Penumpang Misteri

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera. Terima kasih kepada FS kerana telah menyiarkan urban legend Ireland “Hantu Pengantin Charles Fort”. Aku Ieda.

Kali ini bukan urban legend lagi yang ingin aku sampaikan, tetapi satu pengalaman yang dialami oleh jiranku Tadhg (sebutannya ialah Taig), seorang pemandu teksi. Lebih kurang seminggu lepas, aku nampak Tadgh sedang bersantai di luar rumahnya, pasti sedang menikmati sinar matahari musim bunga walaupun udara sedikit dingin pada pagi itu. Dia sedang leka menghisap rokok dan ada secawan kopi di atas meja di sebelahnya. Jadi, memandangkan aku agak lapang ketika itu dan sudah agak lama juga tak bersembang dengan Tadgh, aku bancuh seteko kopi dan bawa sepiring Irish scone menghala ke rumahnya.

Kawasan perumahan di sini tidak berpagar. Dari jauh Tadgh sudah melambai tangannya kepadaku. Setelah bertanya khabar masing-masing, Tadgh bertanya kepadaku sama ada aku percaya tentang kewujudan hantu atau ‘dark spirit’. Soalan Tadgh ini membuatkan otakku tiba-tiba terfikirkan FS. Hah, ada kisah nampaknya yang boleh aku kongsikan dengan readers FS! Menurut Tadgh, dia ada pengalaman yang masih menghantui dia hingga sekarang. Jadi, akan aku tuliskan pengalaman Tadgh ketika pulang bercuti ke kampung halamannya di County Donegal semasa musim sejuk baru-baru ini.

Donegal adalah salah satu negeri tercantik di Ireland ini dengan rupa bentuk muka buminya yang agak bergunung-ganang yang kerap bersalji ketika musim sejuk. Untuk lebih feel, mungkin kalian boleh gunakan Google Map untuk lihat tempat-tempat yang akan aku sebutkan di dalam kisah ini, dan ‘aku’ di dalam kisah di bawah adalah Tadgh.

Tadgh dan penumpang misterinya.

Keadaan paling sejuk adalah pada bulan Januari di mana suhu akan jatuh sehingga -7°C atau -6°C. Aku bersama isteri dan anak pulang ke Donegal untuk menjenguk ibu. Kami bertolak seawal jam 10 pagi kerana tidak mahu terlalu lewat sampai ke sana. Apatah lagi, pada musim sejuk, matahari terbenam lebih kurang jam 3.30 petang. Perjalanan ke Donegal mengambil masa 3 ke 4 jam bergantung kepada keadaan jalan raya yang tidak begitu mengizinkan untuk memandu laju. Jadi, kami sampai ke rumah ibu seelok-elok sebelum hari gelap.

Tidak sabar untuk duduk di hadapan unggun api yang pasti telah ibu hidupkan awal-awal lagi sebelum kami tiba. Letihnya badan aku memandu berjam-jam dengan keadaan jalan raya yang licin dilitupi ‘black ice’ di sana sini. Tidak boleh terlalu laju memandangkan brek kereta tidak begitu efisyen kerana tidak dapat mencengkam permukaan jalan raya. Sampainya kami di rumah, unggun api telah sedia memanaskan ruang dan ibu telah memasak makanan kegemaran kami. Selepas makan, aku berlunjur di kerusi malas di hadapan unggun api bersama secawan kopi. Itulah perasaan yang paling indah semasa musim sejuk! Agaknya aku terlelap, aku lihat hari sudah gelap tetapi jam baru menunjukkan pukul 7 malam. Isteri dan anakku sedang berbual dengan ibu di dapur sambil sesekali kedengaran mereka bergelak ketawa bersama.

Apabila pulang ke kampung, aku pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk keluar minum bersama kawan-kawan lama di bar. Jadi, aku dail nombor telefon dua orang kawan baikku sejak dari sekolah menengah dahulu dan mengajak mereka untuk bertemu pada malam itu di bar kegemaran kami di pecan Ballybofey. Pada jam 8 malam, aku keluar dari rumah ibuku di pinggir bandar Donegal dan memandu ke arah Ballybofey yang jaraknya hampir 25km, atau lebih kurang setengah jam perjalanan. Setibanya aku di bar yang terletak di Hotel Jackson, Ballybofey, Patrick dan Liam telah sedia menunggu. Seronok berbual sambil minum, tidak sedar jam sudah menunjukkan pukul 1.30 pagi. Aku minum sekadarnya sahaja kerana perlu memandu pulang ke rumah. Yang penting, dapat bertemu dengan kawan-kawan baikku. Mereka tinggal berhampiran Ballybofey jadi aku terpaksa minta diri kerana telah lewat malam dan suhu semakin dingin sehingga terasa ke tulang rawan!

Aku lihat jam di tanganku sudah hampir 2 pagi dan aku perlu berhenti di sebuah stesen minyak di pecan itu yang masih buka untuk mengisi tangki minyak keretaku. Aku tidak mahu keretaku kehabisan minyak di tengah gelap pekat perjalanan pulang ke rumah nanti. Cuaca pada malam itu memang buruk dengan sejuk yang membekukan, ditambah angin dingin yang menderu dan hujan ais yang lebat. Bayangkanlah! Jalan utama di Ballybofey itu makin lengang kerana hampir semua pengunjung bar dan pub telah pulang disebabkan cuaca buruk itu. Kadang-kala, deruan angin menyebabkan pemanduanku bergoyang. Aku terus berhati-hati memandu, seingat aku 40km/sejam dan perlu memasang ‘wiper’ cermin hadapan pada kelajuan maksima kerana hujan ais yang semakin lebat dan jalan raya yang licin. Perjalanan ke rumah ibuku terpaksa melalui Barnesmore Gap. Ia adalah jalan yang bergunung-ganang di kiri kanannya dan terdapat sebuah tasik yang agak besar yang bernama Lough Mourne berdekatan laluan Barnesmore Gap itu.

Pemanas di dalam kereta telah aku naikkan suhunya dan stesen radio RTE 2FM menjadi pilihanku untuk menemani pemanduanku yang menyiksakan pada malam itu. Aku menghampiri puncak Mcgroarty’s Brae dan baru aku sedar yang aku belum bertembung walau sebiji kenderaan sekali pun sejak aku tinggalkan Ballybofey. Selalunya akan ada beberapa buah lori larut malam atau kenderaan lain yang datang dari hala bandar Donegal, tapi tidak pada malam itu. Gelap pekat tanpa cahaya lampu kenderaan lain, hanya ditemani gunung-ganang yang sekali imbas menyerupai lembaga hitam yang amat besar di kiri kanan jalan.

Tiba-tiba aku terlihat seperti ada sekilas cahaya lampu kenderaan dari jauh. Mungkin ada kereta di hadapan sana yang sedang mengambil selekoh jalan atau ada kereta yang mengambil simpang ke Castlederg di jambatan lama di hadapan. Hanya sekilas cahaya itu kelihatan dan seingat aku, cahayanya putih kebiruan, bukan putih kekuningan seperti cahaya lampu kenderaan yang biasa. Serentak itu juga stesen radio 2FM tadi mengeluarkan bunyi statik yang kuat sehingga tidak kedengaran lagi muzik dan terus senyap! Radio masih terpasang tapi tanpa sebarang bunyi. Mungkin cuaca terlalu buruk hingga merosakkan signal radio, fikirku.

Aku cuba mencari stesen radio yang lain dan sebuah lagu dari zaman 1940an berkumandang dengan jelas. Aku tergelak kecil kerana tidak begitu pasti siaran manakah yang telah aku jumpa. Tidak mengapalah, sekurang-kurangnya aku terhibur sedikit di dalam mengharungi hujan ais yang telah bertukar kepada salji ketika itu. Aku hampir sampai ke kedudukan tertinggi laluan Barnesmore Gap di Lough Mourne.

Mengikut perkiraan aku, kereta tadi sepatutnya sudah hampir denganku tetapi masih belum kelihatan walaupun aku telah hampir dengan simpang di jambatan lama ke Castlederg. Perlu diingat, pemanduanku amat perlahan ketika ini kerana pandanganku dikaburi salji yang mula turun. Tiada sebiji kereta pun di simpang jambatan lama itu tetapi cahaya lampuku menyuluh tepat kepada sesuatu.

Satu susuk tubuh wanita sedang berdiri di simpang itu. Dalam kesamaran salji, aku kira wanita itu agak muda dan dia sedang melambaikan tangannya seperti mahu hitchhike atau menumpang. Fikiranku agak keliru dan kosong ketika itu tapi tidak semena-mena kaki kananku menekan brek kereta apabila telah sedikit melepasi wanita tadi. Aku menukar kepada gear undur walaupun masih teragak-agak. Seelok-elok aku mula mahu mengundur kereta, pintu belakang terbuka sendiri dan wanita tadi masuk dan duduk di tempat duduk belakang. Enjin kereta m**i. Aku bungkam! Bagaimana dia boleh membuka pintu dan masuk secepat itu sedangkan aku berhenti lebih kurang seratus kaki jauhnya dari dia.

Barangkali salji lebat ini telah buat aku keliru dengan jarak. Barangkali… Serentak itu aku seakan terdengar ucapan “Thank you” dari wanita berkenaan, atau pun ia hanya desiran angin gunung? Ah, tidak mengapalah. Aku hidupkan semula enjin kereta dan berpesan kepada wanita itu untuk memberitahu aku di mana dia mahu berhenti. Wanita itu menjawab “Yes”, betul-betul kedengaran seperti desiran ular di telingaku! Entah kenapa, benakku mula berfikir yang bukan-bukan, hatiku bercampur-baur perasaan takut dan sayu. Tidak pernah seumur hidup aku merasakan perasaan sebegitu!

Mujurlah dari jauh kelihatan lampu dari pub Biddy di sebelah kanan tapi jalan raya agak kecil di kawasan itu. Aku hanya dapat mengerling sekilas pada cermin pandang belakang untuk melihat penumpang misteriku. Wanita itu merenung ke dalam kepekatan malam. Wajahnya amat pucat, putih seakan biru seperti akan membeku. Aku terus teringat pada cahaya putih kebiruan yang aku nampak tadi. Wajahnya amat rapat dengan cermin tingkap, tapi mengapa nafasnya tidak menyebabkan wap pada cermin kereta aku? Dia bernafas atau tidak? Tiba-tiba, suhu di dalam keretaku menjadi amat sejuk hingga aku menggigil.

Aku cuba naikkan suhu, tapi pemanas keretaku sudah tahap maksima. Tadi radio, sekarang pemanas pula. Ah, nampaknya kereta ini perlu aku hantar ke mekanik untuk diperiksa. Pub Biddy telah kami lepasi tapi aku nampak dia langsung tidak mengendahkannya. Akan tetapi pandangannya tertumpu pada gunung di sebelah kirinya. Dia masih membisu. Lebih kurang sebatu dari pub Biddy tadi, wanita itu seperti berbisik “Stop here…” Aku tersentak kerana dia tiba-tiba bersuara. Tetapi, kata-katanya tidak berakhir di situ.

Aku menelan air liur kerana ketakutan yang teramat sangat dan kaki tanganku menggigil hingga tidak terasa stereng yang aku pegang. “Stop here… this is where I died.” Aku menekan brek serta-merta walaupun jalan licin dan keretaku tergelincir sedikit kerana brek mengejut. Aku segera menoleh dan mendapati kerusi di belakangku kosong. Pintu belakang keretaku tidak terbuka langsung. Wanita tadi telah lenyap! Aku teramat takut. Sekilas itu juga aku ternampak cahaya putih kebiruan jauh di dalam kepekatan malam bersalji dan serentak itu radio keretaku menyiarkan Warta Berita jam 3 pagi di RTE Radio 2….

Begitulah kisah jiranku Tadgh. Wajahnya masih ku lihat ketakutan ketika dia bercerita walaupun telah berbulan berlalu. Bersabarlah Tadgh, kau keluar ketika ‘Devil’s Hour’, “mereka” keluar bermain, sebab itulah terserempak.

Sekian. Ada rezeki, kita bertemu lagi ya! Ramadhan Kareem kepada semua readers beragama Islam. Assalamualaikum dari kejauhan…

Ieda

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 4 Average: 4]

7 thoughts on “Penumpang Misteri”

  1. Barnesmore Gap tu bukan ker ada hantu ker? Laluan malam situ seram…saya pernah keje kat Ireland, Limerick…3 tahun..tapi 2x jer ke Donegal and penah lalu situ…ramai gak colleagues yg berasal dari sana and kerja kat Limerick..Tempat tu agak..tak ngeri…kami pernah lalu pukul 1pagi di hujung January 2007…seram…..bukak tingkap lalu situ..mendayu2 bunyi angin….walaupun ada 2 bijik kerete konvoi…masing2 senyap bila lalu situ….

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.