Saka Ular

Hai nama aku Arif dan cerita ni hanya secebis dari pengalaman hidup aku, sebelum aku jadi pelupa, baik aku kongsikan…

Mentari tenggelam diufuk barat, bersama perginya hari ini. Permulaan hari baru akan bermula pada malam ini. Aku, bapak, Pak Seli dan Uda menemani Pak Seli yang diundang untuk merawat kenalan yang katanya disampuk semasa memancing dua bulan lalu.

Sudah dua bulan pemuda yang bernama Shakir hanya terbaring ditikar, dengan tangan dan kaki yang sesekali terkejang-kejang menendang angin, kasihan juga melihat keadaannya, anak-anaknya masih kecil duduk disebelah dan hanya memerhati. Menurut isteri Shakir yang bernama Sumayah. Shakir telah keluar memancing bersama tiga orang rakan, seminggu sebelum beliau diserang sakit misteri dan betul-betul lumpuh tak mampu berjalan. Keluar menjelang Maghrib, dan hanya pulang menjelang tengah malam hari yang sama…

Shakir berperangai pelik keesokkan harinya. Tetapi menurut Sumayah lagi, Shakir ada memberitahu hal aneh yang terjadi semasa memancing. Sebiji botol aneh berisi kulit ular, ditemui hanyut yang dikutip Shakir. Shakir secara tak sengaja dah terbuka tutup botol, semasa melontar botol kembali ke tengah sungai.

Sumayah yang berduka lara dan berlinangan air mata bercerita keadaan Shakir yang berubah mendadak selang tiga hari kemudian hinggalah ke hari ini, sudah dua bulan merana dalam keadaan begini. Pergerakannya jadi terbatas, dan mendesah seperti bunyi ular menjelang waktu Asar hingga ke tengah malam. Kebanyakkan masa, dihabiskan diatas tilam nipis dan tak boleh bergerak ke mana-mana.

Semasa kami datang, Shakir yang terbaring, dibangunkan Sumayah, melihat kami beramai-ramai yang datang menjenguknya Shakir mula menelengkan kepala ke kiri dan ke kanan seperti pergerakan ular. Aku jeling pada bapak, bapak hanya mengeleng-gelengkan kepala melihat keadaan Shakir.

Pak Seli mengangguk beberapa kali mendengar cerita Sumayah, menandakan faham dengan masalah yang dihadapi. Boleh jadi Shakir telah diserang atau menjadi pemilik baru pada saka yang telah dibuang, kerana berpindah padanya secara tak sengaja.

Agak menghairankan juga, sungguh pun pergerakan terbatas dan meliuk lentuk seperti ular, nafsu makan tak pernah berkurangan. Makanan yang dihidangkan pada Shakir dilahap dengan penuh nafsu.

Uda yang duduk disebelah aku, memandang dengan wajah yang sedikit jijik melihat cara Shakir makan. Berjejeh air liur Shakir jatuh kelantai, dan makanan yang disuap oleh Sumayah, kebanyakkannya ditelan sahaja tanpa dikunyah terlebih dahulu, persis seperti ular menelan mangsa.

“Hurmmm.. Kamu tak ikhtiarkan pada orang lain, sebelum panggil aku?” Pak Seli mula bertanya untuk mendapatkan lebih maklumat lanjut selepas Shakir selesai disuapkan makan.

“Ada, Cik.. Tapi itulah, dua perawat yang membantu sebelum ni, lari semasa dalam proses rawatan..” Sumayah membalas hampa

“Lari?” Balas Pak Seli

“Ya lari.. Ular yang tak tahu datang dari mana, mula naik ke rumah dari segala ruang.. Saya sendiri pun lari, bila nampak ular banyak sangat.. Geli..” Sumayah berterus terang pada Pak Seli.

“Baiklah.. Aku ikhtiarlah ye? Segalanya ketentuan Allah.. Kalau Allah izinkan berjaya, maka berjayalah.. Kalau tak, kamu jangan putus asa untuk cari perawat lain untuk membantu, mungkin tak serasi dengan rawatan aku..” Pak Seli bertutur perlahan dengan jari dijentik-jentik pada lantai, bapak mengangguk beberapa kali.

“Carikan aku batang tepus tiga batang.. Dan air sebesen. Kalau takde apa-apa lagi, kita mulakan.. Mudah-mudahan diperkenankan..” Pak Seli mula memberikan arahan pada Sumayah. Pantas dia bangun meninggalkan kami dan bergerak ke belakang rumah. Kami ditinggalkan diruang tamu dengan Shakir yang masih terlentang dan dua orang putera Shakir yang berusia 10 tahun dan 8 tahun.

“Hari tu, ayah kita bergerak macam ular..” Anak Shakir yang sulung bercerita pada Pak Seli, wajah mereka dua beradik masih sugul.

“Abang.. Abang kena jaga adik masa ayah abang sakit.. Jangan nakal-nakal.. Kena rajin tolong ibu, rajin solat.. Doakan ayah cepat sembuh..” Pak Seli membalas ayat anak sulung Shakir, sambil kepalanya diusap lembut. Kasihan, umur sekecil ini. Apalah sangat yang difahaminya tentang masalah yang menimpa ayahnya.

Sepuluh minit kemudian, Sumayah kembali semula ke ruang tamu membawa besen berisi air dan batang tepus yang diminta Pak Seli.

“Nak dibangunkan dia ke, cik?” Sumayah bertanya pada Pak Seli

“Tak perlu.. Biar sahaja dia berbaring.. Sebelum aku mulakan, aku nak pesan.. Kalau nampak benda pelik, jangan ditegur.. Dan kalau ada ular naik sekalipun, jangan d*****h..” Sumayah mengangguk tanda faham.

“Bismillah..”

La haula wala quatta illa billah..

Pak Seli hanya bersila dan memulakan dengan tangan dibuka kedua-duanya menghadap Shakir.

Tapak tangan dikembangkan, ditolak dan ditarik seperti gerakan bunga silat. Shakir yang tadi berbaring tenang, mula mengeliat.

Kepanasan dengan ayat rukyah yang dibacakan, sesekali Shakir mendesah seperti bunyi ular yang akan mematuk.

“SIAPA KAU?? PSSTTTT!! PSSSTT!!” Shakir secara tiba-tiba bangun dan duduk melunjur, membuka mulut dengan bersuara dan berbunyi seperti ular.

“Hamba Allah.. Aku diminta isterinya untuk membantu anak ini yang diganggu!”

“BUDAK INI KEPUNYAAN AKU! KAU KENAL SIAPA AKU?” Shakir kembali bercakap,

“Aku tak tahu siapa kau.. Tapi aku kenal anak ini, dan aku mesti membantu saudaraku yang dalam kesusahan!” Tegas ayat Pak Seli.

“KAU TAK KENAL SIAPA AKU? AKU NAGA BERKEPALA TIGA, DATANG DARI CHINI UNTUK MENGAMBIL NYAWA BUDAK INI!”

BRAPPPP!!!

Serentak bumbung rumah Shakir berbunyi seperti dihempap sesuatu yang besar, bergegar alang rumah. Habuk-habuk jatuh dari bumbung ke lantai.

Uda mula menghimpit duduk dekat dengan aku. Bapak masih tekun mendengar perbualan antara Pak Seli dan ‘Naga berkepala tiga’ yang mengambil alih tubuh Shakir, bersedia sekiranya Pak Seli memerlukan bantuan.

“Kau dengar tu? Aku boleh musnahkan rumah ini, dengan kau sekali, kalau aku mahu! Jadi jangan kau ganggu kerja aku!” Dalam tenang Pak Seli dah diugut oleh saka yang meresap dalam badan Shakir.

Pak Seli cuit bapak dan berbisik sesuatu, seketika kemudian bapak bangun dan keluar dari rumah. Satu dari batang tepus bertukar tangan, dibawa turun oleh bapak.

“Macam mana Rip? Nak keluar ke nak duduk je sini?” Uda pandang muka aku dengan serius dan bertanya.

“Kau nak tengok naga, pergilah keluar..” Aku balas bersahaja ayat Uda. Uda kemudiannya diam dan tak menjawab apa-apa. Tahu dia takut!

Pak Seli tanpa menghiraukan bicara-bicara Shakir, mula meneruskan bacaan ayat suci.

Innahu min Sulaiman wa innahu bismallahirohmanir rohim, alla tak lu alaiya wak tuu nii muslimin

Bismillahirohman nirohim

Alam tarokai fafa ala robbuka bi asha bil fiil

Shakir menghempas badan dan kembali terlentang, mengerang dan mengeliat ke kiri dan ke kanan! Cadar, selimut dan tilam nipis yang dijadikan alas digenggam kejab dengan tangan kanan dan kiri, peluh kasar menitik-nitik dari dahinya. Bagaikan sedang bertarung nyawa mendengar bacaan Pak Seli.

“ARGHHHHHHHH!!!!”

“ARGHHHHH!!!”

“ARGHHHHHHHHH!!”

Hanya suara Shakir yang kedengaran mengerang dengan kuat! Diluar rumah ribut menderu-deru secara tiba-tiba, bagaikan tiupan angin monsun semasa musim tengkujuh!

Shakir bercakap sesuatu dalam bahasa yang tak difahami, seperti bahasa jin. Meremang-remang bulu roma dengan suasana yang berubah secara tiba-tiba!

Sumayah sudah mula mengamit dua orang puteranya dan duduk rapat-rapat.

HAH!!

Suara bapak pula kedengaran bertempik diluar, bagaikan sedang bertarung dengan seseorang!

“Eh? Ular!” Aku nampak ular mula naik dari celahan dedaun tingkap dan dari kawasan tepi lantai! Sepontan aku mula berdiri!

Melihat aku berdiri dan memandang ke satu arah, Uda juga turut berdiri! Sumayah sudah angkat kaki membawa anak-anak masuk ke dalam bilik! Meninggalkan aku, Uda, Pak Seli dan Shakir diruang tamu!

“ALAMAK!! ULARRR!!!” Uda mula menjerit panik!

Tanpa berfikir panjang, Uda berlari dan melompat diatas kerusi rotan rumah Shakir! Aku hanya berdiri statik dan tak bergerak.

Lebih banyak ular mula masuk ke dalam rumah dan lantai rumah Shakir mula dipenuhi dengan pelbagai spesis ular.. Ada spesis yang terancam, dilindungi dan ular biasa, ular orok-orok pun ada!

‘Sial!’ Getus aku dalam hati! Naik geli geleman melihat begitu banyak ular mula memenuhi ruang lantai! Banyak! Paling kurang ada 40 ekor ular!

“Biarkan Rip! Jangan kamu tendang kalau ular melintas depan kamu!” Pak Seli menoleh dan memberikan kata-kata semangat yang langsung tak membantu dalam suasana yang tiba-tiba panik!

Dua ekor ular melalui dihujung ibu jari kaki aku, melintasi dan bergerak ke arah Shakir. Aku jeling Uda yang berdiri diatas kerusi rotan. Uda meraba-raba tubuh badannya dengan kedua-dua tangan, macamlah ular dah memanjat dan memaut badan dia!

Agaknya Uda tak perasan, dari atas bumbung ada ular yang turun melalui alang rumah, tergantung sebelum menyinggah diatas bahu Uda. Uda masih dengan muka berkerut-kerut melihat lantai yang dikerumuni ular.

“Da! Atas bahu kau!” Aku tunjukkan tangan kanan pada bahu Uda yang tergantung ular daun berwarna hijau, selepas ular berjaya turun dari alang rumah!

“ARGHHHHH!!!” Uda mula membuka langkah silat sumbang diatas kerusi rotan. Habis berterabur bantal kusyen pengalas disepak Uda. Macam dia pula yang kerasukan bukan Shakir!

PRAKKK!

Bunyi salah satu dari batang kerusi rotan patah! Tak mampu menahan beban berat badan seorang lelaki dewasa yang cuak dan bersilat diatas kerusi! Aku tergelak kecil melihat Uda.

Uda kemudiannya melolong-lolong melompat melalui tingkap rumah Shakir sebelum lari bertempiaran diluar!

Aneh! Kenapa dia tak keluar ikut pintu? Aku lihat ke arah pintu, ada ular sawa sepanjang tujuh meter sedang melingkar naik diatas lantai rumah!

“Saudaraku! Mereka ini sedang cuba menghancurkan aku! Hapuskan mereka!” Shakir bercakap, mungkin pada ular-ular yang berada disekitar kami!

“Rip! Kamu bertahan disitu, baca bismillah lima!” Pak Seli mula memberikan arahan yang jauh lebih baik dari ayat sebelum ni! Ada ular lidi yang dah mula memanjat dipangkal kaki seluar, yang aku kuis ke tepi.

Diluar rumah, aku dengar bapak sudah mula melaungkan azan! Hujan mula turun membasahi bumi dan angin ribut masih tak surut. Berdentam dentum tingkap rumah dihempas angin yang kuat!

Bersambung gais, maaplaaa.. aku tahu korang seronok menunggu kan.. Esok aku sambung

Jangan komen panjang2.. pening kepala aku.. sila komen ‘saya nak!’. Ok, terima kasih

#Pusaka2

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 22 Average: 5]
Arif Yahya

12 thoughts on “Saka Ular”

  1. Penulisan mmg kreatif. Tapi bila ko sebut “Hai nama aku Arif dan cerita ni hanya secebis dari pengalaman hidup aku, sebelum aku jadi pelupa, baik aku kongsikan…”, betul ke pengalaman ko? Aku rasa dah banyak cerita kau tulis. Macam fiksyen je. Jangan tipu. Tamar Jalis pun tak penah sebut penulisannya tu pengalaman hidup dia, tapi fiksyen. Pembaca yg sangka itu kisah dia. Skil kena betul.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.