Angin malam menghembus perlahan, membawa bunyi ombak yang memukul pantai. Di kejauhan, bulan separuh muncul di celah awan, memantulkan cahaya pucat ke permukaan laut yang tenang. Tiga buah motosikal berhenti di hadapan sebuah chalet usang di hujung Pantai Pasir Hitam. Kami..aku, Hazim, dan Leya,baru sampai di Langkawi selepas satu perjalanan panjang menaiki feri.
“Eh… tempat ni macam tak berpenghuni je,” bisik Hazim perlahan sambil melangkah ke arah pintu kayu chalet. Tangannya menggenggam kunci yang diberikan oleh tuan rumah,seorang wanita tua yang kami temui di warung tepi jalan tadi. Dia kata, chalet ni murah dan dekat dengan laut. Tapi sejak mula aku dah rasa tak sedap hati.
Chalet itu sunyi. Tiada penghuni lain. Cuma kami bertiga. Langsir putih yang koyak melambai perlahan mengikut angin. Cat dinding terkopek. Bau hapak menyambut kami sebaik pintu dibuka.
Leya melangkah masuk dulu. “Seram wey… tapi okey lah untuk satu malam,” katanya. Dia letak beg galas atas tilam yang nampak seperti tak berganti cadar bertahun lamanya.
Hazim menjenguk ke dalam bilik air. “Weh, sinki ni ada kesan merah…” katanya. Tapi kami anggap itu cuma karat. Atau mungkin lumut. Entahlah.
Malam itu, kami duduk di luar chalet menikmati angin laut. Bercerita tentang hal remeh. Ketawa. Tapi semuanya berubah bila jam menunjukkan pukul 1:13 pagi.
Bunyi tangisan sayup-sayup datang dari arah pantai. Leya yang awalnya menyangka itu hanyalah angin mula resah. “Korang dengar tak… tu suara orang nangis ke?”
Aku dan Hazim diam. Memang ada suara. Tapi bukan macam manusia. Macam… suara dari dasar laut.
“Aku nak masuk tidur,” ujar Hazim. Dia bangun, namun tiba-tiba tubuhnya kaku.
“Korang… tengok tu…” bisiknya sambil menunjuk ke arah pohon kelapa di tepi chalet.
Seorang wanita. Berambut panjang mengurai. Bajunya basah, melekat di tubuh. Dia berdiri tanpa bergerak, menghadap ke arah kami. Matanya gelap. Kosong. Tidak berkelip. Tidak bernyawa.
Leya terjerit kecil. Aku bangkit, cuba menarik dia masuk ke dalam. Tapi bila aku berpaling semula ke arah wanita tadi, dia dah tak ada. Hilang. Langsung tanpa bayang.
Dalam bilik, suasana makin menyesakkan. Leya menggigil. Hazim termenung jauh. Pintu yang kami kunci sendiri… tiba-tiba terkuak perlahan.
“Tok…tok…tok…”
Ada ketukan dari tingkap bilik air. Tiga kali. Lalu senyap. Kemudian bunyi cakar di dinding. Seperti kuku manusia yang tajam menggaru permukaan kayu.
Aku baca apa yang aku ingat. Doa. Ayat kursi. Tapi seolah tak memberi kesan. Langit di luar masih gelap. Waktu seakan membeku.
Tiba-tiba Leya menjerit. Tangannya menunjuk ke cermin almari. “Siapa perempuan tu kat belakang kita??!”
Aku dan Hazim berpaling,kosong. Tapi bila aku tengok ke cermin semula, ada satu susuk tubuh sedang duduk di bucu katil. Dia senyum. Rambutnya menutupi separuh wajah.
“Pergilahhh…. Kami tak ganggu sesiapa…”
Tapi dia hanya terus duduk di situ. Tidak bergerak. Lama. Sampai kami bertiga hampir pengsan.
PAGI ITU kami tinggalkan chalet tanpa toleh ke belakang. Wanita tua yang menyewakan rumah itu hanya diam ketika kami pulangkan kunci. Wajahnya pucat, tapi dia tak terkejut pun dengan cerita kami.
“Dah lama tak ada yang tinggal malam kat situ,” katanya perlahan. “Itu dulu rumah anak saya… tapi dia lemas. Dalam laut… mayat dia tak jumpa sampai sekarang.”
Aku, Hazim dan Leya membisu. Tiada kata. Percutian kami yang sepatutnya jadi kenangan… bertukar menjadi igauan yang tak mungkin kami lupakan.
Sampai hari ini, aku masih teringat senyuman wanita dalam cermin itu. Dan sejak pulang dari Langkawi, aku sering terdengar tangisan di bilik air… tepat jam 1:13 pagi.