Salam sejahtera semua pembaca FS. Terima kasih sekali lagi admin kerana sudi menyiarkan kisah seram(?) aku ni. Memandangkan cerita pertama aku iaitu JALAN BUKIT PUTUS dapat komen positif dan ada juga yang minta sambung, jadi aku nak sambunglah beberapa pengalaman seram ayah aku lagi. Maaf sebab cerita pertama aku agak pendek dan ada sedikit kesalahan. Tahun 2000an, bukan 20an, maafkan saya. Saya budak baru belajar hehe. Cerita kali ni ialah masa kami sekeluarga tinggal disebuah rumah yang terletak di selatan tanah air. Okay, aku ceritakan dulu sedikit pengenalan pasal rumah ni.
Baiklah. Rumah yang kami tinggal ni ialah rumah kampung yang besar dan terletak agak ke dalam. Nak guna perkataan pedalaman macam tak sesuai sebab menurut Kamus Dewan Edisi Kedua, pedalaman bermaksud daerah yang jauh (di darat) dari pantai atau dari bandar. Rumah ni taklah terlalu jauh dari pekan, cuma ia agak jauh masuk ke dalam sedikit. Masa tinggal di sini, kami tak ada jiran kiri kanan depan belakang. Keliling rumah tu kawasan hutan (tapi tak adalah hutan sangat). Kalau kena rompak ke apa ke memang tak ada orang yang tahu. Nak masuk kawasan rumah ni kena lalu lebih kurang 200m ke dalam dengan jalan batu kerikil. Sunyi dan seram, itulah gambaran yang aku boleh cakap mengenai rumah ni. Rumah ni rumah nenek saudara aku, tapi memandangkan anak-anak dia semua dah berjaya kerja bagus apa semua, dia pun tinggal dengan anak-anaknya. Jadi, nenek saudara aku suruh kami sekeluarga tinggal selama mana yang kami mahu. Sampai bila-bila. Hingga hari ini pun, tanah rumah tu terbiar dan tak ada seorang pun anak dia yang datang tuntut. Okay, mari kita teruskan dengan…
CERITA KEDUA
Ayah aku memang selalu balik kerja tengah malam. Masa ni ayah aku kerja dekat Melaka. Dia akan berulang setiap hari. Malam tu macam biasa ayah aku sampai rumah lebih kurang pukul 12 malam. Sampai rumah, lepas makan, dia terus pergi mandi. Untuk pengetahuan korang, kami tinggal berempat dekat rumah. Ayah, mak, aku dan adik. Aku dan adik masih kecil lagi waktu tu, dalam lingkungan 5 ke 6 tahun. Mak aku pun boleh tahan berani juga, dia cakap dia tak pernah nampak hantu pun dekat rumah tu. Jadi aku anggap ayah aku je la yang diminati hantu-hantu.
Baiklah. Bilik air dekat rumah tu tutup pakai zink je dindingnya dan bumbung (atap) hanya separuh. Pagi-pagi nak mandi memang sejuk dengan angin luar sepoi-sepoi bahasa masuk dalam bilik air. Belum cerita waktu hujan lebat lagi, memang tak mandilah jawabnya. Belakang bilik air tu ada parit tempat saliran air mandi, air basuhan apa semua. Depan sikit dari parit tu dah kawasan semak samun hutan. Bilik air dalam rumah ni tak ada jamban ya, biasalah rumah kampung mesti jamban dekat luar rumah. Jauh lebih kurang 50m dari rumah. Kalau malam-malam nak membuang, bagus tahan dulu tunggu esok.
Memandangkan bilik air tu tutup pakai zink dan beratap separuh, jadi boleh dengar dengan jelas bunyi cengkerik hutan malam-malam. Menurut ayah aku, kebiasaannya bila dia mandi malam mesti ada terbau kuinin la bau busuk la bau wangi bunga la yang seram sikit bau kapur barus orang meninggal tu. Tapi malam tu masa ayah aku mandi, nasib dia tak berapa nak baik. Dia terdengar suara orang perempuan minta tolong berkali-kali. Mula-mula perlahan sayup-sayup, lepas tu makin kuat dan kuat. Suara minta tolong tu macam dari kawasan hutan belakang rumah. Ayah aku dah risau, mana tahu ada kejadian apa-apa dekat hutan belakang tu. Masa ni dia tak terfikir lagi pasal hantu. Ayah aku memang macam ni, logik dulu lepas tu baru fikir hantu. Dia capai tuala dan nak pergi jenguk kot-kot ada orang yang betul-betul memerlukan pertolongan.
Belum sempat dia melangkah keluar bilik air, suara minta tolong tu tiba-tiba bertukar jadi suara perempuan ketawa. Mula-mula ketawa kecil macam mengejek, lama-lama mengilai. Ayah aku sedikit lega, at least yang minta tolong tu pontianak, bukan orang. Iyalah kalau orang yang minta tolong, risau juga kot-kot ada jenayah ke kat dalam hutan belakang tu. Dah satu hal kena panggil polis malam-malam buta. Masa tu nak telefon, telefon pun tak ada. Kalau ada jenayah, terpaksalah keluar pergi report dekat balai.
Ayah aku sambung mandi macam biasa, bagi dia benda tu dah biasa. Dekat tempat kerja dia pun ada kak pon jenis suka mengilai ni. Jadi nak mengilai ke apa, lantak kaulah. Jangan keluar tunjuk muka buruk sudah. Seriau juga kalau dia teringin nak tunjuk muka. Lepas penat mengilai, dia menangis, lepas dia menangis, baby dia pula menangis. Makin lama makin kuat. Agaknya dia dah fedup ayah aku tak layan, dia mula cakar dinding zink bilik air tu guna kuku dia. Krek krek krek… Sambil cakar sambil ketawa kecil hii hii hii… Ayah aku ambil segayung air dan siram kuat-kuat. Pontianak tu berhenti sekejap. Lepas tu dia buat lagi, ayah aku ambil inisiatif kedua iaitu dengan menerajang dinding zink tu. Terus dia senyap. Mungkin dia terkejut, tak pun dah terjatuh dalam parit. Mission complete la kot dah berjaya buat orang marah.
Selepas beberapa lama kejadian dengar pontianak mengilai dekat bilik air tu, kak pon mula buat come back. Korang ingat artis veteran je ke pandai buat come back, kak pon pun pandai tau. Kali ni dia dah berani tunjuk muka. Nasib dia buat come back tunjuk dekat ayah aku je. Buatnya tunjuk dekat kami sekeluarga, tak ke naya hehe. Okay, kita sambung lagi dengan…
CERITA KETIGA
Ayah aku kena kacau sekali lagi. Kali ni waktu Maghrib. Ayah aku balik kerja awal waktu tu. Aku, mak dan adik aku dah balik kampung. Kampung kami tak jauh pun, adalah dalam 20km dari rumah. Memandangkan rumah tu jauh dari semua orang, waktu senja pun sunyi dah macam tengah malam. Bunyi kereta lalu lalang memang tak dengar dari rumah. Ayah aku mandi-mandi dan masuk bilik untuk sediakan beg baju nak balik kampung juga. Masa dia dalam bilik nak kemas-kemas tu, tiba-tiba dia terdengar orang masak dekat dapur. Meriah dengan bunyi tung tang tung tang kuali macam orang masak nasi goreng. Dari bilik nak ke dapur tu agak jauh juga kena lalu ruang tamu dulu. Rumah ni jenis memanjang gitu.
Ayah aku dah naik seram. Nak tak nak dia kena pergi check juga, takut-takut kalau mat pet nak curi barang ke apa ke. Mat pet memang selalu nak ceroboh rumah tu untuk dijadikan port naik ke bulan diorang. Sebab tu ada beberapa ruang dalam rumah tu berkunci dan tak digunakan. Takut juga nak jaga rumah besar-besar. Baiklah kita sambung. Ayah aku jalan perlahan-lahan takut ‘orang’ dekat dapur tu terdengar pula. Ada pintu dan langsir yang memisahkan bahagian dapur dan ruang tamu. Ayah aku pun mengintai dibalik langsir tu. Korang tahu apa yang dia nampak?
Dia nampak perempuan rambut panjang dengan jubah putih (tak berapa nak putih) yang dah kotor kena tanah. Mungkin kak pon tu baru bangkit dari kubur kot. Rambut dia panjang sampai pinggang dan kusut masai. Menurut ayah aku, dekat rambut dia banyak ulat-ulat putih mungkin ulat sampah yang bergarit-garit tak tentu hala. Jubah dia labuh sampai menyapu lantai. Kaki tak nampak jejak tanah atau tak. Masa ayah aku intai tu, dia tiba-tiba berhenti ‘masak’. Diam dan statik beberapa ketika. Mungkin dia sedar ayah aku tengah perhatikan dia walaupun ayah aku intai sorok-sorok. Jarak ayah aku dengan pontianak tu lebih kurang 3 ke 4 meter gitu. Pontianak tu membelakangi ayah aku sebab dapur gas memasak tu menghadap ke tingkap. Lepas tu dia mendengus kuat. Mungkin marahlah kot. Ayah aku apa lagi, dalam kiraan satu, dua, tiga terus cabut lari. Ayah aku lari sikit pun tak toleh belakang, tak tahulah kak pon tu teruskan memasak atau kejar ayah aku. Dengan tak sempat ambil beg dan kunci pintu rumah, ayah aku start motor terus balik kampung.
Sampai kampung ayah aku tak terus cerita pun dekat mak aku. Dia simpan sendiri-sendiri je walaupun membuak-buak juga perasaan nak cerita tu. Dia hanya cerita lepas kami sekeluarga pindah rumah lain beberapa bulan selepas itu. Mungkin ayah aku risau kalau mak aku takut duduk dekat rumah masa dia keluar bekerja nanti. Oh, untuk pengetahuan korang, rumah tu dah pun terbakar 20 tahun yang lepas. Mat pet selalu menyeludup masuk bawah rumah, angkara dioranglah rumah kampung tu terbakar. Nasib baik hari kebakaran tu kami sekeluarga balik kampung. Habis semua perabot, barang berharga termasuklah basikal kesayangan aku ikut terbakar. Kalau basikal aku tak terbakar lagi, mungkin hari ini aku boleh join dak-dak cyclist kayuh basikal tengah highway hihi. Lepas dari kejadian kebakaran tu, ayah aku ambil keputusan untuk berpindah ke bandar bagi memulakan hidup baru.
Maka dengan itu, bermulalah hidup kami sekeluarga di bandar. Dan bermulalah pertemuan ayah aku dengan hantu-hantu bandar pula.
Beli gayung di kedai Macha,
Buat mencedok air perigi;
Terima kasih sudi membaca,
Ada masa aku cerita lagi.
.
.
GR
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
cerita pertamanya mana? yang intro tu kah? ooooohhhh….!!!
Part menerajang tu dr mood seram terus geli perut..kejang perut ak gelak..terkejut kot kak pon tu..
Yg hantunya mat pet
menarik.. agaknya kak pon ni konsep dia sama suka masuk ke dapo.. nenek saya juga pernah berjumpa kak pon bertenggek di tingkap dapo kmudian dia msuk n pecahkan cawan
ya allah…seram baca…