Pengalaman Pertama Ditegur Di Rumah Kampung

Ramai yang ada pengalaman dengan makhluk ghaib sama ada yang zahir dilihat mata kasar mahupun lintasan ataupun hanya sekadar bisikan lembut di telinga. Tak kurang juga yang ditegur tanpa kelihatan kelibat di mana-mana.

Ini adalah pengalaman aku yang pertama kali ditegur oleh makhluk tersebut. Cerita ini sudah agak lama berlaku di rumah kampung dulu. Aku ingat lagi ketika itu cuti sekolah, walaupun adik beradik aku agak ramai (7 orang) tapi masing-masing ketika itu samada di kampus ataupun di sekolah asrama yang berbeza berbanding aku. Tinggal adik-adik aku yang masih kecil je ketika itu bersama mak ayah aku sekali.

Alkisahnya ketika itu, aku sedang bercuti seorang disebabkan sekolah aku yang agak berbeza sikit berbanding sekolah asrama yang lain. Sekolah aku ni kebiasaannya tak bercuti untuk Thaipusam, Deepavali, Tahun baru Cina dan sebagainya. Disebabkan itu, bila cuti Raya Puasa dan juga Raya Haji akan lebih panjang dari sekolah asrama yang lain hasil pengumpulan cuti-cuti yang kami tak ambil tu.

Oh sebelum terlupa, nama aku Wan. Family aku akan panggil nama tu je kat rumah kecuali mak ayah aku bila marah akan panggil nama penuh. Hahaha. Tapi itu nama kat rumah dan di kampung je. Di asrama, kawan-kawan aku akan panggil aku dengan nama Duan. Dan ada kaitan sebenarnya pasal nama ni bagi cerita aku ditegur makhluk ghaib yang pertama kat bawah ini.

Pada satu malam tu, lewat sikit dari tengah malam, aku baru selesai menonton TV dan bersedia untuk ke bilik tidur walaupun mata masih belum rasa mengantuk lagi. Ketika itu belum ada Astro lagi, internet pun takde. Malam-malam pun bukan ada channel yang pelbagai macam sekarang ini kan. Jadi disebabkan tiada apa-apa nak dibuat tengah malam itu, aku terus menuju ke bilik tidur untuk cubaan melelapkan mata lebih awal.

Sampai sahaja di bilik tidur, aku hanya membaringkan badan sambil kedua-dua belah kaki aku masih di lantai. Nampak sangat tak bersedia nak tidur lagi kalau berkedudukan macam itu kan. Mungkin perlu aku ceritakan sikit tentang keadaan bilik bujang yang tak besar mana pun. Bilik itu hanya mempunyai satu katil kayu (saiz permaisuri) sahaja tanpa ada perabot atau almari baju. Bersebelahan dengan katil tersebut terdapat tingkap cermin seperti rumah-rumah kampung yang lain. Disebalik tingkap cermin (di luar rumah) itu hanya ada rimbunan daun pandan dan juga kebun pisang.

Ketika aku tengah baring-baring di atas katil itu dalam keadaan mata terpejam, aku terdengar suara memanggil nama aku. “Duuuuuuan”. Aku fikirkan itu hanyalah khayalan semata-mata ataupun mungkin aku ada terlelap sebentar tadi. Jadi aku tak ambil peduli sangatlah.

“Duuuuuan”. Kali kedua namaku dipanggil membuatkan aku terduduk untuk memastikan yang itu bukan mimpi. Dan memang mustahillah kalau nak katakan adik-adik aku nak menyakat aku ke apa kan. Mustahilnya sebab adik-adikku tak berani pun dengan aku dulu.hahaha. Keduanya, adik-adik aku semua dah pun tidur di bilik lain. Dan yang ketiganya, nama tu hanya kawan-kawan asrama aku je yang panggil. Suaranya jelas milik seorang perempuan dan ia pastinya bukan mimpi. Aku pasti tentang itu.

Aku berpaling ke arah tingkap cermin untuk melihat jika ada sesiapa di luar dan untuk mendengar lebih jelas. Tapi memang confirmlah takkan ada orang kat luar sebab sudah tengah malam dan hanya ada kebun pisang sahaja di situ dengan keadaan gelap gelita di luar.

Untuk kali ketiganya aku dengar namaku dipanggil “Duuuuan” dari arah yang sama dan suara yang sama. Aku mula menjadi takut sebab ini bukanlah satu mimpi yang dikatakan permainan dalam tidur. Tanpa sengaja time tu aku berpaling ke arah tingkap, alangkah terkejutnya aku dan hanya Allah sajalah yang tahu betapa takutnya perasaan time tu. Seorang perempuan berambut panjang permukaan wajah yang agak tidak jelas. Aku kuatkan hati  cuba untuk beristigfar dan membaca surah yang ada dalam fikiran ketika itu.

Berdoa untuk dijauhkan dengan benda-benda yang menakutkan. Aku tanpa menunggu lebih lama, terus keluar dari bilik menuju ke ruang depan tv. Aku terfikir juga untuk mengejutkan mak ayah tapi macam dah lewat sangat jadi aku pun mengambil keputusan untuk menceritakan apa yang berlaku pada keesokan paginya sahaja.

Aku berjaya juga lena di atas sofa depan tv walaupun agak sukar untuk melelapkan mata selepas ditegur tadi. Manalah tahu kalau-kalau ‘dia’ masuk ke dalam rumah pulak kan. Tak pasal-pasal tambah cuti pulak aku.

Satu persatu aku ceritakan apa yang berlaku kepada mak ayah aku keesokan harinya tetapi mungkin disebabkan mereka tak mahu aku fikirkan sangat tentang itu, tidaklah berpanjangan kisah itu. Lagipun aku ada 5 orang adik beradik perempuan. Kalau aku ceritakan tentang ini, mau semua pakat tidur depan tv je bila balik ramai-ramai nanti.

Itu kisah pertama aku ditegur makhluk ghaib ketika umur belasan tahun. Selain dari ditindih yang memang biasa terjadi, tiada apa-apa yang berlaku sehinggalah aku dah besar panjang merantau bekerja ke negeri orang.

Di lain masa, aku akan ceritakan pengalaman aku memandu sendirian dan ada juga ketika bersama keluarga di pekat malam di Jalanraya Timur-Barat dari Jeli ke Gerik ketika aku berulang alik dari Terengganu ke Perak.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 3 Average: 1]
redz

1 thought on “Pengalaman Pertama Ditegur Di Rumah Kampung”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.