Pengakuan Dari Yang Merasuk II

Pengakuan Dari Yang Merasuk #2

Lima minggu.
Sudah lima minggu sekolah tidak aman tenteram kerana kejadian histeria.
Sudah lima minggu pelajar-pelajar dalam keadaan ketakutan.
Sudah lima minggu juga, pelbagai cerita bertebaran di seluruh sekolah. Pelbagai versi, pelbagai warna, pelbagai perisa untuk menambah sedap halwa telinga.

Guru-guru sudah keletihan.
Pembelajaran jadi berkecamuk.
Saban hari,sentiasa ada pelajar yang dirasuk.
Jika tidak dirasuk sehingga pelajar menjerit, pelajar yang terkena gangguan tersebut menjadi kejung. Badan mereka keras tidak mampu dikawal. Walaupun lidah untuk melafazkan ikrar syahadah, turut kaku dan beku. Hanya kelopak mata yang boleh menjadi alat komunikasi antara mereka dan kami guru-guru.
Jenuh sudah pelbagai ustaz dipanggil, namun satu pun tidak membuahkan hasil. Malah, gangguan semakin menjadi-jadi. Ada ketika apabila entiti yang merasuk pelajar ingin berkomunikasi, seringkali mereka ketawa mengilai dan mengejek.
Kata mereka, kami bodoh.

“Teacher, Lili dengan Alia datang la harini.. Kitorang takut…” rengek seorang pelajar perempuan berkaca mata.
“Kenapa awak nak takut pada manusia? Guru disiplin ke diorang tu? ”
“Tak… Bukan guru disiplin, tapi diorang kan yang mula-mula kena histeria tu..”
“Habis tu?”
“Diorang yang bawak hantu ke sekolah ni, kan? Kalau hantu diorang tu kacau kitorang, macamana?”
“Hantu sebenarnya tak ada dalam dunia ni.. Yang ada cuma syaitan. Syaitan kan dah janji sejak dahulu lagi, yang mereka akan menipu daya manusia, hingga sesat, hingga manusia berpecah belah? Kita jangan takut pada manusia.. Kita juga jangan takut pada syaitan. Ini semua trick mereka sahaja..”
“Tapi teacher, kitorang takut..” Rengek pelajar tadi lagi. Tangannya sudah kelihatan menggigil.
“Come here.” aku mendepakan tangan. Dia segera hampir. Aku memeluknya erat. Pecah tangisnya di bahuku. Ya, saat genting begini, tugas menenteramkan pelajar bukan lagi tugas guru kaunseling semata. Ia harus digalas semua guru! Aku memejamkan mata rapat sambil hati berbisik penuh harap. Cepatlah ribut ini reda, ya Allah.. Bila mataku kembali kubuka, di hadapanku berdiri tujuh orang lagi pelajar perempuan.
“Teacher, kami pun takut jugak.”
“Ok, come, group hug.”
Dan semua mereka cuba meraih tubuhku untuk dipeluk. Damailah, anak.. Damailah taufan perasaanmu. Semoga esok kita semua gembira semula seperti biasa. Baharu sahaja tanganku memeluk anak-anak yang ketakutan ini, kedengaran tapak kaki berlari ke arah kelas. Pintu diketuk rakus. Aku menghalakan pandangan ke arah pintu.

“Teacher Hana, ada lagi budak kena. Dia nak terjun bangunan tadi. Cikgu Hairi sempat tangkap.”
“Siapa? Kelas mana?”
“Ainin Kamilla, kelas 2 Bakti”
“Eh? Ainin Kamilla? She’s in my team. Selama ni dia ok je. Kenapa tiba-tiba kena? Allahuakbar. Ok, kat mana dia sekarang?”
“Dia di surau. Ustaz tengah pulihkan dia. Nak saya tolong, ke teacher?”
“Yup. Thanks for your offer, dear. Tolong pergi ke 2 Bakti, bagitahu Zailin, saya order squad histeria untuk ronda sekarang. Saya tunggu Zailin di surau.”

Kelakar apabila kedengaran nama pasukan tersebut. Squad Histeria. Fungsinya tidak sama dengan Ghost Buster, tapi ada mirip pasukan tersebut. Squad ini tertubuh tanpa sengaja. Dianggotai oleh gadis-gadis manis pelajar tingkatan dua yang kukuh jatidirinya. Pendek kata, kuat luaran dan dalaman. Bagaimana untuk tahu dia kuat? Jika pelajar tersebut tidak rasa gentar dengan jerit pekik kawan-kawannya yang kerasukan, insyaAllah kuatlah pelajar itu. Apa tujuan squad ini ditubuhkan? Untuk membantu guru-guru yang mula keletihan memerangi tragedi histeria paling panjang dalam sejarah sekolah. Kerana apa yang aku perhatikan, apabila guru-guru mengumpulkan pelajar yang telah dirasuk, pelajar yang sedang mengikuti pembelajaran di kelas pula yang diganggu. Beberapa simptom yang kami kenal pasti menjadi pegangan kami untuk asingkan pelajar tersebut terlebih dahulu di beberapa tempat yang telah dikelaskan mengikut zon-zon seperti di jabatan kecemasan hospital.

Zon hijau adalah bagi mangsa yang paling ringan gangguannya. Jika dia hanya takut, menangis, kami akan asingkan di kantin. Di situ akan ada beberapa pelajar squad histeria yang akan menceriakan mereka, ajak mereka berbual atau berbincang sesuatu topik, bagi mengalihkan perhatian mereka daripada ketakutan yang mereka alami.

Zon kuning adalah zon separa kritikal. Pelajar-pelajar separa kritikal ini biasanya memiliki simptom kemurungan, tidak mahu berinteraksi dengan sesiapa. Pandangan mata mereka pula biasanya asyik menghala ke suatu arah semata. Kadang ada juga mangsa separa kritikal ini yang sudah mula menggigil badan mereka, lantaran ketakutan mereka. Mereka ini kami tempatkan di bilik kaunseling. Ada seorang guru kaunseling dan beberapa orang anggota squad yang akan memantau mereka, mengajari mereka ayat-ayat suci al quran sebagai pendinding. Rasionalnya, biasanya mangsa separa kritikal jika tidak diawasi, mereka akan cenderung untuk menjerit atau mengilai secara tiba-tiba. Jadi adalah lebih molek mereka berada di tempat tertutup agar aurat mereka boleh dijaga sekiranya mereka hilang kawalan nanti.

Zon merah. Seperti mana nama zon itu sendiri, ianya bermaksud zon kritikal. Pelajar yang dihantar ke zon merah adalah pelajar -pelajar yang sangat kritikal. Mereka sudah hilang pertimbangan. Mangsa perlu dipegang kerana mereka meronta dan khuatir akan bertindak mencederakan diri mereka. Suara mereka juga, jika mereka mahu berbicara, bukan lagi suara milik tuan asal pemilik tubuh. Ada suara perempuan tua, ada suara anak kecil, ada suara lelaki dengan bahasa yang tidak difahami, dana da suara-suara seperti binatang. Semua suara itu jika didengari, akan meremanglah bulu roma.

Anggota squad juga bertugas untuk meronda dari kelas ke kelas untuk memastikan tiada pelajar yang mengalami simptom-simptom histeria di kelas. Mereka perlu dikuarantinkan sesegera mungkin bagi mengelakkan sebarang kemungkinan. Solusinya, guru akan menghubungi penjaga, memberitahu keadaan anak mereka dan para penjaga perlu datang ke sekolah untuk menjemput anak mereka pulang.

Kaki kuatur laju menuju surau. Ustaz ketua guru disiplin melangkah keluar daripada surau. Berhenti sejenak di pintu surau, sekadar berbasa-basi.
“Ustaz, Ainin dah ok?”
“Alhamdulillah dah.. Saya rasa macam ada gelombang baru, Hana.. Macam aura ‘mereka’ makin kuat pula. Entahlah. Apa lah main dengan perasaan macamni. Allahuakbar”
“Sabar, ustaz… Allah kan uji yang mampu je.. Yang tak mampu Dia tak uji. Ini semua ujian kita ni.. Saya masuk dulu, nak tengok Ainin.”
“Ya lah.. Saya ada kelas ni. Masuk kelas kejap.”

Di sudut surau, Ainin Kamilla, pelajar yang selama ini tangkas membantuku dalam squad histeria terpunduk lesu. Air mata kelihatan berembesan dari kelopak matanya yang terpejam rapat. Ainin diriba oleh salah seorang anggota squad. Dua orang pelajar yang membantu mengawal Ainin mengangkat muka.
“ainin, Teacher Hana datang ni.”

Ainin Kamilla membuka kelopak matanya. Kelihatan payah sekali. Dia mengangkat kedua belah tangannya. Juga kelihatan payah. Tangannya dihulurkan kepadaku. Aku meraih tubuh kecilnya ke dalam pelukan. Ainin menangis semahunya.

“Teacher, ‘dia’ marah saya.. ‘Dia’ marah..”
“Ainin… Sabar.. Kalau awak nak cerita, ceritalah satu per satu. Saya ada kat sini. ”

Ainin mengangkat wajahnya. Disapunya air mata yang berlinangan. Dia menarik nafas, seolah mencari kekuatannya yang telah hilang.

“Teacher, petang semalam masa saya balik dari sekolah, saya rasa ada benda ikut saya. Saya buat tak peduli. Lepas isyak, saya nampak kelibat dalam bilik saya. Masa saya nak tidur, saya dengar suara warning saya, jangan kacau kerja dia. Saya tak pernah kacau sesiapa, saya pun abaikan ajer. Bila daya datang sekolah pukul dua belas tadi, saya dengar suara bisik2 di telinga, jangan kacau dia, kalau tak saya kena, kita semua kena. Suara tu makin lama makin kuat, teacher.. Bingit jadinya. Sebab tu saya jerit. Lepas tu saya nampak ada jalan, saya ikut jalan tu. Saya sedar, Cikgu dah pegang tangan saya, saya dah berdiri atas penghalang koridor tu. Lepas tu saya nampak semua orang bukan kawan saya. Ada banyak lembaga. Semua ugut saya jangan kacau, jangan kacau. Bila saya sedar, saya dah ada kat surau ni.”

Aku cuba menaakul cerita Ainin. Tapi kosong. Masih tiada makna yang tersirat mahupun yang tersurat.

“Ok, tak apa Ainin.. Esok kan Khamis.. Kita ada Yassin. Kita lawan dengan yassin lagi, ya?”

Ainin menggenggam erat tanganku.
Pandangan matanya penuh nekad.
Diaangguk penuh semangat.

Khamis.
__ /8/2017
12.30 tengahari.

Memang kebiasaannya, kami akan adakan sesi bacaan Yassin pada hari khamis. Pelajar dinasihatkan membawa air untuk ‘menadah’ bacaan Yassin setiap khamis. Tapi Khamis kali ini berbeza. Pelajar membawa begitu banyak air untuk menadah Yassin. Nampak mereka juga mula mencari solusi daripada kebuntuan dan ketakutan yang mencengkam ini.
Tinggal beberapa ayat sebelum bacaan Yassin tamat, sudah ada pelajar yang meraung dari belakang dewan. Aku dan seorang guru perempuan bergegas melunasi tanggungjawab kami dengan mangsa pertama pada hari itu. Pelajar tersebut dibawa ke surau, diasingkan daripada sekian ramai pelajar yang lain.

Doa selepas Yassin.

Ketika tangan menadahkan tangan berdoa, ada lima orang pelajar lagi yang tubuh mereka menggigil secara tiba-tiba, dan mula menangis. Anggota squad mula mengambil peranan masing-masing. Mana yang perlu berada di zon hijau, dibawa ke zon hijau. Pelajar-pelajar sesi pagi mula turun dari kelas. Kami, warga sesi petang bersiap sedia untuk naik ke kelas bagi meneruskan pembelajaran. Dalam keadaan kalut begitu, tiba- tiba kedengaran suara-suara nyaring pelajar perempuan sesi pagi memanggil nama kawan mereka, Linda. Linda hanya duduk membatu di sebuah bangku tanpa menjawab panggilan rakan-rakannya.

Aku ketika itu berada di dewan terbuka sekolah, sedang menenteramkan seorang pelajar yang sudah mula menggulingkan badannya di tengah dewan. Perhatianku teralih kepada Linda dan kawan-kawannya. Seolah ada naluri halus mengatakan bahwa Linda tidak selamat. Segera kuarahkan squad untuk mengangkat sahaja mangsa rasuk di hadapanku ini. Aku mula mengatur langkah ke arah Linda. Linda yang tadinya menunduk, tiba-tiba secara drastik mengangkat wajahnya. Allahuakbar, mata Linda terbeliak sehingga hanya mata putihnya sahaja yang kelihatan. Mata hitam sudah hilang di sebalik kelopak matanya. Aku mula membaca ayat qursi sebagai pertahanan diriku sendiri. Hanya kepadaNya aku berserah, sementara kaki kuatur laju menghampiri Linda.

Selang beberapa langgkah sebelum aku mencapai tubuh Linda, Linda menjerit nyaring serayya tubuhnya tertolak ke belakang, seperti ada seseorang menolaknya. Kedua tangan Linda terangkat ke atas. Begitu juga kedua kakinya, terkangkang luas. Linda jatuh terduduk di tanah. Bangku simen yang diduduki Linda tadi juga terjatuh ke tanah dan terus patah dua. Seolah daya tolakan ke atas tubuh Linda sangat kuat sehingga turut memusnahkan bangku tersebut. Aku terpana. Adegan yang selama ini hanya kutonton dalam filem, kini di hadapan mataku. Pantas lidahku mengalunkan ayat-ayat lazim sebagai benteng diri. Linda yang tadinya terlentang di tanah mula bangun. Kawan-kawannya yang tadinya mengerumuni beliau kini menghindar. Mungkin gerun dengan lagak Linda yang kini berdiri menepuk-nepuk dadanya seperti gorila. Suaranya nyaring mengaum. Matanya masih lagi mata putih sahaja. Tangannya rakus menumbuk-numbuk dada sendiri. Beberapa orang guru lain berlari ke arah kami. Kami mula memegang Linda untuk memberhentikan perbuatannya. Linda mula meronta. Habis kain yang dipakainya tersingkap ke atas. Inilah yang selalunya cuba kami kawal, kami jaga.. Supaya aurat mangsa tidak dipertontonkan di khalayak ramai seperti ini.
“Adelyne, kita kena bawa budak ni ke surau ni. Tak boleh macam ni. “. Ujarku sambil cuba melawan rontaan Linda yang mula menarik tudungnya sendiri.
“Macamana nak bawak.. Dia bukan nak dengar arahan kita untuk jalan”
“Angkat. Kita ramai2 angkat dia”
“How? Budak ni besar. 80 kg ni.”
“Boleh. Sure boleh. Jap, Siti. Lepaskan tangan Linda. You lari kejap ke stage di dewan. Panggil enam orang guru lelaki datang sini. Cepat!!”

Siti, ratu pecut sesi petang membuka langkah seribu.

Tidak lama kemudian, datang enam orang guru lelaki menyertai kami. Kami bertujuh sedari tadi, tambah enam orang guru lelaki, hah kiralah sendiri.
“Ok, everybody, lillahitaala, kita akan kuat. In a count of three, we lift this kid up.”
Semua mengangguk. Lapan orang guru, lima orang pelajar.
Aku yang berada di hadapan mula merangka strategi.
Linda pelajar yang berbadan besar.
Jika kami usung tubuhnya melalui belakang dewan (sambil melawan rontaannya) kami pasti kehabisan tenaga sebelum sampai surau. Mahu tidak mahu, kami perlu melalui tengah dewan terbuka, merentas lautan manusia di tengah dewan, jalan paling singkat untuk sampai ke surau.
“Aizad, Fazli, awak berdua akan lepas kan kaki Linda bila saya kira sampai tiga. Awak kena lari ke dewan, clearkan laluan untuk kami usung Linda ke surau. And make sure buka pintu surau siap-siap.”
“Yes, ma’am!”
“Ok ready, one .. Two…”
Dua pasang mata jejaka idaman sekolah tertancap padaku bersedia bertindak mengikut arahan. Aku yang sedang mengawal rontaan Linda menarik nafas dalam,
“Three, GO!!!”

Sepantas kilat dua orang pelajar yang kutugaskan tadi melepaskan kedua belah kaki Linda dan menjalankan tugas seperti yang kuarahkan.
Aku tersilap percaturan di situ.
Sebentar tadi, aku dan Fazli memegang kaki kanan Linda.
Manakala kaki kiri Linda diampu oleh Aizad seorang.
Apabila kedua mereka melepaskan kaki Linda, dan tinggal aku seorang yang mengawal, membuatkan Linda meronta lebih kuat. Dan aku hilang kawalan.
Rontaan Linda yang lebih kuat dari biasa itu menghantarku terperosok di dalam longkang. Sakitnya tubuhku hanya Tuhan yang tahu.
Melihat Linda yang berjaya melepaskan diri, membuatkannaku lupa sakit yang bertandang. Segera aku merangkak keluar dari longkang, menyertai kumpulan kawalan ke atas Linda. Kemi bersebelas berjaya mengatasi rontaan Linda, dan akhirnya berjaya merentasi dewan sepertimana perancanganku.

Linda dibaringkan di surau. Dia gelak berdekah-dekah. Dua orang sahabatnya yang setia menemani sejak tadi perlahan-lahan berundur. Seorang lagi kelihatan menggigil hebat.
“Awak Adilah, kan? Adilah, jawab saya tanya ni.”
Pelajar yang kumaksudkan itu tidak menjawab. Hanya gigilan badannya kelihatan dengan jelas sekali. Aku faham, itu tandanya dia sudah hilang kawalan ke atas jasadnya sendiri.
“Ok, awak, awak dan awak Siti. Asingkan Adilah dari Linda. Bawa Adilah ke sana.”
Adilah diasingkan.
Beberapa orang guru lagi sertai kami untuk mengawal rontaan Linda. Melihatkan itu, aku berundur bagi memantau keadaan pelajar lain.

Di dewan sahaja kelihatan tidak kurang daripada dua puluh kumpulan pelajar. Masing- masing cuba menenteramkan kawan yang kerasukan.
Kutarik nafas berat.
Kulepaskan perlahan, mencari kekuatan yang bersepah menjadi cebisan.
Angka pelajar kerasukan di dewan sahaja sudah terlalu ramai dari hari-hari sebelumnya.
Aku bergerak ke kantin.
Zon hijau. Tidak kritikal.
Terdapat lebih kurang tiga puluh orang pelajar yang menangis sambil ditemani kawan mereka.
Zon kuning ada sebelas orang.
Zon merah sekarang ada tujuh penghuni.
MasyaAllah.
Dari tingkat tiga, kedengaran jeritan nyaring pelajar perempuan tingkatan satu. Di tangga, kelihatan Zailin dan anggota squad ditemani dua orang guru, sedang mengusung seorang mangsa. Di blok A yang menempatkan pelajar tingkatan dua, kelihatan ada kelas yang sedang kelam kabut pelajar di dalamnya. Pasti di dalamnya ada pelajar yang menjadi mangsa di kelas itu.
Pendek kata, pelajar yang kerasukan ada di mana-mana sahaja.

Aku berpusing ke belakang untuk merangka strategi baru.
Kedapatan di belakangku Encik Zali, Penolong Kanan Petang, berjalan menghampiriku.
“Macamana, Cikgu Rohana?”
Aku menggeleng lesu.
“Encik Zali, isytihar darurat please… Saya belum ronda untuk dapatkan exact figure. Tapi anggaran saya, hari ni sangat teruk keadaan budak kita. Lebih kurang tujuh puluh orang ni, dah kena..”
“Susah untuk isytihar darurat.. Tapi saya cuba bincangkan dengan pengetua. ”
“Encik Zali, cikgu kita tak mampu untuk handle ini.. Berapa orang cikgu sesi petang? Cikgu sesi pagi mesti nak balik dah, dah habis waktu bertugas…”
Puan Zarifah, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid merapati kami.
“Ha, Kak Pah.. Ana mintak sangat, tolonglah isytihar darurat. Keadaan tak terkawal. Lately, budak squad kami pun dah ada yang kena. Hari ini dengan pelajar sesi pagi sekali berjangkit. Ana x yakin kita dapat handle ni. Cikgu-cikgu pun bukan semua berani nak pegang budak.. Dan kami bukan ada ilmu nak rawat. Setakat baca ayat kursi aje lah.”
“Betul tu, puan.. Tenaga kita sedikit. Pelajar yang kena histeria ni ramai harini.. “. Sampuk Ustaz Mat.

“Aku dah kata dah…”
Pandangan kami halakan kepada Puan Nadia, guru perempuan yang tadinya berjalan beriringan dengan Puan Zarifah.
Nadia, guru muda yang baharu sahaja kembali bertugas selepas cuti bersalin tersenyum meleret.
“Aku dah cakap, tapi tak nak dengar..”
“Nadia…? Awak cakap apa yang kita tak dengar,ya?”
Puan Zarifah menyoal. Ustaz Mat mengangkat tangan kanannya memberi isyarat agar Puan Zarifah tidak melanjutkan pertanyaan.
Nadia tertawa lucu. Geli benar hatinya barangkali. Tawanya berubah menjadi gelak berdekah. Sama seperti Linda yang kami usung sebentar tadi. Tubir mata Nadia jelas kemerahan, matanya berair. Sama seperti kondisi pelajar kerasukan yang lain.
Sah.
Hari ini, ada guru juga dirasuk sama.

“Aku dah kata jangan kacau kerja akuuuu!!! Huarghhhh huarghhhhh huaggggh hahahahahahahahaaa”
Tubuh Nadia berpusing laju sebaik sahaja habis menuturkan ayat itu. Semua kami tergamam,tidak tahu berbuat apa. Nafia berhenti berpusing. Matanya tajam merenung kami yang mula menghampirinya.
“Kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga…”
Nadia mula berkias bahasa.
Dalam masa yang sama kedengaran tapak kaki berlari ke arah kami.
Kami berpaling ke arah sekumpulan pelajar itu.
“Teacher Hana!!! Cikgu Ina dekat dalam toilet kitorang. Cikgu Ina kena rasuk, teacher.. Cikgu Ina pecahkan cermin. Lepas tu dia berdarah, dia jilat d***h dia snediri..”
“Allahuakbar.. Saya naik sekarang”

Di hadapan tandas pelajar perempuan, kelihatan dua orang pengawas mengawal keadaan. Mana-mana pelajar yang ingin menggunakan tandas, tidak dibenarkan menggunakan tandas tersebut sebaliknya diarahkan turun ke tingkat bawah, gunakan tandas perempuan di tingkat bawah. Husna, anggota squad histeria yang selalu kuarahkan untuk mengutip data pelajar yang menjadi mangsa, menghampiriku.
“Teacher, Cikgu Ina dari kelas 1 Iktikad. Dia bagitahu kelas tu dia nak kencing, lepas tu dia masuk sini, dia menari, pecahkan cermin, jilat d***h sendiri.”
“Berapa lama?”
“Err lebih kurang lima belas minit, teacher. ”
“Siapa kat dalam?”
“Zailin, Arissa, Qistina.. Kitorang tak boleh nak baca2. Kan dalam tandas, teacher..”
“Ok. Jom masuk.”
Melangkah masuk ke dalam tandas, bau hanyir menusuk hidung. Kelihatan tiga orang pelajar berdiri di hadapan pintu tandas yang tertutup. Mereka memberi laluan. Pintu tandas nyata tidak berkunci. Aku menolak daun pintu.
“Ina.. Aku ni, Hana.. Aku datang nak tolong kau, Ina..”
Ina yang berada di dalam tandas, ketawa dan kedengaran mengulum sesuatu. Aku tolak daun pintu ke belakang lagi. Kelihatan susuk tubuh kecil Ina sahabatku mencangkung di hadapan sebuah tong. Tudung yang dipakai entah ke mana dicampaknya. Rambutnya yang panjang kelihatan kusut masai sekali.
“Ina..”
Aku memanggil perlahan. Ina berpaling.
“Makan?” Soalnya sambil tersengih. Mulutnya comot dengan sisa d***h. D***h yang sudah kehtaman. D***h yang lama. Pandangan mataku beralih kepada ‘makanan’ di tangannya. Pad! Atau dengan kata lain, tuala wanita yang penuh dengan d***h merah kehitaman.

“Assalamualaikum wbt, salam sejahtera. Saya, Encik Zalisham Ahmad, Penolong Kanan Petang mengumumkan agar pelajar segera kosongkan kelas masing-masing. Dalam barisan kelas masing-masing, sila berkumpul di dewan. Harap maklum.”

Hatiku sedikit lega mendengar pengumuman daripada Encik Zali sebentar tadi. Ini bermakna, para pelajar akan dilepaskan pulang sebentar lagi. Kuranglah tisiko rasukan berjangkit kepada pelajar lain.

“Teacher, kita nak buat apa dengan Cikgu Ina, ni?”
“Kita perhatikan aje. Jangan sampai dia cederakan dirinya lagi. Kejap lagi cikgu2 lain akan join kita, baru kita boleh bawa dia ke surau.”

“Kenapa surau?” Ina bersuara.
“Ina, are you ok?”
Gelak.
Mengilai.
“Siapa Ina? Kawan kau? Tak ada dah dia tu..”
“Kenapa kau kacau Cikgu Ina? Zailin bersuara. Eh, berani pula budak ni.
“Kau kacau aku! Aku datang buat kerja. Macam kau, kau, kau… Kenapa kacau aku?!!!”
Ina, guru genit yang ku kenali melompat dari lantai tandas ke atas singki. Dia menyeringai sambil mencangkung di atas singki.
“Aku tak ada masalah dengan kau selama ni.. Kau duduk dalam sekolah ni, semua orang tahu. Asalkan kau tak kacau budak2 sekolah ni sudah. Tapi bila kau kacau macamni, kami tak suka, kau faham?”

Entah dari mana keberanian itu datang, aku menghamburkan segala amarahku kepada Ina, ataupun kepada si dia yang merasuk Ina. Ina ketawa mengilai. Suaranya garau seperti seorang perempuan tua.
“Aku dah cakap.. Kau semua bodoh!! Bodoh!!! Bodohhhhh! Kau bodohhhhh!”

Aku jadi tertanya, kenapa sepanjang tragedi histeria ini melanda, memang itulah ayat yang diulang-ulang ‘mereka’.

“Hana, boleh awak turun ke dewan, handle pelajar yang parents tak boleh ambil? Pelajar lain saya dah lepaskan balik. Ini, suami Ina dah sampai dengan perawat dari Darus Salam.”

Suara Encik Zali memecah keheningan di antara kami. Aku angguk dan terus beredar.

Jam enam petang, semua pelajar sudah dijemput ibubapa dan penjaga masing-masing. Tinggal kami guru-guru yang masih berada di sekolah, menunggu masa rasmi tamat tugasan kami. Seolah beban sebesar gunung dialihkan daripada bahuku selepas pelajar terakhir, Zailin dijemput ibunya tadi.

Aku melangkah longlai ke arah kereta.

“Lemah aje cikgu harini?” Suara garau Pak Din, jaga sekolah.

“Penat, Pak Din.. Lain macam serangan harini, Pak Din… Entah apa lah depa tu cari, marah ka kat kita ni, sampai lagu tu sekali depa buat kat budak kita, no..”
Aku melabuhkan p******g ke kusyen kereta. Terasa kepenatan yang menggunung di tubuhku. Alangkah enaknya dapat duduk di kerusi empuk.

“Cikgu nak ka, kalau pakcik tunjuk sesuatu..? Pakcik ghasa cikgu perlu tahu..”

“Apa dia, Pak Din?”
Pak Din tunduk sambil jarinya sibuk scroll telefon pintar di tangannya.

“Ni dia, cikgu..”
Pak Din menghulurkan telefonnya kepadaku. Aku merenung wajah tua jaga yang banyak jasa kepada sekolah itu.
Pada paparan telefon Pak Din, ada gambar.

Gambar bungkusan daripada kain putih yang kusam. Bungkusan itu dibungkus seperti sup bunjut. Sup bunjut itu terletak di atas kain kuning. Seolah kain kuning itu pada asalnya membungkus sup bunjut tersebut.

“Maksud pakcik?”

“Cikgu macam duk hairan sangat kenapa lain macam benar depa duk serang, kan.. Inilah jawab dia. Pakcik jumpa ni malam tadi masa ronda.”

Otakku ligat mencerna. Sup bunjut sebesar genggaman tangan dewasa. Dibungkus dalam kain kuning. Seolah satu ritual….
Sihir!

“Maknanya. Depa tu dihantaq, Pak Din?”

Pak Din angguk.

“Itu satu, cikgu. Masa mula-mula benda ni duk mula, Abang Nan hangpa ketemu kain putih bungkus macam kapan. Penuh d***h. Abang Nan takut nak ambik, dia ajak pakcik pergi ambik. Sekali, bila kami sampai, dah hilang. Serata ceruk kami cari, tak jumpa jugak..”

Patutlah..

“Patutlah Pak Din, depa ni duk kata kami bodoh.. Kami duk ingat yang duk tumpang blok belakang punya qeja.. Ghupanya bukan.. Depa ada tuan… Patut depa pun cakap depa datang buat kerja, na… Astaghfirullahalazim…”

“Dah lah cikgu, esok start cuti dah.. Balik kampung nak raya tu hati-hati naa.. Jangan duk pikiaq sangat hal depa ni. Cuti ni ustaz Mat cakap nak bawak kawan-kawan dia mai sini tengok apa duk ada. Balik la cikgu. Duk jaga anak orang sampai nak putuih napas. Gi tengok anak sendiri pulak..”

Aku tersengih mendengar jenaka itu.

Perlahan kereta kuhala keluar dari perkarangan sekolah.

Kongsi kisah anda: http://fiksyenshasha.com/submit

FarHana

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 0 Average: 0]

6 thoughts on “Pengakuan Dari Yang Merasuk II”

  1. Apa motif nak hantar sihir kat sekolah eh? Nak kenakan siapa sebenarnya?? Geram betul, sampai aniaya anak2 orang semua. Berat mata yang membaca, berat lagi bahu yang memikul.
    Sudah ada kesudahannya? Jangan lupa publish kat sini, ya. Semoga berakhir semuanya.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.