Salam Perkenalan Penghuni Lama Asrama Puteri

Nama aku Kak Bell. Dah lama aku jadi silence reader tapi kali ni nak share cerita seram yang pernah berlaku kat aku suatu masa dulu masa aku kat sebuah asrama di utara tanah air.

Masa tu aku form 4 (sekolah aku hanya ada pelajar form 4,5 dan pelajar lanjutan). Ada beberapa kejadian yang berlaku sepanjang aku kat sana tapi aku simpan dulu dan cerita beberapa kes dulu yang paling awal aku kena bila baru menjejak kaki kat sekolah tu ok. Kalau ada yang sudi nak baca selanjutnya, baru aku sambung yang lain-lain.
Sebelum tu aku cerita sikit perihal asrama tu.

Ada dua tingkat tapi hanya lima dorm yang berpenghuni, lagi tiga dorm (tingkat dua) dikosongkan. Satu tingkat ada empat dorm jadi pada tingkat dua, hanya satu dorm yang berpenghuni tu pun tak ramai pelajar berbanding empat dorm di tingkat satu. Dorm kat tingkat dua ni pun agak suram pencahayaannya(tak tahu lah kalau orang lain rasa macam mana tapi aku rasa memang suram dan seram sikit beb) berbanding dorm yang lain di tingkat satu.

Dorm lagi tiga yang kosong tu senior pesan jangan main-main kat sana tapi aku pernah jugak cuba masuk tapi waktu siang lah. Aku masuk dengan member aku sorang ni yang nak buat seisi luahan masalah kat aku. Tempat lain kan ada orang so dorm atas tu memang confirm tak ada orang. Kami juga saja nak tengok apa yang ada dalam dorm tu siap bergambar kat tepi tingkap (gambar ni ada dalam simpanan aku sampai sekarang). Alhamdulillah tak lah kena kacau malamnya tu. Kiranya aku ni nak kata berani sangat bukan,nak mengaku penakut sangat pun tak. Cuma time remaja kan,semua nak cuba.

Sebelum ni asrama yang besar tu hanya dihuni sebahagian kecil pelajar perempuan (dalam 10+-) memandangkan sekolah aku tu majoriti pelajar adalah lelaki disebabkan kursus yang ditawarkan menjurus ke bidang yang dipelopori kaum adam.

Kisah pertama

Dorm aku bawahnya surau untuk kegunaan blok kami. Sebelah dorm kami adalah dewan makan cumanya blok kami paling hujung dan terasing dari lima blok lain yang dihuni para pelajar lelaki. Untuk ke blok kami perlu turun beberapa anak tangga dan sebelahnya adalah hutan.

Malam pertama aku kat situ bila kami semua bersiap nak tidur memandangkan esok ada orientasi, tiba-tiba aku terdengar bunyi seakan orang tengah buka paip dengan laju. Macam nak basuh kaki amik wudhuk. Aku pun cakaplah kat member aku siapa pulak buka paip kat bawah time sekarang ni.

Dalam fikiran aku siapa yang nak solat lewat macam ni kat surau sedangkan level bawah dah tutup lampu dan tak ada orang dah. Memandangkan masa tu dalam pukul 11mlm aku tak rasa pelik atau seram. Tiba-tiba member aku cakap jangan tegur dan diam ja. Aku macam tak puas hati cuma aku biarkan dan terus tidur.

Esoknya aku dah lupa terus pasal tu dan hanya beberapa hari selepas tu aku tanya member aku tu balik pasal kes malam tu. Rupanya malam tu aku sorang yang dengar dan dia tak dengar pun bunyi tu. Hampeh betul, aku ingatkan dia takut rupanya dia just tak nak aku tegur sebarang.

Dan untuk pengetahuan semua, kat surau tu sebenarnya tak ada paip pun. Siapa nak solat kena ambil wudhuk kat bilik air di level dorm kami atau kat bilik basuh yang berada di level bawah sebelah kanan bangunan asrama. Maksudnya bunyi air malam tu macam salam perkenalan la dari ‘penghuni lama’ kat situ.
Lupa nak bagitahu yang bangunan asrama kami tu dah lama tak berpenghuni sampailah setahun sebelum kami bila sekolah aku tu buka pengambilan pelajar perempuan untuk course kat sekolah tu.

Kisah kedua

Selepas seminggu lebih kat asrama tu salam kedua dari ‘penghuni lama’ aku terima. Untuk pengetahuan semua, katil aku adalah yang pertama, bahagian bawah (katil double decker) betul bertentang pintu dorm dan selepas lampu dorm ditutup, masih ada cahaya lampu luar bilik (yang memang wajib dibiarkan menyala) menerangi bahagian depan dorm.

Tengah sedap tidur aku rasakan ada bunyi orang berjalan memakai terompah mengelilingi katil aku. Mulanya aku ingat aku bermimpi tapi sebab bunyi tu agak kuat aku betul-betul tersedar dan boleh mendengar bunyi terompah tu masih mengelilingi katil aku. Kebetulan masa tu aku mengiring ke kiri jadi aku cuba sembunyi-sembunyi buka mata nak tengok apa yang menganggu tapi memang tak ada sebarang kelibat cuma bunyi tu masih ada. Aku boleh nampak sekeliling sebab cahaya lampu luar dorm tu memang mencerahkan kawasan katil aku. Bunyi tu agak kuat seolah memang sangat dekat dengan aku tapi bunyi terompah tu seolah berjalan di bawah lantai.

Aku ulang ya, di bawah lantai maksudnya di atas siling surau. Siling surau ni simen batu ye so dapat bayang tak bunyi tu kuat macamana sampai aku boleh tersedar dari tidur. Nasib baik ‘benda’ tu tak bercakap kalau tak aku tak tahu apa akan jadi. Jantung berdegup laju betul masa tu macam nak terkeluar dan aku tak putus baca ayat kursi (baca dalam hati weh takut kalau aku baca kuat-kuat kantoi benda tu tau aku sedar…hehehe). Aku baca sampai aku terlelap dan bila tersedar tengok pelajar lain baru sedar untuk solat subuh. Syukur sangat time ‘benda’ tu mengacau, aku tak rasa nak terkucil. Kalau tak, mampus aku nak bangun ke tandas di luar dorm sorang-sorang.

Kisah Ketiga

Perkenalan seterusnya pulak berlaku semasa minggu ujian dan semua pelajar sibuk nak study last minute. So kebetulan time tu aku ajak bff aku dari dorm sebelah datang study kat bilik aku. Waktu nak tidur, kebiasaannya aku akan pasang kelambu dan kami tidur berkongsi katil dan bantal pada malam tu. Time ni kedudukan katil aku dah berubah yelah aku pun dah form 5, aku pindah ke katil agak ke tengah dorm tapi masih katil bawah. Kali ni katil aku tak kena cahaya lampu luar tapi tak lah fully gelap sebab lampu luar menyala kan. Time tu budak asrama geng perempuan benda biasa simpan yassin bawah bantal sebelum tidur.

Malam tu elok aku nak tidur, aku rasa macam tangan menyeluk ke bawah bantal. Agak lama macam mencari sesuatu tapi aku tak kisah sebab aku pikirkan bff aku mungkin tengah simpan jam atau yassin kat bawah bantal. Lagipun aku masih dapat mendengar ada kawan-kawan lain berjalan di dalam dorm dan bersiap untuk tidur (mata dah tutup rapat sebab mengantuk sangat).

Esoknya semasa nak mengemas katil, aku dapati kelambu di bahagian hujung kepala kami seolah dibuka dari luar muat-muat tangan. Masih tak fikir bukan-bukan tapi tak tergerak nak bertanya pada bff aku perihal malam tu sampailah selepas seminggu kejadian. Aku tergerak hati nak bertanya apa yang dia cari di bawah bantal malam tu. Alangkah terkejutnya aku bila bff aku ingat aku nak bermain-main menakutkan dia dengan memasukkan tangan di bawah bantal tapi disebabkan dia terlalu mengantuk, dia tak bersuara dan membiarkan saja. Jadi kami tak tahu siapa yang memasukkan tangan di bawah bantal dan apa yang dicari. Yang pasti hanya yassin aku selitkan di bawah bantal aku setiap malam.

Kisah Keempat

Ni cerita paling pendek dan terakhir untuk kali ini. Alkisahnya sebelum ni beberapa pelajar perempuan pernah bercerita yang katil mereka digoncang oleh ‘benda’ tu semasa tidur. Aku hanya mendengar cerita rakan-rakan yang diganggu tapi tak kusangka malam tu rupanya giliran aku.

Kebetulan rakan katil atas aku tidurnya selalu terkejut. Bayangkan setiap malam dia akan tersentak beberapa kali semasa tidur seolah orang bermimpi jatuh banggunan tinggi. Jadi katil kami akan bergegar setiap kali dia tersentak. Jadi malam tu aku rasakan katil bergoyang tapi peliknya kali ni agak lama.

Setelah aku agak pasti itu bukan angkara rakanku terus aku mulakan bacaan ayat kursi. Kebetulan malam tu aku tak merasa takut jadi aku yakin bacaan aku tak berterabur tajwidnya. Nasib baik setelah aku habis ayat terakhir, goyangan pun berhenti. Lega rasanya tak berpanjangan. Mungkin ‘dia’ sekadar bergurau manja malam itu.

Ok cukup untuk kali ni. MungkinĀ  yang pernah tinggal di asrama pernah mengalami kejadian seperti aku so bolehlah cerita jugak pengalaman korang kan. Feel kena kacau sorang-sorang tu, nak panggil member kat sebelah pun tak terdaya walaupun katil jarak semeter ja dengan member sebelah. Member atas toksah cakap la, rasa jauh walau dekat atas korang ja. Ada lagi cerita seram yang jadi selama dua tahun aku kat asrama tu. Lain masa aku story ok. InsyaAllah.

Hantar kisah anda ; fiksyenshasha.com/submit

Kak Bell

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 14 Average: 3.8]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.