Pengalaman Memburu Landak

Assalamualikum admin dan pembaca FS. Terima kasih kerana menyiarkan cerita saya. Semua cerita ini adalah kejadian yang telah saya alami sendiri dan bukan dicedok atau diciplak dari orang lain. Macam saya katakan, saya tiada keistimewaan, cuma natang suka tunjukkan diri pada saya.

Kisah ini terjadi sewaktu aku menemani adik bongsuku dan 6 kawan yang lain memburu landak di dalam hutan di Gerik, Perak.

Nama tempatnya aku tak berapa ingat. Aku hanya menemani kerana aku sukakan alam semulajadi dan tidak terlibat dan berminat untuk memburu landak. Adik aku juga “hantu ikan”, dia sangat suka menjala dan memancing ikan. Dia dah biasa dengan tempat tu, katanya ada lubuk ikan yang ohsem kat situ. Kami pergi menaiki 2 buah kereta dan perjalanan ke sana aman tanpa sebarang masalah.

Kami sampai sejurus selepas Asar dan mula menapak masuk ke hutan. Jalan ke lokasi ini amatlah terpencil, menggunakan jalan yang tidak bertar melepasi beberapa buah kampung dan sungai. Pemandangannya bagiku memang cukup indah, menyedarkan aku besarnya kuasa Allah. Yang aku ingat, kereta kami diletakkan di tepi jalan di bawah dua pokok besar. Ada signboard kecil tapi aku sudah lupa apa signboard itu…huhuhu…

Setelah berjalan beberapa lama, sampailah kami ke lokasinya. Tempat landak ni tinggal ialah kawasan berbukit dan berpasir kerana landak ni menggali lubang sebagai tempat tinggalnya. Keadaan hutan tebal itu riuh dengan bunyi riang-riang dan beberapa jenis binatang seperti monyet dan burung.

Aku yang tidak berminat memburu ditemani kawanku Zali, yang suka mengambil gambar. Leka jugalah Zali mengambil gambar dengan DSLR barunya itu. Tak semena-mena, hujan panas turun dengan agak lebat. Aku dan Zali yang paling belakang berlindung di bawah pokok dekat dengan sebongkah batu besar. Tidak jauh dari batu besar itu, ada beberapa batang pokok nibung yang tinggi dan berjajar tumbuh seolah-olah ditanam orang. Kami berdua macam agak terpisah dengan kumpulan adik aku yang betul-betul beria-ia nak makan daging landak.

Hujan masih turun, dan tanpa kami sedari kumpulan adikku hilang dari pandangan. Kami juga
tidak perasan yang bunyi riang-riang dan binatang lain tidak kedengaran. Mungkin hujan. Tapi tekaan kami salah. Hujan sudah agak reda, hutan menjadi sedikit terang. Tetapi tidak kelihatan kumpulan adikku. Hati sudah cuak kerana bukan sekadar mereka hilang dari pandangan, suara mereka pun tidak kedengaran.

Di dalam sunyi itu, tiba-tiba kami mendengar aluanan muzik gendang yang sangat merdu. Tak pernah aku dengar alunan gendang bergemerincing yang merdu begitu. Bunyi itu disulami dengan gelak ketawa perempuan yang seperti sedang bergembira. Aku mencari-cari dari mana punca bunyi itu, dan Zali tiba-tiba menghalakan kameranya ke atas pucuk pokok nibung berjajar itu.

Apa yang kami nampak sangatlah tidak masuk akal. Betul-betul di atas pucuk nibung yang paling tinggi, kami nampak seorang perempuan yang sangat cantik sedang menari-nari di atas pelepah nibung yang sememangnya berduri tu. Pakaiannya seperti penari gelek dengan warna merah seperti sirap ros. Wanita tu sangat pandai menari, sangat mengasyikkan tariannya. Hanya hujung jarinya menyentuh pelepah nibung. Kami amat terpesona dan mula melangkah tanpa sedar. Wajahnya sangat jelita dengan rambut yang panjang menutupi pinggulnya. Dalam jauh2 tu, kami dapat mendengar gemerincing dari gelang kakinya yang berwarna keemasan. Sangat mengasyikkan.

Zali sangat terpana. Dia sudah seperti gelojoh dan berjalan agak laju melanggar segala pokok renek di depannya sambil tangannya laju memetik picu kamera. Sudah tentu aku tahu wanita penari tu bukan manusia. Siapa yang boleh memanjat pokok nibong berduri tanpa cedera dan menari di atas pucuk tertinggi? Gila kan? Zali yang semakin gelojoh berjalan semakin laju mengampiri pangkal pokok nibong berjajar itu sambil tidak jemu memetik picu dan mengeluarkan bunyi “aaahhhh” seperti kepuasan.

Kerana gelojoh, dia tersepak batu dan jatuh berguling. Kepalanya terhentak batu dan berdarah. Dia megaduh kuat, dan serta merta bunyi gendang dan gemerincing pun hilang. Aku cuba menolongnya dan terus lupa pada wanita yang di atas pokok itu.

Tiba-tiba Zali menunjuk-nunjuk ke arah pokok nibung itu. Tiada wanita cantik, hanya satu tubuh kurus berambut panjang dengan baju putih yang kotor sedang turun dari pokok berduri itu seperti biawak turun pokok. Tiada muka yang cantik, hanya muka yang menggerunkan dengan mulut yang sangat luas menyeringai sambil mengilai.

Apa lagi? Kami berdua bangun dan cuba lari ke bawah bukit tanpa tahu haluan. Nak tahu apa jadi? Natang tu boleh terbang di tepi Zali sambil senyum melirik dan hinggap di atas dahan pokok betul-betul atas kepala kami. “Nak ke mana baaaanng? Nak baliiiik? Hihihihihi” suaranya memang suara perempuan tapi sebutannya lambat-lambat. Nyaring dan tak natural. Matanya tak lekang dari melihat darah dari kepala Zali.

Macam nak gugur jantung aku bila disapa syaitan seburuk itu. Matanya besar bulat dan berkilat-kilat seperti mata lembu bila disuluh. Zali dan aku terpekik terkejut dan cuba berlari ke arah kiri. Seperti ninja natang tu melompat ke pokok sebelah sambil nyaring mengilai.

“Marilah kita main-main dulu…hihihihi…” kata natang tu. Aku macam tak percaya. nengok buruknya muka natang tu. Rambutnya kembang dan kasar-kasar, dan aku boleh nampak rambutnya macam berlumut. Kukunya runcing panjang dengan baju yang kotor. Giginya juga berwarna hitam runcing-runcing. Tiada bibir dengan mata terbeliak tanpa pelupuk mata.

“Hihihihihihi” ngilai natang tu lagi sambil berpaut dekat pokok yang rendah. Aku dapat lihat compang camping kain yang membalut badan kurusnya. Kotor dan koyak-koyak seolah-olah sangat lama dan buruk. Matanya masih lagi melekat di luka kepala Zali yang masih belum kering darahnya.

Tiba-tiba seketul batu jatuh tidak jauh dari natang tu. Rupa-rupanya kumpulan adikku pun sampai. Ya Allah leganya…. Hantu tu terus terbang dan menghilang di sebalik pokok palinng tinggi di situ. Suara riuh rendah kumpulan adikku memecah kesunyian, menghalau natang celaka tu.

“Sudah, jom kita balik, bukan rezeki kita hari ni,” kata adikku. Kawan-kawan yang lain datang menolong Zali yang memang sudah lembik ketakutan. Dengan susah payah sampailah kami di pinggir hutan. Hari pun sudah senja. Tanpa banyak cakap, kami masuk dalam kereta dan keluar dari tempat terpencil itu.

Menurut kata adikku yang dah biasa dengan gangguan itu, kalaulah aku tak ada, Zali sudah tentu jadi mangsa. Nyawanya mungkin akan melayang. Rupanya beberapa lama dahulu ada dijumpai mayat seorang lelaki orang asli tertancap di pucuk pokok nibung dengan perut terburai. Masalahnya pucuk nibung bukan besi yang keras untuk merobek perut. Dan seluruh badan lelaki itu dipenuhi duri nibung yang menyiat-nyiat dagingnya. Hal ini adikku ceritakan kepada kami selepas kejadian, itu pun dari mulut penduduk tempatan. Kamera Zali juga tidak merakamkan apa-apa imej, cuma imej putih yang berkabus. Frame demi frame hanya imej putih berkabus yang keluar. Dia hanya berkata dia tidak sedar apa yang dia buat, seolah-olah dia tertidur bermimpi dating dengan gadis majalah playboy..WTF? Hahahah

Sekian.

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

3 comments

  1. kami orang asli pagi petang masuk kedlm hutan terpencil x de pulak kena sakat.kdg2 memburu waktu mlm cari kancil dsbg sampai pagi.bila kami letih atau mengantuk ceruk mana pun atas batuļ¼Œpangkal pokok kami boleh landing dgn aman! kenapa? bukan nk ek la tapi kami orang asli sentiasa menjaga mulut d tutur bahasa bila kepergunungan .kami pasang niat hnya tuk cari makan sj.bila ada gangguan, kami x lari, bertenang mengawal emosi d dgn lembut tp tegas kami akan cakap direct pd entiti supaya x menggangu kami lagi.selepas itu lupakan “hantu” tu d teruskan niat utk cari makan bagi anakbini.musuh anda sebenarnya “takut” ,”gelabah” d “cemas”! itu sngt bahaya apbl berada dihutan.hrp panduan ni akan membantu anda semua satu hari nanti bila menghadapi situasi ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.