Pengalaman mistik di IPT

Memandangkan cerita yang aku submit sebelum ni tidak berjaya dipublish oleh admin, aku akan share kembali perkongsian aku ni. Nama aku Nur, aku akan bahasakan diri sebagai ‘aku’ dalam cerita ni

Seperti orang lain, yang kebanyakannya pengalaman seram mereka berlaku semasa menyambung pelajaran di universiti. Begitu juga dengan aku. Pada tahun 2013 aku telah melanjutkan pelajaran ke salah satu universiti awam yang terkenal terletak di Selangor. Lebih tepat lagi universiti yang paling dekat jaraknya dengan mall yang terkenal di Putrajaya. Haa, yang tau je tau la ye.

Hari pertama mendaftar tu sememangnya membuatkan aku sedih. Mana taknya sedih, dahlah jauh merantau dari Sabah nak sambung belajar di IPTA ni. Ditemani lagi dengan ibu bapa tersyinta. Air mata menemani sepanjang perjalanan menuju ke dewan pendaftaran. Dah siap nangis, dengan mata sembam muka merah merah, disitula juga aku bertemu dengan bespren aku yang sememangnya sampai sekarang masih berhubung. Kawan aku ni aku bagi panggilan Mona (bukan nama sebenar). Mona pun berasal dari kepulauan borneo dalam Malaysia ni. Mona la yang sambut aku masa menjejakkan kaki didepan dewan pendaftaran tu.

“Okay-okay, sudah-sudah jangan nangis lagi” katanya sambil tersenyum menenangkan aku ni yang sedikit hati tisu sebab ditinggalkan mak dan bapa disitu. Mona sememangnya kawan yang sangat baik dari segi perwatakan, budi bicara dan sikapnya tambahan lagi orangnya yang cantik. Aiseh kalau dia tau ni kembang hidungnya sampai ke bulan.

Dari situ jugala kami berdua berkenalan dengan geng sebilik yang lain dan jiran sebelah bilik yang sampai sekarang menjadi sahabat rapat. Rupa-rupanya kawan sebilik dan jiran ni tak lain tak bukan juga kawan sekelas masing-masing. Aku dan Mona berlainan bidang, tapi Allah takdirkan kami menjadi roommate sepanjang pembelajaran di IPTA tersebut. Panjang sangat pula intro ya.

Okay, kejadian seram ni berlaku selepas aku, Mona dan dua lagi kawan yang aku namakan Erin dan Wana keluar dari kolej kediaman lama untuk masuk ke kolej kediaman yang lain. Untuk beberapa semester aku, Mona, Wana dan sorang lagi kawan aku yang merupakan classmate aku juga iaitu Sifa berjaya dapat bilik yang sama. Manakala kawan aku Erin dapat bilik lain pula semester tu. Dalam banyak-banyak kejadian ni, ada beberapa yang aku masih ingat sampai sekarang. Bilik kami berempat terletak di tingkat paling atas blok iaitu tingkat 4.

Tunduk

Pada satu malam, aku tengah nyenyak tidur. Dan kebiasaannya aku ni suka tidur dengan keadaan melentang dan kedua2 tangan aku suka lunjurkan ke atas kepala aku. Bilik kami terpisah menjadi dua compartment sebab ada dinding kayu seakan-akan partition memisahkan 4 katil menjadi 2 katil setiap partition. Partition aku dan Mona manakala partion sebelah pula Wana dan Sifa. Katil kami susun dalam bentuk L sebab nak buat kawasan bilik luas cukup untuk solat berdua. Keadaan kami tidur pula kepala aku dekat dengan kepala Mona. Malam tu tengah nyenyak tidur tiba-tiba aku rasakan tangan aku ni kena sentuh-sentuh seperti dikejutkan untuk bangun.

Sebab kebiasaan Mona ni dia suka kejutkan aku untuk ketandas jam 2-3 pagi sebab nak terkencing katanya. Kebetulan pula malam tu aku lunjurkan tangan ke atas kepala yang dekat untuk dicapai siMona. Jadi seperti biasa aku pun auto bangun nak teman dia ke tandas. Time tu bilik memang gelap sebab kami berempat memang suka tidur dengan keadaan lampu tertutup. Cuma disirami dengan cahaya koridor dari bawah pintu bilik.

Dalam samar-samar tu aku pun duduk atas katil dan tengok siMona ni. Yang hairannya katil dia tak berbunyi langsung krek krek macam orang nak turun dari katil tu, Mona senyap saja. Tengah nak adjust mata dalam gelap tu aku nampak Mona ni tengah dalam keadaan duduk dengan kepala tertunduk dengan rambut dia ala-ala jepun tu menutup semua muka dia. Masa tu pelik juga kenapa dia tak terus bangun macam malam-malam sebelum tu.

Aku pun pantas capai handphone dan suluh dia masa tu. “Mona Mona, kenapa?”. Dia tak menyahut langsung dan terus baring menghadap dinding. Oh ya, katil Mona ni betul2 sebelah dinding dan dibawah tingkap bilik. Aku dah seram dah masa tu dengan rambut dia macam tu. Aku pun berselebung sambung tidur sampai kepagi. Esoknya tu aku tanya dia, dia ada kejutkan tak aku semalam. Dia kata tiada, tak sedar apa pun yang jadi. So, siapa yang sentuh-sentuh tangan aku malam tu dan kenapa Mona duduk seram macam tu tiada siapa yang tahu. Aku pun diamkan saja kejadian tu sampai ke harini.

Keyboard

Part kedua ni pendek saja. Selepas kejadian malam Mona duduk tertunduk tu aku ada tanya-tanya roommate yang lain kalau-kalau diorang ada juga kena kacau. Wana membuka mulut bagitau yang dia pernah tersedar di tengah malam sebab ada bunyi seperti orang tengah menaip keyboard laptop dia. Wana ni jenis yang kalau dah siap buat assignment atau habis tengok drama dari laptop dia, Wana akan baring betul-betul dekat meja belajar.

Almaklumlah bilik kecik, jadi semua meja dengan katil memang rapat-rapat. Wana ni pula jenis yang tak tutup laptop lepas guna. Jadinya malam tu mungkin ‘benda’ tu gian nak study overnight guna laptop Wana. Malam tu Wana biorkan aje ‘benda’ tu study guna laptop dia dan sambung tidur.

D***h

Aku ni jenis yang suka cuci kain time nak mandi petang-petang. Kadang kalau dah balik bilik malam, malam tu juga cuci kain sebelum nak mandi dan tidur. Jenis pemberani atau apa perangai macam ni ya cuci kain malam-malam hehe. Dan satu kejadian tu, aku ABC atau orang panggil period la ya. Malam tu aku cuci sekali telekung sebab dah ABC, so nak cuci telekung la sementara tu.

Selepas cuci dan mandi aku akan terus jemur kain malam tu juga. Ampaian yang aku selalu guna ni berada betul-betul depan tandas. Aku ni jenis degil tau kalau orang tua-tua cakap malam tak elok jemur kain tu aku langgar saja. Sebab aku fikir yang konon itu orang zaman dahulu saja sebab dulu-dulu tiada lampu takut terpijak ular ke apakan. Sekarang dah terang pastu atas bangunan lagi, apa yang nak dirisaukan. Pastu ramai juga student lain yang lalu lalang walaupun dah malam. Tu yang mungkin buat berani tu. Dah benda nak jadi, esoknya aku nak angkat kain ada tompokan d***h atas telekung tu.

Yang peliknya atas telekung tu saja yang kena. Aras kami kan tingkat 4, jadi aku fikir oh mungkin ada burung or tupai yang cedera lalu dekat ampaian ni. Tu yang terkena telekung tu. Pasal d***h tu aku endahkan dan cuci semula telekung. Dah cuci jemur balik dah petang dah. Kena tunggu seharian jugak nak biar kering.

Esoknya bila nak angkat balik telekung tu, ada lagi wei d***h tu. Tak banyak la tompokan dia, ada lah dalam 2-3 tompokan d***h pastu ada warna kekuningan sedikit macam nanah. Aku dah pelik dah. Takkan benda jadi dua kali kan. Lepastu aku cuci lagi, kalini aku jemur telekung tu tempat lain pula sebab nak tengok ada lagi ke tak esok. Contohnya aku dah jemur ampaian belah kiri, aku jemur pula belah kanan. Dan esoknya aku cek ada juga giler d***h tu. Aku dah fikir lain-lain dah time tu. Seram sejuk juga sambil-sambil terkena tiupan angin petang tu.

Aku syak ada something lalu dekat ruangan ampaian tu kalau malam. Dah telekung tu putih rasanya ‘benda’ tu ingat geng dia kot tergantung-gantung kat situ. Kali keempat cuci guna Clorox, aku dah tak jemur dekat luar dah. Aku jemur dalam bilik bawah kipas. Yang pelik lagi, aku tak bagitau siapa-siapa rasanya kejadian tu. Atau pun aku dah lupa sama ada aku ada cerita dengan rommate atau tidak. Tapi sememangnya ada something yang berlaku disitu kalau malam. Kalau tak dari mana lagi d***h tu. Pelik tak pelik.

Happy Birthday!

Kejadian kali ni pula bagi aku selalu membuatkan bulu roma naik bila ingat balik. Dan aku yakin kawan-kawan yang ada masa tu pun rasa yang sama. Kisahnya terjadi semasa kami masih tinggal di kolej yang lama. Aku, Mona, Wana, Erin dan sorang lagi rumate kami saya namakan Noor berada dalam dorm yang sama. Dorm ni boleh memuatkan 6 orang student pada masa yang sama. Sifa pula berada di blok yang bertentangan blok kami.

Semester tu kami menerima seorang exchange student yang berasal dari Korea. Aku namakan dia Mirae la (Bukan nama sebenar). Mirae orang yang sangat terbuka untuk belajar culture kita yang berbilang kaum di Malaysia ni. Untuk pendekkan cerita, bulan tu baru masuk bulan Ramadhan, dan kami sangatlah teruja untuk spend time sama dengan Mirae. Ada satu hari tu kami berenam (aku, Mona, Wana, Noor, Mirae dan sorang lagi kawan aku namakan Dina) pegi bazar ramadan yang terletak di pekan berdekatan Universiti. Kami hanya berjalan kaki mengikut jalan tikus yang ada.

Kami bergerak agak lewat dan akhirnya perjalanan pulang ke kolej masa tu pun terlewat sampailah dah masuk maghrib semasa pertengahan jalan. Kami mengikut jalan kebun yang sememangnya femes dengan cerita seram warga kolej. Tapi kami mengendahkan sebab dahlah bulan puasa, tiadalah hantu-hantu ni, dan lagipun kami berjalan beramai-ramai dan ada juga student lain yang menggunakan jalan kebun yang sama. Jalan kebun ni dikelilingi dengan pokok durian hybrid. Kebun ni bersebelahan dengan satu rumah banglo yang menjadi tempat tinggal bagi naib canselor pada suatu ketika dahulu.

Rumah ni terletak di atas bukit bersebelahan kebun. Tetapi rumah tu dah ditinggalkan lama atas sebab-sebab tertentu. Rumput tinggi, rumah berlumut dan kayu-kayu dah mula terbuka dari dinding rumah menandakan tiada yang berani tinggal di banglo tersebut. Banyak cerita seram mengenai rumah ini. Apa taknya, dah la terletak terpencil di tengah-tengah kebun buah, lagi-lagi berdekatan dengan tanah perkuburan muslim dan jerat cina. Tapi sekarang rumah itu dah dibersihkan dan dengar-dengar dah ada yang tinggal dirumah tersebut.

Okay kembali ke cerita tadi, dalam perjalanan nak ke kolej tu, jam dah menunjukkan beberapa minit lagi nak berbuka. Langit time tu pun dah ke”oren-orenan” menandakan dah nak maghrib. Tengah-tengah syok berjalan (jalan agak laju juga la sebab dah lewat) sambil-sambil berbual tu kami terdengar dari arah bukit suara yang sangat nyaring seperti budak2 atau suara orang dewasa yang dinyaringkan menyanyi lagu “happy birthday to you, happy birthday to you” suara yang sangat nyaring dan kuat sehinggakan kami berlima terdengar suara tersebut.

Aku, Mona, Wana, Erin dan Dina terdiam sambil memandang sesama kami. Sebab kami dah pelik dah, dari arah bunyi tu sememangnya dari arah bukit yang terletak rumah tu. Hairan bin Ajaib, sebab sememang tiada student yang lalu atas tu. Dah lah nak maghrib siapa je yang nak ke atas sana.

Lagipun kalau suara tu di ikuti dengan suara yang ramai orang menyambut birthday tidak apa juga. Tapi suara itu saja yang kami dengar. Dan lagi siapa saja nak sambut birthday atas tu? Semasa kami terdengar suara tu, Mirae dengan slambernya mengikut sekali menyanyi dengan suara tu sambil berjalan riang dihadapan kami. Kami berempat yang dah tau ni just diam saja berjalan dengan laju tanpa menegur Mirae. Sebab risau dia tak faham.

Perjalanan kami sunyi senyap hanya bunyi tapak kaki berjalan memijak daun-daun kering. Azan berkumandang dan kami berhenti sekejap untuk berbuka di tengah-tengah kebun tu. Perjalanan masih agak jauh dan terasa lama sebab kejadian yang tadi yang menjadi tanda tanya. Selepas berbuka dengan Mirae yang riang, kami meneruskan perjalanan dan kena melalui sebuah pondok stor yang digunakan oleh pekebun disitu.

Semasa menaiki jalan yang sedikit berbukit tu, tiba-tiba kami semua terdengar seperti botol-botol kaca yang jatuh dilanggar orang. Kami terkejut dan melihat sekeliling tapi tiada pun orang atau binatang. Sebab terkejut dengan bunyi tu, ditambah lagi dengan keadaan yang semakin gelap, kami berlari-lari anak sambil berpeganggan melepasi stor tersebut. Kami dah meremang dah. Rentak jalan kami semakin laju, sebab kami memasuki kawasan kebun semakin dalam dengan pokok-pokok buah yang kian rapat membuatkan perjalanan kami gelap. Sepanjang perjalanan tiada siapa berani berkata-kata, hanya berharap cepatlah sampai bilik.

Sampai sahaja bilik, (aku, Mona, Wana, Erin, Dina dan Mirae) mengambil tempat masing-masing di tengah dorm dalam bentuk bulatan dah nak melantak. Dah la semua lapar, dengan kejadian-kejadian yang pelik lagi tadi. Sambil melantak tu kami dah buka cerita pasal apa yang jadi tadi. Semua persoalan dilontarkan, siapa yang nyanyi? Apa budak tu buat atas tu sendiri? Kalau pun menyambut birthday, kenapa tiada suara yang ramai atau pun lagu itu dihabiskan? Nyanyian tu sangat singkat diikuti dengan keadaan yang sepi seperti tiada apa yang berlaku diatas bukit itu. Masing-masing teruja untuk berbual tentang itu.

Semasa melepasi stor tu pula, Dina beritahu yang selepas bunyi botol-botol kaca tu terjatuh, anak mata Dina ternampak ada seseorang berdiri dibelakang stor mengintip kearah kami semua. Dina ternampak lalu terkejut dan terus capai tangan aku yang berada sedikit dihadapan dia untuk lari. Dina kata gelap. Hanya nampak susuk tubuh sahaja. Kami kata mungkin juga orang, tapi dah kenapa nak sembunyi time maghrib-maghrib tu. Pelik juga masa bulan puasa ni syaitan dah kena ikat. Kami pun terus terfikir, mungkin jin atau pun bunian yang bersama-sama kami masa tu. Lawak sedikit juga sebab ‘benda’ tu tahu Bahasa English. Esoknya Mirae demam. Kami syak sebab dia ikut nyanyi sekali dengan ‘benda’ tu. Dari situ kami yakin yang dua kejadian tu bukanlah manusia, tapi sama ada jin atau pun bunian.

Anjing ke?

Bilik kitaorang ni tingkat 4 tau. Tingkat paling tinggi di kolej kediaman ni. Sememangnya asal nak naik ja kena ready mental dulu tengok daun-daun kat bawah blok tu, baru la naik untuk sampai ke atas tanpa rasa stress. Kejadian pasal ‘anjing ke?’ ni pula bila ada satu malam tu aku tak berapa ingat sama ada aku berseorangan atau aku just dengan Sifa saja malam tu.Oh lupa nak bagitau yang aku dengan Sifa ni satu bidang. Manakala Mona ngan Wana pula satu bidang.

So hari kejadian ni terjadi time Mona dan Wana ada field trip kot. Tu yang tinggal aku dengan Sifa saja. Sebenarnya aku tak berapa ingat sama ada aku sendirian dalam bilik sama ada masa tu cuti midsem ke tak. Tapi seingat aku haritu memang student kurang. Sebab blok dah sunyi. Seperti biasa malam tu dah ready dah nak tidur tutup lampu semua. Aku pula susah nak tidur malam tu. Jadi aku online la guna handphone yang tak seberapa aku tu. Sifa pula dah tidur nyenyak dah.

Malam tu sunyi, tiada bunyi, tengah syok online tiba-tiba dengar dekat koridor tu bunyi bising tau. Bunyi tu dari hujung lagi dah dengar dah. Bilik kitaorang ni dekat tengah-tengah tau. Dalam blok A tu ada la dalam 20 bilik tak silap. Jadi Lorong tu memang memanjang. So kalau nak ke tandas tu kena lalu dalam 5 bilik gitu memandangkan kami ni bilik yang tengah-tengah. Aku pun diam dan dengar bunyi tu. Bunyi tapak kaki banyak.

Then tiba-tiba bunyi tapak kaki tu lari laju. Banyak bunyi sampai aku ingatkan anjing ke? Aku diam dan dengar bunyi benda tu lari lalu depan bilik. Time benda tu lalu depan bilik memang nampak bayang benda tu lalu. Pastu dah hilang dah bunyi tu. Aku tak berani la nak tengok dekat luar. Dah karang nanti dia tunggu dekat hujung lorong berlari ke arah aku macam mana pula kan. Aku terfikirla, mula-mula positif juga mungkin sekawan anjing naik blok tu bila ada student nampak then halau anjing-anjing tu. Tapi tinggi giler anjing tu gigih nak naik atas cari sampah. Mungkin anjing kutt..fikiran positifku. Lagi seram kalau ada budak lelaki menceroboh blok perempuan, dah kantoi terus lari. Sememang ada berlaku kes macam ni, bila mana kantoi budak lelaki yang curi-curi masuk blok entah apa tujuannya faham-faham je la. Benda ni terbukti sebab aku pernah alami semasa aku sambung belajar di universiti yang sama, dan tinggal di area kolej yang sama.

Sifa ke tu?

Kejadian ni pula berlaku masa sem 6 kami belajar di IPTA tersebut. Masa ni Mona dan Wana dah pindah bilik dah. Tapi bilik diorang pun depan bilik kitaorang saja. Perpindahan ni berlaku sebab semester sebelum tu Mona dan Wana kena buat latihan praktikal 6 bulan. Jadinya diorang keluar bilik, dan hanya aku dengan Sifa masih menduduki bilik tu. Sem depannya bila Mona dan Wana dah masuk kolej kediaman semula, itu yang diorang terpaksa pindah bilik hadapan tu. Bilik kami tu pula tiada student lain yang masuk sama, jadi sepanjang semester tu hanya aku dan Sifa saja menduduki bilik tu. Aku ni rapat dengan Wana dan memang selalu melompat ke bilik diorang pegi mengacau hehe.

Satu hari tu, kelas dah habis dekat fakulti. Dan semua rakan-rakan lain pun dah ready dah nak berebut bas untuk balik ke kolej kediaman masing-masing. Petang tu Sifa dah awal-awal dapat bas pertama yang gerak ke kolej. Aku pula santai-santai sekejap dekat fakulti sebab malas nak berebut bas. Jadi kiranya kalau Sifa dah dulu naik bas dia yang awal sampai ke kolej kediaman. Rasanya adalah selang 30 minit camtu baru aku pegi tunggu bas nak balik bilik. Bila dah sampai kolej kediaman sempat lagi singgah café bungkus makan malam. On the way naik tangga blok tu. Dah sampai tingkat bilik, baru melangkah dari tangga naik yang terakhir aku pun ternampak yang Sifa baru masuk bilik.

Jadi aku pun tak fikir apa-apa sebab aku assume yang Sifa singgah café juga tadi nak bungkus makanan. Jadi logikla kalau dia baru naik kot-kot dia lepak jap dekat café dalam masa setengah jam tu. Jadinya dengan tak fikir apa-apa aku sampai pintu bilik dan nak pusing tombol pintu tak boleh buka sebab Sifa memang biasa selalu kunci bilik walaupun dia ada didalam.

Lepas ambil kunci untuk buka pintu dan pusing tombol, aku masuk aku nampak Sifa dah tidur atas katil dia. Faham-fahamla kan kalau dah tidur tu mestilah baju dah tukar, tudung dah buka, barang-barang dah tersusun kemaskan. Aku pelik sebab tadi aku siap nampak Sifa masi berpakaian penuh macam dari kelas tadi. Aku rasa baru tadi tak sampai 10 saat pun nak sampai bilik dari tangga tu. Apasal laju sangat Sifa ni tukar baju dan terus tidur. Sebab kebiasaannya kalau dia nak tidur pun mesti tengok phone dulu. Ni tak, dia dah syok tidur. Jadinya siapa yang baru masuk bilik tadi? Yang ni aku takkan lupa sebab sosok tubuh tu memang tersemat dalam ingatan aku.

Dengkur

Kejadian ni pula terjadi masa kebanyakan student cuti midsem seminggu. Student yang memang asal semenanjung majoritinya semua balik kampung termasuk la Sifa. Kebetukan kejadian ni juga berlaku semasa Mona dan Wana masih menjalani Latihan praktikal. Kalau Mona ada biasanya aku akan tidur berteman sebilik dengan Mona.

Malam tu aku dah tidur dah. Biasanya aku akan hidupkan satu lampu meja yang berada di partition aku dan satu lampu meja di partition Sifa di sebelah untuk menemani malam sendirian di bilik tu. Bilik kitaorang ni agak suram kalau siang memandangkan ada pokok angsana besar yang berada di belakang blok tu. Jadi daun-daun dahan tu memang bole capai dari tingkap. Pokok tu dah kena tebang dah mungkin sebab daun-daun selalu termasuk dalam bilik student kot.

Tengah lena diulit mimpi aku tiba-tiba terbangun dari tidur. Aku terbangun sebab terdengar bunyi dengkuran yang kuat. Dengkuran yang kalau ikut logik hanya lelaki saja yang berdengkur macam itu. Aku pun capai handphone yang selalu aku letak sebelah bantal aku. Jam menunjukkan pukul 4 lebih pagi. Awal lagi aku pikir dalam hati sebelum sampai subuh, lepas tu aku cuba sambung tidur balik mengendahkan bunyi dengkuran tadi. Sebab aku ingatkan mungkin jiran sebelah. Aku membalikkan belakang aku dari arah meja dan menghadap partition dinding kayu yang memisahkan dengan partition sebelah. Kiranya katil aku ni betul2 melekat dengan dinding kayu tu. Jadi bila-bila kalau aku nak jenguk Sifa dekat partition sebelah aku akan berdiri atas katil aku je untuk berbual dengan dia. Malam tu aku sangkut tudung aku atas dinding kayu tu.

Semasa menghadapkan muka kearah dinding tu, tudung tu terkena la muka sebab tertiup angin kipas. Dah nak tidur tu tiba-tiba aku terdengar lagi bunyi orang berdengkur. Betul-betul sebelah telinga aku weh. Aku dah cuak time tu, sebab bunyi dengkur tu tak berhenti. Kalau ikutkan, katil Sifa pun memang rapat ke dinding kayu tu. Bunyi dengkur tu serius aku dengar ada dalam bilik. Arah dengkur tu seperti betul-betul dari katil Sifa yang dipisahkan dengan katil aku oleh dinding kayu tu.

Tak pernah aku dengar dengkur macam tu walaupun semua romate ada dalam bilik tu. Perlahan-lahan bunyi dengkur tu hilang. Aku dah naik seram, aku bingkas bangun dan hidupkan lampu bilik. Subuh tu aku tidur dengan lampu terbuka, aku berani sikit sebab dah tak lama dah nak subuh. Bunyi dengkur tu dah tiada. Kejadian-kejadian ni biasanya berlaku ada masa dia. Kadang tiada langsung, kadang akan berlaku bila aku berseorangan dalam bilik tu.

Tapi biasalah, hidup kena berani sedikit supaya benda tu lama-lama tak kisah yang kita pun ada dalam tu nak menumpang. Mungkin ‘benda’ tu pun menumpang bila-bila masa katil yang ada dalam bilik tu terbior begitu saja. Sebab tu aku suka tiap kali kalau cuti panjang, tilam aku tu aku akan berdirikan dan sandarkan ke dinding untuk mengelak ‘benda’ menumpang tidur atas tu. Kebetulan malam tu tilam Sifa dan Wana terbiar macam tu saja dan menjemput ‘benda’ tu untuk tidur sama.

Sekian perkongsian pengalaman aku yang tak seberapa ni. Aku amat berterima kasih sekiranya admin dapat publish cerita ini. Didoakan agar kita semua dilindungi Allah SWT daripada sebarang keburukan didunia ini dan diakhirat. Amin YRA.

Hantat kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 11 Average: 3.5]
Nur

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.