghukum remaja itu supaya remaja itu merasai kesakitan yang dialami oleh budak perempuan berusia tiga tahun itu.
Dirasuk syaitan, Iqram menggenggam pasir lantas menegakkan badannya. Kemudian dia mencengkam rambut remaja berusia tiga belas tahun itu dengan kuat dan tanpa belas kasihan, dia mengganyah pasir itu pada muka remaja berusia tiga belas tahun tersebut.
“Adoi, Abang Iq! Sakit, Abang Iq!” jerit remaja itu sambil memegang tangan Iqram yang terus mengganyah mukanya. Matanya pedih kerana dimasuki pasir. Dia tidak sempat mengelak. Tidak sempat menutup mata semasa serangan terhadapnya bermula.
“Baru kau tahu sakit, ya. Baru kau tahu!” herdik Iqram. Dia membongkok, mengambil segenggam lagi pasir lalu menyental ke muka remaja itu yang tidak langsung melarikan diri bila rambutnya dilepaskan.
“Tolong, Abang Iq. Tolong berhenti. Sakit. Mata adik sakit,” jerit remaja itu lagi. Kudrat Iqram terlalu kuat baginya. Tidak mampu dia menahan serangan yang maha kejam itu. “Tolong berhenti, Abang Iq. Sakit… sakit…”
Tangisan remaja itu membuatkan hati Iqram semakin gejolak mahu menyeksanya. Tanpa hati perut, Iqram menonyoh pasir pada mata remaja itu.
“Abang Iq! Sakit, Abang Iq! Sakit, Abang Iq!”
“SUDAH! Sudah!” jerit Iqram sambil memekup telinganya. Matanya pejam. Dia tidak sanggup lagi menyaksikan kejahatan yang telah dilakukannya terhadap remaja itu. “Sudahlah… jangan tunjuk lagi… aku tak mahu tengok lagi…”
“Kenapa sudah?” soal suara itu dengan bengis. “Bukan budak tu jerit benda yang sama ke kat kau hari tu tapi kau terus sental muka dia dengan pasir.”
“Aku tak sengaja! Aku tak sengaja!”
“Tak sengaja kepala otak kau! Kau terus sental muka dia walaupun dah banyak kali dia merayu kau berhenti. Dah banyak kali dia kata sakit tapi kau sental jugak mata dia. Tak sengaja apanya? Tak sengaja apa?” tengking suara itu. “Tolong, Abang Iq. Tolong berhenti. Sakit. Mata adik sakit.” Suara remaja itu pula bergema dengan kuat. “Abang Iq! Sakit, Abang Iq! Sakit, Abang Iq!”
“Tolonglah! Tolonglah berhenti!” jerit Iqram sambil teresak-esak. Tidak sanggup dia mendengar lolongan remaja itu yang terlalu menyeksakan.
Tidak semena-mena susuk tubuh remaja itu berdiri di hadapannya sambil menangis kesakitan. Matanya bengkak. Mukanya berdarah. Remaja itu merayu Iqram berhenti menganiayanya. Remaja itu merayu Iqram berhenti menyakiti matanya. Tangisannya mendayu-dayu. D***h merah pekat berjejeran keluar dari matanya yang Iqram sakiti. Iqram menjerit lagi sambil menjangkaukan tangannya untuk memaut kaki remaja itu. Dia mahu sembah remaja itu, mahu meminta maaf, meminta ampun tetapi tubuh badannya seakan terkunci pada sejadah. Hanya tangannya sahaja yang mampu diraihkan ke hadapan. Sayangnya, remaja itu berdiri terlalu jauh.
“Ampunkan Abang Iq, adik. Ampunkan Abang Iq. Abang Iq tak sengaja. Abang Iq berdosa. Ampunkan Abang Iq…” tangisnya.
“Kau memang pandai mintak ampun lepas mencelakakan orang!” Bak petir suara itu menghunjam kemarahan. “Kau pandai sakiti orang. Lepas tu kau tinggalkan dia macam tu je. Kau biarkan orang menderita dengan perbuatan kau.”
“Aku tengah cuba bayar balik hutangku pada dia. Aku tengah bayar balik hutang aku pada dia.” Tangisan Iqram semakin kuat. Tubuhnya berguling-guling di atas sejadah. Dia masih berusaha untuk mencapai kaki remaja yang susuk tubuhnya masih berdiri di hadapannya.
“Kau nak bayar macam mana? Kau nak kira macam mana hutang kau tu? Berapa lama dia terpaksa menahan sakit lepas kau sental mata dan muka dia dengan pasir hari tu? Berapa lama?” tengking suara itu.
“Aku tak tahu… aku tak tahu…” Iqram melolong.
“Memang kau tak pernah tahu apa-apa, kan? Memang kau tak pernah nak ambik tahu pasal orang lain kecuali diri kau sendiri kan, selfish son of a bitch! Lepas kau buat dia, kau balik ke universiti, kau berhu-ha dengan hidup kau. Sikit pun kau tak terfikir pasal dia lagi kan? Kan?” Suara itu menuntut jawapan.
Iqram meraung sambil menggeleng tidak berhenti-henti. Penyesalan membantainya tanpa belas kasihan. Kesakitan yang tidak nampak dek mata kasar tetapi kesakitan itu mengoyakkan hatinya. Merobekkan kulitnya. Bak dibelasah dengan rantai berduri sahaja rasanya. Dia ingin lari dari situ tetapi kulitnya seolah-olah melekat pada sejadah. Dia hanya mampu terguling-guling di atas sejadah itu, menerima serangan yang maha dahsyat tanpa daya upaya untuk mempertahankan diri.
“Apa kau geleng kepala kau? Apa kau geleng? Kau memang tak guna! Memang celaka! Tiga minggu dia menderita tanggung sakit mata dia tu. Tiga minggu kau letak dia dalam ketakutan, takut matanya akan buta. Apa jadi pada dia nanti? Macam mana masa depan dia kalau mata dia buta? Tapi kau peduli tak? Kau buat apa? Kau buat tak tahu aje. Sikit pun kau tak tanya khabar berita dia. Kau lepas tangan je. Kau anggap dia memang patut menerima hukuman tu kan? Kau anggap dia bersalah dan kau berhak perlakukan apa saja pada dia, kan? Kan, celaka? Aku cakap dengan kau ni! Jawablah!”
“Aku memang salah! Aku memang salah. Aku tengah perbetulkan kesalahan aku tu. Aku tengah tebus balik kesalahan aku. Tolong jangan seksa aku. Tolong lepaskan aku. Aku mengaku bersalah.” Iqram melolong merayu.
“Kau nak tebus macam mana? Macam mana?”
“Aku… aku…”
Suara itu berjeda. Yang kedengaran hanya tangisan mendayu Iqram yang tidak putus-putus meminta ampun pada remaja itu.
“Kau ada bawak balik pasir dari PD tadi kan?” Suara itu berkata-kata setelah agak lama berjeda. Ayatnya berupa arahan berlapik.
Iqram berhenti menangis, hanya tersedu sambil merenung susuk tubuh remaja itu yang masih berdiri di hadapannya. Remaja itu tidak menangis lagi. Riak wajahnya seolah-olah menuntut sesuatu daripada Iqram.
“Pasir yang kau bawak dari PD tadi, mana dia?” soal suara itu lagi.
Soalan itu seolah-olah memberikan pengharapan kepada Iqram. Dia tahu apa yang patut dilakukannya. Segera dia bangkit. Menakjubkan, tubuhnya berasa ringan tiba-tiba, tidak lagi melekat pada sejadah seperti tadi. Iqram meluru ke bilik air. Dicarinya sebungkus pasir pantai yang dibawa balik dari Port Dickson tadi. Puas dia mencari merata, akhirnya beg plastik itu ditemuinya di dalam beg pakaian kotornya.
Petang tadi, Iqram sendiri tidak tahu mengapa dia membawa pasir itu balik ke Kuala Lumpur. Runtunan hati memaksanya berbuat begitu. Bagaikan orang bodoh dia menurut kehendak hatinya. Sekarang, barulah dia faham maksud tindakannya itu.
Berdiri di hadapan cermin singki, Iqram merenung mukanya yang dibasahi air mata bercampur peluh. Tangan kanannya meramas-ramas pasir di dalam plastik jernih. Matanya direnung. Kelopak matanya yang luka dan kedua-dua mata putihnya masih merah. Kecederaannya masih baharu. Masih terasa lagi kesakitannya. Iqram teragak-agak.
“Kau nak fikir apa lagi?” soal suara itu dengan keras. “Tonyoh je lah muka kau tu dengan pasir tu!”
Bunyi liur ditelan jelas kedengaran. “Aku tak nak sakit. Aku tak nak mata aku buta.”
“Tau pun kau. Masa kau buat dia, ada kau berhenti kejap dan fikir pasal kesakitan dia? Pasal mata dia buta ke tak lepas kau tonyoh dengan pasir hari tu? Ada?” amuk suara itu.
“Aku…”
“Tonyoh muka dan mata kau sekarang! Tonyoh!”
Dengan tangan yang menggeletar, dengan teresak-esak, Iqram menonyoh muka dan matanya dengan pasir.
“Tonyoh kuat-kuat lagi. Macam mana kau buat dia dulu, kau buat kat muka kau. Tonyoh kuat-kuat!” paksa suara itu.
“Arghhh!!!” Iqram menjerit sekuat hati semasa dia mengganyah muka dan matanya dengan pasir, sebagaimana yang telah dilakukannya terhadap remaja berusia tiga belas tahun itu.
“Tonyoh lagi! Tonyoh!” perintah suara itu.
Kesakitan yang maha dahsyat tidak dihiraukan. Iqram hanya mahu hukuman itu berlalu. Dia hanya mahu dosa itu terhapus, agar suara itu tidak lagi mengganggunya. Semoga tenang hidupnya selepas ini. Semoga tiada lagi derita.
“Tonyoh!”
“Arghhh!!!” Iqram menjerit sekuat hati
Sy rs elok awk jdi penulis cerpen drp karang cite seram sbb bab seramnya xde langsung nk tggu diakhir cite xtaulah smpai episod brp…huh
BOSAN