Rumah baru sepupuku

Selama hidup ini seingat akulah ada 3 kali kejadian mistik aku alami. Untuk kali pertama ini aku nak ceritakan kejadian mistik ini yang telah berlaku kira-kira 5 tahun yang lalu semasa aku balik ke kampung ibuku di utara tanah air.

Selalunya kalau aku balik ke sana aku akan menumpang tidur di rumah sepupuku tapi kali ni sepupu aku yang lagi satu pula beriya2 mempelawa kami bermalam di rumah barunya. Sepupu aku ni memang jarang balik ke rumah barunya sebab dia tinggal dengan ibunya di rumah kampung selepas ayahnya meninggal dunia. Dia akan balik ke rumah barunya cuma sebulan sekali untuk kemas je. Aku pun tak nak kecilkan hati dia maka bersetuju untuk bermalam di rumah barunya itu.

Selepas ambil kunci rumah darinya, kami terus ke rumah dia untuk bersihkan diri dan berehat sementara menunggu maghrib. Selepas maghrib tu kami pun keluar untuk makan malam dan balik ke rumah menonton filem di Astro sampai 12 tengah malam, lepas tu memasing dah letih nak tidur.
Kami tidur di tingkat atas rumah tu, aku dan suami dalam satu bilik dan 2 anak bujang aku di bilik sebelah kami. Aku padamkan semua lampu dalam rumah tu kecuali lampu porch kereta aku biarkan pasang. Pintu bilik kami dibuka sedikit dan aku tak pasang pun lampu di ruang tv di luar bilik tidur kami tu konon dah biasa tidur dalam gelap.

Aku tengok jam henfon aku menunjukkan 12.30 tengah malam. Sedang mata aku layu nak lelap tetiba aku terdengar bunyi pintu berkeriuk perlahan sambil bunyi tangisan merintih budak perempuan, terus terbeliak biji mata aku mengamati bunyi pelik itu sambil memerhatikan suasana dalam bilik yang gelap itu mencari dari arah mana bunyi itu datang. Aku kejutkan suami aku tapi dia tidur je tak de respon. Bunyi tu semakin dekat dan aku bingkas bangun pasang lampu bilik dan keluar pasangkan lampu di ruang tv tu dan bunyi yang tadi tu terus hilang. Aku rasa nak turun ke tingkat bawah konon nak periksa dari mana arah bunyi tu datang, tapi tiba-tiba bulu roma tengkuk aku meremang dan tengkuk aku rasa dingin. Terus tak jadi turun ke bawah.

Aku macam bingung dari mana datangnya bunyi tu lalu aku pergi ke bilik tidur utama pulas tombol pintu tu tapi berkunci. Aku masuk ke bilik anak bujang aku pasang lampu memasing tidur nyenyak, aku kejutkan si abang dan si adik tanyakan mereka ada dengar bunyi pelik ke tadi atau bunyi dari henfon mereka. Mereka terpisat-pisat bangun cakap tak dengar apa pun dan terus sambung tidur. Aku terus baca Ayatul Kursi berkali-kali kunci pintu bilik anak dan aku masuk ke bilik aku melalui bilik air sebab 2 bilik tidur ni kongsi bilik air. Aku biarkan lampu di ruang tv tu pasang dan aku kunci pintu bilik tidur aku. Aku pasang juga lampu bilik air tu dan pasang surah Al Baqarah buat “auto re-play” dari henfon aku.

Aku hendap bawah pintu menunggukan kalau ada pergerakan bayang di ruang tv tu atau bunyi seram tu terjadi lagi. Ada lebih kurang 10 minit jugalah aku dok tertonggek hendap bawah pintu tu tapi nasib baik tak ada apa2 yang berlaku. Aku dah nekad kalau ada bayang atau bunyi tangisan tu lagi memang confirm kami check in hotel malam tu juga.

Disebabkan tiada apa yang berlaku aku pun naik atas katil cuba nak tidur tapi tak dapat nak lelapkan mata sebab memikirkan apa yang aku dengar tadi tu. Aku rasa macam menyesal pula terima pelawaan sepupu aku untuk bermalam di rumahnya sebab rumahnya dah lama ditinggalkan maka ada benda lain yang duduk menumpang. Sepupu aku tu pun sesekali je balik ke rumah baru dia ni.

Esok pagi aku terus ceritakan pada suami & anak2 aku kejadian malam tadi, mereka pun terkejut dan mereka cakap memang tak dengar apa2 mungkin badan letih jadi tidur lena sangat. Selepas sarapan kami terus check out dari rumah sepupu aku tu sebab aku tak rasa selesa nak duduk lama pun. Kami terus pulangkan kunci rumah ke sepupu aku tu tapi tak cerita pun kejadian malam tu.

Apa pun lepas ni kalau aku balik ke kampung, confirm aku tak akan tidur di rumahnya lagi walaupun dia pelawa, akan ku buat helah untuk tidur di rumah sepupu aku yang lagi satu yang biasa aku tumpang sebelum ni atau tidur di hotel.
Sebenarnnya lepas maghrib malam kejadian tu, aku dan suami baca surah yasin maklumlah rumah lama tinggal jadi bila kejadian tu berlaku aku rasa benda tu saja nak kacau kami atau marahkan kami sebab baca surah yasin dalam rumah tu.

Aku tak nak katakan benda tu hantu sebab dalam Al-Quran pun tak ada perkataan “hantu”, yang ada disebut adalah jin, syaitan dan iblis. Maka makhluk inilah yang berjanji pada Allah nak sesatkan manusia dengan cara menakutkan manusia. Rupa mereka berbeza dari manusia dan mereka berupaya menonjolkan diri dalam rupa yang menakutkan, itu sebab kita sebut hantu.

Kalau kita faham konsep kewujudan mereka itu, kita tak akan takut bila mereka munculkan diri. Tapi kita ni manusia tak cukup ilmu agama atau hafal ayat2 Quran didada tu dah tentulah takutkan. Kalau hafal pun tapi dah takut sangat memang ke laut lah nak baca Al Fatihah pun. Walau apa pun di mana saja kita berada selalu mohon perlindungan dari Allah s.w.t hanya Dia yang berkuasa atas segala makhluk sebab kita semua adalah ciptaanNya.

Sekian.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Hani74

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 11 Average: 4.5]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.