Siapa tolak kotak tu?
Penat. Memang penat berulang setiap hari ke dari rumah ke tempat kerja sejauh 120 kilometer pergi balik. Dengan kerja tak menentu. Kadang keluar jam 7 pagi balik pula jangan tanya la. Paling awal pun 8 malam. Tak masuk kena kerja luar kawasan lagi. Tapi aku sayang dengan kerja aku. Bukan tak nak pindah dengan tempat kerja, tapi suami kerja lagi teruk tak menentunya. Kadang balik kadang tak, sebab tu tempat kerja dia dekat dengan rumah sewa kami. Jadi aku berkorban ulang alik ke tempat kerja setiap hari.
Selepas hampir dua tahun berulang alik dan kebetulan suami dapat tukar cawangan dengan waktu bekerja 9 pagi hingga 5 petang setiap Isnin hingga Jumaat, aku bagitahu pada dia yang aku dah tak larat nak berulang alik lagi. Aku juga tak nak berhenti kerja sebab sayang dengan kerja yang memang cita-cita aku dari zaman sekolah. Suami bagi cadangan untuk pindah dekat dengan tempat kerja aku. Dia cakap dia sanggup berulang alik pula sebab waktu kerja dia dah tetap. Masa dia cakap macam tu aku lega sangat. Kebetulan pula masa tu kontrak dengan rumah sewa tu dah nak habis dan suami cakap tak mahu sambung dah. Dia suruh aku mula cari rumah sewa dekat tempat kerja aku.
Bermula episod mencari rumah sewa. Banyak kawasan juga aku cari. Aku berkenan satu rumah teres ni, tapi takde tanda-tanda nak disewakan sebab takde letak nombor telefon. Aku suka rumah tu sebab dekat dengan tempat kerja aku dan plaza tol, jadi senang suami nak berulang alik ke tempat kerja. Dua tiga hari selepas tu, aku pergi sekali lagi ke kawasan rumah teres tu. Tapi siapa sangka, mungkin rezeki aku, ada pula nombor telefon diletakkan. Tanpa buang masa terus telefon tuan rumah dan dia bersetuju untuk bagi aku dan suami tengok dulu keadaan rumah sebelum buat keputusan.
Beberapa hari kemudian, aku dan suami ke rumah tu untuk jumpa tuan rumah dan tengok keadaan rumah. Aku tanya pemilik rumah siapa penyewa rumah sebelum ni dan sudah berapa lama rumah tak disewakan. Kata pemilik rumah, rumah tu baru dikosongkan beberapa minggu lalu. Dia terpaksa halau penyewa sebab gagal ikut perjanjian. Katanya, perjanjian sebelum ni rumah tu hanya disewakan kepada pasangan yang dah berkahwin. Masa menyewa rumah tu, penyewa memang dah berkahwin tapi takde jodoh dan bercerai. Dia kemudian buat rumah tu rumah sewa bujang. Bila dah ramai-ramai lelaki duduk tu banyak la benda rosak. Sebab tu pemilik rumah terpaksa halau penyewa tu semua. Lepas berbincang dan setuju dengan kadar sewa rumah tu, kami terus balik dan berjanji akan jumpa semula dengan tuan rumah beberapa minggu lagi untuk ambil kunci pula.
Bermulalah episod mengemas rumah untuk berpindah. Banyak betul barang sebab suami aku duduk rumah tu dari zaman bujang lagi. Aku memang masuk rumah tu bawa baju dengan laptop je. Untung betul aku kan. Satu lori juga la barang kami. Walaupun masa tu kami baru kahwin hampir dua tahun. Ohh lupa, kami belum ada anak lagi. Belum rezeki.
Ok bila dah sampai rumah sewa baru tu dah siap turunkan barang-barang semua, aku dengan suami terus bawa kawan-kawan yang tolong tu pergi makan, masa tu jam lebih kurang 5 petang. Kami kemudian balik rumah sebelum Maghrib. Aku masa tu takde rasa apa-apa dengan rumah tu. Rasa biasa je. Rasa seronok sikit sebab rumah lagi kecil berbanding rumah sewa sebelum ni rumah teres dua tingkat. Paling penting lagi senang nak kemas rumah. Aku cakap dengan suami tak perlu kemas lagi malam tu sebab masing-masing pun dah penat. Semua kotak-kotak kami biarkan macam tu je dekat bilik paling belakang dan di ruang makan. Cumanya barang-barang besar macam katil, almari, meja makan, sofa dan peti sejuk memang kawan-kawan suami dah tolong letakkan dekat tempat yang sesuai. Jadi takde apa sangat nak susun malam tu.
Kami nak tidur awal malam tu sebab letih. Aku cuti esoknya sebab nak kemas apa yang patut, tapi suami aku pula tak dapat cuti. Malam tu lepas semua lampu tutup dan kami dah lelapkan mata, tiba-tiba kami terjaga sebab terdengar bunyi kotak-kotak ditolak. Memang bunyi sangat kuat, kalau aku mimpi takkan suami aku pun terjaga kan. Bunyi kotak-kotak ditolak sangat jelas. Aku cuma fikir perompak je masa tu. Suami aku tak berani keluar bilik sebab bimbang ‘perompak’ tu ada senjata dan cederakan kami. Kami pula baru beberapa jam tinggal situ, jadi tak kenal jiran lagi dan tak tahu kawasan perumahan tu lagi. Jadi suami ambil keputusan telefon polis. Masa dia cakap dengan polis pun berbisik-bisik sebab takut ‘perompak’ tu dengar. Bebebapa minit lepas tu, polis sampai di luar rumah. Kami buka tingkap dan minta polis masuk ke kawasan pagar rumah. Polis suruh keluar juga buka pintu.
Kami takde pilihan dan keluar juga bilik untuk buka pintu tapi dengan sangat berhati-hati sebab takut. Masa tu bunyi kotak-kotak memang dah takde. Bunyi tu memang sekejap je tapi sangat jelas. Polis masuk dan terkejut tengok rumah berselerak dan kami bagitahu baru pindah ke rumah tu siang tadi. Polis periksa satu rumah memang takde orang lain selain kami. Dah periksa juga atas bumbung dan belakang rumah semua. Takde juga kesan rumah kena pecah masuk. Polis pun pelik dan cakap kalau ada apa-apa telefon balik je. Kalau polis pelik, kami yang dengar ni lagila pelik. Siapa tolak kotak-kotak tu? Aku tak perasan pula sama ada kotak-kotak tu beralih ke tak sebab memang dah berselerak pun dari awal.
Malam tu kami tak boleh tidur sebab memikirkan bunyi-bunyi tu tadi. Tapi syukur sampai ke sudah memang takde dah bunyi. Esok pagi, aku kemas apa yang patut macam biasa. Memang takde nampak apa-apa yang pelik la. Tapi perasaan bimbang tu masih ada, takut ‘perompak’ tu datang balik sebab aku sorang-sorang je. Aku dengan suami tak pernah cakap dah pasal ni. Entah tak tahu kenapa, mungkin sebab masing-masing malas nak fikir dah.
Tapi aku perasan satu, kadang-kadang aku macam ternampak lembaga dalam bilik paling hujung tu. Bilik tu buat tempat letak barang je dan aku selalu juga la keluar masuk. Setiap kali nak ke dapur mesti akan lalu bilik tu juga. Pintu bilik pun sentiasa terbuka. Kadang nampak waktu siang, kadang waktu malam. Tapi aku ni jenis yang buat tak tahu. Kalau husband aku kerja luar kawasan, aku memang tidur dengan buka semua lampu dalam rumah tu. Aku tak ceritakan pada suami pasal lembaga tu. Bukan nak buat berani, tapi takde pilihan. Family semua tinggal jauh.
Satu hari tu, masa kami balik ke kampung, keluarga aku ada bawa sorang ustaz ni untuk berubatkan sorang ahli keluarga kami sebab tak sihat. Tapi masa ustaz tu sampai, dia tak masuk terus rumah keluarga aku, nampak dia baca sesuatu dulu dan tengok satu sudut luar rumah sebelum masuk.
Selepas selesai berubat aku sengaja tanya ustaz kenapa tak masuk terus tadi. Dia senyum je, dia cakap dia ‘pagar rumah’ dulu sebelum masuk. Lepas tu aku tanya boleh ke ‘pagar rumah’ dari jauh, dia cakap boleh. Dia minta alamat rumah. Lepas tu dia tengok muka aku dengan suami. Dia tanya kami ni boleh ‘nampak’ kan. Aku pandang muka suami aku, suami aku pandang muka aku. Maknanya betul la apa yang aku nampak kat rumah aku tu. Suami pun baru buka cerita dia cakap memang dia ada nampak dan tak bagitahu aku sebab tak nak aku takut.
Ustaz tu cakap ada ‘tiga ekor’ dalam lubang tandas kat rumah aku tu. ‘Dorang’ tak berani keluar sebabnya kami berdua rajin solat dan mengaji. Wallahualam. Tapi ustaz tu cakap dia akan ‘pagar rumah’ dan tak perlu risau apa-apa. Lepas balik rumah tu, aku jadi makin takut sebab teringat ustaz tu cakap berkenaan dalam lubang tandas tu. Tapi syukur alhamdulillah takde benda tak elok jadi selama kami tinggal kat rumah tu. Cumanya, kadang-kadang aku masih ternampak lembaga tu dalam bilik hujung tu dan aku buat tak tahu je. Lima tahun juga la kami tinggal kat rumah tu. Kami kemudian pindah rumah sebab dah beli rumah sendiri. Tapi sampai sekarang aku masih tertanya, siapa yang tolak kotak-kotak tu?
TAMAT….
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit