SERANGAN DALAM MIMPI

Malam itu ( tahun 2009 )

‘Eh, mengapa aku ada di sini? Ada apa urusanku ke sini malam-malam?’
Omelku sendirian di dalam hati. Pelik!

‘Tak mengapalah, dah alang-alang aku di sini, baik aku bertanya khabar seisi rumahnya’

“Assalamuu….”

Tiba-tiba muncul 2 ekor mawas yang 2 kali ganda besarnya dari mawas biasa di hadapan pintu pagar yang terbuka di hadapanku.

“Ya Allah, apa ini?”

“Apa urusan kau di sini wahai manusia?”

“Kau boleh berkata-kata??”
Aku sedikit terkejut. Jantungku berdegup laju. Zikir tidak lepas dari ingatanku. Aku tahu ada sesuatu yang tidak kena dengan rumah ini.

‘Permudahkan Ya Allah’

“Ya kami boleh berkata-kata! Apa urusan kau di sini? Andai tiada yang penting lebih baik kau pulang!” Kasar tutur bicaranya.

“Aku cuma mahu melawat sahabatku dan keluarganya. Terasa rindu bila lama tidak bersemuka” aku masih berbahasa basi.

“Orang-orang dalan rumah ini semua sihat belaka! Pergi kau pulang!”

“Kau berdua siapa? Bertopengkan haiwan, bermata api, bertaringkan serigala, apa hajat kamu berdua di hadapan rumah sahabat aku ini!?” Jelingan tajam kuberikan seraya suaraku sedikit meninggi.

“Kami menjaga tanah ini! Mereka yang berniat jahat akan kami hapuskan! Hahahaha!”

“Sombong sungguh kamu berdua. Bukankah tanah ini tanah kepunyaan Allah swt. Di pinjamkan kepada manusia untuk menjadi hak sementara? Maka, apa hak kamu berdua untuk mengaku menjadi penjaga tanah ini” senyuman sinisku masih menguntum. Debaran jantungku semakin laju. Entah mengapa gentarku tiba-tiba hadir.

“Ahhhh! Kau manusia pengacau! Pergi dari sini!”

BUKKKK!!

Tubuh kecilku terpelanting ke jalanan.

“Allah…..” kepalaku terasa sedikit pusing. Aku kuatkan diri untuk berdiri. Aku tahu, aku perlu pertahankan diri dan keluarga sahabatku.

Ayatul Qursi dan beberapa surah lain ku bacakan. Ku mohon kepada yang Maha Kuasa untuk melindungi ku dan semua umatNya.

BUKKK! Sekali lagi tubuhku di campak.

“Ya Allah, bantulah hambaMu ini” aku kembali bingkas bangun.

Aku lihat kedua ekor mawas tersebut kembali ke pagar rumah sahabatku. Aku berdiam memikirkan jalan bagaimana hendakku masuk ke dalam rumah itu.

Aku tidak punya daya, aku tiada senjata. Apa yang perlu aku lakukan untuk berdepan dua mahkluk yang menyamar ini?

Aku melangkah mendekati pagar rumah sahabatku. 2 makhluk itu menyeringaikan taringnya yang tajam.

Aku teruskan langkah dengan tawakkal kepada Allah untuk melepasi mereka.
Namun langkahku sentiasa terhenti dengan serangan-serangan yang aku terima. Lebih kurang hampir satu jam aku mengelak dengan sedaya kudrat, aku di tendang, di tumbuk, di hentak akhirnya aku berjaya masuk ke laman rumah sabahatku.

ZAASSSSS!!!

Aku tertiarap ke tanah. Belakang badanku terasa panas, d***h mula mengalir membasahi bajuku.

‘Ya Allah, sakitnya’ aku memejamkan mata.

“Ya Allah, aku hambaMu yang lemah. Bantu aku Ya Allah. Aku tiada ilmu melawan 2 makhluk ini. Andai ini pengakhiran nafasku. Aku redha” bisikku dalam tangisan kesakitan.

‘UMMUL KITAB!!!!’

Bergema satu suara di telingaku.

Tanah yang berpasir aku genggam, aku duduk melutut dalam keadaan belakang badanku yang teramat sakit.

Ku bacakan ummul kitab yang aku ulang bacaannya sebanyak tiga kali, kemudian aku tiupkan ke pasir dalam kedua genggaman tanganku.

Aku berdiri, terdengar bunyi rengusan 2 ekor mawas itu bagai di tepi telinga.

Sepantas kilat aku berpusing ke belakang.

“ALLAHU AKBAR!!!!!”

Aku laungkan dan aku baling tanah pasir tepat mengenai dua ekor mawas tersebut.

BUSSSS!!!!

Dan tubuh mawas-mawas itu berderai bagai debuan api dan hilang di bawa angin malam.

“Allah Ya Allah” aku terduduk dan menitiskan air mata kesyukuran.

Sakit di badanku tiada tertahan. Mahuku jerit namun tiada daya. Akhirnya tubuhku tumbang dan aku terpejam.

°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°
“Dik… bangkit. Jom teman mak p bilik ayaq. Mak nak mandi, nak semayang subuh”

Aku yang pening-pening lalat bangun sambil menggosok mata.

“Ok mak, sekejap ye” aku ambil semua kelengkapan mandian ibuku.

Aku pimpin ibuku ke bilik air. Inilah rutin aku seharian di Institusi Jantung Negara. Ibuku di sahkan mengidap penyakit lemah jantung, 2 injap jantung bocor dan 1 injap tersumbat (kalau tak silap sebab aku dah lupa)

Seminggu sebelum puasa ibuku telah di arahkan untuk admit di IJN untuk proses pembedahan. Dan aku mengambil keputusan berhenti kerja untuk menjaga ibuku di sini.

Selesai mandi, aku memimpin ibuku kembali ke katil. Setelah aku bantu memakaikan telekong, barulah aku pergi bersihkan muka dan mandi.

“Aduhhhh…. apa yang pedih sangat belakang aku ni?” Berkerut dahiku menahan pedih bila tubuhku di sirami air.

Selesai mandi dan solat subuh, aku kembali ke katil. Aku onkan laptop dan seperti biasa aku akan log masok ke Yahoo Messenger Chatroom Sel:1. Kebiasaanya aku biarkan laptop terpasang sambil aku akan menemani ibuku sarapan.

“Mak… tolong tengokkan belakang adik boleh tak? Pedihlah”

“Awatnya? Mai mak tengok” balas ibuku.

Aku tutup langsir di sekeliling katil ibuku.

Baju bahagian belakang aku selak bagi memudahkan untuk ibuku melihat.

“Ya Allah, awat yang becalaq macam ni? Hang garu ka? 4 garih calaq tu” ujar ibuku dalam sedikit nada terkejut.

“Calaq? Mana ada adik garu. Tapi tak ingatlah kalau tengah tido tak sedar”

‘Hurmmm… patutlah pedih’

°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°

BUZZZ!! BUZZZZ!!

“Salam Akma”

“Waalaikumussalam wbt. Haa Zack (bukan nama sebenar ) kenapa?” Balasku bila Yahoo Private Messenger berbunyi.

“Aku nak minta tolong kau ni”

“Tolong apa tu? Aku mampu aku tolonglah”

“Anak buah aku ( ada kisah yang tak perlu aku ceritakan di sini ) itulah aku cerita pasal kau kat makcik aku”

“Cerita pasal aku? Malam tadi???? Pukul berapa kau cerita tu?”

“Dalam pukul satu pagi jugalah. Aku borak-borak dengan makcik aku. Teringat kat kau”

Tak semena-mena jantung aku kembali berdebar.

‘Malam tadi? Satu pagi? Aku pergi rumah dia…. mawas dua ekor~!, cakaran di belakang badan’

Bagai dejavu, aku dapat ingat dari mula sampai akhir mimpi yang aku alami malam tadi. Tapi apakah mimpi atau ……

“Woii.. apesal kau senyap? Boleh tak tolong?”

“Sorry-sorry.. haa InshaaAllah aku cuba. Aku bukan handal bab perubatan ni. Tapi aku cuba la ye..”

“Ok kalau macam tu, aku ambil kau kat IJN petang ni dalam pukul 5. Aku bawak makcik aku skali”

“Ok boleh. Dah sampai nanti kau bagitau aku”

Perbualan di tamatkan.

‘Hurmmm.. apa sebenarnya yang jadi ni? Aku mimpi atau apa? Kalau mimpi kenapa badan aku bercalar?’

°°°°°°°°°°°°°
Petang itu seperti yang di janjikan, Zack dan keluarganya mengambilku. Kami semua menuju ke kedai makan yang berdekatan.

Kami berbual sesama sendiri dan mereka menceritakan apa sebenarnya yang terjadi. Serba sedikit aku mula faham permasalahan yang mereka hadapi.

Terus-terang aku katakan pada mereka, aku bukanlah perawat yang mampu merawat kes-kes berat. Namun aku tetap menawarkan diri untuk bantu semampu yang boleh.

Air mineral, lada hitam, garam dan limau yang mereka bawa aku bacakan dengan Ayatul Quran. Aku pesan pada mereka, ini hanyalah ikhtiar dan segala kebergantungan adalah pada Allah swt.
Selesai semuanya, mereka menghantar aku pulang semula ke IJN.

°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°

BUZZZ!! BUZZZ!!

“Assalamualaikum Zack, busy ke?” Aku messenger Zack melalui Yahoo PM.

“Wsalam. Tak ah. Aku ok je. Kenapa?”

“Macam mana anak saudara kau? Ok ke malam ni?”

“Alhamdulillah, nampak dia macam ok je. Moga-moga ok terus la”

“Alhamdulillah. Kalau nampak macam jadi balik, aku sarankan kau cari perawat yang mampu rukyah tau” aku sekadar memberi pandangan.

“InshaaAllah, takpe.. kita ikhtiar dulu mana yang boleh”

“Zack, aku nak bagitau something kat kau. Sebenarnya malam semalam aku ada pergi rumah kau. Tapi ada 2 ekor mawas besar yang jaga depan rumah kau….”

“😳😳😳 betol ke? Ko serius depan umah aku?” Zack seolah tidak percaya.

YM memang banyak emoji macam whatsapp. So kami biasa guna dalam perbualan dalam online

“Ya betollah, buat apa aku nak tipu? Tapi Alhamdulillah dengan izin Allah.. mawas 2 ekor tu dah tak ada. Cuma yang ada.. luka cakaran di belakang badan aku. 😂”

“Ya Allah. Serius la Akma! Aku minta maaf tau”

“Iya, mak aku yang tengokkan belakang aku ni. Memang pedih sangat. Tapi tak apa lah. InshaaAllah dua atau tiga hari nanti ok lah. Dont worry lah” jawabku.

“Tapi kau datang sebab apa wey? Sebab aku cerita pasal kau kat makcik aku ke?”

“Wallahualam lah. Aku pon tak tau. Tiba-tiba ja aku ada kat depan rumah kau. Lepas tu bertempur pulak dengan 2 ekor makhluk tu. Perghhh bukan calang-calang orang yang hantar tu”

“Iyeke? Kurang ajar betollah! Kalau aku tau siapa punya kerja, memang lumat aku kerjakan!” Zack sedikit berang.

“Sabar oii… yang penting pulihkan mana yang tak elok tu. Siapa yang buat, abaikan. Serahkan pada Allah. Siapa kita nak balas apa yang dia buat. Sabar!” Aku cuba menenangkan perasaan Zack.

“Haaa sorry-sorry. Ok lah. Apa pon thanks tau. Nanti apa-apa aku update kat kau”

“Ok zack. Assalamualaikum”

“Wsalam”

°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°

Seminggu selepas perjumpaan aku dengan keluarga Zack, aku bertanya kembali khabar anak saudaranya. Alhamdulillah, perkabaran yang aku terima amat baik.

Anak saudaranya bertambah baik. Cuma rumah yang mereka diami perlu ‘dibersihkan’ dan aku sarankan supaya Zack mencari orang yang lebih pakar andainya anak saudaranya kembali sakit.

Lega hati bila sekecil-kecil usahaku membantu mereka, Allah makbulkan. Syukur.

Namun aku tahu, segala apa yang datang dan terjadi dengan izin Allah.
Tiadalah dayaku melainkan dari Allah swt semata.

Wassalam.

TAMAT

°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

#EstellaNain

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 0 Average: 0]

2 thoughts on “SERANGAN DALAM MIMPI”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.