Rumah Atok

Dusun Tua, Hulu Langat. 1980 an.

Namaku Adi. Aku dilahirkan di Kota Kinabalu, Sabah iaitu kota asal ibuku. Kami sekeluarga menetap di sana sehinggalah aku Tingkatan 1, aku berpindah ke Kuala Lumpur dan bersekolah di sana. Sejak mula berpindah ke Kuala Lumpur, acapkali cuti sekolah, aku pasti balik kampung kakek (atok) dan nenek belah ayahku di pedalaman Kg. Jawa, Dusun Tua, Hulu Langat, Selangor. Kampung ni jauh benar dari bandar, hulu sungguh. Nak sampai ke sana, kena lalu jalan tanah kebun orang yang penuh lubang, dan seberang jambatan gantung yang dah lama uzur. Tapi walaupun jauh, rasa penat tu hilang sebaik je aku sampai di kampung.

Suasana di situ sungguh menenangkan—angin sejuk sentiasa berhembus lembut, bunyi air terjun yang mengalir deras dari sungai belakang rumah buat hati rasa tenang, dan pokok-pokok tua yang tinggi menjulang seolah-olah menjaga kampung ni sejak berabad lamanya.

Menjadi seribu satu persoalan di benak akalku, mengapa ibu dan ayahku hanya menghantarku ke sini tanpa turut bermalam menemani kami. Cukup sekadar bertandang menjamah makanan dimasak nenek lalu mereka segera pulang meninggalkanku di sini. Bila ditanya kepada mereka berdua, ibu pandang ayah dan ayah pandang ibu. Tiada jawapan.

Rumah kakek besar, penuh dengan barangan lama. Jam bandul, pinggan, mangkuk, dulang tembaga antik, tembikar, rokok paip klasik, pedang serta keris jawa dengan meriahnya bergantungan penuh di dinding. Tiang-tiang kayu jati berukir cantik kukuh dan ruang tamu yang luas buat rumah ni kelihatan seperti bangunan lama yang ada sejarah panjang. Tapi ada satu benda yang sentiasa mengganggu perasaan aku setiap kali aku balik ke sini.

Di ruang tamu, tergantung suatu potret besar dan lama Wali Songo—potret hitam putih dengan wajah-wajah yang serius. Yang lebih menyeramkan, mata dalam potret tu seolah-olah hidup! Tak kira di mana aku berada dalam rumah ni, aku rasa semua mata dalam gambar tu sentiasa mengikut setiap pergerakan aku.

Pada sesiapa yang tidak mengenali Wali Songo ini, biar aku ceritakan serba sedikit apa yang aku tahu – Wali Songo adalah sembilan orang ulama yang sangat dihormati di Indonesia kerana peranan mereka dalam menyebarkan dakwah Islam di Tanah Jawa pada abad ke-14 hingga ke-16.

Mereka dikenali kerana pendekatan berdakwah yang lembut dan bijaksana, menggunakan budaya tempatan seperti seni, wayang, dan muzik untuk berdakwah. Ini membuatkan dakwah mereka lebih mudah diterima tanpa merosakkan adat dan tradisi tempatan.
Wali Songo terdiri daripada Sunan Gresik, Sunan Ampel, Sunan Bonang, Sunan Drajat, Sunan Kudus, Sunan Kalijaga, Sunan Muria, Sunan Gunung Jati, dan Sunan Giri.

Wali Songo begitu terkenal dan dekat di hati rakyat Indonesia kerana mereka berjaya menarik hati penduduk melalui cara berdakwah yang tidak memaksa sehinggakan dianggap sebagai tokoh suci dan keramat kerana kehidupan mereka yang penuh kebijaksanaan, kesederhanaan, serta ilmu agama yang tinggi.
‘Keberkatan’ dan ‘keramat’ yang dikaitkan dengan mereka membuatkan rakyat merasa terdorong untuk menggantung potret mereka di rumah sebagai tanda keramat, penghormatan dan simbol keberkatan.

Ada khabar angin mengatakan Wali Songo “dipuja”, tetapi sebenarnya ini lebih kepada penghormatan dan pengharapan kepada keramat daripada tokoh agama yang dianggap berjasa besar. Namun, dalam beberapa kes,ada segelintir masyarakat Indonesia yang kurang faham mungkin terjerumus ke dalam amalan syirik yang menyerupai pemujaan, sesuatu yang amat amat ditegah oleh agama kita.

Baiklah. Cukup pengenalan ringkas. Berbalik pada cerita aku.

Atok pernah cakap, gambar tu ada berkat dan keramat, sebab itulah moyang aku bawa balik dari Indonesia dulu. Tapi dari kecil, setiap kali aku pulang ke sini, aku tak pernah pun rasa selesa setiap kali tengok gambar tu.

Nenek selalu senyum setiap kali aku tanya pasal potret tu, tuturnya dalam Bahasa Jawa pekat, “Aja kuwatir, cucuku. Kwi nggawa kabecikan,” (“Jangan risau, cucu. Gambar tu bawa kebaikan,”)

Aku tersenyum kelat. Walaupun nenek cakap macam tu, rasa seram tetap ada. Dan malam pertama aku kat sini, perasaan tak sedap dan tak berapa best tu makin kuat.

Malam tu, semuanya nampak tenang. Angin lembut bertiup dari tingkap, cengkerik menyanyi berirama, dan bunyi air terjun yang biasa. Aku baring atas katil, tarik selimut, dan cuba lelapkan mata. Tapi dalam kesunyian tu, aku dengar bunyi aneh. Bukan bunyi cengkerik atau angin, tapi bunyi kain diseret atas lantai. Perlahan, tapi jelas.

Mula-mula, aku ingatkan angin tiup langsir. Tapi bila aku tengok, langsir tak bergerak. Bunyi tu datang dari ruang tamu—dari tempat potret Wali Songo tergantung. Jantung aku mula berdegup laju.

“Apa pulak ni?” Aku bisik dalam hati. Aku cuba buat tak peduli, tarik selimut sampai ke kepala. Tapi bunyi tu makin kuat, kain seret tu makin lama makin dekat dengan bilik aku.

Dalam ketakutan, aku dengar tapak kaki pula. Bunyi tu, bukan macam tapak kaki manusia biasa. Bunyi tapak kaki ni… macam kaki yang dililit kain, berat, tersekat-sekat.

Aku dah tak tahan lagi. Aku bangun, lari keluar bilik, ingin mencari kakek atau nenek. Kemudian ternampak kelibat nenek tengah masak air sambil senyum tenang. Nampaknya, dia tak dengar apa-apa. Aku menghela nafas lega dan menuju ke arahnya dengan menuruni tangga kayu ke dapur.

“Nek, nenek dengar tak bunyi tadi?” tanya aku dengan muka cemas.

Nenek pandang aku dan ketawa kecil bersarang di tekaknya. “Opo maneh sing kuwe krungu iki? Swara kain diseret maneh ta?” (“Apa pula yang kau dengar ni? Bunyi kain diseret lagi ke?”)

Aku tersentak. “Macam mana nenek tahu?”

Nenek terus berbicara. “Nenek wes biasa. Barang iku ora anyar, iku pancen penunggu potret iku. Iku mung ronda-ronda wengi, ora nggawe gangguan.” (“Nenek dah biasa. Benda tu bukan baru, dia memang penunggu potret tu. Dia cuma ronda-ronda malam, tak buat kacau.”)

Penunggu? Ronda-ronda? Malam tu juga aku duduk dengan atok dan nenek di dapur, bincang hal potret tu. Atok pun akhirnya buka cerita.

“Potret tu bukan sebarang gambar. Moyang kau bawa balik dari Kota Gresik, Tanah Jawa, Indonesia. Katanya, potret tu ada penjaga—Pocong. Penjaga ni bukan jahat, tapi kalau ada orang tak senang hati atau ada niat tak baik, dia akan muncul.”

Aku telan liur. “Jadi, bunyi yang aku dengar tadi… Pocong lah?”

Atok angguk perlahan. “Dia jaga rumah ni, jaga potret. Kalau kau buat hal, dia tunjuk diri. Tapi kalau kau tak ganggu, dia cuma ronda-ronda je.”

Aku cuba buat lawak, “Jadi Pocong ni macam security guard lah, ya?” Tapi tak ada siapa yang ketawa. Nenek cuma senyum kecil, atok pula sambung hirup kopinya.

Malam tu, aku cuba buat tak peduli. Tapi bila aku baring, mata aku tak boleh lelap. Aku boleh rasa bulu roma aku meremang tiap kali bunyi kain diseret tu kedengaran. Tapak kaki Pocong tu makin lama makin jelas, semakin mendekat dengan bilik aku. Aku pejam mata kuat-kuat, cuba jangan fikir yang bukan-bukan. Jantung aku pun macam nak pecah, berdegup kencang. Bantal aku ni pun dah mula dibasahi peluh.

Tiba-tiba, bunyi tu berhenti. Senyap. Sunyi. Aku buka mata perlahan-lahan dan…

Pintu bilik aku terbuka sikit.

Dalam celah pintu yang terbuka tu, aku boleh nampak potret Wali Songo di ruang tamu. Dan kali ni, mata dalam gambar tu benar-benar terasa seperti memandang aku—tajam dan dalam. Aku tak berani gerak, cuma berharap semuanya mimpi. Tapi, tiba-tiba, ada sesuatu muncul di sisi potret tu.

Pocong!

Aku nampak dengan jelas kain putihnya yang kotor, berdiri tegak betul-betul di sebelah potret. Wajahnya tak jelas dalam kegelapan, tapi aku boleh rasa kehadirannya. Nafas aku tersekat, tubuh kaku. Aku cuba jerit, tapi suara tak keluar.

Pocong tu tak buat apa-apa, cuma berdiri di situ, seolah-olah menjaga potret. Aku tak tahu berapa lama aku terkaku, tapi akhirnya mata aku terasa berat dan perlahan-lahan aku tertidur.

Esoknya, aku bangun dengan mata panda, kurang tidur. Atok nampak muka aku, tapi dia cuma tersenyum . “Dah biasa ke dengan penunggu tu?”

Aku angguk perlahan. “Dia tak kacau… tapi menyeramkan betul.”

Atok ketawa kecil. “Dia cuma jaga kita, cucu. Kalau kau hormat rumah ni, Pocong tak akan ganggu. Dia dah lama kat sini, dah jadi sebahagian dari rumah ni.”

Hari demi hari, aku cuba biasakan diri. Walaupun rasa seram tu tak pernah hilang, aku cuba anggap Pocong tu macam sebahagian dari keluarga. Tiap malam, bunyi kain diseret dan tapak kaki tersekat-sekat tu jadi rutin. Kadang-kadang, aku rasa macam Pocong tu cuma buat rondaan malam, pastikan rumah selamat. Sekarang baru aku faham kenapa ibu dan ayah tak pernah bermalam di rumah ini. Hanya cukup menghantar aku sebagai wakil mereka.

Tapi satu perkara aku belajar dari pengalaman ni—kalau kau nampak potret lama, jangan main-main. Sebab di sebalik gambar tu, mungkin ada sesuatu yang tak kau nampak, tapi sentiasa ada. Dan kalau kau dengar bunyi kain diseret pada waktu malam, jangan terkejut. Mungkin penunggu tu cuma tengah ronda, pastikan semuanya baik-baik saja.

Tapi kalau Pocong tu berhenti depan pintu bilik kau, pastikan kau tidur dengan tenang, sebab dia cuma datang untuk ingatkan—jaga diri, jaga rumah atok dan jangan buat hal.

SEKIAN.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 24 Average: 4.8]
Irfan

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.