Sakit!
Pernah kau rasa sakitnya hatimu dicengkam perasaan rindu yang tidak berpenghujung? Sakitnya seperti dicucuk beribu jarum yang halus dan tajam.
Sekali-sekali diterpa perasaan rindu ini, sakitnya mampu mengalirkan air mata. Iya, aku perempuan. Dan perempuan sinonim dengan air mata. Tetapi, aku tidak. Aku tidak mudah menumpahkan air mata. Namun, perasaan rindu ini… Hadirnya tanpa diundang.
Minggu ini sahaja, bertalu-talu aku mendapat perkhabaran kematian. Aku terkenang semua yang telah pergi meninggalkan dunia yang fana ini. Dan, aku rindukan arwah atukku. Sungguh aku rindukan dia. Terlalu banyak kenangan manis untuk dihitung. Atukku, garang orangnya tetapi baik hatinya.
Walaupun begitu, ada secebis kenangan, yang dapat mengurangkan rasa berat beban rinduku pada atukku.
Kerana jauhnya aku belajar, kerana jarangnya dapat aku pulang menjenguk atuk di kampung, atuk kerap bertanyakan aku melalui ibuku sehingga hampir ke hujung nyawa atukku. Salahku jua memilih sekolah sejauh ini.
“Kakak tak balik?”
“Bila kakak nak balik?”
“Lama tak tengok kakak”
Ah, setiap kali mengenangkan cerita ibuku ini, aku sekali lagi terasa sakit dicengkam rasa bersalah dan menyesal yang kuat.
Cuti sekolah itu, aku tidak segera balik kerana terpilih untuk menghadiri kursus kepimpinan mewakili persatuan.
Kalau aku tahu, aku tidak mungkin menemui atukku sewaktu dirinya masih mampu membalas senyumanku, pasti aku menolak untuk menghadiri kursus di waktu cuti sekolah itu.
Andai aku mengerti maksud mimpiku pada waktu itu, pasti aku juga tidak mengikuti rombongan itu. Pasti aku lebih berjaga-jaga dengan sebarang kemungkinan. Apalah yang aku faham di waktu itu.
Ah, “kalau” itu kata orang, mampu membinasakan. Membuka ruang buat syaitan menyucuk jarumnya. Menghasut manusia untuk menidakkan takdir Allah s.w.t. Astaghfirullah.
Ya, mimpi. Sekitar sebulan sebelumnya, aku terbangun daripada tidur. Aku menangis. Mimpiku terasa benarnya. Aku bangun dengan penuh rasa berdebar-debar dan resah gelisah. Mimpiku mudah. Aku mimpikan gigiku atasku tercabut. Aku sekadar pernah membaca dan mendengar kata orang bahawa mimpi gigi tercabut membawa maksud ada ahli keluarga yang akan meninggalkan kita. “Allah, siapa ni?” itu sahaja yang aku katakan sedari terbangun daripada tidur. Namun, aku tidak dapat fikir ada sesiapakah yang sedang sakit tatkala itu. “Ah, mungkin mainan tidur” bisik aku sendiri.
Hari berganti hari. Aku lupakan mimpi itu. Rutin harian menyesakkan kepalaku. Terlalu banyak yang perlu diselesaikan sebelum cuti sekolah bermula, ditambah pula dengan peperiksaan pertengahan tahun.
Cuti sekolah bermula. Aku dan rakan-rakanku bertolak ke tempat untuk berkursus selama seminggu. Setelah beberapa hari di sana, guru memanggilku dan berkata “Saya ada sesuatu nak beritahu awak ni. Tapi, saya nak awak dengar baik-baik dan sabar”.
“Allah!” aku pantas teringat mimpiku. Air mataku terus mengalir. “Siapa cikgu?”
Cikgu kaget melihatku terus menangis. Tidak menyangka agaknya aku dapat meneka berita yang bakal diterima.
“Atuk awak nazak”
Allah, aku lemah. Namun, aku cuba bertahan.
“Saya dapat panggilan daripada ayah awak. Dia minta bantuan pihak sekolah menghantar awak terus ke airport. Flight awak akan berlepas tak lama lagi. Awak akan naik daripada sini, dan transit di KLIA. Sampai di kampung awak nanti, kawan ibu awak akan menunggu. Makcik Ina, namanya. Makcik Ina akan menghantar awak ke rumah atuk awak. Semua ahli keluarga awak dah bergerak balik ke kampung. Tiada sesiapa dapat menunggu awak di airport.” Panjang penjelasan guruku.
Penting, kerana waktu itu tiada telefon bimbit. Hanya berpegang kepada janji. Dalam esak tangis, aku perlu hadam kesemua maklumat tersebut. Simpan kemas di kepalaku. Aku berlari mengemas beg.
Sekali lagi aku menangis. Pertama kali aku akan menaiki pesawat sendirian dan perlu transit pula di KLIA. Aku kenal Makcik Ina yang akan menungguku di sana nanti. Teman rapat ibuku.
“Ingat, awak budak sekolah. Awak bukan bodoh. Awak tak akan sesat. Awak boleh membaca, kan? Baca semua signboard yang ada di sekeliling awak” pesan guru ketika menghantarku di airport setelah mengetahui ini pengalaman pertama aku sendirian di airport.
“Baik, cikgu”. Dengan berat hati aku melangkah.
Aku selamat tiba di KLIA. Berlegar-legar tanpa arah tujuan sementara menunggu penerbangan seterusnya. “Adik, 5 minit lagi flight nak berlepas.” kata pengawal keselamatan di pintu masuk sewaktu aku memasuki balai berlepas. Allah, aku salah perkiraan masa. Maka, berderailah lagi sekali air mataku. Dengan linangan air mata, aku berlari sekuat hati mencari pintu / gate yang sepatutnya aku masuki. Dung! Dung! Dung! Bunyi tapak kasutku menghentak kuat lantai di balai berlepas. Aku sedar, ramai memandangku berlari sambil menangis. Ah, lantak. Aku tiba di pintu paling hujung. Nasib baik. Aku orang ketiga terakhir. Aku kawal pernafasanku agar tidak terlalu jelas aku kemengahan.
Aku sambung menangis lagi di dalam perut kapal terbang. Sejam begitu. Sekejap berhenti. Sekejap menangis. Sehingga aku pening sendiri.
Tiba di airport, cari luggage. Cari Makcik Ina. Jumpa. Sugul wajahnya. Menangis lagi aku. Kami berpelukan sekejap. Bersamanya aku tiba di rumah atuk. Wah, ramainya memenuhi pekarangan rumah. Begitu juga di dalam rumah. Aku kenal sebahagian wajah yang hadir. Mereka murid atukku. Atukku imam di kampung dan guru mengaji. Sekali sekala aku pernah lihat atukku menelaah kitab lama bertulisan jawi. Menulis nota. Untuk apa aku tidak tahu. Aku kira untuk dikongsi bersama jemaah surau kampung itu.
Aku tanpa segan silu terus menghampiri sisi atukku. Ya, aku memang anak dara sopan, cuma kurang sedikit perasaan malu. Lagipun, aku mengenali mereka yang hadir pada waktu itu.
Atukku terbaring di ruang tamu. Kata ibu, atuk terjatuh sewaktu mandi. Atuk sebenarnya baru sahaja terlibat kemalangan sebelumnya. Baru sahaja berasa sihat dan ingin mandi sendiri. Namun, terjatuh. Dan, akibatnya, pendarahan di dalam kepala. Nenek pula kebetulan keluar mencari sesuatu. Aku tidak tahu. Sudah menjadi kebiasaan keluargaku, merahsiakan sesuatu sehingga aku habis peperiksaan.
Aku melihat atukku. Atuk sudah tidak mampu untuk bercakap. Matanya juga tertutup rapat. Namun, air matanya mengalir membasahi pipi. Aku membisikkan di telinga atuk yang aku dah balik. Allah, luluh hatiku melihatnya begitu. Aku terbiasa dengan keadaan atuk yang sihat, yang kuat bekerja dan yang garang. Lirikan matanya sahaja cukup membantutkan niat nakal dalam hatiku sewaktu aku kecil dahulu.
Aku kembali berdiri, mencari nenekku dan yang lain.
Pada malamnya, keadaan atukku masih begitu. Usai solat, aku teringat suatu doa daripada suatu hadis, lalu aku menadah tangan dan berdoa dengan sesungguh hatiku bagi pihak atukku hanya kerana aku tidak sanggup melihatnya berkeadaan begitu.
“Ya Allah, hidupkanlah atukku jika kehidupan itu baik untuknya. Dan matikanlah atukku jika kematian itu baik baginya.”
Berjuraian air mataku tatkala itu, mengharapkan akan ada sinar harapan buat atukku sembuh.
Namun, sedang aku mandi selepas Subuh esoknya, aku terdengar gamatnya suasana di dalam rumah. Dan, nenekku datang kepadaku “Berhenti mandi. Atuk dah tak ada”.
Di kampung, mandi kami di perigi berlantaikan tanah, berbumbungkan langit. Boleh sahaja sesiapa keluar dan masuk. Hanya ada sedikit dinding buat pemisah. Andai mandinya di malam hari, aku melayan sahaja segala bunyian yang menemani di sekeliling sewaktu mandi.
Ternganga aku dengan berita daripada nenekku itu. Allah… Itukah yang lebih baik buat atukku?
Aku, kemudiannya, perlahan-lahan masuk ke dalam rumah. Berjalan di celahan manusia yang semakin ramai. Aku hanya ingin melihat sekujur jasad atukku. Aku sudah kehabisan air mata pagi itu.
Semua yang sedang makan juga disuruh berhenti. “Tak boleh mandi dan makan di dalam rumah orang m**i” kata mereka. Lalu, kami dibawa ke rumah jiran sebelah untuk makan dan lain-lain. Entah kenapa begitu. Aku belum memahami sebabnya.
Ah, panjang ceritaku.
Alhamdulillah, majlis pengebumian berjalan lancar. Begitu ramai yang hadir. Semuanya selesai sebelum waktu Asar tiba.
Ramai tamu yang hadir masih bersembang di ruang tamu. Setelah mayat dibawa pergi, barulah makanan minuman dapat dijamu kembali di dalam rumah buat tamu yang ada.
Aku termangu sendirian. Menyalahkan diri sendiri. Terasa bersalah memanjat doa sebegitu. Allah… Kerana doa akukah Engkau mempercepatkan perpisahan jasad dan rohnya? Allah. Ampunilah dosa atukku, terimalah taubatnya, dan tempatkanlah dia di kalangan orang-orang yang beriman kepadamu, ya Allah.
Tamu beransur pulang. Malam mula menjengah. Terasa seperti masa bergerak begitu perlahan.
Di kampung, menjadi kebiasaan kami tidur awal. Nenek melarang kami buka TV pula tu. Yang menjadi perbincangan kami malam itu, almaklumlah semua balik memenuhi rumah, siapa tidur dimana? Beralaskan apa? Bantal cukup? Sudahnya, semua setuju tidur di ruang tamu sahaja.
Satu tilam sahaja yang tidak menjadi rebutan pada malam itu. Tilam arwah atuk dibaringkan sepanjang dia nazak sehinggalah roh berpisah daripada jasad. Tilam itu, walau bagaimanapun, tilam kegemaranku setiap kali balik kampung. Sentiasa menjadi rebutan. Tidak pada malam itu. Tilam itu hanya dipandang sepi.
“Kakak nak tidur atas tilam kekabu tu” kataku.
Aku letakkan tilam itu di tengah rumah dan menghadap tingkap. Rumah atukku tiada syiling. Terus nampak alang dan atap genting. Aku baring. Lampu masih terbuka. Kipas berpusing perlahan. Aku hilang dalam khayalanku. Tidak menghiraukan mereka yang lain di sekeliling.
Aku pasti aku belum tidur. Tiba-tiba, aku ternampak sesuatu jauh di hujung kakiku. Mulanya kabur, semakin lama semakin jelas. Eh, atuk. Atuk berdiri sahaja di situ memandangku. Dan, aku juga memandangnya tidak berkelip. Dia memakai jubahnya yang berwarna putih. Berkopiah bulat putih. Dia tersenyum padaku. Wajahnya berseri-seri. Nampak sihat. Jaraknya denganku lebih kurang 10 kaki. Aku terus memerhatikannya buat beberapa detik sehinggalah…
“Eh, atuk kan dah tak ada” getus hatiku.
Hanya apabila aku tersedar hakikat itu, bayangan atukku bergerak perlahan-lahan naik ke atas semakin tinggi dan tinggi sehingga mencecah atap. Namun, dia terus sahaja senyum kepadaku. Seolah-olah dia ingin memberitahuku, “atuk tahu kakak datang, atuk pergi dulu, ya”. Ah, ingin sekali aku percayakan telahanku itu. Dan tiba-tiba, bayangan itu lenyap begitu sahaja.
Aku segera duduk. Terkejut mereka yang lain melihatku bingkas bangun dengan mengejut. Aku melihat sekelilingku. Aku cuba memahami apa yang terjadi. Tiada penjelasan.
Itulah secebis kenangan buat mengubati rinduku tatkala aku teringat akan atukku. Aku anggap, arwah atukku melawatku buat sekian kalinya. Walau aku tahu, itu mungkin tidak benar.
Sekian.
Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
Cerpen sedih lak dalam ni. Aduai
diam
Dubai. Berlinangan airmata
Same goes on me. Family stay in KL and aku study + kerja kat Melaka. Once dapat called from Ayah said ibu warded, terus balik KL n stay hospital. Teman dia semalaman. Next day, balik rumah lepastu datang balik petang. Sempat gurau, kacau, borak and tolong dia makan ubat. I asked her untuk mandi tapi tak jumpa barang mandi. Last last, ibu minta lapkan badan dia guna towel. Aku capai towel sebelah kepala ibu je, ibu terus sesak nafas and tak sedar sampai pukul 11 lebih doc sah she’s not here anymore. I am the last person she talked too. Maybe Allah gerakkan aku untuk terus balik supaya at least 2d 1n dengan dia.
Kan…perasaan tu sangat menyakitkan…