SIAPA YANG JAGA?

Apa khabar semua? Aku Selena, 27, Kristian dan masih bujang. Jangan panggil Selena, Selina. Kalau panggil Selina, panggil Selena semulo. Kah Kah Kah! Okay, sorry. Back to business! Terima kasih kepada admin kerana memaparkan kisah aku iaitu http://fiksyenshasha.com/isteriku-dan-mereka/ .

Ini bukan sambungan kepada kisah Sam. Sis nak cerita pasal sis pula. Perkongsian aku kali ini lebih kepada persoalan. Bagi yang mempunyai pengalaman atau pengetahuan, dialu-alukan untuk membantu di ruangan komen.

Tidak semua akan mempercayai dunia yang tidak terlihat ini. Yang mempercayai pula belum tentu pernah ternampak. Jadi, to believe or not to believe is always up to the individual. Lagi pula sukar untuk menjelaskan tentang dunia mistik/ghaib kepada masyarakat kerana adanya teknologi/fakta sains/penyelidikan, dunia zaman ini hanya inginkan penjelasan yang boleh diterima akal.

Sehingga kini masih banyak perkara yang sukar untuk aku jelaskan. Aku dah boleh nampak sejak dari umur 3,4 tahun lagi dan jujur aku tersangatlah naif ketika itu. Bagi budak yang berumur 4 tahun, apakah logik pada dia? Deria rasa aku pula boleh tahan padu kerana setiap apa yang aku rasa dan ungkapkan pasti berlaku, di depan mata aku. Aku mulai seram sendiri bila aku semakin meningkat dewasa dan kadang-kala sumpah seranah yang aku lemparkan pada siapa yang menyakiti aku yakni seakan dimakbulkan. Mimpi pada kebanyakkan orang hanyalah mainan tidur. Tapi tidak bagi aku kerana tiap kali bermimpi aku akan cuba untuk mengingat semula. Kerana mimpi-mimpi aku merupakan bayangan kepada apa yang bakal berlaku. Jadinya aku sangat-sangat takut jika mimpi aku kurang baik sebab mimpi aku tak “terbalik”. Apa yang dimimpikan, itulah gambaran sebenarnya. Bagaimana aku sepasti ini? Dari umur 4 tahun sehingga 27 tahun, I think I’ve come to know and understand myself. Itu saja penjelasan yang boleh aku berikan. Logik? Kita huhuhu je lah bersama. Di sini aku akan kongsikan kisah-kisah mengenai sixth sense aku 

[PERTAMA KALI]

1994. Rumah kampung. 9:00 malam. Aku yakin ini adalah malam sebelum Gawai atau Krismas sebabnya kami sekeluarga berkumpul dan budak-budak di kalangan sepupu sepapat aku tengah rancak bermain di luar rumah. Aku duduk seketika kerana keletihan sambil memerhatikan gelagat sepupuku yang lain. Seronok sungguh rasaku kerana aku tidak tinggal di bandar yang sama dengan mereka, balik kampung pun hanya 2 kali setahun kerana komitmen kerja orang tuaku. Tiba-tiba aku ternampak susuk tubuh yang aku yakin pasti gerangannya adik bongsu mak aku, Tom. Uncle Tom kelihatan seakan membawa plastik berwarna hitam.

“Ohh, Uncle Tom buang sampah,” aku berkata dalam hati.

Semakin dekat dia menuju ke arah pagar rumah untuk membuang sampah, bayangannya seakan hilang tidak kelihatan. Memang pagar rumah kampung agak gelap tetapi tidak mungkin sehingga bayangnya tidak kelihatan kerana cahaya bulan dan juga lampu dari tempat parkir kereta cukup cerah.

“HAHAHAHAHAHAHAH!”, kedengaran gelak tawa Uncle Tom dari dalam rumah!

Ahhh, sudah. Aku berlari masuk dan menghampiri nenekku. Aku rapat dengan nenek aku berbanding kedua ibu bapaku. Mungkin kerana nenekku yang mengasuh aku sejak kecil.
“Nek, bukankah tadi Uncle Tom keluar untuk membuang sampah,” tanyaku pada nenek seakan berbisik. Seolah-olah takut akan didengari oleh Uncle Tom.
Nenek mengerutkan dahinya sambil menggeleng.

“Betul nek. Tadi Selena nampak Uncle Tom berjalan keluar membawa plastik sampah. Tetapi tiba-tiba Selena dengar suara gelaknya dari dalam rumah. Padahal Selena tak nampak dia berjalan masuk semula,” aku masih cuba untuk menjelaskan panjang lebar kerana tidak mahu dikata menipu. Nenek hanya mengusap lembut kepalaku dan menyuruh aku bermain semula. Sudahnya keesokan hari, aku demam seminggu. Uncle Tom ke tu? Sampai sekarang aku tidak tahu.

[KAU TAK SUKA, AKU LAGI BENCI]

2007. SMK. Makmal Biologi. Aku boleh tahan nakal zaman belajar dulu. Masalahnya masuk Universiti pun nakal, dah kerja pun nakal. Tsk. Perangai! Hahaha. Tapi senakal aku, result aku okay dan aku bukan jenis kurang ajar. Lagi pula mak aku cikgu di sekolah aku. Seram beb. Masa sekolah menengah, aku aliran sains dan Cikgu Bio aku (Cikgu Roar! Macam Roar singa tu, tapi ini singa jadian) macam tak suka aku. Macam mana aku tahu? Dalam kelas bukan main dia punya “wow, you’re so clever blah blah blah”. Belakang aku? Cerita sinetron apa entah dia khabar dekat mak aku, naya je aku bila balik sekolah. Jadi aku tak suka duduk di depan masa kelas dia. Menyamps. Pada satu hari semasa kelas diadakan di makmal, si Roar ni lambat masuk. Kami sekelas mengagak kelas sebelum ini mungkin buat perangai dengan dia sebab dia punya mood mengalahkan tsunami. Kitorang sekelas pun diam dan menanti untuk menjalankan eksperimen. Salah seorang rakan sekelas aku pula tidak sengaja memecahkan tabung uji. Si Roar punya mengamuk macam kawan aku baru dah rampas laki dia. Memang marah gila si Roar ni. Dia maki kitorang bodoh, budak dari ulu tak pernah dan tak pandai guna alat radas dan macam-macam lagi. Aku pun elok je duduk dekat belakang kelas sambil conteng buku sambil mendengar luahan amarahnya.

Tiba-tiba dia “Selena, I know you don’t like me. Your body language shows!”

Aku punya geram, aku ambik semua barang aku dan bergerak menuju ke meja depan sekali. Sambil itu aku tanya, “What did I do wrong?”. Singa jadian pun diam dan masuk ke bilik belakang.

Spontan je aku menyumpah, “aku harap singa ni terjatuh, suka hati je nak marah orang” dan boleh didengari oleh rakan-rakanku. Keluarnya dia dari bilik belakang, PANGGGG dia terjatuh depan papan hitam. Kawak karib aku semua pandang aku. Aku pula tak tahu nak gelak ke nak rasa takut. Sudahnya sebab malu, dia keluar dari kelas. Tak lama lepas itu, dia pun pindah dari sekolah aku. I still don’t like you, singa. Selepas itu, aku akan cuba untuk tidak menyumpah keluarga, rakan-rakan rapat, artis kesayangan. Sebab kawan aku selalu kata “mulut aku masin”. “Masin” in a bad way lah. Jangan diamal ye kawan-kawan.

[PALING MENAKUTKAN]

Tamat sahaja zaman Universitiku, aku mendapat kerja yang menempatkan aku di Perak. Bandar mana? Biarlah rahsia untuk menjaga nama ramai pihak. Kami berempat dari syarikat yang sama tetapi bahagian berbeza telah ditempatkan di sebuah rumah dua tingkat berhadapan tempat kerja. Jalan kaki hanya mengambil masa 5 minit. Aku, Siti, Nur dan Vee agak kecewa dengan rumah tersebut. Tetapi mengenangkan ianya ditanggung oleh syarikat dan juga berdekatan dengan pejabat, redha je lah. Rumah suram itu mempunyai 1 ruang tamu, 1 dapur, 3 bilik tidur dan dua bilik air (1 dibawah,1 diatas). Aku dengan Vee sebilik (master bedroom) manakala Siti dan Nur sebilik (sebelah bilik aku dan kedua bilik menghadap pejabat dan jalan besar).

Bulan ketiga dan seterusnya memang penuh dengan aura negatif dan menyebabkan aku kurang selesa. Kami serumah juga sering bertengkar padahal kami cukup rapat dan saling menjaga. Yelah, semua pun perempuan dan masing-masing jauh dari keluarga. Ada juga kes di mana pertengkaran menyebabkan Siti pindah keluar dari bilik dia ke bilik aku dan Vee. Memandangkan master bedroom itu luas, kami tiada masalah.

Nak tambah unsur seram, jiran kami pula sering mendera isterinya. Bunyi barang pecah, bunyi dia mengheret isterinya dari tingkat atas ke bawah, bunyi pukulan, hentakan, semua itu menyebabkan kami takut sebab bilik kami bersebelahan dan bila aku membuka pintu balkoni, aku boleh melihat dengan jelas bilik suami isteri jiran aku. Selepas rumah mereka didatangi polis kerana ada yang melaporkan kes penderaan itu, mereka pun pindah. Dan suami jiran menuduh kami yang menghubungi polis tetapi sumpah kami tidak pernah mencampuri urusan mereka. Aku berharap bini dia selamat di mana pun mereka berada.

Malangnya selepas 6 bulan kami tinggal di rumah itu, kami dijadikan sasaran mungkin kerana mereka menyedari hanya kami 4 orang perempuan sahaja di situ, jiran pula takda. Rumah kami mula dicerobohi penagih dadah etc. 4 dari kes pencerobohan tersebut, 2 merupakan kes polis dan 1 kes itu pelakunya telah ditahan masuk lokap. Scary? Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Sob Sob Sob.

Kegemaran kami ialah bihun sup dekat dataran Ipoh. Whoa, syiok! Malam itu setelah menikmati hidangan kegemaran, kami pun bertolak pulang dalam pukul 10.30 malam. Sesampainya di rumah tiba-tiba aku memberi arahan agar tiada siapa pun turun dari kereta. Aku juga tidak tahu kenapa aku rasa yang ianya tidak selamat untuk kami masuk ke rumah. Semua yang berada di dalam kereta diam. Aku mengarahkan Siti yang memandu untuk menyemak keadaan perumahan sebelum kami masuk ke rumah. Semasa kami ingin menuju ke kawasan belakang rumah, kami terlihat seorang lelaki berhelmet merah sedang berdiri di pagar belakang rumah.

Disebabkan rumah kami rumah kedua hujung jadi dapat dilihat dengan jelas lelaki itu dari hujung lorong. Dia khusyuk sangat mengintai sehinggakan tidak sedar akan kami yang memerhatikan tingkah lakunya di dalam kereta dari hujung lorong. Siti memecut ke arah pondok polis bantuan syarikat dan meminta tolong anggota. Bila ditanya, dia kata dia membuang air kecil. Masalahnya lama benar dia berada di situ. Malangnya kami tidak dapat membuat laporan keatasnya kerana dia tidak memasuki kawasan rumah. Patutlah hati aku rasa kurang enak. Bayangkan apa yang bakal terjadi jika kami masuk ke rumah lalu dia menceroboh? Rupa-rupanya banyak laki rakannya yang menunggu di hujung lorong belah nun.

Kes terakhir ini benar-benar membuatkan aku trauma sehingga kini dan menyebabkan aku rela kehilangan kerja dengan meletak jawatan. Suatu malam Jumaat, kami bertiga kecuali Nur pergi melepak di Mcd. Sampai rumah dalam pukul 2 pagi. Pukul 2.30 pagi, Siti pun menutup lampu bilik. Aku menyumbat telinga dengan earphone, mataku mengantuk tetapi aku sukar hendak lelap. Katil aku terletak bersebelahan tingkap. Itu satu-satunya tingkap di bilik. Sebelah tingkap adalah pintu yang menuju ke balkoni. Aku terpandang tingkap dan aku perasan langsir seolah ditolak dari tepi. Pelik fikirku. Jika ianya ditiup kipas, tak mungkin langsir itu terselak paling pun ia hanya bergerak sedikit. Kali kedua aku memandang ke arah tingkap, mata bertemu mata. Aku berteriak sehingga roommates aku menyangka aku histeria. Siti pula lambat buka lampu. Tetapi Nur yang berada di bilik sebelah sempat menilik dan ternampak susuk yang memakai semua hitam. Dia melompat dari balkoni dan menjangkau tembok pagar setinggi 6 kaki dengan satu loncatan sahaja dan menghilang sekelip mata. Who can do that? Manusia ke?

[ADA YANG JAGA KE]

Aku jenis baran. Baran yang tak cantik bagi seorang perempuan. Tapi itu memang karakter aku dan aku perasan bila aku marah yang teramat, aku mempunyai kekuatan yang tidak tahu dari mana datangnya. Kalau berkawan pun tidak lama, bila dah memasuki tahun keempat mesti terputus. Anggap je lah bukan jodoh. Sehingga teman lelaki aku yang sekarang ini menegur bila aku marah, marah itu semacam. Pernah sekali kami bertengkar, teman lelaki aku mencengkam bahu aku dan menjerit, “hantu apa kau ni, keluar dari badan dia”. Kalau nak nasihatkan aku untuk berubat, ustaz pun aku pernah jumpa. Ustaz cuma kata ada benda, kena kawal marah dan dia tidak memberi penjelasan lebih.

Aku pernah tanya nenek adakah asal usul kami mempunyai penjaga dan nenekku cakap zaman moyang aku ya tapi apa pun benda itu, ia tidak pernah diturunkan ke anak cucu. Masa aku sekolah rendah, keluarga kami yang tinggal di berlainan bandar selalu didatangi ular. Kisahnya di rumah kami, ular itu akan datang sebelum tengah hari dan melilit dirinya di grill pintu. Tetapi ular itu tidak kacau mahupun bertindak ganas. Dia seolah-olah tolong mengawasi rumah. Tiap petang bila bapaku pulang kerja, dia akan membuang ular itu jauh dari rumah tapi keesokkan harinya, ular itu datang semula.

Perkara tersebut berlarutan selama seminggu sehinggalah mak aku menelefon nenek aku dan nenek aku memberitahu agar kami tidak mencederakan ular yang bertandang ke rumah. Sebabnya, rumah kakak mak aku, Makcik Rita didatangi ular lalu suami Makcik Rita memukul ular itu. Malam itu Makcik Rita bermimpi moyang aku bertanyakan kenapa suaminya memukulnya kerana dia hanya ingin melawat anak cucunya. Nasib baik suami Makcik Rita tidak membunuh ular itu. Adakah benar itu jelmaan moyangku atau permainan syaitan, tiada yang tahu melainkanNYA.

Sehingga kini aku masih sendiri. Aku andaikan jodoh aku disesatkan oleh Waze. Rezeki kerja aku rasa syukur sebab ianya sentiasa ada. Aku cuba untuk kawal kemarahan dan emosi. Aku percaya Tuhan itu ada sebab aku pernah merasakan kekuasaannya. Aku masih mempunyai deria untuk melihat, merasa dan bermimpi. Dan aku masih cuba untuk memahami dan mentafsirkan kehidupan harianku.

Aku berharap agar suatu hari nanti apa yang perlu aku tahu akan ku ketahui dan semoga ianya bermanfaat.

Terima kasih jika sudi membaca andai dipaparkan 

Loading...

4 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *