Puaka Lubuk Pusar

Assalamualaikum warga FS. Terima kasih atas komen-komen yang positif atas penulisan saya sebelum ini. Saya baca semua komen-komen dari semua setiap kali penulisan saya diterbitkan oleh FS. Terasa teruja dapat berkongsi kisah-kisah seram yang pernah terjadi dalam hidup saya. Bagi kisah kali saya nak berkongsi beberapa pengalaman mistik yang dialami pakcik-pakcik saya semasa dan selepas memancing ikan di kawasan-kawasan yang boleh dikatakan sebagai keras. Masih ingat penulisan saya sebelum ini mengenai ekspedisi mencari teras kayu dan khasiat teras kayu? Sebab kisah kali ini ada kaitan dengan khasiat teras kayu yang saya tulis sebelum ini.

Din adelah salah seorang adik beradik daripada belah ayah. Saya dari kecil memang rapat denganya. Adik beradik belah ayah memang banyak lelaki dan hobi hampir semuanya adalah memancing. Jadi bila dah datang gian memancing tu, tempat yang keras tidak langsung menghalang pakcik dari melabuhkan joran disitu. Setakat kena kacau dengan bunyi, bau, dan penampakan tu dah biasa. Ada sehingga kena kencing dengan langsuir pun ada. Buat yang tak tahu, kencing langsuir ni kita boleh tahu bila orang sekeliling terbau busuk dan hamis yang amat sangat kat badan kita tetapi kita tak bau langsung bauan tu. Tu maknanya langsuir dah kencing kat badan kita hahaha. Mandi air sabun 3 hari 3 malam pon tak akan hilang. Ada petua yang sering dibuat oleh pakcik-pakcik saya apabila balik daripada memancing tempat yg keras, Iaitu tidak boleh balik terus ke rumah selepas abis memancing. Mestilah singgah minum di kedai-kedai makan dulu dalam setengah jam baru boleh balik. Dikhuatiri ade yang mengikut balik rumah sekali, parah nanti anak isteri kat rumah kena kacau.

Satu hari Din pergi memancing di sebuah air terjun di ulu yam pada belah malam. Satu port tu dipanggil “lubuk pusar” kerana disitu terdapat satu lubuk yang dimana airnya berpusar dan ia sudah memakan banyak jiwa. Beberapa kes lemas terjadi di lubuk tu yang pernah saya dengar. Ikan yang diburu adalah ikan tengas dan baung, jadi ianya perlu dipancing pada waktu belah malam di mana ikan-ikan sangat aktif pada waktu malam dan kurang gangguan daripada manusia kerana sebelah paginya ramai yang bermandi manda di port tersebut. Umpan yang digunakan ialah cengkerik bagi ikan tengas dan ulat lundi bagi memikat ikan baung sungai. Saiz ikan tengas dan baung sungai air terjun tidaklah sebesar ikan tengas dan baung yang mendiami sungai-sungai besar. Saiznya kecil tetapi isinya manis sekali.

Memancing pada waktu malam di kawasan air terjun memerlukan torchlight tetapi sangat pantang digunakan semasa memancing hanya boleh digunakan bila kecemasan saja. Sebabnya bukan sahaja lampu yang disuluh akan menakutkan ikan, tetapi akan mengundang kedatangan ular-ular berbisa yang mendiami sungai-sungai seperti ular batang tebu, ular tiung dan ada juga ular tedung hitam. Ular adalah spesis reptilia yang berdarah sejuk, dan ia memerlukan haba daripada matahari bagi memanaskan badannya. Jadi ular akan mengejar jika ternampak cahaya kerana ia ingin memanaskan badannya. Pernah sekali, lampu suluh yang dibuka dan disuluh pakcik, dikejar seekor ukar tedung hitam. Jadi dengan hanya berpandukan cahaya bulan sahaja ketika memancing.

Di lubuk pusar penampakan pontianak, langsuir dan macam-macam bentuk yang tiada rupa pun pernah pakcik nampak. Sekiranya malam itu ditemani bunyi burung jampuk, bermakna “ia” ada dikawasan sekitar burung jampuk berbunyi. Pernah sekali ikan-ikan yang dipancing dan dimasukkan di dalam kantung ada yang bertukar menjadi daun-daun kering, ada yang dicuri makan hantu air sehingga menjadi tulang-tulang ikan seperti diratah binatang ditinggalkan padahal ikan di dalam kantung kain dan kantung sentiasa diikat dipinggang ketika memancing. Tetapi kali ini pakcik tidak diganggu ketika memancing tetapi ketika di rumah selepas memancing.

“POOOMMM!!!” bunyi letupan seakan bunyi mercun bola bergema di dalam rumah. “Allahuakbar” Din yang sedang mahu tidur petang terkejut bangun. Sepantas kilat dia yang berbaring di ruang tamu bangun dan terduduk. Matanya meliar ke semua sudut rumahnya. “Hairan sungguh, mana pulak datang bunyi meletup tadi” soalnya seorang diri. Din adalah seorang yang berusia 40an dan masih bujang tinggal seorang diri di sebuah apartment tingkat 4.

Bunyi letupan yang didengarnya tadi sangat kuat seakan bunyi mercun bola. Setelah diselidiki tidak jumpa punca letupan tadi, malahan burung tekukur belaannya yang disangkar dalam rumah masih tidur seperti tiada apa yang terjadi. Jika ada bunyi yang kuat sudah tentu burung tekukur sudah menggelupur ketakutan. Din persetankan semua itu dan menyambung hasratnya untuk tidur petang sebentar. Tengah berusaha melelapkan mata, sekali lagi bunyi letupan seperti tadi juga.

“POOOMMM!!!”. Din terjaga lagi dari cubaanya untuk tidur. “sial betul, ade yang tak kena ni” ujar Din. Matanya meliar ke setiap pelusuk ruang tamu. Pandanganya dialihkan ke burung tekukur belaanya yang seperti tadinya juga tidur. Seolah-olah bunyi letupan itu hanya didengari olehnya seorang saja dalam rumahnya itu. Mata Din kali ini terpaku di sebatang tongkat yang berada di belakang daun pintu. Segera dia mengambil tongkat yang panjangnya lebih kurang 3 kaki panjang.

Tongkat itu dibuatnya daripada teras kayu bujang galak yang diberi oleh gurunya. Teras kayu ini amat ditakuti oleh jin dan setan. Din merasakan gangguan ini bukan gangguan yang biasa. Dipeluk erat tongkat itu lalu dia merebahkan badannya semula ke lantai. “kalau kau berani, cuba la kacau aku lagi sial punya setan” amaran dari Din sengaja dicakap dengan kuat Supaya bergema ke semua sudut rumah. Dia melemparkan cabaran kepada bende yang menganggunya. “astaghfirullah al azim, Allah” Din terus merebahkan badanya dan cuba untuk tidur semula, kali ini sekiranya tidurnya diganggu lagi, dia sudah bersedia. Lebih kurang 10 minit juga Din cuba melelapkan mata.

Sedang diantara sedar dan tidak sedar Antara jaga dan tidur, terlihat dari sudut anak mata kelibat yang betul-betul berdiri di sebelah kiri kepalanya. Kelibat SEEKOR KAMBING JANTAN HITAM DAN DIKEPALANYA TERDAPAT SEEKOR AYAM JANTAN yang bertenggek di atas kepala kambing itu. Lembaga itu merenung tajam sekujur badan Din yang sedang baring itu. Bunyi nafasnya kasar seperti merengus kemarahan menerpa ke telinga kiri Din.

Din yang sedar akan kehadiran makhluk itu terus mengenggam tongkat yang berada di belah kanan nya lalu melibas dengan sekuat hatinya kearah lembaga itu. Tongkat yang dihayunnya itu mengenai mahkluk itu tetapi ianya terus hilang. Pada mata Din libasanya mengenai tubuh badan makhluk itu, tetapi tangannya tidak merasa sebarang hentakan menandakan libasanya mengenai sesuatu. Ianya seperti melibas kayu ke asap, terlihat kena pada mata tetapi tidak terasa seperti memukul sesuatu.

Makhluk berupa kambing jantan hitam dan ayam jantan itu hilang beserta asap hitam tipis dari pandangan. “POOOOOMMMMMM!!!” bunyi yang lebih keras dan kuat daripada yang sebelumnya bergema selepas beberapa saat makhluk itu dilibasnya dengan tongkat. Tetapi kali ini bunyi itu tidak lagi berada di dalam rumahnya, tetapi berbunyi di luar rumah atas bumbung apartment 4 tingkat itu. “Astaghfirullahalazim, alhamdulillah” ujar Din yang masih terpinga-pinga dengan apa yang berlaku itu.

Bila diingat kembali malam sebelumnya dia ada pergi memancing ke lubuk pusar, mungkin makhluk itu mengikutnya pulang ke rumah tanpa ia sedari. Sejak dari itu Din kurang lagi berkunjung ke lubuk pusar dan mana-mana tempat yang keras untuk memancing oleh kerana tidak mahu lagi ada benda mengikutnya balik dan atas faktor usia yang dah lanjut.

-kero-

Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Kero

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 5]

3 thoughts on “Puaka Lubuk Pusar”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.