Perjalanan Roh

Salam mesra dari saya sekali lagi, Hannah yang telah berkongsi kisah “Kereta Terpakai Berwarna Biru” pada entri lalu. Terima kasih kepada orang kuat Fiksyen Shasha kerana sudi menyiarkan kiriman tersebut dan buat kali kedua, ingin saya ceritakan sebuah kisah benar yang dialami oleh diri Hannah sendiri. Dalam cerita ini, nama watak-watak yang disebutkan hanya nama samaran.
Sejak kecil lagi, saya sentiasa mempunyai sifat ingin tahu yang melampau terhadap dunia mistik sehingga menerbitkan hobi yang dilihat agak aneh bagi orang lain iaitu suka menonton program paranormal, video misteri dan segala-gala yang berkaitan dengan hal di luar logika.

Hal ini kurang disenangi oleh keluarga dan rakan-rakan saya. Mereka menganggap minat sebegitu kurang sihat dan tidak berfaedah langsung. Saya sendiri pernah merasakan kewujudan entiti-entiti dari alam atau dimensi lain melalui penglihatan dan pendengaran tetapi tidak begitu jelas.

Oleh yang demikian, saya tidak berasa terlalu seram dan meneruskan kajian keberadaan ‘teman-teman’ di luar sana. Rentetan daripada minat saya yang luar biasa ini, ia sedikit sebanyak mempengaruhi cara pergaulan saya dengan orang lain. Saya lebih senang menyendiri dan tidak suka bercampur dengan orang lain, namun saya bukanlah seorang yang anti-sosial. Cuma, ada masanya saya merasa lebih damai untuk menikmati dan melakukan aktiviti kegemaran saya secara individu.
Sikap inilah yang saya bawa hingga ke melanjutkan pelajaran ke menara gading. Beberapa tahun lepas, saya mendapat tawaran untuk belajar di sebuah universiti bertempat di Sarawak, negeri kenyalang.

Tahun pertama, saya tinggal di dalam asrama yang disediakan oleh pihak universiti tetapi masuk tahun kedua, saya terpaksa mencari rumah sewa di luar bersama rakan-rakan atas sebab tempat kediaman yang terhad. Pada mulanya, saya dan 4 orang teman menyewa sebuah rumah bersama-sama dan saya ingatkan, bab tempat tinggal sudah beres.

Namun Tuhan saja yang lebih tahu apabila mereka kemudiannya terpaksa meninggalkan saya kerana rayuan mereka untuk kembali tinggal di asrama telah diluluskan. Dalam kebingungan dan kekalutan yang timbul, saya dipertemukan dengan seorang kakak senior berbangsa India yang sangat baik hati.

Namanya Sunthari, kakak ini berhempas-pulas menolong saya mencari bilik sewa walaupun baharu kenal. Setelah pencarian selama berhari-hari, Kak Sunthari berjaya mendapatkan bilik sewa atas rumah kedai yang berhampiran dengan universiti dengan perabot rumah yang lengkap dan bersih. Bilik itu untuk dua orang, tetapi oleh kerana belum ada penyewa baru maka sayalah yang menjadi penguasa di situ.Lagipun saya memang suka tinggal seorang diri kerana mempunyai privasi dan bebas. Rumah kedai ini mempunyai dua lagi bilik yang dihuni oleh beberapa pelajar perempuan berbangsa Iban dan Melayu Sarawak.

Mereka menuntut di kolej lain tetapi mempunyai personaliti yang cukup ramah dan membuat saya selesa tinggal di situ. Ain dan Yaya tinggal sebilik di bilik pertama manakala Chantelle, Jovina dan Abelle di bilik tengah. Bilik saya pula bilik ketiga, kiranya yang paling hujung dekat dengan ruang dapur.
Keempat-kawan rakan rumah sewa saya jarang berada di rumah kerana sering menghabiskan masa di luar. Mereka lebih banyak bermalam di rumah kawan berbanding pulang ke rumah sewa. Saya sentiasa ditinggalkan bersendirian di rumah tetapi tidak pula berasa seram ataupun mendengar sebarang kisah aneh daripada sesiapa berkenaan rumah sewa tersebut.

Pendek kata, rumah sewa itu tidak bermasalah langsung cuma sifat saya yang terlalu suka hidup secara solo akhirnya mengundang padah….lagi-lagi terlalu suka dengan cerita-cerita mistik. Alkisah pada suatu malam, sekali lagi saya diampai di rumah tanpa teman lalu menghabiskan masa dengan menatap skrin laptop yang sedang memaparkan rancangan paranormal terbitan Hong Kong.

Mesej dari Kak Sunthari yang mengajak saya untuk makan malam ditolak baik kerana agak malas untuk keluar rumah. Kira-kira dekat pukul 11 malam, saya mengantuk dan membuat persiapan untuk tidur. Seperti biasa, saya akan membuka sedikit celah tingkap sliding supaya udara dapat masuk. Mungkin kerana terlalu penat, saya tidur dengan nyenyak sekali.

Tidak sedar sudah berapa lama saya merehatkan diri, tiba-tiba saya mendengar suara orang bertempik dengan kuat. Mata saya tidak dapat dibuka, saya sedar diri sedang meronta-ronta kerana takut tetapi gagal menenangkan diri.
“Tolong saya ! Tolong saya! Jangan Kejar saya!” jeritan itu cukup nyaring diiringi dengan kelibat susuk seorang lelaki berlari dan memanjat masuk bilik saya dari tingkap terus lari menembusi dinding. Wajahnya pucat dan berlari dengan pantas dikejar dua makhluk bertubuh sasa, tegap dan tinggi memakai pakaian besi berwarna emas seakan Jeneral Diraja China pada masa purba dengan membawa lembing di tangan.

Kejadian itu berlaku dengan pantas dalam masa beberapa saat sahaja. Sebaik tiga makhluk itu berlari menembusi dinding, saya terjaga dengan perasaan cemas dan takut. Saya berpeluh-peluh dan merasakan gambaran yang saya lihat tadi tidak seperti mimpi, seolah-olah benar-benar berlaku dihadapan saya.

Tingkap yang terbuka terus dikunci rapat dan saya sukar terlena sesudah itu. Hati ini tertanya-tanya, siapakah yang mengejar dan dikejar itu? Kenapa suara mereka begitu jelas dan kuat hingga terngiang-ngiang dalam dengungan telinga saya berulang kali?
Esoknya, saya menelefon dan memberitahu ibu tentang kejadian itu. Jawapan ibu saya, “ hah tau pun takut. Lain kali tengok lagi cerita hantu…tu la sampai termipi-mimpi. “ Mungkin ibu benar, saya cuma bermimpi dan berusaha melupakan hal tersebut. Malamnya, saya tidur awal sekali lagi setelah penat menyiapkan tugasan yang diberi oleh pensyarah. Lagi pula, malam semalam tidur saya terganggu dan membuat otak ini cukup berserabut. MEREKA DATANG LAGI…..keadaan saya tidak berganjak seperti kali sebelumnya. Meronta-ronta untuk bangun namun tidak berdaya.

 

Saya melihat kedua-dua ‘Abang Sado’itu berlegar-legar lagi dalam bilik saya dengan muka yang ganas. Kelihatannya, mereka sedang mencari sesuatu tetapi seakan tidak mempedulikan kewujudan saya. Baju besi mereka menghasilkan bunyi yang amat membingitkan telinga setiap kali mereka bergerak.Tidak lama kemudian, mereka terbang keluar melepasi tingkap yang tertutup dan barulah saya tersedar. Sah, kali ini bukan mainan tidur ! Akibat takut, saya meminta Kak Sunthari yang tinggal tidak jauh dari rumah saya untuk temankan saya tidur.

Dalam situasi yang mendebarkan itu, saya panik sehingga tersilap menekan nombor telefon orang lain. Sebaik berjaya dihubungi, Kak Sunthari yang sentiasa menganggap saya seperti adik kandung tidak berlengah dan terus datang ke rumah. Saya menceritakan semuanya tetapi Kak Sunthari hanya menenangkan dan menyuruh saya untuk kembali tidur.Katanya, saya terlalu taksub dengan cerita seram dan boleh jadi akibat stress belajar.

Pada masa itu, saya sudah hilang pertimbangan dan tidak peduli sekalipun Kak Sunthari berpendapat saya mempunyai masalah sakit jiwa. Apakah agaknya yang dicari di dalam bilik saya? Belum larikah lelaki yang dikejar semalam? Apakah salahnya sehingga dikejar? Teka-teki menari di dalam ruangan otak. Teringat sahaja wajahnya yang memang menyerupai mayat, saya naik gerun dan memeluk bantal peluk dengan serat-eratnya.

Hari esoknya lagi, saya pulang dari kelas dan sampai ke rumah dalam pukul 5.30 petang. Memikirkan ada barang keperluan perlu dibeli, saya ke pasar raya terdekat dengan berjalan kaki untuk membeli-belah. Namanya juga orang perempuan, setakat beli barang sikit memakan masa berjam-jam.

Keluar dari pasar raya sudah hampir jam 8 malam. Oleh kerana tiada selera makan, saya terus berjalan pulang ke rumah sambil menjinjing barang-barang yang dibeli tadi. Perjalanan dari pasar raya ke rumah mengambil masa 15 minit dan sambil berjalan, saya mengelamun dan tidak semena-mena teringat lagi kejadian semalam walaupun sudah memaksa diri untuk mengabaikan gangguan itu. Malam itu, saya terpaksa menyusahkan Kak Sunthari lagi menjadi teman tidur dan berbual hingga terlelap. Mujurlah pada malam itu, tiada lagi penceroboh yang melayang masuk dari tingkap.
“ Hai Hannah! Awalnya datang kelas hari ni,” Kak Misah menegur dengan lantang awal pagi dalam kelas sambil saya menunggu kawan-kawan lain datang. Kak Misah wanita Melayu-Sarawak berusia dalam 30-an, sudah berkeluarga dan melanjutkan pelajarannya selepas berkahwin dengan 2 anak. Saya hanya tersenyum dan belum pun saya membalas salamnya yang ceria, Kak Misah memotong terlebih dahulu.
“ Semalam kakak nampak Hannah, ingat nak tumpangkan sekali sebab kesian tengok Hannah jalan jauh bawa barang tapi husband kak dah terlanjur bawa kereta, tak sempat nak berhenti. Yang dua lelaki badan besar apit Hannah tu siapa? Peminat Hannah ke temankan balik? Hahaha…” selorohnya.
Eh, dua lelaki badan besar? Siapakah yang dimaksudkan oleh Kak Misah? Jangan-jangan… Jantung saya berdegup laju sekali lagi dan hanya mendiamkan diri. Saya hanya tersenyum hambar ke arah Kak Misah, takut dikata tidak beradab pula jika tidak memberi sebarang reaksi akibat terlalu melayan emosi. Perasaan saya kuat mengatakan, bukan masalah rumah sewa. Mungkin situ laluan mereka, pujukku menenangkan diri. Tidak mungkin juga Kak Misah hendak bergurau perihal begitu kerana dia seorang yang serius dan berdisiplin.
Setelah itu, saya cuba memberanikan diri walaupun terpaksa dan kadang-kadang saya akan menumpang di rumah Kak Sunthari. Pernah terjadi pada suatu malam, saya perasan Kak Sunthari enggan memandang muka saya ketika berbual. Pandangannnya dilarikan dan seolah-olah takut. Bila saya bertanya, Kak Sunthari menafikan sampailah saya paksa sehingga terbongkar pengakuan bahawa dia terlihat wajah saya berubah menjadi seperti makhluk aneh.

Kepala manusia dengan 4 biji mata. Mulanya, dia menyangka matanya rabun namun kaku apabila dilihat secara jelas. Sesudah itu, dia mulai mempercayai gangguan yang menyelubungi diri saya. Aneh sekali, itu perkara terakhir dan semuanya bagaikan terhenti begitu sahaja tanpa gangguan seterusnya sehingga saya menamatkan pelajaran di sana dan kembali ke negeri asal. Saya fikirkan sudah tiada apa-apa dan segala yang berlaku hanyalah kebetulan semata-mata. 3 tahun berlalu, dan saya mendapat mimpi sekali lagi di rumah sendiri.

Kali ini, saya dapat rasa kedua-dua belah tangan saya dipimpin kuat. Saya tengok ke kiri dan kanan…oh tidak !! Saya cukup kenal siapa mereka. Merekalah yang main terbang masuk bilik saya sesuka hati dulu di Sarawak dan apa yang mereka mahu dari saya?
“ Lihat itu…kami sengaja bawa kamu untuk melihat ini. Ingat, hanya boleh tengok dari luar tapi tak boleh masuk,” salah seorang daripada makhluk itu bersuara, tetap dengan nada yang tegas dan garau.
Saya melihat di sekeliling saya bagaikan di kayangan yang penuh dengan kepulan awan tebal yang indah. Di hadapan saya tersergam sebuah istana yang sangat besar, unik tetapi seolah-olah kawasan larangan. Pakaian orang-orang di kawan luar istana juga agak mempesona, kelihatan begitu harmoni mereka melakukan pekerjaan masing-masing . Bunga-bunga liar di pintu gerbang istana melingkar dengan suburnya.Orang-orang di situ mengambil air minum dari curahan air batu perhiasan yang menyerupai corong bunga Seri Pagi.

Perasaan di dalam hati agak aneh dan takut melihat istana itu, seolah-olah saya sangat kerdil dan rendah diri. Saya ingin menangis tetapi suara seakan tidak keluar. Yang pasti, saya menjadi tumpuan orang-orang di situ. Mereka menunjuk-nunjuk ke arah saya, ada yang berbisik halus.
“ Kenapa bawa saya ke sini? Siapa kalian? Tolong lepaskan saya…” rayuan saya dalam hati tidak terungkap dari mulut yang terkunci.
Tidak berapa lama kemudian, datang seorang gadis manis berpakaian serba ungu ke arah kami dan berkata, “ bawalah dia pulang ke tempat asalnya, ada waktu kita bertemu lagi” setelah itu mereka terbang lagi seperti adiwira membawa saya turun menjunam dengan kepala ke bawah hingga jantung saya bagaikan hendak terkeluar. Saya terjatuh ke dasar bagai tercampak dari pesawat di udara dan terjaga dari tidur serta-merta. Saya berasa penat lain macam dan benar-benar terasa baru pulang dari tempat yang jauh. Badan saya sakit-sakit dan bahagian kepala agak pening.

Saya cuba mencari jalan penyelesaian dengan beberapa orang pakar berkaitan hal mistik, jawapan mereka adalah sama. Saya mempunyai kelebihan istimewa dan terpilih. Mimpi-mimpi saya itu menunjukkan roh saya telah melakukan perjalanan astral ke dimensi lain dan mereka tiada niat mahu mengganggu. Mendengarkan kata-kata para pakar, saya pun memilih untuk tidak terlalu memikirkan hal itu.
Cuma, setiap kali saya ceritakan dengan orang lain termasuk keluarga saya, saya akan diperlekehkan dan dituduh terlalu banyak berimaginasi. Jikalau hanya mimpi, mustahil ada sambungan seperti drama bersiri dan wataknya tetap orang-orang yang sama malah tidak dikenali. Sehingga kini saya belum dapat merungkai identiti sebenar mereka dan seolah-olah mereka akan terus kembali mencari saya.

Saya hanya membanyakkan doa, kuatkan hati dan tidak akan berhenti meminati dunia misteri kerana bagi saya,pengalaman ini agak nyata dan menarik, lain dari yang lain.Demikian sahaja perkongsian Hannah pada kali ini dan diharap kita semua tidak terjebak dalam pujuk rayu syaitan yang menggoyahkan.

::hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

2 comments

  1. Mmg betul pun ko kuat imaginasi..kuat sgt tgk paranormal ngn movie fantasi pun boleh jadi camni..xyah percaya la kata pakar tu yg ko ada kelebihan..kalau kelebihan berangan tu mungkin ada..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *