Pilot Episode

Salam dan selamat sejahtera.

Izz, nama penaku. Terima kasih kepada barisan admin sekiranya cerita ini tersiar di FS.

Ini ialah kisah di asrama sebuah universiti, terletak di negeri bumi kenyalang. Ya, kisah aku. Aku menyambung pelajaran di universiti tersebut, dan ditempatkan di asrama yang dikenali sebagai Blok 2. Bilik di blok tersebut mempunyai 2 katil bertingkat, 4 meja belajar dan juga almari pakaian. Sama seperti 4 blok asrama yang lain. Aku mendapat bilik di aras 2, dan terletak di hujung sekali. Manakala, di hujung blok ialah hutan semak samun. Aman damai saja jika tiada pengaruh unsur seram. Lebih-lebih lagi pada waktu itu, universiti itu belumlah seluas yang sekarang.

Baik, yang aku ingin ceritakan bukanlah berkenaan bilik aku itu. Bilik itu tiada tanda-tanda yang mencurigakan walaupun terpencil di hujung koridor blok. Tetapi bilik yang selalu menjadi bualan merinding bulu roma ialah sebaris dengan bilik aku, selang sebilik. 4 orang pelajar yang menduduki bilik itu sering ternampak bayangan perempuan di situ. Yang pasti perempuan itu adalah penghuni tidak berdaftar. Namun bertahan juga mereka berempat di situ selama 3 semester. Yalah, setakat muncul tak ganggu tak apalah bagi mereka.

Hendak dijadikan kisah, entah kenapa ramai pula yang balik rumah di hujung minggu berkenaan. Rumah saudaralah, rumah kawanlah. Yang pasti aku memang tak balik kecuali cuti semester. Orang jauh katanya.

Rutin hujung minggu aku di asrama biasa saja. Dan petang itu seperti kebiasaan, aku melepak di bilik tv. Yalah, nak balik bilik bukan ada kawan. Kawan sebilik, pantang hujung minggu semua balik rumah ibu bapa. Aku menonton tv sampai malam. Lepas itu, kiranya aku nak tidur awal. Jadi pukul 10.30 malam aku balik bilik. Berlenggang saja, waima hujung koridor itu nampak pokok semak samun mendayu ditiup angin.

Masuk bilik, aku pun tutup lampu dan baring. Terlelap terus. Sampailah satu detik, aku terjaga. Pundi kencing penuh daaaa… Okaylah, aku pun pergi ke tandas. Setiap koridor ada tandas merangkumi bilik mandi, tempat basuh baju dan menyidai baju. Terletak di tengah-tengah koridor. Tenang saja aku membuang air. Tiada rasa angker sekali pun. Selesai urusan, aku pun berlenggang juga ke bilik. Dan, kau tahu? Sebaik saja aku melintas bilik yang ada penghuni tidak berdaftar tu, serta merta bulu roma aku dari lengan ke tengkuk berdiri tegak. Omak aih.. Perubahan suasana 360 darjah. Aku tak berhenti, cuma apakah kewarasan aku teruji? Sebab bukannya aku berjalan laju balik ke bilik. Sebaliknya aku berjalan dengan lebih perlahan. 5 detik.. 6.. 7.. 8 detik.. Kepala aku rasa mengembang. Baiklah, kalau ini bukan tanda supaya aku berlari laju balik ke bilik entah apa lagi yang aku tunggu.

Masuk saja bilik, aku hempas pintu, kunci dan buka lampu bilik. Terang benderang bilik jadinya. Aku pula melompat ke katil, ambil selimut dan berselubung. Tengok jam, pukul 3 pagi. Lepas itu, aku berfikir. Apa yang aku takutkan? Bukan nampak apa, bunyi pun tak ada. Aku pun tarik selimut dari muka. Tengok sekeliling bilik. Betul, tiada apa. Tidak ada kerusi bergerak sendiri, tiada baju terbang, tiada penampakan tiada bunyi. Tiada bunyi langsung! Sepi. Sunyi sangat. Jarum jatuh berdenting pasti kedengaran ketika itu.

Dalam sunyi sepi itulah, bukan setakat kepala rasa mengembang telinga juga seakan membesar. Ubun kepala serasa berdenyut. Untuk menenangkan jiwa, aku capai walkman (ya, zaman walkman bukan zaman telefon bimbit pintar) dan sumbat lubang telinga dengan earphone. Aku tahu, siaran radio pasti dari Cats.fm sebab aku tak tukar siaran sebelumnya. Apalah nasib; dengan menanggung rasa kepala yang membesar itu, kau tahu apa yang aku dengar dari siaran radio itu? Bunyi lolongan anjing mendayu. Tepat ke lubang telinga aku. Kali ini aku tewas. Tewas dengan perasaan takut. Walkman warna biru bling-bling itu aku campak ke sudut katil. Terus berselubung semula dengan selimut. Peluh dingin sudah mula merecik.

Ketika itu, aku membuat perhitungan. Adakah aku ingin bertahan di situ atau berjalan ke blok 3. Ke bilik rakan sekuliah yang aku tahu juga tidak balik di hujung minggu itu. Dalam aku berkira-kira itu, kaki aku mulai sejuk. Serasa ada hembusan nafas di tepi katil. Walaupun aku berselubung habis, aku pasti yang itu adalah bunyi hembusan nafas. Keadaan masih sunyi. Senyap waima bunyi cangkerik malam juga tidak kedengaran. Kali ini aku tidak ingin cuba-cuba menjenguk dari selimut.

Bunyi hembusan itu beralih. Kali ini di hujung katil, tepi kaki aku. Aku pula cepat-cepat bertukar posisi baring. Terus merengkot. Lutut bertemu dagu. Lemaslah kalau begini, kataku dalam hati. Usah tanya kenapa aku tak baca itu tak baca ini. Waktu itu aku belum muslim dan aku cuma percaya kepada kebenaran Islam, makanya aku pun tidak membaca doa mengikut kepercayaan ibu ayahku.

Benda itu. Yang aku tidak tahu bentuk rupanya, hanya kedengaran hembusan nafas sekali lagi beralih tempat. Kali ini di atas ubun kepalaku. Aku ingin bergerak, lari ke bilik teman. Aku nekad. Aku tidak mahu jadi bahan dihembus-hembus. Malangnya kaki aku menjadi berat. Aku hendak luruskan balik pun tidak dapat. Dan, merengkotlah aku. Kaku dan berat.

Keadaan berlanjutan sehingga kedengaran azan subuh sayup-sayup. Sepanjang detik itu aku menanggung rasanya ubun-ubun berdenyut, kepala rasa mengembang dan bulu roma tegak tak reda. Pakej kaki sejuk dan peluh dingin sekali. Selepas azan subuh itu, aku pun tidur. Aku bangun sebelum tengah hari, dalam keadaan letih. Bahuku lenguh, penat. Penat perasaan pun ya juga.

Kisah ini tidak seram sangat, kalau itu yang engkau cari. Tapi ia umpama pilot episode mistik kisah aku di universiti itu.

Terima kasih.

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 4]

5 thoughts on “Pilot Episode”

  1. Kalau buang ayat bunga2 yang tak membantu jalan cerita, story ni pendek sangat sebenarnya. pe kata tulis yang penting2 dan sampai habis. takyah sambung2.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.