25.12.2018
Assalamualaikum..
Kali ini pokcik nak kongsikan satu lagi kisah.. Kisah ini baru sahaja dikongsikan kepada pokcik sebenar tadi oleh hamba Allah yang mengalaminya..Seorang wanita.
Katanya dia baru sahaja melancong ke Indonesia selama lima hari.. Ketika di sana dia melawat tapak perkuburan suku kaum Pua.. Ketika di dalam tempat awet mayat, dia hanya ditemani oleh pemandu pelancong. Dia melihat satu keranda yang cantik. Dia menyentuh keranda itu sambil bertanya keranda itu kepunyaan siapa..
Menurut pemandu pelancong, di dalam keranda itu ada mayat keturunan bangsawan Pua yang sudah berusia 40 tahun.. Seterusnya dia melihat banyak mayat yang digulung dengan tikar mengkuang. Dia bertanya lagi, mayat siapa tu.. Menurut pemandu pelancong semua mayat itu berusia 3 hari dan sedang disiapkan untuk diawet.. Berderau darahnya dan dia terus keluar dari tempat itu…. Tiada apa keanehan yang berlaku….
Dia akhirnya sampai di Kuala Lumpur pada pukul 2 pagi kerana penerbangan tertangguh 2 jam ketika dia nak balik ke Malaysia. Adiknya mengambil dia di lapangan terbang.. Sesampai di rumah adiknya dia dijamu makan. Ketika makan dia menceritakan apa yang dia alami di tapak perkuburan kaum Pua. Tiba-tiba adiknya mendengus seraya memandang tajam kepadanya namun selepas itu tiada apa yang berlaku….
Oleh sebab sudah pagi dia tidak mahu menukar pakaiannya. Tambahan pula dia sangat letih.. Adiknya bising dan suruh mandi tetapi dia tidak mahu.. Bagilah kain batik, katanya.. Adiknya memberikan kain batik lepas. Kain batik berjahit tak ada ke? Ini untuk orang m**i, katanya lagi. Namun dia pakai juga…
Dia dikejutkan oleh adiknya pagi waktu Subuh. Bangun. Kata flight nak balik Kelantan pukul 3. Nak simpan barang-barang lagi, tambah adiknya.. Disebabkan keletihan dia meminta adiknya menyimpan barangnya dan diletakkan ke dalam beg. Tak lama kemudian dia pun bangun. Dia ke bilik mandi untuk mencuci muka..
Ketika melihat cermin dia terkejut. Mata hitamnya lebih besar daripada mata putihnya.. Besarnya itu hampir menutup terus mata putih.. Dia kemudiannya memegang hidungnya Hidungnya sudah senget.Dia membetul-betulkan hidungnya. Dia meraba-raba mukanya lagi.. Keningnya mula jatuh. Ketika itu dia yang belajar serba sedikit tentang kematian mula merasa di atas dahinya. Terasa ada nadi berdenyut di situ.. Tangannya dipicit. Kulit tangannya juga tenggelam seperti tanda orang yang akan m**i. Dia dapat rasakan ada seseorang di sebelahnya. Aku nak m**i dah, katanya di dalam hati…
Setelah itu dia mencuci diri kerana bersedia menanti maut. Setelah keluar bilik air dia pergi ke bilik kalau tak salah pokcik. Ketika ini dia sudah merasa sejuk bermula dari kaki. Aura sejuk terus bergerak dari kaki hingga ke pusat. Setelah itu kakinya jatuh ke bawah seperti jenazah. Bahagian bawah sudah sejuk. Tak lama kemudian terasa sejuk naik hingga ke ulu hati. Tak lama sampailah ke bahagian halkum. Dia sudah mula merasakan dirinya akan m**i.. Saya hanya menunggu malaikat maut datang menjemput, katanya kepada pokcik…
Dia kemudiannya keluar dan dilihat oleh adiknya. Kenapa mu, ni? Tanya adiknya. Aku dah dapat rasa, aku nak m**i, katanya. Adiknya memarahinya kerana dikatakan dia merepek. Setelah itu dia menelefon ustazahnya. Mungkin ustazah ni gurunya. Dia menceritakan perihal dirinya sekarang. Ustazahnya mula bertanya tentang wasiatnya. Dia bertanya di mana hendak dikebumikan dan sebagainya…
Setelah itu adiknya cuba memujuknya. Pakailah pakaian berwarna kuning, kita kan keturunan raja. Dia tak mahu. Aku lebih rela pakai pakaian warna putih. Senang korang nak urusankan aku. Aku pun sudah cuci telinga, hidung dan sebagainya. Aku dah bersih jadi senanglah nanti, tambahnya lagi.. Setelah itu adiknya memujuk untuk menjamah sedikit makanan tetapi dia tetap menolak. Katanya nanti susah kalau ada najis dan terpaksa dicuci..
Melihat keadaanya yang seperti sudah tidak tahu apa-apa, adiknya menelefon sepupunya. Dia risau membiarkan kakaknya naik kapal terbang seorang diri. Apa yang dia mohon kepada Allah, kalau boleh dia nak m**i di rumahnya sendiri.. Perasaan berdebar dan jantungnya seperti nak gugur menunggu m**i.. Dia tetap teruskan untuk menaiki kapal terbang untuk balik ke Kelantan. Dia duduk di kerusi sambil menunggu. Ketika itu dia melihat dirinya sendiri mundar-mandir di hadapannya.. Akhirnya dia melihat dirinya itu duduk di sebelah kerusinya sambil merenung dia.. Dah matikah aku, bisik dia sendirian…
Ketika sedang termanggu dia melihat sepupunya mundar-mandir tidak jauh darinya. Dia hanya memerhatikan sahaja. Tiba-tiba seorang lelaki tua menepuk bahunya. Kenapa pandang Pak cik macam tu? Soal Pak cik itu. Dia seperti tersedar daripada lamunan. Tak lama kemudian sepupunya nampak dia di situ. Sepupunya itu terus menghampirinya. Ketika sepupunya sampai, dia terus menyerahkan sejumlah wang yang berada dalam dompetnya. Katanya, gunakanlah untuk perbelanjaan mengurus jenazahnya nanti. Setelah itu dia memberikan kad bank. Kad bank ini aku dah tak ingat nombor pin dah. Minta nombor pin pada M** , katanya lagi. Keluarkan duit untuk urusan tersebut.
Sepupunya cuba menenangkannya. Penerbangannya tertunda lagi. Ketika menunggu, ada sebuah pesawat yang sampai. Nak dijadikan cerita, ada satu jenazah yang diturunkan. Dia makin berdebar. Degup jantungnya semakin kencang. Dia tertanya-tanya keadaannya sekiranya dia meninggal dunia di dalam kapal terbang. Akhirnya kapal terbang yang ditunggu sudah tiba. Dia menaiki pesawat bersama dengan sepupunya itu. Sepanjang perjalanan dia beristighfar dan berzikir. Akhirnya dia redha sekiranya Allah mengutuskan malaikat untuk mengambil nyawanya. Dia memujuk hati, semua orang akan m**i. Kini giliran aku.
Dia tidak sabar untuk tiba di Kota Bahru. Perasaan rindu pada keluarga membuak-buak. Katanya kalau boleh dia ingin terbang ke sana pada waktu itu. Alhamdulillah sungguh pun keadaannya masih seperti terpinga-pinga dia sampai juga dan menemui keluarganya di Kelantan. Sesampainya dia di sana, anak sulung lelakinya terus memeluknya. Rindunya kat mama, kata anaknya. Anaknya meluahkan bahawa rasakan seolah-olah dia dan ibunya sudah lama berjauhan. Dia menceritakan apa yang dirasai kepada suaminya.
Mereka akhirnya tiba di rumah. Dia berpesan kepada suaminya agar berada berdekatan dengannya. Dia menjadi takut apabila tinggal keseorangan. Si suami menurut. Oleh sebab si suami berasa tidak sedap hati, maka suaminya itu menelefon sahabatnya Ustaz Ahmad Dasuki. Kebetulan ustaz balik ke Kelantan. Apabila diceritakan perihal isterinya, Ustaz Ahmad Dasuki terus meminta mereka datang untuk menemui beliau.
Mereka terus pergi menemui Ustaz Ahmad Dasuki. Sesampainya di sana, si sakit menceritakan segala apa yang dirasai olehnya. Menurut Ustaz Ahmad Dasuki si sakit terkena sihir yang boleh menyebabkan seseorang menjadi gila. Alhamdulillah si sakit kuat semangat dan ada pegangan agama yang menjadi benteng baginya menepis sedikit sebanyak sihir yang dikenakan ke atasnya. Setelah itu beliau membacakan beberapa p****g ayat-ayat suci AlQuran pada segelas air. Setelah itu si sakit meminum air yang telah diruqyah oleh beliau. Si sakit juga dibekalkan dengan beberapa biji limau. Mungkin untuk mandi dan memulihkan semangatnya…
Alhamdulillah setelah meminum air dan limau itu digunakan oleh si sakit untuk mencuci mukanya bukannya mandi, perasaan itu hilang perlahan demi perlahan. Setelah dia agak tenang suaminya mengajak dia sekeluarga berjalan ke Kuantan untuk bercuti di samping menemui adiknya iaitu sahabat pokcik.. Dua hari lepas pokcik ada mengajak dia datang ke rumah.
Kebetulan sahabat kita Miu Miu juga baru tiba dari Terengganu dan ingin ke Pameran Artifak Rasulullah dan para sahabat. Jadinya pokcik terus mengambil Miu Miu di hotel dan membawanya ke Dewan MPK Kuantan dan pokcik terus balik ke rumah kerana sudah berjanji dengan hamba Allah ini pada pukul 8.30 malam.Walaupun sudah berjanji pada pukul 8.30 malam namun bayang dia dan keluarganya langsung tidak muncul-muncul.
Walaupun sudah berjanji pada pukul 8.30 malam namun bayang dia dan keluarganya langsung tidak muncul-muncul. Akhirnya dia tiba di rumah pokcik pada pukul 9.45 malam. Dia dikejarkan ke klinik kerana darahnya rendah, sakit kepala yang teramat kuat, mukanya pucat, kebingungan dan yang paling parah lagi dia ketakutan tinggal seorang kerana perasaan itu datang kembali. Dia meminta maaf kepada pokcik dan isteri kerana tiba lewat. Kelihatan dia masih kebingungan. Pokcik ingat ia merupakan kesan ubat jadi pokcik abaikan….
Lebih kurang pukul 11 malam sahabat pokcik dan si sakit sekeluarga pulang. Namun begitu pokcik lihat mukanya masih pucat. Disebabkan dia tidak membuka mulut maka pokcik pun tidaklah mahu bertanya dengan lebih lanjut. Malam tadi barulah dia berjumpa dengan pokcik dan menceritakan segala yang telah pokcik kongsikan ini. Barulah pokcik tahu duduk perkara. Disebabkan dia ingin keluar mencari telekung hantaran yang dikirim oleh sahabatnya selepas itu maka pokcik berjanji akan ikhtiarkannya sejurus selesai solat Maghrib..
Untuk pengetahuan semua sahabat, kawan si sakit memintanya membeli telekung bagi hantaran kahwin sebanyak tiga pasang. Menurutnya telekung di Indonesia lebih murah berbanding di Malaysia. Si sakit telah membeli telekung yang dikirim oleh sahabatnya namun tertinggal di Lapangan Terbang Kuala Lumpur kerana keadaanya yang kebingungan ketika itu. Kesemua barangnya tertinggal di lapangan terbang. Jadinya dia terpaksa menggunakan duitnya sendiri untuk menggantikan barangan berkenaan walaupun harganya lebih mahal berbanding telekung yang telah dibeli olehnya di Indonesia.
Setelah bersedia untuk ikhtiarkannya, pokcik sudah mula terasa ada getaran yang amat kuat seolah-olah ketika itu kami sedang diperhatikan. Pokcik abaikan apa yang pokcik rasakan. Setelah memagarnya pokcik terus memohon kepada Allah agar dihapuskan gangguan berkenaan. Terasa amat kuat getaran pada bahagian belikat kanannya. Tangan pokcik sendiri kelihatan timbul urat kebiruan dan pokcik terasa kebas pada salah satu jari kanan pokcik. Apa pun alhamdulillah Allah permudahkan semuanya…
Pada asalnya pokcik nak sediakan air untuk dimandi olehnya. Namun begitu, oleh sebab kekangan masa maka pokcik terus ikhtiar dengan menggabungkan bacaan tersebut dalam satu jenis ikhtiar sahaja. Alhamdulillah dia mula pulih seizinNya. Setelah itu dia mengajak orang rumah pokcik ke bandar untuk mencari telekung yang dikehendaki. Mula-mula orang rumah pokcik yang memandu keretanya kerana bimbang sekiranya keadaanya masih pening dan kebingungan namun apabila ditanya keadaanya, alhamdulillah dia stabil dan boleh memandu. Maklumlah kereta si sakit. Orang rumah pokcik bukannya biasa memandu kereta orang lain…
Alhamdulillah sehingga balik dari bandar, keadaannya sudah baik seizin Allah. Pokcik asalnya risau juga sekiranya dia yang memandu. Kan. Namun setelah orang rumah pokcik menceritakan keadaanya barulah lega hati pokcik. Pagi ini dia, suami, dan anak-anaknya sudah bertolak balik ke Kelantan. Alhamdulillah tiada lagi perasaan pelik yang mengganggu. Moga mereka sekeluarga selamat sampai ke destinasi. Sekian perkongsian pada kali ini. Moga berjumpa lagi. Wallahuaklam. Salam hormat…
Tamat….
hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
sangat menarik. ilmu untuk saya.
Dia terkena apa pakcik yang buat dia jadi macam tu?
Mesti sebab dia tak tukar pakaian lepas sampai sini..agaknya
siapa yang menyihirnya?
apa kaitan dgn kisah lawatan dia ke tapak kubur tu?
saya tak berapa paham cerita pokcik.
Dalam kisah tu rasanya pokcik Seman xada pula beritahu dia disihir atau sebaliknya.. Ustaz, yg beritahu dia disihir… Bab sihir, badi, semuanya dalam pengetahuan Allah.. Eloklah sesetengah perkara dinyatakan secara umum..
sebab dia pegang keranda ke atau sebab dia tegur mayat tu ke atau ada org buat kat dia?
Maaf..sy tak berapa faham cerita yang ingin di sampai kan..saya pulak yg kompius.
penuh misteri kisah pokcik ni..kena duduk berlaga lutut dengan pokcik ni dengar pengalaman yang banyak
https://diaripencaridiri.blogspot.com/2018/12/perasaan-akan-menemui-ajal-episod-1.html
yang ni blog apa
Yg ni blog pokcik