SERAM DI PEJABAT
Karya : DeeFen DF
Kisah ini berkisar dengan bangunan pejabat tempat aku bekerja. Bangunan ini siap masuk dalam ‘list of haunted hotels in Malaysia’. Walaupun begitu aku bukanlah bekerja di bidang perhotelan. Bangunan pejabat aku ni separuh hotel, separuh pejabat.
Kiranya ‘main entrance’ di tingkat bawah ada dua. Kiri ‘entrance’ untuk pejabat, kanan pula ‘entrance’ untuk hotel. Bangunan ni berketinggian hampir 30 tingkat. Bos aku telah membeli sebahagian unit daripada salah satu tingkat di bangunan ni. Di tingkat pejabat aku, ada lagi sebuah company lain yang turut sama menyewa.
Aku tak begitu ingat dengan spesifik bila kejadian ini berlaku. Tapi yang pastinya selepas raya haji 2016. Sebab masa kejadian angker ni terjadi, aku pakai seluar jeans raya haji. Ada bau kedai lagi. Siap ada bekas minyak rendang menitik di seluar tak sempat basuh. Orang laki memang jarang basuh seluar jeans.
Hari kejadian merupakan hari Jumaat. Kalau hari Jumaat, masa bekerja sampai pukul 5 petang saja. Tak ramai yang buat OT sebab esoknya hari Sabtu, pejabat tutup. Aku yang masih bersemangat dengan kerja baru ni, rajin la buat OT.
Lagipun kerja yang nak kena siapkan memang sangat ‘urgent’ dan nak kena ‘submit’ Isnin pagi. Kebetulan pula di luar hujan renyai-renyai. Asal hujan ja memang jalan jem ya ampun. Aku memang malas nak hadap jem, maka aku ambil keputusan untuk balik lewat sedikit.
Jam dah menunjukkan pukul 6:30 petang. Semua staf dah balik. Cuma tinggal aku dengan seorang lagi budak laki Cina. Jarak aku dengan dia selang dua baris meja pejabat. Susunan meja dalam pejabat aku ni satu ‘cubicle’ untuk dua orang. ‘Partition’ rendah saja. Kalau duduk, boleh nampak semua orang di tempat masing-masing. Tapi nampak kepala hingga paras mata saja sebab terlindung dengan monitor komputer.
Dari meja aku kedengaran staf Cina itu sedang tekan-tekan butang ‘mouse’ dan ‘keyboard’. Sekali-sekala dia bangun ke arah mesin fotostat. Nampak kelam-kabut dia buat kerja sambil jeling-jeling senyum kepada aku.
Aku : Wei Vince, you bila mau balik?
Vince : Sekejap saja lagi. Haiya kerja banyak sekarang. Malam jam lapan tiga puluh mau dating dengan amoi lagi.
Aku: Belum kawen meh? I ingat you sudah kawen.
Vince : Belum maa. Memang umur sudah tua. Tapi belum kawin lagi. Sekarang kawin mahal you tau haa. Lagi rumah semua kena beli lagi. Barang lagi mahal. Mau simpan wang pun susah. Itu sebab wa kawin lambat looo..hehehe.
Aku senyum saja mendengar leteran mamat Cina ni. Ada betulnya apa yang dia bebelkan. Aku yang lenguh leher asyik mengadap monitor daripada tadi, bersandar ja di kerusi sambil perhati Vince berdiri di tempat dia sambil kemas-kemas barang dia.
Bunyi zip beg tanda dia tengah simpan barang-barang dia nak balik. Sekali-sekala bunyi mesej masuk di smartphone Iphone Enam S miliknya. Mesti mesej daripada amoi dia.
Vince : You bila mau balik? Sudah lewat. Lagi you duduk sorang saja. Tarak takut meh? I sudah ready mau balik.
Aku : Sekejap lagi la I balik. Mau setel sikit lagi kerja. Jalan pun jem kalau hujan macam ni.
Vince : Ok. I balik dulu.You jangan lupa kunci pejabat. Kunci you tau kan ada di dalam itu laci reception counter.
Aku : Ok I kunci nanti. Bye!
Aku perhatikan Vince melangkah longlai menuju ke pintu pejabat. Bunyi ‘beep’ daripada ‘touch-card’. Dia mengangdi tangan kepada aku sambil membuat gaya memulas kunci. Sebagai tanda dia peringat aku supaya jangan lupa untuk mengunci pintu bila aku balik nanti.
Aku mengangdi ‘thumbs-up’ dan membuat gaya tangan menghalau sambil tersengih kepada Vince.
Aku mengambil ‘smartphone’ aku. Dibuka kamera hadapan. Aku membelek dan membetulkan rambut. Kamera dihalakan ke arah mulut. Aku menyeringai membelek gigi. Manatahu ada makanan tengahari tadi yang terselit celah gigi.
“Lahanuttt! Ada cili! Aku dah kumur kot tengahari tadi. Degil betul cili ni.”
Pasaran saham aku ditutup bercampur-campur gara-gara sekelumit cili. Dah pucat membasi cili di celahan gigi. Aku mencungkil cili tersebut dengan hujung plastik gula-gula Daim yang siap dilipat.
‘Smartphone’ aku diletakkan kembali ke meja. Dah menjadi tabiat aku kalau letak ‘smartphone’ mesti didirikan dan disandarkan pada monitor komputer. Senang nak tengok lampu ‘notification’ menyala tanda ada mesej yang masuk.
Aku kembali menyambung kerja.
Tiba-tiba skrin ‘smartphone’ aku menyala. Aku menjeling. ‘Lock skrin’ dibuka, kemudian tertera paparan skrin utama ‘smartphone’. Seterusnya, ‘front camera’ terbuka. Tertera sebahagian wajah dan badan aku serta sebahagian tingkap di belakang aku.
Aku langsung tak sentuh ‘smartphone’ tu. Macamana dia boleh terbuka semua sendiri???
Aku tekan butang untuk padamkan skrin. Aku sambung buat kerja. Tak sampai seminit, perkara yang sama terjadi semula. Aku tak fikir apa-apa cuma berdia dalam hati, “haii bengong dah phone aku ni. Dah cukup duit aku beli baru jugak nanti.”
Aku padamkan kembali skrin. Sebelum tu aku tutup semua ‘application’ yang tengah ‘running’.
Aku kembali menyambung kerja. Lebih kurang 15minit selepas itu kedengaran angin bertiup masuk melalui celahan tingkap. Bunyi angin yang masuk tu menghasilkan bunyi seperti siulan yang ditiup perlahan.
Tingkap pejabat aku ni memang besar, hampir penuh dinding. Memang normal kalau jenis bangunan yang tinggi-tinggi tingkap penuh dinding. Di bahagian bawah ada satu tingkap kecil dengan saiz lebih kurang satu kaki kali satu kaki setengah yang boleh dibuka. Bunyi siulan angin itu berpunca daripada celahan tingkap ini. Mungkin sebab ada sebahagian bingkai getah yang sudah keras.
Aku menoleh ke arah belakang untuk perhati di luar. Hujan lebat di luar beserta angin kencang. Nampak pokok-pokok di bawah bergoyang sakan seperti menari ‘shuffle’. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Serentak. Suasana di luar memang sangat gelap walaupun belum masuk waktu maghrib akibat cuaca hujan.
Disebabkan cuaca gelap di luar, dan cerah di dalam pejabat, tingkap ni jadi macam cermin yang mana kita dapat melihat ‘reflection’ suasana di dalam pejabat. Dan ‘reflection’ ni sangat clear, mungkin disebabkan jenis tinted cermin yang digunakan.
Sambil tengok ke luar, sesekali aku perhati juga ‘reflection’ ruang dalam pejabat aku.
Tiba-tiba rasa macam seram sikit pun ada sebab suasana pejabat yang kosong. Tapi aku buat bodoh ja. Otak hanya fikirkan kerja yang belum siap, jadi malas aku nak layan perasaan seram yang mendatang.
Tengah sedang leka tengok pokok bergoyang, aku terperasan ada macam susuk tubuh berpakaian semua putih di rumah agam kolonial zaman British di bawah. Rumah kolonial ini terletak di seberang jalan bertentangan dengan pejabat aku.
Susuk tubuh itu hanya berdiri saja di balkoni tanpa bergerak. Suasana yang malap di rumah itu membuatkan aku tak dapat melihat dengan jelas. Lagipun jarak antara aku dengan rumah itu memang agak jauh sebab aku dok tinggi di tingkat atas.
Aku agak jarak dalam 80 hingga 100 meter. Aku perhati lebih kurang 20 saat. Nak tengok susuk tu bergerak ke tak. Bila dah lama sangat tak bergerak, aku agak tu mungkin kain saja yang tersangkut. Bila dah suasana malap membuatkan ilusi macam susuk tubuh manusia. Ini sekadar nak sedapkan hati aku.
Tak berani aku nak perhati lama-lama benda tu. Sebab otak aku pun dah mula fikir yang bukan-bukan. Nak hilangkan takut, aku pun berpaling kembali ke monitor menyambung kerja sambil melepaskan nafas yang panjang. Bunyi siulan angin makin menggila di belakang aku.
Tengah aku leka membuat kerja, kamera ‘smartphone’ aku terbuka lagi. Omakkauijau terkejut aku. Bulu roma serta-merta merinding.
Aku tengok di skrin ‘smartphone’. Nampak muka aku. Dan di sisi badan aku, di tingkap belakang sebelah luar, nampak macam ada kain putih. Terbuntang mata aku. Gila! Macamana tak terkejut kalau ada kain putih sedang berkibar-kibar di tingkap belakang aku.
Dengan tindakan spuntan, aku terus menoleh ke belakang. Kosong. Tak ada apa-apa. Aku toleh kembali ke arah ‘smartphone’. Skrin dah padam. Pandai pula padam skrin sendiri.
Aku pun toleh lagi sekali ke belakang…………
Ok ‘confirm’ tak ada apa-apa juga.
“Shit btol la! Terkejut sampat nak terkencing ni!” Bebel aku.
Mungkin imaginasi aku saja tadi. Sekadar nak sedapkan hati sendiri. Aku dah mula rasa tak senang duduk. Rasa kembang semacam saja muka aku. Dalam hati memang rasa nak tutup komputer terus balik ja.
Tapi bila terpikirkan kerja ada lagi nak kena selesaikan, aku gagahkan diri untuk teruskan bekerja. Aku mula membaca ayat-ayat suci untuk menghilangkan rasa takut.
“Aduhhh time ni la rasa nak terkucil pulak!”
Rasa menyesal minum banyak kopi awal petang tadi. Aku pun memberanikan diri untuk bangun menuju ke tandas. Tandas ini terletak di tengah-tengah koridor di luar pejabat. Kiranya tandas ini dikongsi oleh semua lot pejabat di tingkat ini. Pejabat aku terletak di hujung koridor, manakala pejabat jiran di hujung berdekatan dengan lif dan tangga kecemasan.
Aku berdiri di pintu pejabat, tengok pejabat jiran dah gelap, itu tandanya aku seorang saja yang ada di tingkat ni.
“Huiiii buatnya tiba-tiba ada menda berdiri di hujung koridor sana tu, mana aku nak lari wehhh. Dah la lif dengan tangga di hujung sana.” Aku dah mula fikir benda-benda mengarut untuk menambahkan keseraman diri sendiri.
Aku berjalan laju-laju masuk ke dalam tandas dengan hajat nak menghilangkan ‘kucilan’ aku. Sepanjang ‘pengucilan’ aku, mata meliar perhati di atas ‘partition’ tandas. Gatal betul mata nak tengok.
“Jangan ada yang sergah aku pulak kat atas tu. Kencing bersepah lak nanti… huhu. Kesian makcik cleaner nak kena cuci.”
Aku meneran ‘kucilan’ aku agar proses pengosongan pundi cepat selesai. Bunyi bising hasil semburan ‘kucilan’ aku rasa tingkat bawah pun boleh dengar.
Tengah meneran dan memaksa ‘pengucilan’ agar lebih pantas dan tuntas, aku terdengar dari koridor luar bunyi orang berjalan laju dari arah lif ke arah tandas. Yang membuatkan aku dengar jelas tu sebab bunyi itu macam orang berjalan pakai selipar jepun basah.
“Kelepap shreettttt kelepap shreetttt kelepap shreetttt kelepap shreetttt…”
Bunyi orang berjalan berhenti sekejap di koridor depan tandas. Kemudian sambung berjalan ke arah pejabat aku. Sepanjang perjalanan “orang misteri berselipar basah” itu, aku hanya diam dan memasang telinga.
Bila dah selesai ‘mengucilkan’ diri, aku cepat-cepat basuh tangan di sinki tanpa angkat kepala tengok ke cermin. Risau ada yang melambai di cermin pula.
Aku berjalan perlahan-lahan ke arah pejabat. Aku tengok lantai tak ada tanda-tanda basah langsung. Pelik. Dah macam-macam aku zikir, siap bagi salam nak masuk pejabat.
Dari pintu pejabat, aku tengok sekeliling ruang dalam pejabat. Namun aku tak nampak sesiapa pun. Aku dah tak tahu nak sedapkan hati aku apa lagi sebab aku memang dengar dengan jelas bunyi orang berjalan tadi.
Hati aku dah berbelah bahagi dan berbagi hati sama ada nak sambung kerja atau balik rumah saja. Lalu dengan penuh keazaman yang membara, aku kuatkan juga tekad nak sambung kerja. Apa-apa pun halangan yang mendatang akan ku harungi jua.
Sebaik sahaja aku duduk di atas kerusi, aku terperasan ada seseorang duduk di tempat Vince. Gaya rambut memang serupa dengan Vince. Ajaib. Tadi masa nak masuk, aku tengok tak ada siapa pun di dalam pejabat.
Aku memanjangkan leher nak tengok Vince lebih jelas. Ok sah yang itu adalah Vince.
Vince bangun menuju ke arah mesin fotostat. Dia langsung tak menjeling ke arah aku. Berjalan pun menunduk. Lama aku perhatikan dia. Sebab gaya dia macam pelik sedikit. Entah kenapa ringan saja mulut aku nak tegur dia.
“Aiii Vince, tadi you sudah balik. Apa pasal datang balik? Ada tinggal barang?”
“Hmmmm…” Pendek saja Vince menjawab tanpa diangkat langsung mukanya.
“Wahh dingin betul dia terhadap aku. Sedingin udara yang menghembus keluar daripada air-cond di kala senja yang kehujanan begini. Amboi! Ini sudah macam makin misterius ni. Selalunya mamat cina ni murah senyuman dengan mulut boleh tahan ramah. Mungkin gaduh dengan amoi dia la tu kot. Mesti gaduh pasal takdak decision nak makan di mana. Pasal makan pun nak gaduh-gaduh. Lumrah dalam bercinta cenggitu la.” Panjang aku membebel di dalam hati.
Vince kemudian berdiri sambil mengemas barang miliknya. Bunyi zip beg mungkin tanda dia dah nak balik. Aku ‘skodeng’ saja dia dari sebalik monitor komputer. Gaya perlakuan dia sama serupa dengan apa yang Vince buat pukul 6 lebih sebelum dia balik awal tadi. Ulang alik ke mesin fotostat, gaya kemas barang, gerak geri badan, semua serupa. Dah macam dejavu aku rasakan.
Vince tiba-tiba mengangkat sedikit mukanya menjeling kepada aku. Mungkin dia terperasan yang aku tengah perhati dia.
Mata hitam dia nampak lebih besar, muka pun nampak sangat pucat dan seperti tiada perasaan. Aku dah terkaku sambil berlawan pandangan mata dengan dia. Lebih kurang empat lima saat baru aku macam tersedar dan menundukkan kepala. Seram.
Dari ekor mata, aku dapat lihat Vince berjalan ke arah pintu pejabat. Mungkin dah nak keluar. Aku makin menundukkan kepala sebab tak mahu tengok langsung kelibat Vince. Aku menunggu bunyi ‘beep’ daripada ‘touch-card’ Vince.
“Ketak!”
Bunyi pintu kaca pejabat tertutup akibat ditarik magnet pintu. Ini pelik sebab langsung tak kedengaran bunyi ‘beep’. “Macam mana Vince boleh keluar kalau dia tak ‘scan touch-card’?”
“Oh my god! Oh my goodness!” Hati aku dah menjerit mengatakan yang dia tu 99% bukan manusia. Lagi 1% ja akal aku berfikir yang dia tu adalah Vince yang sebenar.
Jantung aku dah ‘dupdapdupdap’. Rasa kembang seluruh badan. Kepala pun dah rasa kembang macam nak melayang. Serabut kepala hotak aku dok pikir nak kena buat apa sekarang. Kalau aku balik, alamatnya kerja tak siap dan esok aku nak kena datang pejabat semula.
“Esok Sabtu woi hari cuti. Hari untuk bercanda! Tapi kalau sambung kerja, taktau Vince versi apa pulak yang teman aku. Mungkin Vince versi zombie. Mungkin juga Vince versi juara Akademi Fantasia 1 datang menyanyi… mengapa harus cinta, perlu ada yang berpisah wu ho ho, tak ku mungkin mengerti, mengapa harus kasih, pastikan jua berakhir sayang, tak sanggup ku menanggung rindu ini. Agghhhh!”
Tak sempat aku nak membuat keputusan, tiba-tiba telefon pejabat depan aku ni berdering. Spontan aku mengangkat sebab dah jadi tabiat masa kerja, asal sahaja telefon berdering terus diangkat.
Belum sempat gagang diletak di telinga, aku terpikir, “Ehhhh macam mana boleh bunyi pulak telefon aku ni. Kalau orang luar telefon akan masuk di ‘line receptionist’ dulu. Lainlah kalau ‘internal call’, iaitu dalam pejabat punya interkom, baru boleh ‘direct’ ke telefon aku.
“Ok…sekarang sapa lagi yang ada dalam pejabat yang call aku ni? Perghhhh! Memang scary merry sebab dah memang confirm-confirm la aku sorang ja dalam pejabat.”
Aku dekatkan gagang ke telinga. Bunyi selipar basah ‘kelepap shrreettt kelepap shrrettt’ jelas nyata daripada ‘speaker’ telefon.
Aku terus letak perlahan-lahan gagang telefon. Sebaik aku letak saja, terus telefon berdering lagi. Aku angkat kemudian hempas balik gagang tu.
Berdering lagi!! Aku terus mencabut wayar telefon. Aku tunggu, kalau berdering lagi juga memang confirm aku cabut lari balik terus ja.
Kring kring! Kring kring!
Berdering lagi! Tapi kali ni telefon rakan sekerja sebelah aku pula yang berdering.
“Shit!”
Aku menggelongsorkan sedikit kerusi aku ke sisi dan serta-merta aku cabut wayar telefon dia pula.
Kemudian telefon di depan aku pula yang berdering. Spontan aku berdiri. Bunyi berdering disusuli dengan telefon di penjuru pejabat sebelah depan pintu pula. Kemudian bunyi telefon di sebelah mesin fotostat. Seterusnya bertalu-talu setiap telefon di dalam pejabat ini berbunyi. Bayangkan ada hampir 50 buah telefon berbunyi serentak. Bunyi yang sangat-sangat bingit.
Aku terkaku berdiri. Dengan tangan yang menggeletar, aku menekup telinga. Tak pasti berapa lama aku menekup telinga. Aku tundukkan muka aku ke meja. Aku terpandang nota yang bos aku tulis yang berbunyi, “Please submit to client by this Monday morning”.
Serta-merta hati aku mula rasa menggelegak nak marah. Macam mana aku tak marah, keja tak siap, mambang telefon tengah buat hal pula.
Makin lama, bunyi deringan telefon ini makin menjengkelkan aku. Aku terbayang kalau aku lari balik sekarang, esok aku kena datang pejabat lagi. Pejabat bukannya dekat. Jauh. Rasa marah dah melebihi dari rasa takut.
Aku pejamkan mata sambil berkata, “diamlah! Jangan kacau aku nak buat kerja!”
Aku cakap tak kuat sangat. Aku pun seriau nak cakap kuat-kuat. Buatnya mambang tu sentap mengamuk, demam seminggu pula aku. Serta-merta bunyi telefon berhenti.
Terus suasana jadi sunyi-sepi. Bunyi angin ‘air-cond’ saja yang kedengaran. Sekali-sekala bunyi siulan angin daripada tingkap. Perlahan-lahan aku membuka mata. Aku risau mambang berdiri di depan aku. Mesti aku pengsan.
‘Para bailar la bamba! Para bailar la bamba! Por ti sere! Por ti sere! Por ti sere!’
Tiba-tiba lagu terpasang di ‘speaker’ pejabat. ‘Speaker’ ini terletak di siling. Bunyi lagu memang sangat kuat. Kiranya ‘volume’ maksimum ‘ditibainya’. Berdentam-dentum dah macam pub tepi pantai.
Terduduk aku di kerusi sebab terkejut. Jadah apanya lagu La Bamba bahasa Mexico ni. Makin tertekan otak aku.
Apa yang aku buat? Aku cuba buat bodo dengan mengadap monitor dan meneruskan kerja. Aku buat tak layan. Dalam hati dok sumpah seranah, carut-marut serta keji-kejian. Sampai habis satu lagu La Bamba mambang dok sakat aku. Aku pun tak tau parti apa yang mambang tu dok buat dalam pejabat aku. Parti buih kot. Gila!
Aku tunggu lagu apakah seterusnya yang akan dipasang. Mungkinkah lagu Livin’ La Vida Loca?
Tapi aku hampa. Sebab satu lagu La Bamba tadi itu saja yang dipasang. Aku baru saja rasa macam nak berjoget sekali tadi.
Mambang ini aku rasa agak ‘educated’ sebab kalau nak pasang lagu di ‘speaker’ pejabat, kena pasang di komputer yang terdapat di dalam ‘server room’. Pandai mambang tu buka Winamp.
Lagi satu, aku pun tak pasti dia cari mana lagu La Bamba tu. Macam tak logik ada lagu La Bamba dalam ‘playlist’ komputer. Aku tak rasa budak-budak pejabat aku dok layan lagu-lagu macam tu. Banyak lagu ballad bahasa Cina dengan English saja.
Seterusnya ebih kurang 30 minit aku dapat sambung kerja tanpa gangguan. Aku tengok jam, waktu maghrib pun dah masuk. Aku agak-agak lebih kurang dalam 30 minit lagi kerja aku boleh siap.
Agak berdesup aku buat kerja. Ngeri aku nak duduk lama-lama lagi dalam pejabat. Tak aku nafikan yang sesekali bulu roma aku akan merinding. Aku pun agak keliru sama ada meremang disebabkan kesejukan atau meremang sebab ada mambang. Tapi aku cuba buat ‘cool’. Aku memang nekad nak siapkan semua kerja hari ini juga.
Tak semena-mena aku terdengar bunyi seperti orang berlari di koridor luar pejabat. Bunyi orang berlari dengan berselipar basah. Dari hujung arah lif menuju ke arah pejabat aku. Berkali-kali ulang-alik.
Aku cuba tak mahu tengok. Tapi disebabkan tempat duduk aku ni membolehkan aku nampak ke arah pintu pejabat, daripada ekor mata kelihatan ada kelibat melintas laju di luar berkali-kali.
Aku dah mula baca ayat-ayat suci. Kerja aku dah terganggu, tak boleh nak fokus. Tak dapat aku bayangkan macam mana aku nak balik nanti dengan terpaksa lalu di koridor. Aku dah sangat tak keruan dan keresahan. Tak mungkin aku nak tidur di pejabat. Tengah malam nanti apa pula mambang tu nak sakat aku. Aku terfikir nak ‘call’ rakan sepejabat nama Shaiful, nak suruh dia datang jemput aku.
Baru saja aku buka ‘phonebook’ nak cari nombor Shaiful…
BAMMMM!
Pintu pejabat berdentum. Macam ada orang mengetuk pintu kaca pejabat dengan benda keras. Aku tersentak, rasa nak luruh jantung.
BAM! BAM! BAM! BAM!
Kemudian bunyi lagi pintu diketuk banyak kali tanpa nampak sebarang benda yang mengetuk. Hanya bunyi yang kedengaran. Bunyi ketukan hanya berhenti bila aku mula membaca ayat kursi.
Terketar-ketar aku mencari nama Shaiful dalam ‘phonebook’. Aku menaip nama Shaiful, tapi skrin memaparkan ‘No matching contacts found’.
Aku mencari secara manual, ‘scroll’ sehingga nama huruf S. Tapi tetap tak jumpa nama Shaiful. Berulang kali aku ‘scroll’ turun naik, tetap tak jumpa. Hilang! Tak mungkin nombor telefon Shaiful hilang dalam ‘phonebook’ aku sebab baru pagi tadi aku ada ‘call’ dia suruh tapau karipap untuk ‘breakfast’.
Aku beralih kepada senarai nombor telefon staf yang dicetak dan dilekatkan di ‘partition cubicle’ aku. Aku rentap sehingga terkoyak di bucu pada bahagian yang dilekatkan dengan ‘thumb tacks’. Masa ni jelas kelihatan tangan aku terketar-ketar memegang kertas.
Tiba-tiba kesemua lampu pejabat berkelip-kelip. Berkelip macam letrik tak cukup. Sekejap cerah normal, sekejap malap sikit.
Tengah aku mendongak perhati lampu tengah berkelip, aku terperasan seperti ada sesuatu lalu di luar pintu pejabat. Aku alihkan pandangan aku ke arah pintu pejabat. Benda itu lalu lagi sekali. Sah! Ada mambang yang melintas! Dari arah kiri ke kanan. Mata aku dah terpaku memandang.
Tak sampai 1 saat, mambang tu lalu lagi. Berulang-ulang mambang itu lalu dari arah yang sama iaitu dari arah kiri pintu ke kanan pintu. Apabila sampai ke kanan, mambang tu muncul semula melintas dari arah kiri.
Lepas lebih kurang 5 kali mambang tu melintas, kali ke-6 dia melintas sambil memandang ke arah aku. Kecut segala jenis organ di dalam badan aku.
Rupanya mambang itu menyerupai bos aku. Dengan bermuka pucat, mata hitam kelihatan lebih besar dan melirik tajam, serta sedikit senyuman. Berbaju dan berseluar semua hitam. Kaki langsung tak melangkah. Melayang saja di atas lantai.
Setelah mungkin sepuluh kali membuat ‘catwalk’ melintas di depan pintu. Tiba-tiba ‘bos’ berhenti di depan pintu dan kali ni dia tunduk saja ke bawah.
Aku yang terbata awal tadi memandang mambang itu membuat ‘catwalk’, kini dah tersentak sebab dia berhenti di depan pintu. Perlahan-lahan dia berpusing menghadap pintu. Allahu! Aku tak dapat gambarkan betapa menggelabahnya aku masa itu.
Kedua-dua tangan aku dah macam Parkinson tahap kronik. Nak pegang ‘smartphone’ pun dah tak bermaya, rasa macam nak terlucut sampai terpaksa pegang dengan kedua-dua tapak tangan.
Aku cuba membaca ayat suci tapi dalam keadaan menggelabah macam ni, semua ayat pun lupa. Aku terus memfokuskan fikiran. Aku lebih berhati-hati agar tak terbaca doa-doa yang tak kena pada tempatnya yang mengundang hilai tawa mambang.
Lepas beberapa ketika dan dapat mula dapat berfikir dengan sedikit waras, aku mula membaca ayatul kursi. Itu pun aku rasa ayat berterabur dan terpaksa mengulang berkali-kali sebab bila dah separuh jalan aku terlupa ayat seterusnya.
Keseluruhan lampu dalam pejabat masih lagi berkelip-kelip. Tapi aku perasan yang kali ni lampu makin malap. Tak semena-mena lampu di koridor dan lampu berhampiran pintu terpadam. Dalam keadaan sedikit samar tu, aku perasan yang mambang tu dah berada di sebelah dalam pejabat.
Dah masuk!
Mambang tu hanya berdiri menunduk sambil terapung bergerak sedikit ke kiri dan ke kanan.
Makin berterabur bacaan ayat-ayat suci aku. Kemudian kedengaran ketukan perlahan berkali-kali di tingkap belakang.
Psst! Pstt! Hihihihihi.
Pstt! Psttt! Hihihihihihi…
Seperti memanggil aku untuk menoleh ke belakang. Aku menahan diri daripada menoleh, entah apa pula yang nak muncul di belakang. Kaki terasa makin lemah dan tak bermaya.
Aku tersedar yang mambang ‘bos’ perlahan-lahan melayang bergerak ke arah aku. Aku terus menunduk dan merangkak masuk ke bawah meja. Aku dah tahap seram gila.
Aku berposisi menonggeng dan menekup muka ke tapak tangan. Aku cuma mampu berharap yang mambang tu bukanlah seekor mambang berspesis ‘kunyit’.
Dengan tangan terketar-ketar aku mendial nombor Shaiful. Tiga kali aku mencuba namun semua tak dijawab. Shit! Aku kemudian terfikir nak call bos saja sebab rumah bos la yang paling dekat dengan pejabat. Berjarak lebih kurang 10 minit saja.
Namun, setelah terbayangkan mambang yang sedang menyerupai bos tu, terus aku ‘cancel’.
Buatnya mambang ni jengok di bawah meja sambil berkata, “Yaaaa ada apa kamu call saya? Takut hantu kah? Heeeheeeeheeeeheeee!” Siap dengan pakej mengilai memang ngeri yang boleh membawa kepada kepitaman.
Aku terus membuka applikasi Whatsapp dan menghantar mesej kepada Shaiful.
“Sepol mai ofis skrg. Rescue aku ASAP. Aku kena usik. Serious!”
Terketar-ketar jari aku menaip mesej. Berkali-kali aku terpaksa mengulang taip sebab terlalu banyak typo. Beberapa saat kemudian aku mendapat ‘reply’ daripada Shaiful. Terasa lega sikit hati aku.
“ok tunggu sat. hang on bebeh!”
Maksud ‘tunggu sat’ daripada Shaiful tu aku sendiri tak pasti berapa lama. Kalau nak diikutkan rumah Shaiful memang jauh dari pejabat. Lebih kurang sejam juga la jauhnya.
Mampus aku nak hadap mambang ni lagi sejam. Lunyai dah aku tatkala aku ditemui oleh Shaiful nanti. Aku mula terbayang wajah-wajah mangsa yang m**i dalam keadaan muka herot dan senget akibat disergah hantu dalam movie The Ring.
Tak semena-mena lampu pejabat terpadam. Keadaan agak gelap. Cuma harap sedikit sangat cahaya daripada lampu jalan di bawah yang masuk melalui tingkap belakang aku. Tapi cuaca buruk di luar dan duduk di tingkat yang sangat tinggi, mana ada cahaya sangat nak masuk.
Memandangkan aku dalam ketakutan yang melampau sampaikan nak baca ayat suci pun tunggang-langgang, maka aku pun dapat idea nak buka bacaan ayat suci di youtube ja. Aku bukak applikasi Youtube.
PAMMM! Terpampang wajah pontianak di ‘suggested video’. Nak luruh lagi jantung aku. Bongok bin Bingai betul la Youtube ni. Masa-masa genting boleh pula bagi ‘suggestion video’ macam itu. Ini la akibatnya aku suka sangat layan video-video seram di Youtube.
Tiba-tiba seluruh tempat aku menonggeng ini bercahaya dengan sangat terang akibat cahaya daripada kilat yang menyabung. Disusuli dengan bunyi guruh yang sangat kuat. Terpelanting ‘smartphone’ sampai terkena batang hidung aku sebab terkejut. Luruh lagi jantung aku buat kesekian kalinya.
Sambil mengusap-ngusap hidung yang sakit dan mengelap hingus yang dah mula mengalir, aku terdengar sayup-sayup suara perempuan menyanyi.
Hmmmm… hmmmm hmmmm…
Bahasa Inggeris disebut ‘humming’. Bahasa Malaysia aku tak pasti. Aku tak pasti dia nyanyi lagu apa tapi mendayu-dayu yang sangat menyeramkan. Suara itu sekejap macam sangat jauh, sekejap kemudian sangat dekat macam ada di sebelah aku saja.
Mulut aku hanya mampu sebut Allah, Allah, Allah berulang kali sambil terketar-ketar mencari bacaan ayat suci dalam Youtube. Aku klik pada carian ‘Ayatul Kursi full’ dan lantas menekan ‘play’. Setiap bacaan yang terkeluar daripada ‘speaker’, aku ikuti dengan penuh perasaan dan penghayatan. Suara nyanyian seram mendayu-dayu tak lagi kedengaran.
Setiap kali habis bacaan Ayatul Kursi, aku mengulang-ngulang lagi. Setiap kali diulang bacaan, aku dapat rasakan yang semangat aku semakin kuat dan keberanian aku kembali utuh.
Kali terakhir Ayatul Kursi dibaca iaitu kali yang ke 7, pada ayat terakhir, bunyi dentuman pada pintu pejabat sangat kuat. Serentak dengan itu, suara mengilai yang sangat panjang merenggut kembali semangat aku yang tadi dah semakin pulih.
Kemudian lampu pejabat kembali menyala terang.
Tiba-tiba telinga aku dapat menangkap bunyi tapak kaki berlari dari arah lif ke arah pejabat. Kedengaran derapan bunyi banyak tapak kaki yang berlari. Bukan berseorangan. Aku hanya terus membatu di bawah meja menantikan apa pula jenis mambang yang akan muncul.
Aku memasang telinga, cuba membayangkan drama apakah yang sedang berlaku di koridor pejabat. Bunyi derapan kaki berhenti betul-betul di hadapan pintu pejabat. Aku kembali gelisah sebab kali ni kedengaran banyak tapak kaki. Mungkin mambang tadi dah angkut geng dia.
“Mampos aku kali ni!!”
Beep!!
Kedengaran ‘touch-card’ disentuh. Mambang-mambang yang kali ini pandai pula masuk pejabat aku pakai touch-card. Lebih ‘advance’!
“ALLAHU AKBAR!” Jerit aku sekuat hati dari bawah meja.
“Woi hang kat mana?!! Ni aku ni Sepol!!”
“Apa bukti hang adalah Sepol??!!” Laung aku dalam keadaan masih lagi menonggeng.
“Hang takyah dok buat lecey lah. Ni aku la dengan member aku. Hang keluaq lah. Dok sembunyi apa lagi. Jom blah cepat!”
Aku cuba memberanikan diri menjenguk dari tepi meja. Kelihatan Shaiful dengan dua orang member dia. Salah sorang memang aku kenal sebab pernah jumpa sebelum ini. Kelihatan mereka tercungap-cungap dengan baju seluar semua sudah basah kuyup. Perlahan-lahan aku keluar dari kubu pertahanan bawah meja aku.
“Hangpa semua ni manusia kan?” Soal aku yang masih ragu-ragu akan spesis sebenar mereka.
“Haa laa… haa laaa kami manusia. Jom blah cepat. Kami pun kena kacau tadi masa nak mai sini.”
Setelah aku padamkan komputer dan kunci pintu pejabat, kami semua pun bergegas nak turun ke bawah. Suasana dalam lif ketika tu sangat tegang sebab lif berhenti setiap tingkat tanpa sebab musabab yang munasabah.
Masing-masing berdebar memandang nombor tingkat yang tertera pada paparan elektronik panel lif. Setiap kali pintu terbuka, semua hanya memandang ke lantai. Manakala aku pejam mata terus.
Sampai di salah satu tingkat, pintu terbuka, terasa lif sedikit bergoyang dan mendap ke bawah. Seperti ada orang berjalan masuk ke dalam lif bersama kami. Tiba-tiba bunyi “tetttttttt!” tanda lif dah ‘overweight’. Bangsat! Pintu lif ni takkan tertutup selagi lif dah ‘overweight’.
“Kami tak kacau hang, hang jangan kacau kami. Kami nak balik. Berambus!” Agak keras suara Shaiful walaupun kedengaran ada sedikit getar.
Pintu lif tiba-tiba tertutup. Bukan turun ke bawah, tapi makin menaik terus ke tingkat atas. Sampai tingkat paling atas, pintu lif terbuka. Agak lama pintu terbuka mungkin dalam 1 minit. Hampir nak jahanam butang ‘close’ di panel lif itu akibat ditekan dengan penuh iltizam oleh Shaiful.
Lepas pintu ditutup. Lif ni buat hal lagi macam tadi. Berhenti setiap tingkat. Senyap sunyi suasana dalam lif. Hanya kedengaran hembusan nafas saja. Bermacam-macam perasaan yang bermain di benak fikiran masing-masing.
Sebaik saja terbuka pintu di Ground Floor, nampak tercegat Pak Guard di depan pintu. Shaiful yang mula-mula meluru keluar, hampir saja menumbuk muka Pak Guard itu. Nasib baik Pak Guard tu sempat berundur ke belakang.
“Sorry bang. Tindakan spontan refleks saya ja tu tadi. Saya ingatkan jin, tu yang saya terkejut tu. Sorry ye bang.” Shaiful meminta maaf sambil menghulurkan tangan untuk bersalam tanda bersalah.
Pak Guard yang memakai tag nama ‘CS Wan’ hanya memandang tajam sambil membuat muka kerek kepada kami. Aku meneka CS tu mungkin pangkat dia. Mungkin bermaksud Chief of Security. Kemudian dia melirik satu senyuman sinis yang memberi seribu makna.
“Jom pi lepak di belakang di loading area dulu. Hisap rokok sebatang dua.” Ajak Shaiful kepada kami. Kami semua hanya mengekor Shaiful. Aku melangkah longlai. Terasa sangat penat selepas diusik bertubi-tubi.
AKU : Mekaseh weh mai rescue aku.
SHAIFUL: Tadak hal la. Ni kawan aku dua orang ni. Yang ni Faiz hang penah jumpa kan. Yang sorang lagi ni nama Nabil yang suka terkebil-kebil.
AKU: Cepat betoi hangpa sampai rescue aku. Hangpa dari mana tadi? Siap basah lencun habeh baju.
FAIZ: Kami dok main snooker kat kompleks sana nuuu. Si Sepol ni ajak mai rescue hang. Emergency katanya. Kami redah hujan mai sini naik moto ja la.
AKU: Mekaseh banyak-banyak weh. Kalau hangpa takmai, taktau la aku jadi apa tadi.
SHAIFUL: Hang apa cerita tadi? Kena sakat macam mana?
AKU: Kena sakat terok weh. Agak ekstrem. Aku rasa kalau hangpa lambat sampai, aku dah pengsan kat situ ja.
SHAIFUL: Memang building pejabat kita ni haunted sikit. Awat yang hang dok buat berani pi duduk sorang-sorang?
AKU: Mana la aku tau yang pejabat kita keras. Tak pernah dengar pun pasal angker-angker ni.
SHAIFUL: Tu laaaa. Dulu takdak pun. Tapi dalam 6 atau 7 tahun ni ja baru ada orang cerita. Tu pun jarang-jarang ja dia kacau.
AKU: Awat hang tak bagitau awal-awal yang pejabat kita haunted? Haduiiii.
SHAIFUL: Dah hang tak tanya. Hang pun tak bagitau aku dia nak buat OT. Tapi tadi time kami nak pi rescue hang, kami pun kena sakat.
AKU: Hah! Hangpa yang ramai-ramai pun kena sakat jugak? Jadi camna?
SHAIFUL: Weh Nabil, hang cerita pulak apa yang jadi kat kita tadi. Dari tadi aku tengok hang dok terkebil-kebil ja. Macam takdak fungsi ja hang dok kat sini.
NABIL: Hehehehehehe. Tadi masa kami nak pi di hang. Kami naik lif.
SHAIFUL: Memang la naik lif! Jadah apa nak panjat tangga dari tingkat bawah. Mau pitam kita secara berjemaah.
FAIZ: Mai aku la cerita. Hang Nabil duduk rilek situ sudah.
NABIL: Yelaaaaaaaaa… Bak mai rokok sebatang.
KISAH TIGA SEKAWAN DALAM OPERASI MENYELAMAT
SHAIFUL: Weh!! Aku dapat mesej whatsapp dari officemate aku. Dia suruh pi rescue dia. Dia kena sakat di pejabat.
FAIZ: Sakat? Sapa sakat? Sapa buli dia?
SHAIFUL: Kena sakat dengan hantu la!
NABIL: Shitttt..biaq betol? Ada hantu ka kat office hang?
SHAIFUL: Takyah cakap banyak. La ni kita pi rescue officemate aku ni. Kita naik moto ja. Kalau naik kereta memang lambat nak sampai. Jem kat luar. Kita pinjam moto sapa-sapa yang ada kat snooker ni.
Maka tiga sekawan ini merempit motor tanpa menghiraukan hujan lebat. Setelah ‘mencilok’ dan beberapa ‘side mirror’ kereta yang terkulai akibat dilanggar, maka sampailah mereka di tempat yang dituju. Lantas mereka bergegas menuju ke lobi lif.
SHAIFUL: Hisshhhh rosak pulak ka lif ni? Time-time cenggini la lif nak rosak pulak!
NABIL: Kena naik tangga ka ni? Tingkat berapa weh? Aku tunggu bawah ja la. Tak larat nak panjat tangga.
SHAIFUL: Hang takyah dok gatai nak duduk bawah sorang-sorang. Kita try check lif barang di belakang.
Mereka pun bergegas menuju ke arah lif barang yang terletak di sebelah belakang lobi bangunan. Dengan seluruh baju yang basah kuyup, kelihatan mereka sedikit kesejukan akibat daripada dinginnya suhu daripada penghawa dingin.
SHAIFUL: Ok lif barang ni boleh pakai. Cepat weh!
FAIZ: Tingkat berapa Sepol?
SHAIFUL: Sembilan!
Lif terus bergerak ke atas. Nombor pada panel kelihatan bertukar-tukar seiiring dengan tingkat yang dilalui oleh lif. Lif kemudian berhenti dan membuka pintu di tingkat 10.
FAIZ: Aikkk ni tingkat 10. Tadi aku dah tekan tingkat 9.
SHAIFUL: Faiz hang tekan balik tingkat 9.
FAIZ: OK!
Panel lif ditekan pada butang yang tertera nombor 9.
Ktakkkkk!
Pintu lif kembali tertutup. Mereka dapat merasakan lif kembali bergerak turun ke bawah. Akan tetapi lif berhenti pada tingkat 8. Iaitu satu tingkat di bawah tingkat yang ingin dituju.
FAIZ: Pelik weh! Awat dia tak berhenti kat tingkat 9?
SHAIFUL: Bodo la. Takpa. Kita try lagi.
Lif kemudian bergerak ke atas kembali, namun seperti yang awal tadi, lif melepasi tingkat 9 dan hanya berhenti di tingkat 10. Keadaan ini semakin menimbulkan rasa pelik kepada mereka. Dah terpancar kegelisahan pada wajah masing-masing.
SHAIFUL: Kali ni last kita try. Kalau lif takmau berenti jugak di tingkat 9, kita guna tangga ja.
NABIL: Aku rasa tak sedap hati la weh…
FAIZ: Rilek Nabil. Cool. Jangan gelabah.
Buat kali keempat, lif ini tetap tak berhenti di tingkat 9. Terus ‘overshoot’ ke tingkat 8. Seperti ada sesuatu yang menghalang mereka untuk ke tingkat 9. Maka keputusan diambil untuk menggunakan tangga kecemasan saja untuk naik ke tingkat 9.
SHAIFUL: Jom kita guna tangga ja. Lif ni memang buat hal. Bongok!
NABIL: Mulut hang jaga sikit Sepol. Aku memang rasa tak sedap hati sangat dah ni. Berdebar ja ni.
FAIZ: Hang tak sedap hati sorang-sorang dah la. Jangan dok bagitau orang lain. Ni dengan aku sekali pun dah mula rasa tak sedap hati.
SHAIFUL: Hangpa dua diam sikit boleh tak? Kita setel kerja rescue kita, pastu terus blah.
Mereka pun bergerak ke arah tangga kecemasan. Untuk sampai ke tingkat 9, mereka terpaksa memanjat dua ‘flight’ tangga. Di antara dua ‘flight’ itu, terdapat satu ‘landing’. (aku pun tak pasti dalam bahasa Malaysia apa terma untuk tangga ni, so aku guna dalam English saja. Kalau tak paham boleh google.)
Apabila mereka mula memanjat flight yang pertama, tiba-tiba mereka berhenti bergerak. Mereka semua terpandang pada satu susuk tubuh yang duduk di atas kerusi roda. Kedudukannya adalah di sudut ‘landing’ tangga tersebut. Tubuh tersebut membelakangkan mereka dengan muka menghadap ke arah dinding.
Keadaan ini agak pelik sebab macam mana orang tu boleh berada di situ. Dia berkerusi roda, jadi macamana dia boleh ada di ‘landing’ tangga. Siap muka rapat menghadap ke arah dinding. Memang terasa pelik dan menyeramkan.
NABIL: Orang tu buat apa weh kat situ?
SHAIFUL: Shhhhhhhh! Diam….
FAIZ: Aku rasa… aku rasa yang tu bukan manusi…
SHAIFUL: Shhhhh! Jangan tegur la bengong. Kita lari terus naik atas. Buat bodo.
Maka mereka pun pantas berlari memanjat tangga melintasi susuk yang berkerusi roda tersebut. Faiz myang berada di belakang sekali di antara mereka bertiga. Apabila dah sampai di penghujung ‘flight’ yang kedua, kaki Faiz tersadung pada anak tangga yang terakhir lantas jatuh tersungkur.
Shaiful yang terperasan Faiz terjatuh terus berpaling untuk menolong. Ketika mengangkat Faiz, Shaiful terpandang pada susuk tubuh berkerusi roda tersebut….
AKU: Hang nampak apa kat orang berkerusi roda tu?
SHAIFUL: “Kepala orang tu berpaling 180 darjah pandang aku. Mata dua-dua belah takdak. Nampak rongga hitam ja. Mulut ternganga luas, dalam mulut hitam semua. Shittttt! Seram lagi aku rasa. Berdiri bulu roma aku ni teringat muka dia.
AKU: Perghhhhh! Scary gila! Lepastu apa jadi?
FAIZ: Lepastu kami terus lari pi rescue hang la kat office.
SHAIFUL: Hang siap meleleh-leleh ayaq mata kat pipi. Kena sakat sampai menangis… Kahkahkahkah!!
AKU: Bongok la! Hang kena sakat macam aku kena baru hang tau!
NABIL: Hang cerita la pulak hang kena sakat camna?
AKU: Esok-esok la aku cerita. Aku dok takut lagi ni. Rasa tak sedap badan pun ada jugak. Kita pi cari baju spare kat snooker untuk hangpa tukaq. Pastu kita boleh balik tidoq! Eh kat snooker tu ada surau?
SHAIFUL: Errrr… Ada.. ada… Hehehehehe…
Walaupun aku cuba bertahan untuk menyiapkan kerja, tapi tetap tak sempat siap. Nasib baik kerja dah tinggal tak berapa banyak. Maka, hari Isnin awal-awal pagi aku dah terpacak di pejabat nak siapkan kerja. Shaiful yang jadi mangsa teman aku awal pagi itu.
-TAMAT-
Dijemput untuk ‘follow’ Facebook penulis untuk membaca kemaskini kisah seram terbaru. Sila tekan ‘link’ berikut :-
https://www.facebook.com/deefen.df
Follow Whatsapp FS KLIK SINI
sesak nafas rasa baca dari mula sampai habis 😂 apepun mmng seram laa…nak hadap kerja OT sorang² xtahu nak ckp
Aku Benci klu crita rekaan ni..walau fiksyen..
dia tulis cerita berlaku kat opis dia, kisah benar la tu.
ke ngko penakut? kalu takut takyah baca.
apa yg kau nak sampaikan ni. mmg pun fiksyen maksudnya rekaan. dah tu nk mcm mana lagi. “tak suka cerita rekaan walau fiksyen” tak make sense betul ayat.
Terbaik 👍🏼
Dah pernah publish ni…
Kalu aku…mngkin dah pengsan kot kt situ..terok jgak kene kcau ni…
hotel mana ye ? majestik kl ker ?
aku sorg je ke yg pnh bce cite ni? ke FS dh blh repost cite lme?
Repost. Pnah bc dulu tp bc lg sbb mmg seram citer die
ye kau sorang je.. dah diam
Apa sakaiii, nampak sgt reka. Sepanjang aku baca fiksyen shasha dari tahun lepas, ni first time aku baca cerita mengarut. Kau nk tokok tambah pun agak² la, jangan over sgt
repost ni tp baca gak sampai habis..seramm
Antara yg terbaik…Next!.…