Rumah Nombor 13

Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat semua pembaca setia FS. Setelah sekian lama sis menyepi dan jadi silent reader je. Sis ada cerita yang nak dikongsikan bersama pembaca FS. Kisah ni berdasarkan pengalaman sebenar sis.

———————–

Rasa teruja dapat merantau ketempat orang dan dalam masa yang sama pasti ada rindu yang menyapa terkenang keluarga yang jauh dimata. Suami baru dapat kerja di Pahang. Perjalanan yang jauh dan memenatkan. Sesampai nya kami di rumah tu. Angin kuat menampar pipi seperti memberi petanda. Pintu rumah berulang kali tertutup dan terbuka dengan sendiri dek kuatnya ditiup angin. Dalam hati berkata mungkin nak hujan, sekadar menyedapkan hati.

Hari pertama dan kedua berlalu seperti biasa. Tapi hati kecil selalu tak salah menafsir rasa. Sejak pindah disini rasa seram sejuk tu selalu ada. Cat rumah berwarna pink tapi tetap nampak suram dan muram seperti menyimpan sesuatu rahsia.

Kisah mistiknya bermula. Anak saya masih kecil masa tu dalam umur setahun lebih. Saya surirumah. Jadi banyak masa dengan anak. Masa tengok anak bermain, tiba² tangan dia seperti dipimpin oleh “sesuatu” yang tak nampak pada mata kasar saya. Setiap kali bermain dengan mainannya. Nampak tingkahnya seperti ada “seseorang” yang melayaninya bergurau dan bercakap bersama. Hakikatnya hanya kami berdua saja dirumah saat suami keluar kerja.

Masa saya sibuk masak di dapur, terdengar jelas derap kaki berjalan dibelakang saya dan dari ekor mata ni jelas nampak kelibat anak kecil melintas, saya menoleh kebelakang, ehh tak ada sesiapa pun padahal jelas nampak ada anak kecil dalam lingkungan umur 2 ke 3 tahun di belakang saya. Terus sy menyusun langkah ke depan dan mencari anak. Alhamdulillah, anak elok saja didepan.

Firasat cuba memberitahu sesuatu tetapi hati masih kuat menepis segala rasa agar ketakutan itu hilang. Duduk dalam rumah tu tak ramai hanya kami bertiga anak beranak, bila suami keluar bekerja tinggal lah saya dirumah bersama si kecil. Hati perasaan ini selalu rasa seperti seperti diperhatikan setiap gerak geri saya dirumah.

Anehnya pintu bilik selalu dengar seperti diketuk dari dalam bilik. Rumah tu ada 3 bilik. Bilik belakang kami jadikan bilik stor. Kami tidur dibilik utama dan satu lagi bilik jadikan bilik solat dan khas untuk tetamu yang datang bermalam disitu.

Bila malam nak tidur kami akan tutup semua lampu, menjelang jam 12 malam keatas mulalah saya dengar seperti ada suara 2 ke 3 orang perempuan berborak diruang tamu. Saya jenis payah nak tidur. Suami dah tidur. Anak dah tidur. Nak bangun kan rasa serba salah sebab kesian takut suami penat. Dengarlah bunyi suara budak perempuan menangis, bunyi seperti laci di ruangtamu ditarik dan ditutup berkali kali. Seperti ada orang lain yang tinggal dalam rumah tu.

Keadaan begini belarutan sehingga bila suami cuti, suami pun akan perasan dan mengalami kejadian seram ni. Akhirnya kami nekad bertanyakan jiran yang lebih lama menetap disitu apakah kejadian yang kami alami ini pernah mereka dengar daripada penyewa sebelum ni. Dan terungkaplah segalanya.

Menurut cerita jiran tetangga disitu. Rumah tu dahulunya didiami oleh seorang peniaga, perniagaan dia terlalu laku sehingga ada yang iri hati dan menghantar sihir dirumah itu. Disitu dulu ada seorang pakcik dan makcik yang menyewa. Azabnya sehingga pakcik tu menghembuskan nafas terakhir dirumah tu sebelum jenazah nya dibawa ke kampung halaman di Selangor. Masa pakcik ni nazak sakarat, dia nampak ada benda besar hitam berbulu, bertaring panjang dan bermata merah duduk disamping nya dan hal itu mesti dia adukan pada isterinya. Yang mengejutkan makcik tu pun boleh nampak benda tu duduk sebelah suami nya. Allahu… Masa makcik tu balik di Selangor untuk uruskan jenazah suaminya “benda” tu ikut sekali dan masa makcik ni nak kemas² barang untuk pindah daripada rumah tu. Makcik tu siap bagitahu pada benda tu “kau duduk sini sampai bila², jangan ikut aku balik, aku taknak kau”

Ada juga jiran kata arwah ni pandai mengubat orang atau “bomoh”. Wallahua’lam yang mana satu, samada belaan sendiri atau pun benar ada yang menghantar sihir.

Lepas makcik tu pindah, setiap kali jiran balik daripada kerja mesti perasan ada plastik gula² bersepah depan rumah ni bukan jumlah yang sikit tapi banyak ya. Macam ada anak kecil yang duduk kat rumah tu tapi rumah tu dah lama kosong bertahun tahun selepas penyewa lama tu pindah. Setiap malam dalam pukul 2 ke 3 pagi jiran sebelah dengar bunyi orang basuh pinggan, menyapu lantai dalam rumah tu. Mereka dengar bunyi suara kanak² bermain dan kuat ya bunyi tu. Dengar orang alih alihkan barang yang masih ada dalam rumah tu, dengar kotak diseret seret. Pernah sekali jiran sebelah rumah ni nekad nak intai benda apa yang selalu bunyi tu, takut ada pencuri ke. Dia pun cuba la singkap tingkap² tu dan tengah khusyuk intai punya intai tak nampak apa² pun nampak gelap je sekali HharrrGhhhhhh!! Punya kuat dan mengejutkan suara tu garau basah, korang boleh bayangkan tak macam mana keadaan dia masa tu. Dia nampak jelas muka perempuan putih pucat, mata merah sergah dia dari dalam rumah tu. Apalagi mencecet member lari masuk rumah sebaik tak demam.

Ada juga yang cuba sewa kat situ tapi tak bertahan lama, paling lama dalam sebulan je.

Setiap kali saya buat bacaan Yassin, mesti lagi banyak gangguan timbul. Bila on tv tiba² terpadam sendiri la, bunyi orang ketuk dari dalam bilik padahal hanya saya berdua dengan anak dalam rumah.

Akhirnya kami buat keputusan nak pagar rumah tu dengan bantuan seorang ustazah anak buah kepada arwah Haron Din. Masa percubaan pertama kali nak pagar, malam nya macam² bunyi ada. Dengar macam bunyi nak kata anjing bukan, tapi macam bunyi benda kesakitan. Kuat sangat bunyi tu. Bukan sekali tapi berkali kali dalam satu malam tu. Sampai saya kejutkan suami jam 3 pagi sebab takut sangat dengar. Tak lama lepas tu dengar bunyi macam tapak kaki berjalan atas siling rumah dan mengejutkan bunyi jalan tu macam kakinya dirantai dengan gari besi pastu jalan menyeret ssrreett ssreet. Jelas sangat bunyi tu. Dalam hati saya kata nak jalan, jalan lah. Jangan kau jatuh kat dalam bilik ni sergah kami anak beranak sudah. Dengar jelas bunyi seretan besi dan dia berjalan atas siling ya bukan atap rumah.

Hati ni Tuhan saja tahu dan berdebar nya. Memang tak nyenyak nak tidur malam tu. Habis satu rumah buka lampu. Sampai lampu bilik air pun tak terkecuali. Kalau lintasan laju warna hitam tu memang selalu sangat nampak. Laju sangat, warna hitam zupp. Nak kata bayang bukan, nak kata asap pun bukan. Memang seriau selama duduk kat situ.

Lama juga kami bertahan kat rumah tu nak dekat 2 tahun tapi lepas kami usahakan buat bacaan Yaasin dan kerap laungkan azan dalam rumah. Alhamdulillah, semua beransur kurang. Boleh dikatakan gangguan tu hilang total dan dengan sendiri hati tu tak jadi seram sejuk dan takut dalam rumah sendiri. Selain perkara mistik ni, banyak juga kejadian binatang berbisa seperti ular dan kala jengking masuk kerumah. Alhamdulillah mereka tak pernah menyakiti kami dan kami berjaya buang mereka jauh².

Rasanya cukup sampai disini cerita saya, ada lagi keseraman yang saya tak dapat selitkan dalam cerita sebab saya dah lupakan kenangan pahit tu. Walau apa pun menimpa pada keluarga kecil saya sewaktu tinggal disitu, tetap hati ni rasa bersyukur kerana ada tempat berteduh daripada hujan basah dan terik mentari. Kami akan jadikan kisah ni sebagai pengalaman hidup. Maaf andai cerita ni tidak seram bagi pembaca. Sekadar menukil kisah atas pengalaman sendiri.

Saya tulis cerita ni pada 290220 jam 0126 pagi.

Sekian dari saya, Fatin Adila Razali. Assalamualaikum semua!

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.om/submit

Fatin Adila Razali

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 8 Average: 4.8]

3 thoughts on “Rumah Nombor 13”

  1. Rumah tu dekat area mana,masih duduk disitu ke?pengalaman sis hampir sama dengan rumah sewa saya di sri petaling,rumah dalam kawasan bandar pun boleh jadi macamni bila ceritakan orang tak percaya.mula menyewa dr bujang tahun 2004 bersama makcik dan dia keluar dr rumah tu tahun 2012 keeana tahan diganggu,nikah tahun 2016 pun duduk dirumah sama tapi pasangan saya tak kuat dengan gangguan jadi terpaksa pindah ke rumah lain.kawan2 saya ramai yg kata saya gila boleh tahan dgn gangguan selama tu,pernah sekali makcik saya berubat dan dia tabur garam keliling rumah tu dan saya terbau sangat hanyir seperti d***h.ee..sekarang kalau cerita seram tapi masa duduk kat rumah tu perasaan berani tu kuat je..

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.