Kami berlima waktu itu, aku, Ika, Syam, Faris, dan Dayang , masing-masing sudah menghitung hari. Semester terakhir. Selepas empat tahun berhempas-pulas, gelak tawa, tangis ujian akhir dan drama pensyarah killer, akhirnya kami sampai ke garisan penamat.
Jadi kami ambil keputusan, sebelum semuanya berakhir… kita tinggalkan kenangan di satu tempat yang tak mungkin kita lupa.
Dan itulah sebabnya kami jejak kaki ke Pulau Perhentian.
Satu malam, dua hari. Percutian terakhir sebagai pelajar. Percutian sebelum masing-masing membawa diri entah ke mana.
Hari pertama sangat indah. Langit biru terbentang. Angin laut menyapa lembut. Air sejernih kaca, pasir halus bagai tepung. Kami habiskan waktu dengan snorkeling, bergambar, dan menjerit macam kanak-kanak bila bot laju menghentak ombak.
Malamnya kami bermalam di satu chalet lama, bukan yang mewah, tapi cukup selesa. Dua bilik, satu ruang tamu, dan dapur kecil. Pemilik chalet kata tempat tu agak ‘senyap’ sebab terletak di hujung barisan penginapan, hampir dengan kawasan hutan kecil. Tapi bagi kami, itulah yang kami mahu. Privasi. Bebas.
Kami gelak sampai lewat malam. Main UNO, makan maggi, dan buat sesi ‘confession’ atas tikar buluh.
Waktu itu, kami tak tahu bahawa malam itu.. ialah malam terakhir kami ketawa begitu.
Pukul 2 pagi, semua sudah lena. Aku dan Ika kongsi satu bilik. Bilik itu menghadap hutan, tingkap kayu dibiarkan tertutup rapat sebab takut nyamuk. Aku terjaga sebab terasa nak ke tandas.
Tapi bila aku buka mata , aku nampak ada bayang tubuh orang berdiri di depan cermin kecil dekat pintu.
Bayang itu tak bergerak. Kaku. Rambutnya panjang. Wajahnya… samar.
Aku sangka Ika. Tapi Ika sedang nyenyak di katil. Selimut tertutup sampai ke dada.
Aku pandang balik cermin.
Bayang itu masih di situ. Tapi kali ini, ia senyum.
Aku terpekik. Tapi suara aku tersekat di kerongkong. Nafas aku laju. Aku tarik selimut, pejam mata kuat-kuat. Aku baca semua ayat yang aku ingat. Lama-lama, aku tertidur balik.
Esok pagi, Ika tanya kenapa mata aku bengkak. Aku cuma jawab tak cukup tidur.
Tapi bila kami semua keluar nak bersarapan, Syam berdiri di beranda chalet sambil termangu.
Mukanya pucat. Dia tak makan, tak cakap banyak.
Masa aku tanya, dia cuma sebut satu ayat.
“Malam tadi… aku dengar ada yang panggil nama aku dari hutan.”
Hari kedua jadi muram. Masing-masing diam. Aku tahu semua rasa pelik. Faris mula bersuara nak balik awal. Dayang geleng. Katanya rugi tiket.
Tapi waktu tengah berkemas, kami semua dengar satu benda yang buat d***h aku rasa beku.
Ada suara ketawa dari belakang chalet. Ketawa kecil. Suara perempuan. Padahal kawasan belakang tu belukar. Tak ada chalet lain.
Kami serentak pandang antara satu sama lain.
Dan Faris terus cakap, “Jom keluar sekarang. Tak payah kemas apa dah.”
Kami keluar dan tunggu di pantai sampai matahari naik tinggi. Tak seorang pun sanggup patah balik. Bila pemilik chalet datang, kami hanya kata kami ‘tertinggal barang’. Dia cuma angguk, seolah-olah faham.
Sebelum kami naik bot, pakcik tu sempat pesan:
“Kalau bercuti ke tempat orang.. jangan suka sangat sampai lupa tengok langit.”
Ayat tu melekat sampai sekarang. Sebab kami tak pernah cerita pada sesiapa apa yang kami nampak.
Beberapa bulan kemudian, kami semua sudah pun tamat belajar. Masing-masing bawa haluan. Tapi bila grup WhatsApp lama sunyi terlalu lama, aku akan scroll semula gambar-gambar di Perhentian.
Dalam satu gambar tu, kami semua senyum depan chalet.
Tapi bila aku zoom ke cermin tingkap bilik..
Ada satu wajah yang bukan milik kami berlima. Dan dia.. masih senyum.
love iove it and got obsessed i really want to read more thank you