Assalamualaikum semua pembaca. Nama aku Nanakim. Mungkin ada yang pernah baca kisah-kisah seram aku di tiktok. Aku dah lama nak tulis kisah ni tapi disebabkan aku busy, tertunda la niat nak menulis. Sekarang baru ada masa sikit. Maaf kalau tak seram tapi ada sedikit pengajaran.
Kisah ni terjadi kira-kira empat tahun lalu ketika aku masih menuntut di sebuah universiti awam di selatan tanah air. Jika ada kelapangan, aku dan beberapa orang teman rapatku akan pergi ke uptown untuk jalan-jalan cuci mata. Dan, geng kami memang ada habit yang sama iaitu suka berkunjung ke gerai barangan bundle.
Tidak dinafikan barangan bundle memang cantik-cantik dan ada yang dari jenama terkenal serta masih seperti baru. Kami memanggil gerai bundle sebagai butik. Haha. Tapi kisah yang ingin aku ceritakan ini mengenai gerai bundle yang menjual anak patung terpakai.
Masih segar diingatanku kejadian malam itu. Kami berenam pergi ke uptown untuk berjalan-jalan. Tiba di satu gerai menjual anak patung terpakai, aku jadi excited. Tidak seperti temanku yang lain, mereka tidak berminat dengan anak patung. Hanya aku yang leka membelek anak patung beraneka jenis dan saiz. Semuanya masih elok dan bersih. Kedai itu pun tak ada pelanggan walaupun pelbagai jenis anak patung comel-comel tergantung.
Akhirnya setelah lama memilih, aku decide untuk mengambil seekor anak patung keldai. Anak patung itu lebih kurang karakter keldai dalam filem Shrek. Berwarna biru laut dan berbulu. Paling menarik tumpuan aku adalah rambut atas kepala dan belakangnya seperti rambut manusia. Saiznya tidak terlalu kecil dan tidak terlalu besar, sesuai untuk aku buat peluk time tidur. Jadi, aku terus buat pembayaran dan bawa pulang ke rumah sewa.
Pada awalnya semua seperti biasa. Tapi suatu malam, ketika aku nyenyak tidur, tiba-tiba dadaku sesak. Badan terasa berat seperti dihempap sesuatu. Leher terasa seperti dijerut. Dan, ia berlanjutan sehingga beberapa hari. Aku mengadu pada rakan-rakan sebilik tapi kami semua tak tahu apa punca gangguan tu.
Suatu pagi, ketika aku sibuk mengemas rumah tiba-tiba aku lihat anak patung keldai itu berada di ruang tamu. Bila bertanya pada yang lain, mereka juga tidak tahu dan tiada sesiapa yang memindahkannya dari katil aku. Katil aku pulak double decker dan aku di tingkat atas. Patung itu pulak aku letak hujung kepala katil. Mustahil tergolek sampai ke ruang tamu.
Walaupun aku pelik, tapi aku masih tak mengesyaki apa-apa. Tapi setiap malam aku akan rasa seperti ada makhluk lain yang datang mengganggu. Badan aku terasa sakit. Sehinggalah pada suatu malam, ketika aku tidur mengiring, aku lihat anak patung keldai itu sedang duduk! Sedangkan aku baringkan dia untuk aku peluk. Anak patung itu duduk mengadap ke dinding.
Aku automatik rasa seram dan terus campak ke ruang tamu. Aku letak dalam bakul pakaian. Keesokannya, aku pandang anak patung di dalam bakul itu dan secara tiba-tiba aku rasa seram. Aku dah tak nampak kecomelan anak patung itu. Warna yang cantik pun aku nampak suram dan menakutkan. Anak patung itu nampak lusuh bila ditenung lama-lama. Kawan-kawan aku pun cakap patung tu nampak seram.
Sejak kejadian itu, anak patung itu aku letak di luar bilik. Aku dah kurang dihempap. Tapi, pintu bilik dan pintu rumah kerap diketuk dalam pukul dua atau tiga pagi. Waktu orang dah nyenyak tidur, tiba-tiba ada ketukan. Bukan ketukan biasa, ia diketuk seolah-olah menggunakan kepala dan lambat-lambat. Memang seram dan kami syak ada kaitan dengan anak patung bundle tu.
Bila bangun pagi, anak patung keldai tu akan berubah posisi. Sekejap dalam bakul, sekejap badan separuh di luar bakul. Kami semua rasa ada benda lain dalam anak patung ni tapi time tu tak ada yang berani buang. Bila aku perhatikan rambut keldai tu, hati aku kuat mengatakan itu rambut manusia yang betul. Dan, anak patung itu dulu mungkin dijual harga yang tinggi. Aku pun tak tahu asal usul pemilik anak patung itu.
Akhirnya aku decide untuk pergi cari penjual barang bundle tu. Aku nak tanya detail mengenai patung keldai itu. Tapi bila aku pergi, gerai tu dah tak ada. Beberapa kali aku pergi mencarinya tapi tak jumpa. Aku tak tahu la ke mana dia pergi atau dah pindah tempat. So, untuk keselamatan, aku buang je anak patung tu. Aku harap tak ada orang jumpa dan ambil. Aku nak bakar tapi takut.
Sekian sahaja cerita pendek aku tapi aku harap ada pengajaran. Nak beli barang bundle boleh, tapi kalau boleh elakkan beli anak patung. Sebab anak patung ni senang benda lain nak menumpang. Aku dengar petikan ceramah seorang ustaz yang banyak handle kes sebegini. Mujurlah tak ada yang dirasuk, cuma gangguan je. Memang lepas kejadian tu, aku dah tak beli apa-apa barang bundle.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit