Assalamualaikum… Nama aku Andak (bukan nama sebenar). Ibu anak dua dan sekarang menetap bersama suami di perantauan. Kisah seram aku banyak berlaku ketika aku tinggal bersama Ayah, iaitu ketika bujang dahulu.
Rumah ni Ayah dan Mak beli ketika aku berusia dalam lingkungan 3 tahun macam tu. Rumah kampung dikelilingi kebun getah yang luas. Hanya ada dua buah keluarga @ jiran terdekat iaitu di hadapan dan sebelah kiri rumah. Seperti rumah kampung lain, rumah Ayah juga jenis dua tingkat (bahagian atasnya kayu), takda siling dan ada lubang angin antara dinding dan bumbung. Rumah Ayah ada 6 bilik, 2 ruang tamu, 1 ruang makan, 2 bilik air. Memang luas. Alasan Ayah, senang nanti anak-anak tak perlu share bilik. Jadi selepas semua dah berkahwin, banyakla bilik terbiar kosong tak berpenghuni. Faham-fahamla kan kalau dah bilik terbiar ni. Hehe…
Suara memanggil:
Aku ingat lagi ketika aku dalam usia empat ke lima tahun macam tu. Ingat-ingat lupa. Memandangkan kakak dan abang-abang aku semua di asrama, adik pula beza enam tahun dengan aku jadi aku selalu bermain sendirian di luar rumah. Aku selalu terdengar suara orang memanggil namaku. Entah dari mana datangnya dan kadang-kadang suaranya seperti suara abang sulung aku. Masa tu aku tak fikir takut pun, kadang-kadang aku jawab “ya,” tapi bila toleh takda sesiapa pulak keliling aku. Jadi aku abaikan saja lah.
Selepas kami semua bernikah, abang aku tinggal dengan Ayah. Ketika ni Mak dah meninggal jadi mereka tinggal bertiga sahaja dengan kakak ipar. Bilik abang di bahagian belakang. Ada satu malam tu dia terjaga dari tidur dan terdengar suara memanggil-manggil namanya di sebalik tingkap bilik. Mendayu-dayu ja suara perempuan tu. Ish… Seram pulak aku nak taip story ni. Dahla suami aku kerja malam ni. Eh, back to story. Kakak ipar aku tido nyenyak ja kat sebelah. Benda ni berlaku bukan sekali tau. Sampai abang aku dah lali dah dengan suara tu. Kalau aku balik kampung mesti abang aku pesan, “Hang nak pi jamban tu, masuk ja terus. Tak payah nak tinjau-tinjau kot belakang rumah malam-malam macamni. Satlagi dia memanggil kot tingkap pulak,” ha gitu…
Bunyi berkawad:
Walaupun kejadian ni ketika aku masih kecil tapi aku ingat dengan jelas apa yang berlaku. Malah abang-abang dan kakak aku juga pernah dengar orang berkawad di tengah malam. Bila kami intai melalui celahan tingkap, tiada apa-apa pun di halaman rumah melainkan hanya gelap malam sahaja. Kadang-kadang aku dengar ‘mereka’ lalu di jalan depan rumah kami. Kemudian berpatah balik dua tiga kali.
Budak kecík:
Budak kecik ni sampai harini jadi tanda tanya. Siapa dia?
Bermula dengan abang aku. Abang yang sama dengan story di atas. Abang nombor 4 (abang A). Dia ni rajin bercerita dengan aku. Sebab tu aku banyak cerita pasal dia. Ketika ni dia tingkatan enam. Dah tak tinggal kat asrama. Abang nombor 3 (abang H) aku pulak tengah cuti sem. Mereka share bilik tau. Dalam bilik tu ada katil double decker. Sepatutnya abang H aku tidur bahagian atas. Tapi entahla dia lagi suka tido di lantai. Jadi dia bawak turun tilam kebawah.
Suatu malam tu abang A aku terjaga dari tidur. Dia tengok abang H tengah gantung kelambu. Biasala rumah kampung dalam kawasan kebun getah pulak kan. Banyak nyamuk. Yang mengejutkan dia, dia cakap muka abang H buruk. Bukan muka dia yang sebenar. Cepat-cepat dia sambung tidur. Dia tak cerita pun kat abang H pasal ni. Katanya takut abang H terasa pulak kalau cakap muka dia buruk.
Selepas abang H dah balik U, abang A pun kembali berseorangan di bilik tu. Banyak malam aku perasan abang A tidur tak tutup pintu. Jadi, aku tanya kenapa abang? Dia pun mula bercerita. Dua tiga malam ni asyik nampak budak kecik. Kadang-kadang terjaga tengah malam nampak dia berdiri sebelah katil. Lepastu melompat naik kat katil bahagian atas dan terus lompat keluar melalui lubang angin antara bumbung dan dinding bilik tu. Tak nampak rupa… Itu cerita abang A.
Ini cerita daripada arwah Mak pulak. Arwah mak selalu teman adik tidur di bilik kakak. Memandangkan banyak bilik kosong dalam rumah ni. Adik aku suka tidur kat mana saja dia suka. Best kan jadi adik. Adik aku ni lelaki tapi kurang berani. Sebab tu tidur kena berteman…. Aku harap dia tak baca story ni. Mereka tidur tak tutup pintu. Jadi ada la sikit cahaya daripada ruang tamu kedua rumah Ayah tu. Lampu bilik tutup. Nak dijadikan cerita, Mak terjaga dari tidur dan buka saja mata, mata dia tepat menghala ke pintu. Dia nampak ada sorang budak perempuan dalam lingkungan umur 4 atau 5 tahun macam tu tengah pandang dia. Lepastu Mak pun abaikan saja budak tu. Dia tak kacau pun…
Dalam masa sama, aku jugak berpengalaman berjumpa dengan budak-budak ni. Aku tidur di bilik atas sorang-sorang. Bilik atas tu aku dengan kakak ja yang berani pun. Tengah sedap tidur, badan rasa keras. Tak boleh bergerak. Ketika tu jugak aku dengar suara bercakap-cakap. Seperti berbisik tetapi jelas di pendengaran ku. Bahasanya langsung aku tak faham. Aku buka mata. Dalam samar-samar cahaya aku nampak 2 sosok bayang hitam sedang memanjat dinding bilik lalu keluar melalui lubang angin.
Malam seterusnya. Seperti sebelum ni, badan aku keras tiba-tiba. Tak boleh bergerak. Bila aku buka mata, ada sorang budak lelaki kepala botak duduk sebelah tilam aku. Dalam aku bergelut nak lepaskan diri, aku cuba baca ayat kursi. Tetapi tak berjaya. Lidahku kelu. Aku cuba melawan dan dia seperti marah setiap kali aku melawan. Menyeringai dia menunjukkan gigi-gigi halusnya yang tajam bak mata gergaji. Aku tak dapat nak describe bunyi budak tu. Macam kucing yang tengah marah. Lastly aku dah malas nak melayan dia. Mengantuk sangat time tu. Aku sambung tidur macam biasa tanpa hiraukan dia. Esoknya baru aku terpikir, benda apa aku nampak malam tadi? Ketika itu baru datang rasa takut. Seminggu tidur tak tutup lampu. Ayah bebel pun aku dah tak heran. Taknak lah aku. Tutup lampu nanti dia datang.
Tindih:
Cerita bab tindih ni, tak semua orang percaya. Bagi sesetengah orang mereka lebih percaya pandangan sains (sleep paralysis). Hakikatnya yang pernah mengalaminya saja yang faham.
Aku start dengan cerita abang A ya. Masih di bilik bujang yang sama. Dia tengah tidur sebelum terasa ibu jari kakinya sakit. Bila terjaga, dia tak dapat bergerak. Cuba melawan, tak berjaya. Cuba baca ayat kursi juga tak berjaya. Even nak sebut Allah pun tak boleh. Sampaila dia rasa marah sangat sebab tiap-tiap malam tidurnya terganggu dengan hal yang sama. Berkata dia didalam hati, “Kalau hang berani, tunjukla!” Selepas dia cakap macam tu, telinga dia berdesing kuat. Dia tak tahan dan gagahkan diri untuk tidur. Nasib baik tak nampak apa-apa.
Lain pulak cerita aku. Benda sama terjadi pada aku. Tapi bila aku buka saja mata, mesti nampak sesuatu. Paling aku tak dapat lupa, dia terbang melayang-layang di hujung kepala aku dan seperti biasa aku terus sambung tidur tanpa hiraukan dia. Esoknya baru datang rasa takut selepas tersedar apa yang berlaku malam tadi.
Selain kami berdua, abang sulungku (abang Z) dan kakak juga pernah ‘ditindih’ jika tertidur di tempat yang sama iaitu di bilik belakang. Biasanya arwah Mak akan kejutkan kakak jika dia nampak kakak macam meronta ketika tidur. Begitu juga dengan abang Z. Ini cerita kakak aku. Ketika itu abang Z masih bujang dan dia guna bilik belakang tu. Dia nampak abang Z meronta dan seperti berkata sesuatu yang tidak jelas. Lalu dia kejutkan abang Z. Yang peliknya, kat belakang abang Z berbekas berbentuk segitiga. Kakak sendiri tak tahu apa dan bagaimana boleh berbekas macam tu.
Anak:
Cerita ni selepas kami semua dah kahwin. Tinggal adik sahaja yang masih bujang. Dia selalu solat dalam bilik-bilik kosong di rumah Ayah. Aku dan kakak ipar baru bersalin anak sulung kami. Anak abang A tua 2 bulan daripada anak aku. Selepas kakak ipar habis berpantang dia bawak anaknya balik. Mereka masih tinggal dengan Ayah. Balik saja rumah Ayah, anak dia mesti menangis. Setiap hari menangis bermula selepas maghrib. Nasib baikla Paklong kami pandai berubat dia buatkan minyak celak untuk baby. Aku tak pasti la sejauhmana keberkesanan minyak ni. Kita sekadar berikhtiar saja. Selebihnya berserah pada yang Esa. Sampaila aku dah habis tempoh berpantang. Bawala baby balik jumpa Tokwan. Haritu baby abang A baik sangat. Tak nangis. Aku ingat lagi abang A balik dari kerja tengok baby dia ceria, dia pun cakap kat baby dia, “Kan bagus kalau adik macam ni hari-hari. Seronok Ayah tengok,”
Yang tak bestnya, baby aku pulak meragam. Start pukul 6 petang dia mula merengek. Dah maghrib lagi kuat nangis. Satu rumah dah tak senang duduk. Kakak ipar buka audio bacaan ayat-ayat suci pun dia masih nangis. Last choice, kami bawa baby kerumah Paklong. Sampai ja kat rumah Paklong, dia boleh berenti nangis. Eh budak ni dah kenapa kan. Seronok pulak dia main-main macam selalu. Paklong dukung dia. Usap-usap dia. Paklong cakap, “Takda dah. Tokwa (nama panggilan anak aku kat Paklong) dah suruh dia pi dah. Takmau nangis dah ya,”
Balik dari rumah Paklong, baby aku tidur nyenyak sangat. Ya lah, dari siang dia nangis. Lepastu kami pun keluar dari bilik. Melepak kat beranda luar ramai-ramai. Tiba-tiba suami tak sedap hati. Suami aku ni special sikit. Dia dapat rasa sesuatu yang kita tak dapat rasa. Contohnya jika ada makhluk lain di sekeliling kita. Dan dia terus bangun untuk ke bilik. Sesampai dia di ruang tamu 1 rumah Ayah, dia nampak ada kaki hanya separas pinggang sahaja, berjalan laju daripada ruang belakang rumah Ayah masuk ke bilik di bahagiàn depan. Bilik dimana baby aku sedang tidur time tu. Dia cepatkan langkah sebab risaukan baby. Alhamdulillah baby kami masih nyenyak dan kaki tadi hilang entah kemana.
Selepas beberapa tahun, rasanya time ni anak aku dan abang A dah 2 tahun. Aku balik kampung. Dalam pukul 4 pagi aku terjaga. Tiba-tiba terdengar bunyi benda jatuh atas bumbung. Kuat sangat. Serentak anak abang A dan anak aku menangis. Sampaila kesubuh. Pujuk pun tak jalan. Dah subuh pandai pulak tidur.
Sebenarnya banyak lagi cerita di rumah Ayah. Suami nampak sesuatu atas pokok kelapa, gangguan-gangguan lain yang dialami sendiri oleh kakak dan abang Z aku tapi cerita samar-samar sebab benda ni berlaku ketika aku masih kecil. Sekarang aku dah jarang balik tidur di rumah Ayah. Rasanya itu saja yang mampu aku cerita pasal rumah Ayah. Rumah ni kalau dah banyak bilik kosong, kenala rajin-rajin mengaji didalam bilik tu. Takut nanti ada yang lain menumpang. Baiklah. Terima kasih semua.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
Follow Whatsapp FS KLIK SINI