Percintaan Singkat 2 Alam (Part 2)

Dengan lafaz bismillah aku mulakan bicara. Terima kasih aku ucapkan kepada admin FS kerana sudi menyiarkan secebis pengalaman aku dan juga kepada pembaca budiman sekalian. Kisah yang akan aku kongsikan sebentar nanti pada aku tidaklah beberapa menarik kerana bagiku, aku hanya dapat memasuki alam bunian ini hanya seketika sahaja. Dan versi cerita aku ini dapat aku rasakan agak berlainan dengan cerita orang lain yang pernah masuk ke dalam alam bunian. Baiklah, tanpa melengahkan masa aku mulakan bicara.

Selepas beberapa hari aku berubat dengan ustaz Sufian dan peristiwa adik aku ternampak seperti kelibat gadis menangis di katil aku, aku berasa ingin sangat berjumpa dengannya. Aku ingin tahu kenapa dia memilih aku sebagai teman hidupnya. Walhal selain aku beribu jantina lelaki yang ada di muka bumi ini, tidak termasuk lagi di alamnya. Selang beberapa minggu selepas aku berubat dengan ustaz Sufian, seperti kebiasaan aku tidur apabila jam hampir masuk waktu pagi (lebih tepat lagi telah masuk waktu a.m), bermulalah cerita aku di sini. Apabila aku sedang nyenyak tidur tiba-tiba aku rasa ada sesuatu tarik tangan aku untuk bangun.

Dan waktu itu aku masih ingat di mana aku tengah mamai dan masih menggosok gosok mataku akibat mengantuk dan pada masa yang sama aku mengekori makhluk yang memegang tanganku itu. Aku menjadi seperti bodoh kerana terus merelakan diriku untuk dibawa ke mana sahaja. Dan perkara yang paling tak dapat diterima oleh akal aku dapat menembusi dinding bilik aku (dinding sebalik bilik aku yang aku tembusi itu adalah di luar rumah). Jujur aku cakap semasa taip kisah ini aku takut kalau pembaca semua tak boleh percaya. Sebab bagi aku seperti menipu, tetapi ini lah yang berlaku. Tetapi aku tetapkan juga pendirian aku untuk cerita memandangkan kisah aku sebelum ini ramai yang mahu mendengar episod seterusnya.

Tidak lama selepas itu aku merasakan aku berada didalam hutan dan dihadapan aku adalah sebatang pokok yang sederhana besarnya, dan kawasan aku berdiri itu agak terjaga kerana tidak nampak sebarang sampah seperti daun kering di kawasan itu. Dan paling menarik bagi aku adalah kawasan yang aku berdiri itu seperti waktu petang. Tidak panas terik dan tidak pula malam. Seperti keadaan waktu mendung. Angin pula seingat aku tiada di sana. 2 alam yang berbeza dan waktu juga berbeza. Di alam nyata sudah waktu tengah malam, dan di alam sana ialah waktu petang. Dan disini bermula pengalaman aku memasuki rumahnya. Sebelum aku bercerita lebih lanjut ingin aku tegaskan ini bukan rekaan kerana apa yang anda dengar nanti memang tak masuk akal. Dan kepada kalian jika nanti cakap aku tipu, terpulanglah kepada kalian. Dan aku tak nak di padang mahsyar nanti aku mencari kalian semua jika aku membuat cerita dan menipu kalian.

Baiklah aku teruskan bicara. Tidak lama selepas aku berdiri di hadapan pokok yang aku terangkan kepada kalian sebentar tadi, aku melihat betul-betul dihadapan aku (perantaraan aku dan pokok, di tengah-tengah) seperti alam ini dibuka lagi satu. Seperti hendak memasuki lif, lif kebiasaannya mempunyai dua pintu. Di kiri dan kanan dan terbuka pintu lifnya. Begitu aku nampak jelas di pandanganku. Dan aku kurang ingat apa yang aku nampak di dalam ‘lif’ itu. Setelah pintunya terbuka luas, makhluk tersebut masuk ke dalam ‘lif’ itu dan seperti kebiasaannya aku mengekori dari belakang.
Keadaan semasa di dalam lif aku dan ‘makhluk’ tersebut tidak berkata sepatah perkataan pun. Masing-masing senyap seribu bahasa. Apatah lagi aku yang agak ‘blur’ gila dan agak pelik dan bingung dan seribu satu perasaan dan fikiran tentang apa yang aku alami sekarang.

Setelah beberapa ketika, pintu ‘lif’ pun terbuka, dan aku pun melangkah keluar daripada ‘lif’ itu. Apa yang memeranjatkan aku, aku melihat suatu ruangan yang amat besar. Seperti besarnya di dalam dewan. Dan apa yang aku dapat fikirkan ketika itu, mungkin ‘ruangan’, itu adalah ruang tamu kerana di hujung dinding aku lihat seperti sofa atau kusyen (tak beberapa jelas kerana jauh dari pandangan) dan suatu sudut pula ada tv kecil serta perabot. Perabot, tv dan kusyen yang aku sebutkan tadi tidak terlalu baru dan tidak pula terlalu lama. Boleh aku anggarkan biasa sahaja. Setelah aku melihat sekeliling, ‘makhluk’ itu lantas duduk di bahagian tengah ‘ruang tamu’ itu di mana tempat aku dan dia berhenti dari melalui pelbagai pandangan yang susah diterima akal.

Setelah makhluk itu ‘duduk’, aku turut duduk betul betul dihadapannya. Baru aku nampak jelas dihadapan aku seorang perempuan, putih kulitnya dan tidak jelas pandanganku raut wajahnya. Jika tidak salah aku ‘makhluk’ tersebut tidak bertudung. Cara ‘makhluk’ itu duduk seperti bersimpuh. Di sini kami berbual bual kosong dan aku tidak ingat tentang apa yang aku bualkan dengannya. Setelah beberapa ketika, hatiku kuat mengatakan ‘makhluk’ dihadapanku ini adalah gadis bunian yang aku ceritakan kepada kalian sebelum ini. Dan setelah aku berbual kosong, aku sempat bertanya dan ini paling aku ingati. Aku bertanya padanya, “adakah awak yang menganggu saya selama ini?” (soalan aku sebenarnya agak kasar). Dia hanya tunduk dan tersenyum seperti malu malu.

Setelah itu aku tidak ingat apa apa. Mungkin aku lupa apa berlaku selepas itu dan mungkin juga seperti ‘terputus talian’ kerana aku bertanya soalan itu kepadanya. Jika difikirkan kembali aku dapat rasakan agak mustahil jika aku boleh lupa kerana dari awal semasa aku ‘bangun dalam keadaan mamai’ aku ingat apa yang berlaku padaku dan keadaan seterusnya tanpa ada sebarang masalah. Tetapi secara tiba tiba aku bertanya soalan itu aku terus jadi lupa atau aku seperti ‘sambung mimpi’ seperti tiada apa-apa yang berlaku. Dan keesokan paginya aku bangun seperti biasa dan terus melalui rutin harianku.

Dan insyaallah jika ade kelapangan aku akan kongsikan kepada kalian bagaimana gadis bunian ini menyelamatkan aku sewaktu dalam keadaan aku ‘agak bahaya’ dan mungkin juga aku akan kongsikan bagaimana hijab aku terbuka sewaktu aku masih kecil dan cerita bapaku hantu raya dan emak ku puntianak insyaAllah aku akan kongsikan. Terima kasih aku tujukan kepada kalian kerana pada kiraan ku cerita aku sebelum ini mendapat sokongan. Tidak kurang juga ada yang kritik cara penulisan ku dan ada juga cakap aku cuba menipu. Tidak mengapa kerana aku sudah biasa dianggap begitu. Kalau diri sendiri kena baru tahu hahaha (gelak jahat)

salam sayang daripada saya kepada anda semua..
babai

jejaka misteri

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 5]

6 thoughts on “Percintaan Singkat 2 Alam (Part 2)”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.