Zara hidup dalam keluarga yang susah. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Ibunya selalu tidak sihat, ayahnya mencari nafkah untuk keluarga dengan bertani. Pendapatan yang tidak menentu. Zara dan adik-adiknya selalu ke sekolah tanpa sarapan pagi dan duit belanja pun tidak ada. Mereka ke sekolah berjalan kaki sejauh 3 kilometer. Balik dari sekolah badan bergegar kelaparan.
Kerana itulah, untuk meringankan beban ibu dan ayah yang menanggung 7 orang anak dengan pendapatan yang tidak seberapa. Zara sebagai anak sulung berusia 14 tahun dan seorang adik lelaki yang jarak usia mereka hanya setahun terpaksa bekerja pada hari cuti sekolah ataupun hujung minggu. Dapatlah mereka duit belanja untuk ke sekolah.
Adik lelaki Zara mengambil upah di kebun orang ataupun jika ada projek membuat bangunan, disitulah adiknya bekerja mengangkat air, membancuh simen, mengangkat bata dan semua kerja yang seharusnya dibuat oleh orang dewasa. Zara pula bekerja di kilang cendawan bersama seorang kawan baik bernama Shila.
Untuk ke kilang cendawan mereka terpaksa berjalan kaki sejauh 2 kilometer. Laluan untuk ke kilang agak membukit. Penat jangan cakap, kadang mereka terpaksa duduk berehat di tepi jalan. Sekali sekala ada juga orang baik yang tumpangkan mereka naik kereta.
Satu hari, Shila mencadangkan mereka bermalam di rumah kawan yang berdekatan dengan kilang cendawan. Kalau mereka menumpang di situ tidaklah penat sangat berjalan kaki. Kebetulan cuti sekolah selama 3 hari. Jadi mereka ambil peluang itu untuk mengumpul duit belanja.
Nasib baik juga ibu bapa masing- masing membenarkan mereka menumpang di rumah kawan kerana mereka amat mengenali keluarga tersebut. Ada bau-bau bacang juga dengan keluarga Zara.
Selepas pulang dari sekolah, Zara dan Shila mengemas pakaian untuk kegunaan selama 3 hari. Mereka bertolak sekitar jam 4.30 petang. Sepanjang perjalanan mulut masing-masing becok bercerita pasal itu dan ini.
“Aku rasa hendak terkencinglah pula.” Kata Zara sambil memerhati kiri kanan mencari tempat untuk membuang hajat.
“Takkan kau nak kencing di belukar tu pula. Bahaya! Banyak ular dekat sana.”
“Aku dah tak tahanlah. Nanti aku terkencing dalam seluar pula.”
Shila tergelak kecil apabila melihat tingkah Zara yang sudah tidak keruan. Sekejap dia bersilang kaki menahan kencing. Sekejap dia berjalan mundar-mandir dengan dahi berkerut.
“Ok tahan sikit lagi Zara. Masuk simpang sana ada tandas. Kau dah lupa ke? Lagipun kalau kau buang hajat di belukar tu nanti orang nampak, malu kau nanti. Tengok di atas tu ada rumah orang. Nanti dia orang nampak wayang free dalam belukar tu pula.”
Terkekeh-kekeh Shila ketawa. Entah apa yang lucu sangat pun Zara tidak tahu. Dia berjalan laju meninggalkan Shila di belakang. Dia betul-betul sudah tidak tahan. Sampai di bangunan yang sudah usang dengan dindingnya sudah dijalari rumput nampak agak menyeramkan. Namun Zara sudah tidak peduli. Dia letak begnya di luar kemudian masuk ke dalam tandas.
Selesai membuang hajat dan mencuci apa yang patut, Zara terus keluar mendapatkan Shila. Namun kawannya itu tidak kelihatan di mana-mana. Tadi masa di dalam tandas dia mendengar suara Shila menyanyi-nyanyi lagu kegemarannya.
“Shilaaa… Kau di mana? Janganlah main-main. Kita kena cepat ni, dah nak masuk maghrib tahu tak!”
Zara terus melangkah menuju ke jalan besar. Dari jarak beberapa meter dia nampak sesusuk lembaga sedang duduk di tepi belukar. Dia nampak dengan jelas pakaiannya berwarna putih. Pakaian Shila bukan putih tapi merah dan bertopi hitam.
Agak berdebar juga dada Zara bila semakin menghampiri lembaga tersebut yang duduk membatu di situ. Langsung tidak bergerak dan wajahnya menghadap ke hadapan. Memandang ke arahnya pun tidak, padahal bunyi derap kasut Zara begitu kuat.
‘Mudah-mudahan dia ni bukan orang jahat. Habis aku nanti, sudahlah Shila entah ke mana.’ Zara bersungut dalam hati.
Apabila Zara semakin dekat, tiba-tiba lembaga itu berpaling. Seperti mahu tercabut jantung Zara apabila melihat lembaga itu tersenyum lebar ke arahnya. Dia kenal benar dengan lelaki itu. Lelaki berusia lewat 40-an dan masih bujang. Yang selalu memakai jubah putih dan berserban ke mana sahaja dia pergi. Selalu berada di pekan merayau di sekitar bangunan kedai tidak ketahuan tujuan dengan sebatang tongkat yang sentiasa setia menemani walaupun elok sahaja dia berjalan.
Baru sahaja Zara hendak menegur, bertanyakan apa dia buat di situ senja-senja ini. Tetapi dia terperanjat apabila lelaki itu merenungnya dengan tajam. Yang peliknya sebelah biji mata lelaki itu seperti terperosok ke dalam. Sekeliling matanya yang terperosok itu kelihatan hitam. Bukankah sebelum ini wajah lelaki itu normal sahaja tanpa kecacatan. Zara terpaku sekejap tidak tahu hendak berbuat apa. Kakinya bagai dipasung.
Lelaki itu berdehem agak garau, bunyinya begitu menyeramkan pada pendengaran Zara. Ketika lelaki itu mula bergerak seperti hendak berdiri, Zara menjerit sekuat hati kemudian dia pantas berlari berpatah balik menuju ke tandas.
Zara mengambil jalan pintas meredah belukar melalui belakang tandas. Dia sudah tidak peduli pada duri yang mencucuk di lengan. Rumput-rumput panjang melebihi ketinggian Zara. Terasa pedih kulit mukanya bila daun lalang menghiris kulit mukanya tetapi Zara sudah tidak peduli semua itu, yang penting dia mahu cepat sampai ke jalan besar. Sesekali Zara menoleh ke belakang takut kalau lelaki itu mengekorinya.
Sampai di jalan besar, Zara terduduk di atas tar. Tercungap-cungap Zara mengambil nafas. Seperti seekor ikan yang terdampar di daratan. Suasana semakin gelap dan sunyi sepi. Sebuah kereta pun tidak kelihatan melintas. Entah ke mana pergi semua orang. Takkan semuanya sudah berada di rumah masing-masing.
Zara terus menangis mengongoi macam budak kecil apabila matanya ternampak kelibat lelaki berjubah putih dan bertongkat itu sudah berdiri tidak berapa jauh di hadapannya. Lelaki itu terus memandang ke arahnya dengan senyuman yang sukar ditafsir maknanya. Jubahnya kelihatan berkibar-kibar bagaikan ditiup angin sedangkan cuaca ketika itu elok sahaja.
Zara terus berdiri dan bersedia untuk memecut. Namun langkahnya tersekat apabila seliparnya yang sebelah kanan tiba-tiba terputus dua pula. Bila Zara periksa rupa-rupanya tapak kaki seliparnya di bahagian tengah seperti dibelah dengan pisau yang terlalu tajam. Entah apa benda yang dia terpijak semasa meredah belukar tadi. Nasib baik tapak kakinya tidak terbelah macam selipar itu. Sedikit luka pun tidak ada.
Zara mengambil keputusan membuang kedua-dua seliparnya ke dalam belukar. Dia akan berlari berkaki ayam sahaja. Satu tamparan lembut di bahu membuatkan Zara menjerit kuat. Dia sudah membayangkan lelaki aneh itu berada di belakangnya dengan senyuman lebar sampai ke telinga. Dan dia juga membayangkan sebatang tongkat mengenai kepalanya hingga retak.
“Hei, kenapa ni Zara? Dahlah tadi kau tinggalkan aku begitu saja. Aku cari di tandas tak ada, aku sempat ke rumah orang dekat kebun sana manalah tahu kau pegi melepak di situ pula. Kenapa kau nangis ni Zara? Cuba cerita kat aku.” Shila bertanya apabila melihat Zara menangis teresak-esak. Matanya melilau melihat sekeliling tapi tiada apa yang aneh pada pengelihatannya.
Zara memandang ke arah lelaki tadi dan dia masih berdiri di situ. Memandang ke arahnya dengan senyuman lebar. Tidak penat kah lelaki itu asyik tersenyum dari tadi. Dia tidak tahu kenapa lelaki itu berada di situ. Seolah-olah mengekori di mana sahaha dia berada. Anehnya apabila Zara memberitahu pada Shila akan keberadaan lelaki itu, Shila cakap dia tidak melihat sesiapa di situ melainkan hutan belukar sahaja.
Meremang seluruh badan Zara dibuatnya. Dengan pantas dia menarik lengan Shila. Mereka berlari pantas seperti berlumba pula gayanya. Shila yang kehairanan terpaksa mengikut rentak Zara. Sudahlah belum hilang penat Shila berlari ke sana ke mari mencari Zara tadi, sekarang mereka sambung pula memecut.
Sambil berlari Zara menceritakan apa yang dialaminya tadi, termengah-mengah dia bersuara. Serta merta Shila melurut bulu tangannya yang terasa meremang. Tengkuknya kembang.
“Zara! Berhenti dulu. Ada orang kat depan tu.” Shila menarik baju Zara. Larian Zara serta merta terhenti. Hampir saja dia tersembam ke atas jalan kerana tidak dapat menyeimbangkan tubuh.
Dada masing-masing berdebar kencang seolah-olah seperti mahu meletup. Penat berlari belum reda, kini mereka berdepan pula dengan dua orang lelaki yang sedang berdiri di tepi parit yang agak terlindung dengan lalang separas pinggang.
Lelaki berdua itu kelihatan bercakap-cakap sambil sesekali menoleh ke arah dua orang gadis yang sedang ketakutan itu. Kemudian mereka tersenyum penuh makna. Kecut perut Zara dan Shila melihat tingkah lelaki itu.
“Apa kita nak buat ni? Di belakang ada orang tapi tak tahu hantu ka apa sebab aku sorang yang nampak kau tak nampak. Di depan ni lagi bahaya, habislah kalau dia orang apa-apakan kita. Sudahlah gelap ni, lampu jalan pun rosak. Sebuah kereta pun tak ada.”
Shila menarik Zara ke tepi, berlindung di sebalik pokok kayu putih yang besar. Zara hanya terkebil-kebil memandang Shila memungut beberapa ketul batu, lalu mengambil payung di dalam begnya. Payung itu dibuka lalu dikuncup semula dalam keadaan memanjang. Shila isikan batu-batu tersebut sampai berat kemudian dia pegang hujungnya supaya payung itu tidak terburai.
“Kau nak buat apa dengan payung ni?” tanya Zara macam orang bodoh.
“Untuk dibuat senjatalah, apalagi. Kalau lelaki tu menyerang kita, aku hayunkan saja payung ni ke muka mereka.” Jawap Shila. Dia sendiri pun tidak pasti senjata dia itu berguna atau tidak. Entah-entah lelaki itu ada senapang atau parang. Apalah tenaga mereka sebagai perempuan untuk melawan. Yang penting Shila sudah berusaha untuk membuat senjata sebagai perisai.
Shila dan Zara kaku di tempat persembunyian apabila mendengar derap tapak kaki berlari menuju ke arah mereka. Degupan jantung mereka semakin laju, peluh menitik di dahi masing-masing. Tiada tempat untuk mereka melarikan diri lari lagi. Di belakang mereka adalah bukit. Tidak mungkin mereka hendak mendaki bukit yang curam itu.
Shila tiba-tiba keluar ke tengah jalan sambil menjerit marah-marah sambil melibas payung di tangannya ke kiri dan ke kanan. Dua orang lelaki tadi mengelak serangan Shila. Mereka berlari macam lipas kudung pergi dari situ. Apa yang Zara lihat, tingkah dua orang lelaki tadi bukan takut pada kehadiran Shila. Tetapi seperti ada yang mereka takutkan mengejar mereka dari belakang. Salah seorang dari mereka sesekali menoleh ke belakang dengan riak wajah ketakutan.
“Hah! Pengecut rupanya korang. Baru kena gertak sudah lari macam kena kejar hantu. Ha…ha..ha…ha…”
Shila ketawa terbahak-bahak. Terasa bangga pula bila berjaya menakutkan dua orang lelaki tidak dikenali itu. Zara hendak menjelaskan perkara sebenar tetapi dia risau kalau-kalau Shila terasa hati pula. Sudahnya dia pendamkan saja dalam hati.
Mereka tidak membuang masa lagi, langkah diatur panjang-panjang. Sekejap mereka berlari sekejap berjalan. Rumah kawan mereka sudah tidak jauh. Zara terasa seperti ada yang mengekori mereka dari belakang tetapi dia tidak berani menoleh lagi.
Ketika melewati jambatan kayu, secara tidak sengaja Shila terpandang kelibat putih nun di atas batu sedang berdiri tegak memandang ke arah mereka. Zara terus berlari mendahului Shila, kedua gadis itu menjerit-jerit seperti kerasukan.
Mereka tidak sedar tubuh mereka sudah terpacak di hadapan rumah Anoi kawan mereka. Beberapa orang jiran keluar apabila mendengar suara menjerit-jerit di luar. Masing-masing bertanya apa yang terjadi.
“Kami dikejar anjing.”
Entah kenapa perkataan itu yang keluar dari mulut Zara. Terjojol biji mata Shila memandangnya. Zara hanya mengerdipkan mata pada Shila dengan harapan kawannya itu memahami maksudnya.
“Lain kali kalau nak ke sini bertolaklah awal-awal. Bahaya anak gadis berjalan senja-senja. Kalau ada penjahat, buat apa-apa dengan kamu berdua lagi naya. Nasib baik dikejar anjing saja. Syukur kamu tidak digigit.”
Shila dan Zara hanya diam tidak berkutik apabila Mak Supiah berleter di depan mereka dan jiran-jiran. Tebal juga muka mereka dibuatnya.
“Kenapa kau berahsia sangat ni? Kenapa tak jelaskan saja pada mereka yang kita ternampak hantu, lepastu hampir diganggu dua orang lelaki tu.”
Shila berkata perlahan kepada Zara ketika mereka sudah berbaring di atas katil. Selepas mandi tadi mereka dihidangkan dengan makanan ala kadar, selepas berbual-bual dengan Anoi sekejap mereka masuk tidur. Ada sesuatu yang Zara takut berlama-lama di ruang tamu.
“Hisy, takkan aku nak cerita semua. Kau tak tahu ke, orang yang aku jumpa tidak jauh dari tandas tu. Aku yakin kau pun kenal, lebih dari kenal.” Zara bersuara separuh berbisik. Ditarik selimutnya sampai menutup kepala. Hanya muka yang dibiarkan terdedah.
“Ya tak ya juga kan. Aku kenal orang tu, adik kepada makcik Supiah. Tapi kan dia belum m**i lagi. Elok sahaja aku nampak berjalan-jalan di pekan. Siapakah dia? Macam mana dia boleh jadi hantu? Adakah dia ataupun keluarganya ada membela?”
Bertubi-tubi pertanyaan keluar dari mulut Shila. Persoalan itu juga yang muncul di benak Zara. Tapi dia takut untuk bercakap banyak.
“Aku rasa cukuplah semalam saja kita tidur di sini. Esok petang lepas kerja kita balik. Aku takutlah. Masih terbayang-bayang muka seramnya tu.” Zara menyuarakan isi hatinya. Dia benar-benar takut terserempak dengan lelaki itu di rumah ini. Tiga malam bukannya sekejap. Apalah nanti dia hendak jawap kepada keluarga Anoi bila melihat tingkah pelik Zara dan Shila sekiranya lelaki itu muncul walaupun mungkin dia kelihatan sempurna tanpa cacat cela pada wajah.
Sepantas kilat Zara menutup mulut Shila dengan tapak tangannya apabila melihat gadis itu cuba hendak bersuara semula. Zara menuding ke tingkap. Mereka terus berselubung dalam selimut.
Langsir tingkap lupa ditutup. Seperti ada hembusan dingin masuk dari celahan cermin tingkap yang sedikit terkuak. Ada kepala yang terjengul di situ, menampakkan seraut wajah pucat dengan sebelah biji mata yang terperosok jauh ke dalam. Tersenyum lebar sehingga ke telinga. Siapakah dia?
Tamat…
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit