Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Terima kasih Admin Fiksyen shasha andai cerita tidak seberapa ini disiarkan.
Terima kasih kepada pembaca yang sudi meluangkan masa membaca secebis pengalaman seram aku semasa melalui kehidupan di asrama.
Usia semakin menginjak tua, semakin banyak kisah seram lalu yang dilupakan. Tidak salah rasanya aku coretkan di sini buat kenangan di masa akan datang.
Seawal usia 13 tahun aku telah ditempatkan di sebuah sekolah berasrama penuh. Tetapi, sekolah ini tidak terlibat di dalam kisah ini. Sekolah ini punya kisah seramnya tersendiri. Namun, pengalaman yang aku lalui semasa dihantar berkursus oleh pihak sekolah lebih menyeramkan.
Aku dan beberapa rakan mewakili pengurusan tertinggi beberapa persatuan pelajar dipilih untuk menghadiri kursus sewaktu musim cuti sekolah. Tidak salah, selama 4 hari 3 malam.
Seronok? Ya,aku sangat teruja! Kami hanya menaiki van Rusa ke sekolah berasrama penuh yang terletak nun di utara, di atas bukit dan dikelilingi hutan yang menghijau. Kami lupakan kesakitan badan berhimpit di dalam van tersebut kerana sangat gembira untuk ke sana. Aku ringkaskan nama sekolah ini sebagai MG.
Beberapa hari sebelum kami bertolak, rakan-rakanku bekas pelajar MG telah memberikan sedikit pesanan ringkas “Jangan merayau seorang diri di sana, terutamanya, bangunan asrama lama” Dan, aku hanya tersenyum mendengar pesanan tersebut. Menjadi kebiasaan, aku tidak akan patuh pada pesanan sebegitu.
Adakah kerana aku tidak percaya? Tidak sama sekali. Aku percaya sepenuhnya kewujudan alam ghaib, hatta, aku tidak dapat melihat mereka. Namun pernah terserempak sewaktu usia masih sangat muda.
Tiba di MG, kami ditempatkan di bangunan baru. Sangat baru dan cantik. Masih bau kedai kata orang. Program yang dirangka agak padat. Semuanya berjalan lancar tanpa ada usikan nakal alam ghaib, sehinggalah kepada sehari sebelum hari terakhir.
Kami mempunyai program merentas desa dimana kami dibawa masuk hutan berhadapan MG. Mashaa Allah, sungguh indah tempatnya ditambah pula dengan adanya sebatang sungai yang dingin airnya. Perjalanan ini mengambil masa yang agak lama.
Aku masih ingat, sewaktu mendaki untuk kembali ke MG, aku memandang ke atas menikmati langit senja cantik kemerahan. Aku secara fitrahnya tidak suka berlari dan akan menjadi orang yang terakhir tiba.
Badan basah bermandi peluh. Aku segera melangkah. Tujuan aku, supaya cepat sampai, cepat boleh mandi dan membersihkan badan. Aku tidak suka berlama-lama dalam keadaan berpeluh. Tetapi, oleh kerana aku sampai lambat, bilik air semuanya penuh.
Aku mula resah dan gelisah. Mata aku melilau mencari bilik air yang lain. Di tanganku tuala dan raga kecil berisi alatan mandi.
Mataku terpaku pada satu bangunan di sebelah. “Eh, bilik air.” Tanpa berlengah aku terus melangkah laju-laju. Mulutku tersenyum. “Yes! Tak ramai”
Ya, apabila aku keresahan untuk mandi, selalunya aku akan mengabaikan apa sahaja nasihat orang. Aku ke bangunan asrama lama. Tiada orang di sekeliling. Semua penghuni asrama balik kampung kerana cuti sekolah.
Sewaktu dalam keghairahan melangkah masuk bilik air bangunan asrama lama, aku tidak terfikir untuk berhenti sejenak dan berfikir sebentar. Namun, apabila mengenang kembali suasananya, aku teringat bilik air tersebut kelihatan gelap dan suram.
Aku melangkah masuk. Bismillah.
“Oh, ada orang rupanya. Rajinnya dia basuh kain. Esok kan dah nak balik” kata hatiku.
Aku meninjau mencari bilik air yang cun di mataku. “Wah, best nya bilik air sini. Bilik mandi berhadapan tandas. Senang nak buat urusan gini.”
Lantas, aku sangkut tuala di pintu bilik mandi pilihan hati dan meletak raga kecilku di atas lantai di dalam bilik mandi tersebut. Tak tahan nak terkencing, aku terus masuk tandas yang berada betul-betul di hadapan bilik mandi tersebut.
Selesai urusan, aku buka pintu tandas. “Eh, apasal pintu bilik mandi tutup? Mana tuala aku? Siapa masuk ni? Banyak kot bilik mandi yang kosong?!” Aku bercakap sendirian. Tapi, sebagai seorang yang suka menegakkan hak sebagai seorang pengguna, aku mengetuk pintu bilik mandi pilihan jati yang tertutup. Pintunya terkunci kemas. “Wei, siapa kat dalam?” Senyap. Sunyi.
Aku tak puas hati. “Berani alihkan barang orang, berani pulak duduk senyap-senyap” kata aku dalam hati. “Eh, pandai pulak dia alihkan semua barang aku ke bilik air sebelah. Takpe, aku nak tengok kau siapa. Aku mandi je kat sebelah ni”
Aku masuk bilik air sebelah. Aku tidak terus mandi. D***h muda, panas. Aku tunggu dia mandi. Lama aku tunggu, tiada setitik air mengalir. Tiada bunyi sedikit pun. Kemudian,secara tiba-tiba bulu romaku meremang. “Astagfirullah.”
Barulah aku terfikir. Barulah aku tersedar. Barulah aku teringat. Bahawanya aku mungkin berhadapan penghuni ghaib bangunan asrama lama ini.
Ha ha ha
Adakah aku segera lari? Tidak sama sekali. Pantang aku berundur. Aku mandi. Aku sabun. Aku mandi. Aku selesaikan urusan aku. Aku buka pintu bilik mandi dengan penuh waspada. Khuatir ada yang menungguku dihadapan pintu.
Ha ha ha
Tidak ada. Lega.
Aku melangkah keluar. Masih ingat ada pelajar sedang membasuh kain sewaktu aku melangkah masuk bilik air ini. Ya, dia masih di situ membasuh kain.
Aku menegurnya untuk memastikan bahawa teori aku yang bukan manusia berada di sebelah bilik mandiku tadi itu tidak benar. “Awak, ada sesiapa masuk tak selepas saya masuk tadi?” tanyaku. Dia mengelengkan kepala. “Ooo, okay. Terima kasih”
Laju aku melangkah balik ke bilik di bangunan asrama baru.
Rakan-rakanku menegur. Mereka mencariku. Mereka kata tidak nampak kelibat aku di mana-mana. Aku kata sahaja aku mandi. Aku masih belum menceritakan apa-apa kepada mereka. Kerana, sebagai pelajar asrama, aku tahu, bercerita hanya akan mewujudkan panik. Aku akan bercerita setelah semuanya selesai solat dan makan.
Sebelum tidur, setelah semua kenyang dan tenang selepas solat Isyak, aku memanggil semua rakan-rakanku berkumpul di bilikku. Setiap bilik sepatutnya hanya ada dua pelajar. Sekarang, keempat-empat kami berada di dalam satu bilik. Aku mula bercerita kepada mereka.
Ha ha ha
Anehnya, setelah selesai aku bercerita. Kedengaran salakan anjing bersahut-sahutan dan panjang. Maka, malam itu, terpaksalah kami berhimpit seramai empat orang di dalam bilik berdua. Mereka juga bekas pelajar MG. Mereka betul-betul marahkan aku malam itu.
Dan, satu soalan mereka yang sehingga kini masih berlegar-legar di kotak fikiranku:
“Eh, budak perempuan yang basuh kain tu kau pasti ke orang? Ada kaki tak?”
Ha ha ha
Tidak pula aku terfikir sewaktu aku menegurnya.
Sekian.
hahaha. .ntah pape ar pny cite. .sket pny pnjg tp tang seramnye tataw dok tang mane. .HAHAHARUU!!
hahaha bongkak, riak, megah, takbur, sombong bangattt. buku belum bertemu ruas yop
Amende yg hahaha tu? Gelak kebodohan diri sendiri ke?
Ha ha ha.. Hantu ke apooo
komen2 kat bawah ni semua nak condemn je keje. Takpe dik teruskan menulis sebab aku suka cara kau tulis. Tatabahasa semua mantap. BM mesti A+ ni! Lantak la dorang nak komen cerita kau tk seram ke apa ke. kisah apa kan.
Setuju 110%
Walaupun ceritanya ringkas tapi penulisan bagus. Senang faham tak melalut dengan wechat/rojak punya slanga.
Teruskan usaha bercerita,terima kasih.