Pengalaman Kerja di Front Office Hotel

Hi saya Gaya, penulis #Akibat Cemburu dan juga #Main Kasar. Pengalaman kali ini adalah semasa bekerja sebagai front office agent di sebuah hotel di tempat peranginan tanah tinggi yang terkemuka di Malaysia. Nama tempat biar rahsia. Saya sangat teruja kerana mendapat kerja di tempat itu kerana dalam pemikiran saya, tempatnya sejuk, nampak standard dan uniformnya saling tak tumpah seperti pramugari. Dalam usia 22 tahun, kerja front office di hotel di sebuah tempat peranginan dengan gaji yang cukup lumayan membuat saya sangat teruja.

Tetapi, jika difikirkan kembali, ianya hanyalah “kecantikan” luaran yang menghiasi hidup yang penuh dengan tekanan kerja dan keseraman di situ.

Alkisahnya, saya diberi sebuah hostel yang menempatkan 3 orang dalam sebuah bilik. Saya adalah orang yang tidak bernasib baik dalam kumpulan pekerja baru kerana kedua-dua house mate saya adalah pekerja senior. Percayakah anda jika saya mengatakan bahawa saya tidak tahu apa-apa mengenai housemate saya (kecuali tempat bekerja), termasuklah nama mereka, lebih-lebih lagi mereka sama kaum dengan saya?

Katil saya adalah di tengah-tengah, kiri dan kanan saya ialah katil senior saya. Almari kami pula terletak berhadapan dengan katil. Setiap satu bilik ada sebuah bilik air. Saya berasa sangat janggal untuk berkongsi bilik dan bilik air dengan orang yang betul-betul asing bagi saya. Tetapi, semua itu menjadi biasa setelah saya sudah mula berkerja.

Kisah seram saya bermula pada hari pertama saya masuk kerja. Untuk makluman pembaca, pekerja hotel tersebut mempunyai loker di basement untuk menyimpan beg tangan, telefon bimbit dan barang-barang lain. Barang yang dibenarkan untuk disimpan di poket ialah alatan tulis seperti pen dan stapler kecil. Balik kepada cerita, pada pagi itu dalam pukul 6.30 pagi saya sampai di loker tersebut, untuk menyimpan beg dan telefon bimbit saya.

Sedang saya ralit membuka mangga kecil loker itu, saya terdengar seperti loker di bahagian belakang saya dibuka. Sepantas kilat saya memalingkan kepala ke arah bunyi itu. Kelihatan seperti seorang pemuda Cina, berbadan kurus sedang berdiri membelakangi saya. Saya terus berpaling kembali ke loker saya untuk membuka mangga berkarat loker saya sambil tersenyum, “ nasib baik dia tak nampak muka terkejut aku, buat malu saja.”

Saya membuka loker lalu memasukkan beg tangan saya . Pada masa itu, saya terdengar seperti lelaki itu memasukkan barangnya juga, cuma bunyi sangat kuat seperti memasukkan sesuatu yang besar dan secara kasar. Saya berfikiran barang apa yang disimpan oleh lelaki itu sampai bunyi kuat sangat dan terus berpaling secara perlahan dan cuba lihat ke arah loker tersebut melalui ekor mata saya.

Perkara yang saya lihat sangat memeranjatkan saya sehingga memalingkan kepala saya dengan pantas. Lelaki itu tidak ada di tempat tadi! Pada masa itu, saya berfikiran tidak mungkin dia keluar memandangkan bunyi bising di loker masih ada semasa saya berpaling dan kalau dia spesis the flash sekali pun saya masih akan dengar bunyi pintu bilik basement tersebut. Saya terdiam sebentar, kemudian mengangguk faham lalu bergerak ke hotel.

Kerja pada hari itu sangat memenatkan. Sebagai front office agent baru di hotel besar itu, saya dikehendaki untuk bekerja dari aras kerja bawahan untuk mencapai aras tertinggi iaitu manager. Kerja aras bawahan bukanlah duduk di kaunter terus. Ianya bermula dengan berdiri berjam-jam di hadapan mesin kiosk dan memanggil pelanggan yang baru keluar atau masuk untuk memasukkan kad kunci ke dalam mesin tersebut.

Dengan kasut tumit tinggi 3 inci, saya berdiri dan memanggil pelanggan hotel tanpa rehat dan dengan senyuman yang tidak lekang di bibir sebab supervisor akan lalu lalang di sekitar kiosk tersebut bagi tujuan memantau. Selepas waktu rehat selama 1 jam, saya masuk semula untuk meneruskan tugas saya. Pelanggan tidak ramai selepas 3 petang. Maka, saya hanya berdiri jika tiada siapa lalu mesin kiosk tersebut.

Sedang saya berdiri, di hujung jalan menuju ke kiosk tersebut, saya ternampak seorang pak cik tua berbangsa cina berdiri melihat ke arah kiosk dengan muka yang sayu dan pakaian bercompang-camping. Perkara pertama yang terlintas di fikiran saya ialah pak cik tua itu mungkin mempunyai masalah keluarga atau diusir ahli keluarga. Pak cik itu melihat tepat ke arah saya untuk beberapa minit tanpa senyuman atau sebarang reaksi.

Saya melemparkan senyuman memandangkan dalam bidang kerja saya, saya harus senyum kepada sesiapa sahaja yang berada di hotel itu. Sejurus sahaja saya senyum padanya, dia mula berjalan menuju ke arah saya. Pada ketika itu, saya berfikiran mungkin pak cik itu nak tanya sesuatu tapi malu atau takut. Saya hanya tunggu untuk pak cik itu sampai ke tempat kiosk. Pada masa yang sama, seorang polis bantuan yang bertugas di situ datang ke arah saya untuk bertegur sapa . Sambil bercakap dengan polis bantuan tersebut, saya memalingkan kepala untuk melihat pak cik tersebut tetapi pak cik itu tidak ada!

Saya memotong percakapan polis bantuan tersebut dengan bertanya sama ada dia nampak pak cik tua itu. Polis bantuan tersebut menjawab soalan saya dengan soalan juga, “pak cik mana?”. Dengan berfikiran dia mungkin memerlukan kepastian, saya menjawab, “alah bang pak cik yang berdiri hujung jalan tu, yang saya senyum kat dia tu”.

Muka polis yang keliru bertukar menjadi semakin keliru, “eh awak senyum sorang-sorang tadi, sebab tu saya bertegur sapa dengan kamu. Saya ingatkan mungkin kamu dah bosan sangat.” Saya terpempan. Saya lihat kembali hujung jalan. Tiada jalan lain melainkan balkoni yang terbentang luas.

Pak cik tadi berdiri berhampiran dengan gerbang masuk balkoni tersebut, sebelum berjalan ke arah saya. Sudah separuh jalan, buat apa pak cik itu perlu patah balik ke balkoni? Saya tidak menyimpan persoalan ini, sebaliknya saya hanya memerhatikan kawasan tersebut, tiada sesiapa keluar masuk balkoni tersebut.

Selepas habis waktu kerja, saya menjenguk balkoni tersebut. Sah. Balkoni tersebut hanya dipenuhi kabus, tiada kelibat manusia. Saya diam, kemudian mengangguk faham dan berlalu pergi ke hostel saya. Selepas membersihkan diri, saya sembahyang. Semasa sembahyang, saya berdoa dan meminta perlindungan dari Tuhan.

Pejam celik, pejam celik, sudah sebulan setengah saya bekerja di hotel tersebut. Dalam tempoh masa ini, kedua-dua entiti ini masih aktif dengan aktiviti harian mereka, iaitu, pemuda di locker dan orang tua di laluan ke kiosk. Cuma bezanya, semakin hari semakin berani menonjolkan diri di tempat lain seperti kafeteria di tempat kerja dan laluan parking basement ke tempat kerja serta bilik loker dan juga muncul lebih dekat dengan diri saya.

Pernah sekali, sedang saya balik ke hostel saya dalam pukul 3.30am, selepas tamat shift 6pm-2am, kelibat pemuda dan orang tua itu muncul di parking basement itu. Saya berkata dalam hati, “oh saling mengenali rupanya”. Sejurus sahaja saya berfikiran demikian, kedua-dua entiti tersebut mula menyeringai dan bergerak secara perlahan ke arah saya. Memang sebelum ini “mereka” pernah menonjolkan diri dengan jarak yang sangat dekat, tapi itu secara asing dan juga semasa saya tidak bergerak (duduk atau berdiri setempat). Sekarang pula, kedua-duanya bergerak tepat ke arah saya seperti tidak bagi saya berjalan menuju ke hostel saya.

Saya berhenti dan pandang kedua-dua entiti yang sudah beberapa meter sahaja dari diri saya dengan perasaan bercampur baur, cuak, panik, terkejut, tension. Sambil itu saya membaca doa yang ayah abang ipar saya ajar semasa kejadian dalam cerita #akibat cemburu. Kedua-dua entiti ini nampaknya terkesan dengan bacaan saya, namun masih bergerak ke arah saya dan akhirnya apabila berada dalam jarak sehasta, saya menjerit dalam Bahasa Malaysia “apa kamu berdua ni nak hah? Jangan kacaulah semak tau tak?”

Selari dengan itu, kedua-dua entiti tersebut mula menangis dengan sayu. Ya, menangis. Tapi muka mereka tidak kelihatan seperti menangis, hanya kelihatan sayu dan sedih. Hanya bunyi menangis kedengaran. Saya terkedu. Blur sekejap. Sebabnya semua entiti yang saya pernah nampak sebelum itu adalah dari golongan “nakal” atau “jahat” dan sememangnya tujuannya hanya untuk mengacau dan menakutkan, malah ada juga entiti yang berpura-pura baik untuk menyesatkan saya.

Tetapi, itu merupakan kali pertama saya nampak entiti menangis, sebab saya menjerit? Sebelum mereka mula berkomunikasi, saya menunudukkan muka saya dan bersuara secara perlahan, “saya tak datang ke tempat kamu untuk buat benda tak betul. Saya datang nak kerja, nak cari rezeki. Tolong jangan kacau la.” Apabila saya pandang muka kedua-dua entiti itu, kelihatan muka yang sangat sedih dan dalam pada masa yang sama sangat menyeramkan.

Saya mengeluh dan berlalu dari situ. “Mereka” tidak menghalang saya. Sedang saya berjalan, saya tiba-tiba teringat pasal jeritan saya tadi. “ishh jerit pagi-pagi buta. Mesti polis bantuan anggap saya gila” lalu saya menoleh ke kiri dan kanan untuk memastikan tiada sesiapa nampak apa yang berlaku sebentar tadi. Dan apabila saya toleh ke belakang, kedua-dua entiti tersebut masih berdiri di situ pandang ke arah saya sambil menuding jari ke arah saya. Saya berpaling semula ke hadapan dan menggumam, “apa hal ni, pelik la”

Setelah kejadian di basement parking itu, kedua-dua entiti mula menonjolkan diri secara serentak dan mula menonjolkan diri di hotel, semasa saya bekerja. Saya buat tak tahu sahaja. Akan tetapi, reaksi saya tidak mencungkil perasaan marah “mereka”. Malah, mereka sengaja mendekatkan diri mereka dengan menunjukkan muka mengharap sesuatu.

Saya mula berasa sangat pelik. Dalam hati, saya bernekad untuk berbincang berkenaan ini dengan abang ipar saya tanpa pengetahuan ahli keluarga saya termasuklah kakak saya sendiri dan menanyakan cara menghalau entiti-entiti ini. Sudahlah berhadapan dengan tekanan kerja, kini berhadapan dengan “mereka” ini pula. Sejurus saya berfikiran demikian, kedua-dua entiti ini hilang dari pandangan saya.

Disebabkan darah muda dan kurang kematangan dalam menangani penampakan entiti, saya menggumam, “tahu takut” tanpa menyedari rancangan saya untuk berbincang dengan abang ipar saya telah membuat “mereka” rasa terancam. Pada hari itu, saya bekerja shift pukul 3pm-11pm dan mula bergerak dari tempat kerja dalam pukul 1205am. Sepanjang perjalanan saya dari tempat kerja saya hingga ke lif bangunan hostel saya, “mereka” tidak muncul.

Setelah naik lif, saya mula bersuara secara perlahan, “mereka dah takut la tu.kalau tak nampak sampai esok, tak payah call abang ipar la”. Tiba-tiba, lif yang saya naiki itu bergegar dan membuatkan saya tertolak ke belakang lif. Lif sepatutnya sampai di tingkat 7 dalam masa kurang dari seminit, tak sampai-sampai membuatkan saya lihat nombor pada dinding lif itu. Nombor di dinding lif menunjukkan 1 dan tanda anak panah bergerak-gerak, menunjukkan lif sedang bergerak. Tetapi, lif tidak berganjak dari tingkat 1.

Gegaran masih terasa semasa kedua-dua entity tersebut muncul dari arah belakang saya. Terjerit kecil saya akibat terkejut. “Mereka” bergerak secara perlahan sambil menunjukkan muka marah dan tidak puas hati. Keadaan sangat senyap sehingga “mereka” betul-betul dekat dengan saya. Tiba-tiba kedua-dua entiti itu menjerit dengan nyaring. Saya turut menjerit ketakutan dengan menutup mata dan menutup telinga dengan tangan kerana muka “mereka” sangatlah menakutkan. Selepas beberapa saat, keadaan menjadi senyap kembali. Saya membuka mata saya dengan perlahan. “Mereka” masih di situ, merenung saya dengan reaksi muka marah sekejap, sedih sekejap.

“Ting!” Bunyi lif tersebut membuat saya tersentak. Nombor di dinding lif menunjukkan tingkat 7, di mana terletaknya bilik hostel saya. “Mereka” tidak kelihatan. Saya berjalan keluar dari lif dengan perasaan keliru. Apabila tiba di pintu hostel, saya ingin buka beg saya untuk mengambil kunci. Akan tetapi, saya sedar bahawa saya sedang menggenggam secebis kertas (agak-agak kertas A4 yang dikoyak separuh) yang dironyok.

Saya membuka kertas yang dironyok itu. Terdapat tulisan cina di kertas tersebut. Semakin berkerut muka saya. Siapa yang bagi saya kertas ini dan apa maksud tulisan ini? Saya nekad untuk bertanya kepada rakan sekerja saya yang berbangsa cina. Selepas membersihkan diri, saya terus terlena. Dalam mimpi, muncul pak cik tua dan pemuda cina itu. Mereka berdua berkata sesuatu kepada saya dalam Bahasa Cina sambil menangis.

Pak cik tua itu seperti merayu-rayu dan pemuda itu pula sekejap marah, sekejap tunduk dan menangis teresak-esak. “HOI!” sergahan itu membuatkan saya bangun secara terkejut. Rupa-rupanya pekerja senior di sebelah kanan saya sedang membebel, “jangan melalak la, ehhh menyusahkan je. Baru je masuk dah buat hal…”. Saya pula terpinga-pinga, saya ada melalak ke? Jam menunjukkan pukul 5.30 pagi. Saya terus bangun dan bersiap ke tempat kerja memandangkan saya shift pukul 7am-3pm hari itu.

“Chai, nak tanya sikit boleh?” saya bertanya kepada rakan sekerja saya. “ ha apa, tanyalah.” Jawab Chai yang sememangnya tidak pernah bercakap dengan lembut. Saya bertanya lagi, “boleh beritahu apa maksud tulisan kat kertas ini?” Chai melihat kertas itu untuk beberapa saat, kemudian menjawab, “ooohh, maksudnya ‘KAMI HANYA KESUNYIAN. TOLONGLAH..!! KAMI TAK MENYUSAHKAN KAMU, KAMU PUN JANGAN SUSAHKAN KAMI!’ “ Saya cuba mencerna setiap kata-kata itu. Saya menyusahkan “mereka”? Baik, saya faham, mungkin maksudnya “mereka” tak nak saya beritahu abang ipar saya berkenaan apa yang saya alami.

Tetapi, apa maksud “mereka” tak menyusahkan saya? Apakah menjelma malah dengan cara yang menakutkan itu tak menyusahkan saya? “Helo!” Tersentak saya dengan sergahan Chai. Saya pandang Chai dengan perasaan bengang. Tanpa menghiraukan reaksi saya, Chai bersuara, “kamu menyusahkan siapa? Ni surat dari siapa? Tulisan Cina pula tu, ada pakwe-pakwe Cina yang beri gangguan seksual ke? Jom lapor polis kalau ada gangguan seksual.” Aduh, ke situ pula dia. Saya hanya mengeluh berat dan segera melangkah ke klinik berdekatan untuk mengambil MC dan balik ke hostel terus.

Niat saya ialah untuk tidur sehingga puas dengan harapan ia dapat mengosongkan minda saya yang serabut dan saya dapat ambil langkah seterusnya dengan tenang. Telefon bimbit saya berdering. Saya bangun dan lihat ke luar tingkap. Hari dah gelap, mungkin dah pukul 7 lebih kot, kataku dalam hati. Telefon bimbit saya berdering lagi. Nama di skrin menunjukkan panggilan tersebut dari kakak saya. Saya terus menjawab. “helo, Gaya awak ok ke?” Saya pelik, yang bercakap ialah abang ipar saya dan kenapa tiba-tiba ok ke tak pula. “helo abang, saya ok. Kenapa?” Abang ipar berkata yang hatinya tidak sedap sejak dua hari yang lalu.

Dan apabila ayahnya membuat upacara sembahyang di rumahnya, dia menyatakan tentang rasa hatinya yang tidak tenang selama dua hari. Ayahnya berkata ada salah seorang ahli keluarga kakak saya dalam masalah. Semua ahli keluarga saya berada berdekatan kecuali saya. Sebab itulah abang ipar saya terus menelefon saya. Saya diam sahaja, memikirkan sama ada perlu atau tidak untuk beritahu abang ipar saya.

Memandangkan saya terus senyap, abang ipar saya bersuara, “Gaya, kalau keadaan tak ok, tolong beritahu. Jangan berahsia dengan ahli keluarga sendiri. Mungkin abang boleh tolong selesaikan masalah Gaya.” Saya yang pada mulanya teragak-agak, mula memberitahu A-Z mengenai penampakan “mereka”.

Abang ipar saya hanya berkata, “ok, saya ikhtiarkan something” dan terus putuskan talian. Saya duduk di katil sambil berfikir, “aik? Jawab macam tu je?”. Saya membuka skrin telefon saya untuk lihat jam kerana perut saya berkeroncong kuat. “hah?? Dah pukul 10.30 malam?” Cepat-cepat saya mandi dan turun ke kafeteria di hostel. Saya hanya bungkus makanan dan minuman yang ringan sahaja. Pada kebiasaannya, saya tidak berbuat begitu kerana tiada meja atau kerusi di hostel.

Akan tetapi, keberadaan “mereka” di hujung kafeteria itu membantutkan selera makan saya. Saya bergerak keluar dari kafeteria dan menuju ke lif. Saya dapat merasakan “mereka” mengikut rapat di belakang saya. Saya menekan butang lif yang sedia ada di tingkat G. Apabila pintu lif buka, saya nampak “mereka” terlebih dahulu berada di dalam lif tersebut. Saya berhenti seketika dan fikir, “kalau saya naik lif lain pun mesti “mereka” akan ikut.” Dan terus naik lif itu tanpa sebarang reaksi di muka.

Saya lihat dengan ekor mata saya, “mereka” hanya tenung saya dengan reaksi yang sangat menyeramkan. Saya hanya buat muka selamba untuk menutupi segala debaran. Lif tidak berhenti di tingkat 7. Saya menekan butang 7 berkali-kali dengan harapan ianya akan berhenti. Apabila lif terus naik ke tingkat seterusnya, saya behenti menekan butang lif dan berdiri dengan tenang sambil menyilang tangan.

Kedengaran bunyi dengusan di tepi kedua-dua telinga saya. Saya tidak memberi sebarang reaksi. “TING!” Lif berhenti di tingkat 11. Saya tidak pernah menjelajah bangunan ini, yang saya tahu hanyalah tingkat 7. Pintu lif terbuka, saya cuba menjenguk luar untuk lihat keadaan luar. “DUSSHHH!” Saya ditolak dari belakang. Lutut dan pergelangan tangan saya sangat sakit, tetapi tiada luka atau darah kelihatan. Terus saya pusing ke belakang dan pandang pintu lif yang sedang tutup. “Mereka” tiada di dalam lif. Saya bangun secara perlahan dan pandang sekeliling saya.

Keadaan sangat gelap. Dengan bantuan dari cahaya bulan, saya dapat rasakan saya berada di rooftop terrace. “Ada rooftop terrace di building ni?”, saya menggumam sendiri. “yaaaaa….” Suara berbisik di tepi telinga saya. Dengan pantas saya menoleh ke arah bisikan itu. Namun tiada sesiapa. “hihihi” suara ketawa seperti mengejek saya. Saya pusing pula ke arah bunyi ketawa. Seperti yang dijangka, tiada sesiapa. Tetapi, saya pasti memang kerja “mereka”. “Mereka” sudah mulakan mainan syaitan. Suara hilaian dan ejekan diselang dengan bisikan betul-betul di tepi telinga mula kedengaran tanpa henti.

Saya hanya berdiri tegak, tetapi pandangan saya melilau ke serata tempat. Saya dengar suara seorang pemuda sedang menyanyi dengan suara yang sayu. Sedang saya leka mencari pemuda itu, saya rasa seperti ada tangan menjalar belakang badan saya. Terus meremang bulu roma saya. Saya dapat rasakan “mereka” sedang menguasai diri saya. Saya menghembus nafas dengan kuat untuk tengakan fikiran dan mula baca doa-doa yang diajar dengan yakin. Sambil membaca doa saya memejam mata saya kerana “mereka” mula menunjukan rupa buruk yang selama ini disorok oleh “mereka”. Bunyi saya baca doa dengan kuat diiringi dengan bunyi-bunyian yang menyeramkan dari “mereka” sebagai tanda protes.

Bunyi-bunyian itu seperti mengelilingi saya. Saya kuatkan suara saya dan baca dengan penuh khusyuk. Jeritan dari mereka juga semakin kuat. Kemuncaknya, saya pengsan di situ juga.

Saya buka mata saya dengan perlahan kerana saya merasakan keadaan sekeliling saya sangat terang. “kenapa macam ada spot light? Tewaskah saya? Kat syurga ke saya?” macam andaian bermain dalam pemikiran saya. “Anak puan ok, cuma masih lemah lagi.” Suara seorang lelaki. “Baik doktor, terima kasih”. Suara emak saya. Saya paksa untuk buka mata, takut dipermainkan oleh “mereka”. Orang pertama yang saya nampak selepas dapat buka mata sepenuhnya ialah emak saya dengan muka yang penuh kerisauan. Dengan anggapan masih berada di roof top terrace, saya berkata kepada mak, “Mak, buat apa dekat sini? Tempat ini bahaya.” Terus mak saya pukul lengan saya. “Cuba kamu tengok sekeliling kamu, apa yang bahayanya dekat hospital?”, kata mak.

Saya lihat sekeliling saya, bukan roof top terrace tapi di wad. Bukan mak saya sahaja, ayah, abang ipar dan kakak saya juga berada di situ. Abang ipar saya megambil alih tempat mak saya dan menjelaskan apa yang telah berlaku. Saya dijumpai oleh salah seorang penghuni hostel di hadapan lif dalam keadaan tidak sedar diri. Dia terus melaporkan pada warden. Warden telah membawa saya ke hospital dan menghubungi mak saya. Terlopong saya dengar penjelasan abang ipar saya. “Hebat kan permainan syaitan?” Saya mengangkat sedikit kepala saya untuk lihat siapa yang boleh menggambarkan perasaan saya ketika itu . Rupa-rupanya ayah abang ipar saya juga datang melawat saya. “Apa maksud abang? Apa tiba-tiba syaitan pula?”, tanya mak saya kepada ayah abang ipar saya.

Ayah abang ipar saya pun menceritakan dari A-Z. Pada akhirnya dia juga kata yang kini tak ada apa yang perlu dirisaukan sebab semuanya telah selesai. Muka saya berkerut-kerut memikirkan apa yang disampaikan oleh ayah abang ipar saya. “Puan, anak puan boleh discaj ye.” Kata-kata jururawat itu telah memecahkan keheningan yang melanda wad itu akibat cerita dari ayah abang ipar saya. “Dah, saya kemas barang-barang ni, lepas ni kita pergi hotel tu bagi surat berhenti kerja, pack barang kamu di hostel dan balik ikut kami”,kata mak. “Mak, tolonglah. Don’t do this.”, kata saya sambil memandang seorang demi seorang ahli keluarga saya. Semuanya hanya menggeleng. Maka, saya terpaksa memberi surat berhenti kerja 24 jam atas alasan kecemasan.

Setelah seminggu saya berhenti kerja, kami sekerluarga pergi ke kuil ayah abang ipar saya untuk sembahyang dan membuat kenduri kesyukuran. Semasa saya tengah makan, abang ipar saya berkata, “bagus la kamu. Kali ini kamu selesaikan sendiri. Ayah saya kata bagus dan suruh kamu amalkan bacaan doa dan sentiasa sembahyang.

Dia kata kamu tak hapuskan tapi kamu buat syaitan itu tewas” Lalu dia bangun untuk basuh tangan. Saya terpinga-pinga. Tersentak saya apabila telefon saya berdering. Panggilan dari Chai membuatkan saya kembali ke realiti. Saya menjawab panggilan dengan gembira, “Hello Chai, apa kha..” belum sempat saya menghabiskan kata-kata saya, Chai terus sergah, “woi kamu berhenti tak boleh nak cakap ke hah? Bongok la lu. Tak boleh harap punya kawan!” Saya mencelah, “woi woi kejap. Saya berhenti bukan suka-suka, ada masalah sikit. U ni ingat lagi yang u ni perempuan ke? Bila la u nak cakap lembut macam perempuan?” Chai jawab dengan tergelak-gelak, “boleh dah kut. Kan dah ada pakwe.” Saya sangat terkejut dan gembira pada masa yang sama, “wei…baguslah! Habislah lepas ni hari-hari u boleh dating dengan pakwe u. kan dekat building kita ada rooftop terrace..”. Chai menjawab, “rooftop terrace?? U gila ke? Mana ada rooftop terrace la.

I ada kawan dekat tingkat 10. So I tau sangat, tingkat 10 ialah tingkat paling atas.” Saya diam seribu bahasa. Saya hanya menggumam, “mana syaitan-syaitan itu bawa saya, kalau tak ada tempat seperti roof top terrace? Hanya Tuhan yang tahu.

Sekian dari saya kali ini. Terima kasih kerana sudi menbaca.

hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

GAYA
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

30 comments

    1. nope, tak best ms chinta. org luar pandang kte mcm “wahhhh…standardnya keja sini” tpi mmg tak.
      tq sbb baca cerita sya..

    1. betul3… hehe..ada beberapa aras yg sgt keras sampaikan saya pernah kena maki dengan penginap di aras itu & minta tukar bilik dgn segera.

  1. tertanya tanya siapa lah cina 2 org tu.. apa dia buat masa hayat dia.. cemana dia mati.. kenapa merayau kat situ.. emm conan mana conan?

  2. bagi saya la Gaya, yang menganggu awk tu adalah roh roh yang tak tenteram dan tak tenang. mungkin mereka nak bantuan awk kot untuk membalas dendam or something..hmm ntah la

    1. hi amirul, saya pun rasa mcm tu juga.. tpi, tak blh nk layan roh-roh tu…kalau kita agree beri bantuan maknanya kita dh masuk jerat mereka.. actually, muka sebenar diorang tu ialah yang dekat rooftop tu…itulah muka sebenar syaitan yg x pernah penat untuk menyesatkan manusia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.