Perkhemahan PKP

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih pada FS jika kisah saya ini terpilih untuk dikongsi bersama pembaca. Dah lama tak berkongsi cerita dengan pembaca FS. Lebih 4 tahun. Sibuk sangat dengan projek baru. Dulu saya pernah berkongsi pengalaman ibu saya. Saya pun pernah berkongsi pengalaman saya masa setup opis baru. Memandangkan hari ni ada kelapangan sikit, saya nak kongsi pengalaman saya masa berkhemah dengan keluarga kecil saya pula.

Lepas negara dilanda Covid, dengan pelbagai kawalan dan sekatan yang memaksa kita berkurung di rumah, sememangnya bila kerajaan melonggarkan kembali sekatan, ramai orang teruja dan mengambil kesempatan untuk bercuti dan berlibur. Kami sekeluarga tak terkecuali.

Memandangkan anak-anak sudah mula membesar, kami bercadang untuk kembali bergiat dalam aktiviti perkhemahan. Kami rasa ini masa yang sesuai untuk mula memperkenalkan anak-anak ke dunia aktiviti luar yang dekat dengan alam semulajadi sekaligus melatih mereka untuk jadi lebih lasak. Kurang sikit menghadap gadget.

Kami memilih tepi pantai sebagai lokasi perkhemahan keluarga kami yang pertama. Anak-anak sangat teruja bila kami sampai ke lokasi. Kami memilih untuk berkhemah bukan pada hari minggu, jadi pengunjung yang turut berkhemah boleh dibilang dengan jari. Seingat saya, cuma ada satu saja kumpulan pemuda dan pemudi yang turut sama berkhemah pada hari itu.

Selesai mendirikan khemah dan menyediakan semua kelengkapan memasak, persalinan, dan tidur, kami sekeluarga menghabiskan masa di pantai. Seronok anak-anak memandangkan setelah sekian lama berkurung, mereka dapat bermain pasir dan laut kembali.

Sedang ralit memerhati anak-anak bermain, saya terpandang ke arah kumpulan anak muda yang turut berkhemah di situ. Mereka berkumpul dan duduk di dalam bulatan di pesisir pantai. Semuanya saling berpegang tangan sambil menutup mata. Ada butir suara, namun kurang jelas sebab jarak yang agak jauh ditambah pula deru angin dan ombak membuat saya tak dapat mendengar dengan jelas. Saya tidak memperdulikan mereka dan kembali fokus kepada keluarga saya.

Seusai solat Isya’, kami sekeluarga duduk mengelilingi unggun api kecil sambil berbual dan menikmati makan malam. Suasana begitu hening, kumpulan anak muda tu tidak kelihatan di kawasan khemah mereka, mungkin mereka bersiar-siar di tepi pantai.

“Dah, dah, cepat makan. Sudah makan ni nanti semua masuk rehat dalam khemah. Tadi penat main laut kan.”
Tiba-tiba, dengan tak semena-mena, suami saya menggesa anak-anak untuk segera menghabiskan makanan mereka dan masuk ke khemah. Anak-anak merungut sekejap sebab dalam perancangan, sepatutnya selepas makan, ada sesi cerita hantu sambil duduk di keliling unggun api.
Saya pun turut kehairanan. Masih awal lagi untuk tidur, pukul 10 pun belum.
“Kenapa bang?”
“Suruh je bebudak masuk dulu, nanti abang cakap”

Nasib baik, sebab keletihan perjalanan jauh, membantu memasang khemah, bermain air laut, semua anak-anak bergelimpangan tidur dalam masa yang sekejap. Tak sampai 10 minit jejak kepala ke bantal, semuanya terus belayar.

Saya duduk berbual dengan suami di depan khemah sambil menikmati biskut kering yang dicicah dengan kopi panas.
“Kenapa tadi bang?”
Saya membuka bicara.
“Abang nampak bebola api melintas kat arah pantai tadi, lepas tu abang rasa macam ada angin sejuk lain macam lalu kat belakang abang. Tu yang abang rasa tak sedap hati nak biar anak-anak duduk luar lelama.”

Suami saya memang agak sensitif dengan benda-benda halus ni. Kami terus berbual sambil menikmati suasana malam yang ditemani bunyi ombak. Hampir ke pukul 12, penjaga kawasan perkhemahan itu, saya panggil Kadir je la ye sebab lupa dah nama dia, singgah ke tempat kami untuk memeriksa keadaan kami. Alang-alang tak ramai pengunjung yang berkhemah, Kadir ikut serta kami mengopi sambil berborak kosong.

Tiba-tiba, terdengar jeritan lelaki dari khemah kumpulan anak muda tersebut. Jeritan tu kedengaran macam orang dalam kesakitan. Suami saya dan Kadir segera berlari ke sana. Saya terlihat seperti ada satu pecutan cahaya menderu keluar dari salah satu khemah mereka dan menuju ke laut. Suasana menjadi kecoh tiba-tiba.

Saya menjengah ke dalam khemah untuk memeriksa anak-anak, sekelumit pun tidak bergerak. Mungkin terlalu letih hingga tiada bunyi yang dapat mengganggu tidur mereka. Saya meninjau ke kawasan khemah kumpulan tersebut. Kelihatan beberapa orang sedang bergelut di luar khemah.
“Ah sudah, line telefon dah la tak ada. Kalau ada kecemasan ni, mengharapkan telefon satelit Kadir tu je.”
Saya bermonolog. Bimbang untuk meninggalkan anak-anak, saya terus menanti di khemah kami.

Kekecohan berlaku agak lama. Jam menunjukkan sudah hampir ke pukul 3. Suami saya kembali ke khemah kami, tapi kekecohan itu walaupun beransur reda, tapi belum berakhir. Sekali sekala terdengar jeritan amarah seorang lelaki dari arah khemah tersebut. Terdapat 3 orang gadis mengekori suami saya kembali ke khemah kami. Kelihatan seperti mereka begitu kusut dan keliru.
“Yang, tolong berikan air untuk bebudak ni yang. Tunggu sini dulu, sementara Kadir tolong iktiharkan tolong kawan korang tu.”

Memang dasar makcik kepochi, saya cuba mengorek apa yang terjadi dari mereka. Salah seorang gadis itu, Aina berkongsi cerita.

Mereka adalah sekumpulan pelajar universiti yang terkandas disebabkan oleh PKP. Memandangkan masing-masing tidak lepas untuk pulang ke kampung halaman masing-masing, mereka mengambil keputusan untuk mencari ketenangan dengan berkhemah. Mereka merangka beberapa aktiviti spiritual seperti bermeditasi untuk mencari ketenangan. Mungkin apa yang saya lihat di tepi pantai petang tadi adalah salah satu aktiviti meditasi mereka.

Semasa meditasi, salah seorang rakan mereka, Ajak (maaf, saya main hembus je nama sebab dah lupa siapa nama dia), telah mengajar mereka satu dikir untuk mereka sebutkan semasa bermeditasi untuk tambah suasana. Dia ni lebih kurang macam ketua kumpulan mereka la sebab dia yang paling tua. Saya tak ingat secara terperinci dikir tersebut, tapi, kandungannya seperti mantera memuja semangat laut. Sedikit sebanyak yang saya ingat, mantera tu lebih kurang seperti berikut.

Menderu angin bergulung ombak
Menghempas pasir memecah tambak
Menyusup dalam sanubari
Bersatu dengan hati
Mengalir dengan d***h
Menuju satu arah
Aku kau dan kau aku
Terpisah tidak bersatu pasti

Mereka telah bermeditasi sambil mengulang-ulang dikir tersebut di tepi pantai sepanjang petang hingga membawa ke malam. Aina memberitahu, mereka hanya pulang ke khemah mereka sekitar pukul 9 untuk makan malam dan berehat.

Ajak, pemuda yang menjerit-jerit tu, pada mulanya kelihatan biasa ketika mereka menikmati makan malam. Mereka rancak berbual berbincang perancangan mereka untuk keesokan hari. Namun, semakin lama, Ajak semakin menyepi. Rakan-rakan lain tidak menegur kerana menyangkakan yang dia ni keletihan.

Tiba-tiba, si Ajak ni melompat dan membuka bunga silat. Terkejut semua orang sebab habis berteraburan makanan mereka disepak si Ajak. Salah seorang rakan mereka, Radi (bukan nama sebenar), telah diterajang hingga tercampak. Boleh tahan tenaga Ajak sebab tubuh Radi bukannya kecil, besar dan tegap. Itu pun boleh tercampak diterajang oleh Ajak yang tubuhnya berkali ganda melidi berbanding si Radi. Jeritan Radi yang kesakitan tu la yang menarik perhatian kami awal tadi.

Selepas itu, Kadir dan suami saya muncul untuk membantu. Suami saya cuma memerhati dari tepi sebab dalam 3 – 4 orang juga yang bergelut cuba mematikan langkah Ajak. Melihatkan keadaan Ajak yang semakin mengganas, Kadir membuka langkah. Di peluk, diangkat dan dibantingnya tubuh Ajak ke tanah. Ajak menggelupur sebentar dan terdiam.

“Cepat ikat dia”
Kadir mengarahkan rakan-rakan Ajak mengikat Ajak ke kerusi sementara dia masih agak keliru akibat dihempas ke tanah.
“Bang, boleh bawak anak-anak dara ni pergi khemah abang? Risau pulak kalau apa-apa tersinggah kat diorang ni. Terkena terajang macam member dia tu ke. Budak lelaki pun lembik saya tengok kena terajang, inikan pulak budak perempuan. Budak ni macam tak ok lagi ni. Takut sekejap je diam dia ni.”
Kadir meminta suami saya membawa gadis-gadis itu ke khemah kami. Aina menutup cerita.

Sekarang kami hanya memerhati saja dari jauh. Bunyi jeritan amarah Ajak semakin berkurangan. Aina dan 2 orang rakannya sedang berehat, melelapkan mata di dalam khemah kami. Mujur khemah kami tu jenis berbilik. Tak mengganggu anak-anak yang sedang lena di bilik. Aina dan rakannya berehat di ruang tengah khemah yang kami jadikan ruangan untuk solat.

Menjelang subuh, Kadir datang ke khemah kami.
“Macam mana budak tu?”
Suami saya bertanya.
“Teruk juga tu. Orang kalau dipanggil, lagi susah nak pergi dari orang yang datang sendiri. Nanti cerah tanah, bila budak siang dah sampai, saya keluar minta tolong pakcik saya. Saya bawak sekali budak tu nanti.
Haa, ni la bebudak hipster ni. Buat benda bukan-bukan je. Ada ke kawan dia cakap diorang baca mentera tu suka-suka je. Memang la mentera tu direka-reka, tapi kalau dah diratib, ditambah dengan perbuatan kononnya nak bersatu dengan alam, mahu dia tak suka nak datang. Dah dijemput kan. Nak perbaiki jiwa konon, buat la tahajud ke, qiamulail ke, ini dok meratib memuja semangat yang bukan-bukan. Haaaiiihhh… ”
Kadir mengeluh.

Pagi tu, bila Aina dan rakannya kembali ke khemah mereka dan anak-anak selesai bersarapan, kami terus berkemas untuk pulang. Batal terus perancangan untuk berkhemah lagi semalam. Anak-anak muncung sedepa bila tahu kami akan pulang pada hari itu. Diorang tak sedar yang mak ayah diorang tak tidur semalaman disebabkan jiran kena gangguan.

Tapi rajuk anak tak lama bila kami pergi kembali ke tapak perkhemahan tersebut pada minggu berikutnya. Kami bertemu dengan Kadir dan bertanya khabar sambil-sambil mengorek cerita kesudahan anak-anak muda tersebut.

Menurut Kadir, Ajak berjaya dipulihkan oleh pakciknya. Sebenarnya ada sekumpulan semangat atau jin laut yang datang pada malam itu, tapi cuma satu yang melekat, yang lain kembali ke laut, tak sempat nak berdamping dengan sesiapa. Mereka berteraburan lari kerana sambil berlari untuk membantu kumpulan tersebut, Kadir sudah mula membaca ayat-ayat suci Al-Quran untuk melindungi diri dari kemungkinan yang tidak kelihatan. Yang tinggal melekat pada Ajak itu adalah penghulu kepada kumpulan jin tersebut. Mungkin cahaya yang suami dan saya lihat pada malam itu adalah pergerakan kumpulan jin tersebut.

Pengajarannya di sini, janganlah kita menghampiri perbuatan yang memuja makhluk selain dari Allah walaupun kononnya untuk suka-suka. Jika jiwa kita rasa kosong, tak payah la buat benda pelik-pelik semata-mata nak mengubati jiwa. Kembalilah kepada-Nya. Semoga pembaca dapat manfaat ye dari perkongsian saya.

Sekian,
Makcik Otomen

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Makcik Otomen

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 54 Average: 4.7]

2 thoughts on “Perkhemahan PKP”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.