Petanda

Assalamualaikum & Salam Sejahtera pada semua pembaca sekalian. Alhamdulillah ada kesempatan untuk kali seterusnya menulis kisah/pengalaman pelik tapi benar ni. Sebelum tu ribuan terima kasih pada pihak FS sebab sudi pamerkan kisah saya sebelum ini (GELUNG PEPUYU) dan terima kasih jugak pada semua yang membaca dan tinggalkan komen kat situ. Really appreciate it guys! Kali ini saya nak kongsi satu lagi pengalaman keluarga saya sendiri dan sekiranya ada diantara anda yang mengalami kisah yang sama seperti ini boleh share info jugak di ruangan komen nanti ya.

Baru-baru Malaysia agak gempar dengan beberapa kes orang hilang dengan tiba-tiba. Kisah hilang ketika mendaki/ melakukan aktiviti di kawasan hutan/ kawasan peranginan di kaki bukit atau gunung. Dan yang paling terbaru adalah kisah seorang remaja OKU warga negara luar iaitu Nora Anne yang dilaporkan hilang dan dijumpai m**i tidak jauh dari kawasan dia dilaporkan hilang.

Untuk pengetahuan pembaca, salah seorang dari ahli keluargaku antara yang terlibat sebagai penyiasat di dalam kes tersebut. Kes yang sangat misteri untuk difahami oleh masyarakat tetapi berdasarkan pengalaman anggota keluargaku itu, itu adalah pengalaman yang paling seram dan mendebarkan setelah banyak kes yang beliau telah selesaikan. Secara visual kes tersebut diklasifikasikan sebagai orang hilang dan m**i mengejut akibat kelaparan. Dari sudut paranormal, mungkin ia merupakan salah satu kes yang sangat luar biasa. Tapi kebenarannya hanya Sang Pencipta sahaja yang mengetahui.

Kisah keluargaku ini boleh dikatakan hampir mirip dengan kes tersebut tetapi alhamdulillah masih di dalam kawalan kami sekeluarga. Kisahnya bermula begini. Ibuku mempunyai seorang adik bongsu perempuan yang kami gelarkan “Umi’. Umi mempunyai 4 orang anak dan kejadian ini melibatkan anak beliau yang bongsu. Si bongsu ini merupakan kanak-kanak perempuan OKU (nama penyakit aku kurang tahu tapi setakat ini dia mengalami speech delay). Umurnya sekitar 11 tahun tetapi dia masih belum boleh bertutur disebabkan penyakit yang di alaminya. Buat masa sekarang dia masih dalam tempoh terapi dan alhamdulillah dah boleh bertutur sedikit walaupun tak lancar.

Pada satu malam, Umi bermimpi dia bawa si bongsu ini berjalan-jalan di kawasan rumah atok aku. Rumh atok aku ni lokasi dia dekat sebuah kampung di negeri Melaka. Umi kata dalam mimpi tu dia nampak kawasan tu cantik sangat, ada sungai jernih (memang rumah atok yang paling hujung dalam kampung dan tepi rumah ada sungai yang mengalir). Dekat seberang sungai tu dia nampak ada satu kawasan kampung yang sangat besar dan cantik .

Waktu dia berjalan dengan si bongsu ni, tetiba dia terpandang ada seorang perempuan berdiri di pintu gerbang masuk ke kawasan kampung tersebut. Perempuan tersebut memakai kurung putih, rambutnya sangat panjang ditutup dengan selendang putih dan raut wajahnya sangat cantik. Perempuan tu kemudian berjalan menuju ke arah umi dan kemudian terus mencapai tangan si bongsu dari pegangan umi. Umi macam terpaku dalam mimpi tu terus biarkan si bongsu berjalan mengikut perempuan tersebut.

Kemudian umi tengok si perempuan tersebut membuka selendang di kepalanya dan kemudian menghamparkan selendang tersebut di atas permukaan sungai dan serta merta perempuan tersebut berjalan bersama si bongsu di atas selendang tersebut bagi melintasi sungai untuk masuk ke kampung seberang. Dan yang paling pelik dalam mimpi tu, umi seolah-olah nampak anaknya itu semakin membesar sepanjang dia berjalan bersama perempuan tersebut.

Bila tersedar dari mimpi tu, umi menangis dan siangnya umi bercerita pada abi (suaminya) dan seperti biasa suaminya cuma memberikan kata positif mungkin mimpi itu hanya permainan syaitan. Tapi mimpi tu tak berhenti dekat situ!! Mimpi yang berulang hampir 3 malam dan umi mula rasa tidak sedap hati. Terus umi menceritakan hal tu kepada nenek dan atok. Atas nasihat atok, umi dan abi pergi jumpa dengan salah seorang alim (Ustaz Faiz) yang tinggal tidak jauh dari kawasan kami.

Ustaz Faiz cuba mentafsirkan mimpi tersebut kepada umi dan abi dan hasilnya memang sangat menakutkan. Aku tak pasti pendapat dari yang lain tapi apa yang diceritakan oleh Ustaz Faiz daripada mimpi itu ialah, itu petanda ada ‘seseorang’ cuba meminta si bongsu kerana ‘dia’ sangat menyukai adik saudaraku itu untuk dijadikan sahabatnya.

Menurut ustaz Faiz, di alam bunian mimpi ini dijadikan medium untuk ‘mereka’ meminta kepada manusia apa yang mereka mahukan. Dan sekiranya mimpi itu tidak diendahkan, ‘mereka’ akan datang menuntut sehingga berjaya mengambil ‘hajat’ yang dipinta sekelip mata tanpa diberi sebarang tanda.

Ustaz tersebut juga turut mengulas antara ciri-ciri kegemaran makhluk yang digelar “bunian” ini adalah seperti manusia yang OKU, terutama kanak-kanak atas alasan yang diberi adalah disebabkan hati mereka bersih, suci dan mereka sangat baik. Dan perempuan yang hadir dalam mimpi umi itu ialah ibu kepada “seseorang” yang ingin menjadi sahabat kepada adik saudaraku itu.

Dan ibunya itu merupakan PUTERI BUNIAN di kampung tersebut. Sewaktu umi dan suaminya mendengar penjelasan ustaz tu, dia macam tersentak dan antara percaya atau tidak. Tapi atas nasihat ustaz kalau kita kembali pada fitrah asal, untuk yang beragama islam, seharusnya kita percaya dan yakin yang kita berkongsi alam dengan berbagai makhluk ciptaan Allah.

Selang beberapa hari, ustaz Faiz ni datang ke rumah atok bagi meninjau lokasi. Memang benar sangkaan ustaz itu bila dia tengok sungai yang diceritakan umi sebelum ni. Memang ada satu kawasan kampung yang besar dan luas di seberang sungai tu tetapi dari mata kasar manusia biasa ia cuma hutan belantara.

Kemudian ustaz pergi ke rumah atok untuk berbincang tentang beberapa perkara antaranya kelakuan-kelakuan pelik si bongsu sepanjang berada di rumah atok. Si bongsu ini memang akan tinggal dengan nenek di rumah atok pada waktu siang sebab umi bekerja. Jadi yang akan selalu tengok karenah pelik dia mestilah orang yang selalu ada di rumah nenek dan atok aku. Nenek antara orang yang paling selalu perasan perubahan si bongsu. Yang paling ketara adalah sekitar waktu zohor, waktu nenek nak solat, si bongsu ini akan mula duduk dihadapan pintu grill rumah dan akan keluarkan buku-buku mainan dia dan kemudian mula bercakap sendiri.

Mulanya kami ingat dia sengaja baca buku kuat-kuat tapi lama kelamaan nampak dia seperti seolah-olah bercakap dengan seseorang di luar pintu. Nenek selalu tegur dan marah si bongsu setiap kali dia berkelakuan pelik macam tu. Pernah juga nenek tanyakan pada dia dengan siapa dia bercakap dan dia membalas dengan kawan. Nenek terus suruh si bongsu ni arahkan kawannya pulang dengan alasan si bongsu perlu tidur pada waktu tengahari. Dia terus mengangkat tangannya ke pintu seperti seolah-olah menghalau ‘kawannya’ itu pulang.

Perkara itu sentiasa berulang sehinggalah sampai satu tahap ‘kawannya’ mengikutnya pulang ke rumah umi. Kehadiran ‘sahabatnya ítu terbongkar bila ada satu malam sekitar jam satu pagi, si bongsu ini keluar dari bilik dan terus membuka sliding door di depan kemudian duduk berbual-berbual dalam bahasa yang tidak difahami. Syukur umi tersedar bila dengar dia berbual dan syukur juga si bongsu tak buka pintu dengan sendirinya pada malam tersebut.

Bila ustaz dengar cerita tersebut terus dia menasihati kami sekeluarga agar memantau keadaan si bongsu dengan lebih teliti sementara beliau melakukan sesuatu bagi mengelak si bongsu ini dibawa ke alam sebelah. Ustaz Faiz juga turut mencadangkan agar umi meletakkan si bongsu di rumahnya untuk dijaga oleh beliau tetapi permintaan itu ditolak oleh umi.

Sebagai penyelesaian sementara, rumah atok dipagar secara menyeluruh serta kami juga dilarang keras membawa si bongsu berjalan-jalan di sekitar sungai tersebut bagi mengelakkan perkara buruk berlaku. Sungguh kami sekeluarga memang agak terkedu dengan kejadian ini tapi dalam masa yang sama kami sentiasa beringat dan berjaga bagi memastikan si bongsu selamat.

Sehingga sekarang alhamdulillah si bongsu ni masih selamat bersama kami walaupun kadang-kadang dia masih bercakap seorang diri depan pintu. Tapi nenek akan cepat-cepat sedarkan dia dengan cara mengaji ayat-ayat suci al quran di sebelah si bongsu sekiranya dia duduk di hadapan pintu pada wantu tengahari. Selain tu atok dengan nenek akan solat zohor bergilir-gilir bagi menjaga si bongsu . Ustaz Faiz juga sentiasa datang menziarah ke rumah atok bagi memantau keadaan sekeliling walupun beliau telah menerima amaran dari ‘Puteri’ tersebut agar tidak mengganggu urusannya.

Menurut ustaz Faiz, si puteri ini mengugut akan terus usaha untuk ambil si bongsu dan yang menakutkan kami ialah dia berkata dia akan buat si bongsu ini lenyap walaupun hanya dicelah daun. Tetapi ustaz Faiz terus menasihati kami agar tidak lemah dengan ugutan tersebut kerana semulia-mulia ciptaan Allah adalah manusia. Beliau meminta agar kami melihat kes ini dari sudut positif iaitu kami akan sentiasa mendekatkan diri lagi dengan Allah bagi meminta perlindungan dariNya.

Kaitan kisah keluargaku dengan kisah Nora ini ada sedikit sebanyak yang sama. Di sebalik kes nora yang hilang, ada yang mengatakan mangsa telah dibawa keluar oleh sahabat bunian yang menyukai mangsa ketika melihat mangsa mandi di kawasan air terjun berhampiran rumah penginapan keluarganya.

Berdasarkan cerita ahli keluarga ku yang terlibat, pengalaman beliau sewaktu kendalikan kes tersebut memang agak lain dari yang lain kerana situasi kawasan itu sendiri sudah cukup menyeramkan ditambahkan lagi dengan kebuntuan pasukan menyelamat berusaha mengesan kedudukan mangsa sepanjang tempoh dia hilang sehinggakan pasukan pengesan terhandal (senoi praaq) yang mengetuai proses pencarian juga buntu dan bantuan dari pengamal perubatan mengikut agama dan setiap kepercayaan juga turut dibawa masuk memandangkan mereka tidak tolak kemungkinan mangsa dilenyapkan dari pandangan.

Setelah bermacam rundingan dijalankan, bermacam galang ganti yang diminta, ada yang sanggup menyerahkan anak di dalam kandungan sebagai ganti dan akhirnya ‘pihak’ alam sebelah memulangkan semula mangsa ke alam nyata. Ini adalah sedikit perkongsian berdasarkan cerita mereka yang terlibat dan sejauh mana kebenarannya hanya Allah swt yang tahu.

Kepada pembaca sekalian, maaf kalau kisah aku ini tidak seseram kisah hantu-hantu yang lain. Tapi apa yang aku cuba sampaikan ialah peringatan kepada semua tentang isu-isu hilang secara tiba-tiba seperti ini. Jangan pandang rendah pada mimpi yang anda rasa pelik sebab kadang-kadang mimpi tu petanda. Tapi jangan jadikan itu sebagai kelemahan sebab setiap yang jadi adalah atas izinNya. Pada yang ada kisah lebih kurang sama boleh share di ruangan komen ya. Terima Kasih FS.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Nurul Iman
Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 5]

2 thoughts on “Petanda”

    • Maaf Sara. Ahli keluarga saya yang terlibat ini bukan lah seorang pengamal perubatan. Beliau salah seorang anggota penyelamat yang terlibat di dalam kes itu. Untuk kes “Acap”, ahli keluarga saya tak telibat dalam proses pencarian sebab luar daripada kawasan dia bertugas.

      Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.