Siapakah Gerangan Nenek Itu?

Assalamu’alaikum kepada Team FS dan pembaca setia sekalian. Terima kasih kepada admin dan petugas kerana telah menyiarkan cerita yang aku hantarkan dulu di laman ini yang bertajuk “Pelesit Dikala Maghrib”. Aku Kay a.k.a Masked Rider Hunter (berangan kejap). Selepas kejadian aku kena rasuk dengan Pelesit tuh semangat aku jadi lembik serupa moi sup. Kalau abang aku tutup pintu ais kuat sikit pun aku boleh gheyau(nangis), trauma yang cukup dahsyat! Budak baru berumur 6 tahun kot. Kali ni aku ceritakan kisah adik aku pula yang kena rasuk. Panjang sikit kali ni.

Tahun mula silih berganti, dari umur 6 tahun menjejak ke 8 tahun. Dari tak sekolah, aku dah start sekolah, semasa kejadian tuh aku darjah dua. Disebabkan student ramai, sekolah pulak kecik jadi pihak pentadbiran sekolah menempatkan budak darjah dua, tiga dan empat diletakkan disesi persekolahan petang, manakala darjah satu, lima dan enam disebelah pagi. Adik aku pulak tadika pagi-pagi. So hilanglah masa aku horey-horey dengan adik aku. Beza umur kami berdua hanyalah 2 tahun. Aku dengan adik lelaki aku dulu rapat. Mana aku pi mesti dia ada! Tangkap pepatung guna raket, masuk parit cari ikan karen (spesies macam ikan laga, tapi kaler tak menarik) yang best kami sauk ikan tuh guna penapis sayur mak aku! Penapis tuh kami curi-curi bawak keluaq, kalau tak buat macam tuh mau berbirat tengah belakang kena rotan. Macam-macam lagi la kami buat. Cuma sekarang sahaja hubungan tu makin renggang, mungkin sebab perbezaan ideologi dan pemikiran. Masing-masing sibuk dengan kehidupan masing-masing. Sedih jugak laa bila kenang balik memori dulu-dulu nih. Oke sambung balik.

Ayah aku nih dulu dia kalau shopping beli barang sekolah kaa, mesin tebu kaa, kipas angin kaa, dia mesti akan pi beli dekat Kepala Batas. Sedangkan rumah kami kat Sungai Petani. Jarak antara dua tempat ni aku tak berapa pasti, tapi perjalanan selalunya ambil masa dalam 30-45 minit bergantung pada keadaan trafik. Kadang aku pun pelik, kat pekan Sungai Petani ni takdak kedai ka? Rupanya dekat Sungai Petani dulu takda Bank Islam hanya BSN sahaja, dia pulak memang jenis suka simpan di Bank Islam. So, sesi persekolahan 1998 pun bakal bermula sekali pulak adik aku Chot nak masuk tadika, sekali harung laa beli kelengkapan persekolahan. Pesyen orang dulu-dulu kalau beli baju sekolah kaa, kasut kaa mesti oversize! Tarak nak fit-fit punya haiihhh! Jenis boleh pakai 2-3 tahun terus! Hangpa semua pun mesti adakan pengalaman macam ni kan? alasan dia kenapa beli besaq-besaq, sebab aku pun akan besaq. Demmm…speechless terus.

2-3 hari sebelum bermulanya sesi persekolahan, kami pun berangkat dari Sungai Petani ke pekan Kepala Batas. Semasa ayahku keluarkan duit di Bank Islam, aku, adikku, dan ibuku menunggu diluar sebab kami ni buas. Bila bosan mula laa segala benda nak panjat! Sebab tuh ibuku tak berani tunggu didalam. Punya seronok duk main lari-lari aku perasan dekat seberang jalan ada sepohon pokok ketapang, belakang pokok ketapang tuh aku nampak ada seorang nenek tua dengan fizikal yang bongkok memegang tongkat buruk dengan berselendangkan kain batik dikepala sedang memerhatikan gelagat kami bermain. Aku pun pi kat mak aku, “Mak, mak…tengok tuh mak ada tok dok tengok belah sini, mak kenai ka dia?”. Mak aku pun mendongak sedikit dan merenung kearah pokok ketapang tuh, lalu terus bangun dan menarik kami ke sebuah kedai borong berdekatan tanpa melayan pertanyaanku. Seperti cuba mengelak perhatianku dari memerhati nenek tersebut. “Mak, kita nak pi mana mak?”, tanyaku kepada ibuku. “Mak nak beli kat hangpa aiq kotak, nak dak?”, balas ibuku. Kalau hangpa nak tau, mak aku dulu time kami kecik garangnya dia mengalahkan ayah aku, walaupun ayah aku tuh askar. So, bila dia buat baik macam tuh kami jadi hairan…bukan hairan sebab nak belanja aiq kotak tapi hairan dengan nada percakapan yang lembut. Aku pusing balik untuk melihat kearah pokok ketapang tuh, nenek tadi takdak. Aku tengok mak aku, mak aku tengah sibuk layan adik aku. Aku abaikan.

Ayah aku pun keluar dari bank tersenyum kecil melihat anaknya memegang air kotak milo, seorang dua kotak pulak tuh. Tak kalah!

Sejurus selepas itu kami pun terus berangkat ke sebuah kedai cina di tengah pekan Kepala Batas untuk membeli kelengkapan persekolahan.
Sesampainya dikedai;
Tokey Cina : Haloo kawan, banyak lama tarak datang….manyak sibuk ka?
Ayahku : Sibuk sikit la tokey.
Tokey Cina : Ooohh…itu macam ka? Hari ni apa u mau angkat?
Ayahku : Ni haa, nak cari baju sekolah dengan kasut serlom (kasut yang bertutup…senang cerita sneakers)…lepas tuh pensil apa semua la. Tapi jangan kira mahai sangat tokey.
Tokey Cina : Boleh, u punya pasai aa…kita kasi offer sikit laa. Anak mau sekolah mesti duit manyak u kena pakai nanti-nanti. Ini barang sapa mau pakai?
Ayahku : Ini haa..hang cari sepasang baju dengan seluaq untuk anak aku yang ni, yang lagi sorang hang ejas kasut dengan bag.
Tokey Cina : Uwaaaa, sudah manyak besar hoo U punya anak? Dulu kecik saja. Semua hero-hero kan? U punya kepala mesti ada pening
Ayahku : Mesti la tokey…hahahaha! Semua buas-buas.

Ketika itu aku dengan adik aku teruja melihat pelbagai beg kartun yang digantung. Pelbagai jenis dan warna. Kena pulak time tu beg jenama Swan yang boleh tarik macam beg bagasi tuh keluar. Memang menjerit la aku dan adikku hendakkan beg tuh. Penat mak aku melayan karenah hero dua orang ni. Tapi apakan daya, dengan bajet yang ngam-ngam adik aku jaa dapat. Itu pun bukan beg Swan, tapi beg Ultraman Taro yang entah apa jenama dia. Aku pulak terpaksa guna beg-beg lama abang aku. Sedih laa sekejap. Semasa sesi pilih-memilih mata aku tertancap dengan satu susuk fizikal yang baru tadi aku tengok di satu sudut hujung kedai apek. Ya, nenek tua sebentar tadi. Mukanya seperti orang tua biasa, penuh kedut tapi matanya merah macam baru kena ganja melihat tepat kearah kami sambil melirikkan matanya kearah adikku. Aku hanya melihat kebingungan. Ibuku macam perasan dengan gelagat aku mula menarik perhatian aku dengan menunjukkan buku mewarna Power Rangers. Terus hilang tumpuan aku terhadap nenek tua tuh. Sambil membelek buku mewarna aku perasan yang adik aku yang tadi bising-bising diam melihat kepada bola plastik yang digantung didalam jala putih dengan penuh khusyuk dan mata bersinar-sinar! Naluri si abang mula menimbul, lalu aku minta kepada ayahku untuk membeli bola tersebut kepada adik aku. Dengan alasan boleh kami main bersama nanti. Kiranya buku mewarna Power Rangers yang aku pegang kejap dan berniat untuk memilikinya aku kensel la dulu. Akan tetapi, tanpa aku sedari bahawa bola tersebut bakal menjemput tetamu yang tidak diundang bertandang ke rumahku.

Setelah azan Zohor berkumandang di masjid jamek yang berada berdekatan kawasan itu, ayahku pun mengambil keputusan untuk singgah sebentar dirumah arwah tok aku untuk berehat dan menunaikan rukun Islam yang kedua disamping menziarahi beliau. Sesampainya, dirumah arwah tok aku, ayah aku pun terus mengambil wuduk dan menunaikan solat. Aku, adikku dan ibuku berehat diruang tamu sambil ditemani arwah tok aku. Tiada perubahan kepada adik aku, cuma dia khusyuk betul dengan bola dia. “Kay, jom main bola nak?”, tanya dia kepadaku. Aku yang kebosanan pun tanpa berlengah lagi bersetuju dan terus melompat dari kerusi dan berlari keluar rumah. “Ya Allah budak-budak nih, cuba beradab sikit hangpa oii, kat rumah tok pun nak berlari!Ni tok hangpa ni…”,marah ibuku sambil menggelengkan kepala. Tok aku hanya tersenyum melihat gelagat kami. Setelah ayah selesai solat, kami pun berehat sebentar sebelum bertolak pulang ke Sungai Petani. Dalam perjalanan pulang, ayahku membungkuskan mee kuah digerai tepi jalan untuk santapan abang-abangku yang berada dirumah dan selebihnya untutk santapan sesi malam.

Sesampainya kami di rumah waktu sudah petang, aku terus sibuk mengenakan busana sekolah yang baru dan menggayakannya dihadapan ibuku dan ayahku. Cewi la beb…bau kedai bak hang. Adik aku masih lagi khusyuk dengan bola plastiknya. Disebabkan aku tengah acah-acah model dihadapan ibu bapaku, adikku bermain sendirian diruang tengah rumah.

Buuuuummm!!!Buuuummmmm!!!Buuuuummmm!! Bunyi bagai sesuatu melanggar dinding dikawasan tengah rumah dengan agak kuat. Ibuku memanjangkan lehernya dan menjenguk. “Awat laa hangpa adik beradik semua buaih tak tau…Chot, simpan bola tuh dulu yang oiii. Esok-esok hang sepak puaih-puaih naa?”,kata ibuku. Adik aku Chot menyepak bola kebahagian dinding. Gaya macam cerita Shaolin Soccer tuh. Adik aku hanya mengerling tajam kepada ibuku lalu mendengus kecil bagai tanda protes. Ibuku tak ambil pusing sangat. Bukannya tak biasa dengan perangai hero-hero ciliknya.

Maghrib pun melabuhkan tirai. Ayah aku seperti biasa akan ke masjid untuk mengimarahkan rumah Allah s.w.t. Hanya abang aku yang ketiga, Din suka menuruti buntut ayah aku. Anak kesayangannya pulak.
Mee kuah yang dibeli sebentar tadi kami simpan dahulu untuk dijadikan juadah makan malam. Dulu-dulu punya portion banyak beb. Siap pakej sotong kering masak sambal diikat m**i sebagai pelengkap rasa. Jam di dinding pukul 8:45pm. Ayah aku belum pulang. “Mesti ayah hang lajak Isya’ terus kat masjid nih”, kata ibuku kepada kami. Lambat lagi laa boleh sapedek mee kuah tuh. Perut pun dah lapar. Tettt…televisyen jenama Sharp 19 inci dihidupkan. Siaran di televisyen memecahkan suasana keheningan malam. Kami sekeluarga melepak bersama dihadapan t.v sambil menikmati milo panas yang dibancuh oleh ibuku. Tiba-tiba;

Dummmmm!!!Duuuummmmm!!!Duummmmm!!!

“Allah…..Choooootttt!!!!Simpan dulu bola tuh!!!Ada jugak aku k***t satgi!!”, tempik ibuku. Bunyi itu pun senyap selepas ditempik ibuku. Dipanjangkan lehernya untuk memerhati adik aku. Tapi…ruang tengah rumah kosong, gelap. Tiada siapa hanya bola sahaja yang bergolek. Jenis kami sekeluarga, kalau tiada siapa didalam bilik atau dimana-mana dikawasan dalam rumah, lampu memang akan dipadamkan…sep karen. Kami sekeluarga ada diruang tamu. Adik aku ada baring disebelahku. “Mak, ceq duk ada tang ni mak…ceq tak main pun mak!”,sambil angkat tangan mencari perhatian ibuku. Diam. Kami sekeluarga diam selepas adik aku bercakap. Persoalannya ‘siapa’ yang sepak bola plastik tuh?

Bruuummm…bruuuummmm…bunyi enjin moto Honda bulat ayahku memecahkan kesunyian yang membisu. “Haaa…tuh ayah hangpa dah balik”, ibuku yang tadi wajahnya pucat lesi sudah menampakkan tona-tona warna dan berani untuk melangkah ke ruang tengah dan membuka lampu lalu menuju ke dapur. Aku pula membuntutinya. Ibuku bagai sedikit tersentak, bola yang bergolek tadi hilang. Tiada di ruang tengah. Kalau nak katakan adik aku ambil, masa bila? Hanya aku yang mengikut ibuku ke dapur. Dia masih baring di depan t.v bersama abang-abangku. Tak pulak kami perasan dia ikut kami, atau nampak kelibat dia ambil bola tu. Langkah dipercepatkan.

Mangkuk dan cawan dibawa ke ruang tamu. Kuah dibawa oleh ibu yang diisi didalam periuk, hanya mee yang masih berada didalam bungkusan dibawa aku yang diletakkan didalam mangkuk sebab senang nak pilih sambal sotong mana yang banyak dari yang lain. Hehehe. Ayahku pun membuka daun pintu rumah dan masuk bersama abangku Din. Setelah mengenakan baju pagoda putih dan kain pelikat dia turut serta duduk bersama bagi menikmati juadah malam itu. Ketika sedang sibuk-sibuk kami adik beradik berebut mee kuah (padahal semua dapat) aku perasan ibuku mengerling kepada ayahku bagai memberi isyarat bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Mulutnya muncung dan berkata tanpa suara. Ayah aku dapat mesej yang disampaikan. “Ada Hantu”. Ayahku mengangguk perlahan.

“Laaa…mangkuknya ada mak, sudu dengan garpu mana? Hadeh, Kay pi dapoq amik sat pa?”, kata abangku yang kedua Pian memecah keheningan. Aku yang takut-takut tadi bingkas bangun. Makanan depan mata berasap lagi. Hilang sejenak fikiranku terhadap hantu. Aku menapak dengan laju ke dapur membuka laci kabinet dimana sudu dan garfu disimpan. Bukan apa, takut sambal sotong kering bahagian aku diambil oleh adik beradik yang lain. Pintu tandas kedua yang tadinya tertutup terbuka sedikit demi sedikit dengan perlahan. Aku mula cuak. Aku terus capai sudu dan garfu dan mula untuk memecut ke ruang tamu. Tapi apakan daya, perasaan ingin tahu aku agak kuat. Semasa hendak memecut, pintu tandas kedua telah terbuka semua. Aku pun terpandang kearah dalam tandas.

Alangkah terkejutnya aku bila mata aku menangkap suatu objek yang seakan aku kenali berada didalam tandas tu. Nenek bongkok tadi!!!!Tapi mukanya lebih menggerunkan, kulit mukanya yang kedut bertompok dengan luka yang bernanah memandang tepat kearahku dengan bola mata yang merah pekat, dengan anak mata hitam yang sedikit besar dari normal. Dia memanggil aku dengan suara yang sedikit besar dan garau. “Kau nampak aku kan cuuuuuuuuu~”. Aku bagai hilang separuh suara, nafas dan semangat. Bagai nak pitam disitu. Apatah lagi selepas dia cakap macam tuh, diiringi pula dengan hilai tawa yang bagaikan cerita Mak Lampir yang dijual secara haram dipasar malam.

“Kay!!!!Cepatlaaah….jangan sampai aku amik sotong hang ni!!!!”,pekik Pian dari ruang tamu. Aku terus tersentap. Aku pandang kearah tandas, kosong. Cuma hilai tawa sahaja yang kedengaran perlahan. Air mata mula mengalir. Suara mula kembali. Kekuatan yang hilang tadi mula terbit sedikit demi sedikit “MMMMMMMmmmmmmmmmmaaaaaaaaaaaaaaaakkkkkkkkkkk!!!”, pekik aku sambil memecut.

Bummmmmm!!!Aku terlanggar satu objek yang bagaikan badan manusia. Aku angkat kepalaku, Pian! “Bang Piaaaaaaaan…..isk3….nen….nenek kebayaaaaaaan!!!!”, kataku kepadanya. Ayahku bingkas bangun dan terus menuju ke dapur sambil mulutnya terkumat-kamit membacakan sesuatu yang kukira ayat suci al-Qur’an. Dibukanya semua lampu yang berada didalam rumah. Lalu diambil olehnya segelas air masak lalu dibacakan sesuatu dan dihembus. Direnjis sedikit kepadaku. Selebihnya aku minum. Kami pun kembali duduk dihadapan juadah. Malam tu aku menikmati mee kuah dalam tangisan. Abang-abang aku ketawakan aku. Dalam esak tangisan mee tetap aku sedut. Sedap dalam takut. Meriah sedikit suasana malam tu.

Setelah semuanya dikemaskan, kami sekeluarga beransur masuk ke dalam bilik untuk tidur. Hanya ayahku sahaja yang baring diatas kusyen sambil menonton berita dunia jam 11 di tv 1. Adik aku menarik baju aku perlahan. “Kay,jom main bola?”, katanya. “Hang gila ka? hang nak kena marah dengan mak? Tidoqlah, esok-esok kita main.”, jawabku. “Okay”, balasnya ringkas. Sejurus selepas itu aku landing diatas toto Narita bersebelahan Din didalam bilik no.3. Mata mula kuyu, fikiran hanyut dibuai kipas meja berjenama National. Tiba-tiba…

Dummmmmmm!!!Duuuummmmmmmm!!!Duuuummmmmmmm!!!

Aku kenal sangat bunyi ni. Bunyi bola plastik berlaga dengan dinding. Ayahku sudah ‘standby’ memberitahu Ustaz dan beberapa kawan rapatnya yang lain selepas ibuku memberitahunya sebentar tadi. Dia pun terus mendial nombor kawan rapatnya. “Yoooppp, jadi dah….jadi dah….minta tolong hangpa mai sat na..jangan lupa bagitau ustaz sekali”, dan ganggang telefon rumah diletakkan. Jam didinding menunjukkan pukul 11:30p.m. Kami sekeluarga buka pintu untuk melihat apa yang terjadi. Adikku Chot tengah menyepak bola kedinding. Reaksi wajahnya kosong, bagai wajah orang baru putus cinta memandang tepat ke dinding. Ayahku cuba memegang adikku dan beliau gagal. Chot terus menendang bola ke dinding. Duuuummmm!! Semasa semua orang kelam kabut mata aku memandang tepat kearah Chot. Nenek kebayan tadi bertenggek dibahu adikku!!! Aku terduduk…sambil tangan menunjukkan kearah nenek kebayan. Mulut bagai nak berkata, tapi suara bagai disekat sesuatu. Air mata mula mengalir. “M…M….Ma…Maakk, nen…nenek…keba…yan atas….” Belum sempat aku menghabiskan kata. Ibuku memelukku dan membawa aku masuk kedalam biliknya. “Ma…mak…Chooot….Mak….ada nenek…duduk atas dia”, kataku. “Takpa…takpa….satgi ayah buat…takpa aihhh…kalau takut Kay pejam mata na?”, balas ibuku lalu memelukku.

Beberapa orang kawan ayahku tiba. 4 orang semuanya termasuk seorang ustaz. Tanpa membuang masa mereka memulakan operasi. Adikku Chot dicekup dari belakang oleh kawan ayah aku yang dipanggil yopp melalui panggilan telefonnya sebentar tadi. Yang lagi dua memegang tangan kiri dan kanan. Ustaz ditengah dan berhadapan dengan adikku. Suasana gamat. Abang aku yang lain terpegun dibalik muka pintu yang dibuka sedikit bagi melihat suasana dan apa yang bakal berlaku di ruang tengah rumahku. Semua berkumpul dibilik ibuku. Perasaan ingin tahu melawan perasaan takut kerana berada disisi abang-abangku serta ibuku. Aku melompat turun dan mencelah disisi abang-abang aku. Ibu masih duduk di atas katil dengan perasaan yang sebak. Mak sapa tak nangis ye dakk bila tengok anak jadi macam tuh?

Ustaz membacakan sesuatu dan dihembus tepat kearah muka Chot. Nenek kebayan yang aku lihat tadi berada diatas bahu Chot hilang. Riak muka Chot mula berubah sedikit demi sedikit. Mata mula kemerah-merahan. Chot tersenyum sinis. Yang tadinya tunduk mula mendongak dan melihat tajam kepada ustaz.

Ustaz : Assalamu’alaikum. Siapa hang? Awat hang kacau keluarga ni?
Hantu : ……………………hehe…he.
Ustaz : Aku cakap baik-baik hang tak mau layan, nanti sat.

Ustaz mula membaca sesuatu. Mulutnya terkumat-kamit. Chot yang tadinya senyum mula meronta. Menjerit minta dilepaskan. Dua orang kawan ayah aku tuh badan tak laa besaq sangat. Tapi cukup la untuk menahan pergerakan kanak-kanak, mula berganjak menandakan kuatnya rontaan Chot yang dirasuk.

Aaaaaaaaaarrrrrrrrggggggggghhhhhhh!!!

Hantu : Sakit laaa bodohhh!!! Manusia bodoh!!!Aku tak buat apa-apa pun!! Uwaaaaaa…
Ustaz : Kalau hang tak buat apa-apa, awat yang hang masuk dalam badan budak nih?
Hantu : Huuuuu…wuwu….huuu….aku, aku nak berkawan. Aku cuma nak berkawan…budak tuh yang bawa aku datang sini. (sambil mulut menjuih ke arahku).

Terkejut aku! Cuak beb! Terus aku menyorok belakang abang-abang aku. Apa aku dah buat? Bila masa pulak aku bawak balik makhluk pelik-pelik? Tobat lahom aihhh aku tak bawak dia balik!

Ustaz : Mat, hangpa ada pi mana-mana dak siang tadi?
Ayah : Ada, p kedai Keong kat ‘pala bataih’ nu beli barang sekolah depa. Tapi depa takdak pulak pi terjun parit ka apa ka.
Ustaz : Hemm…aku pun dah pagaq dah rumah hang ni. Takkan runtuh dah. Haaa…hang ada beli benda pelik-pelik dak bawak balik?
Ayah : Aku beli baju sekolah, kasut, beg, bola dengan mee kuah. Apa yang pelik? Takkan hantu nih ikut kami balik sebab dia lapaq? Tapi…
Ustaz : Tapi apa? Hang buat suspen aiihh….
Ayah : Dak, anak aku lepas dia dapat bola plastik tuh (sambil tunjuk ke arah bola di bucu dinding) dia jadi ‘koi’ (makin) rancak! Gheja nak sepak ke dinding ja!
Ustaz : Ngam! Bawak mai bola tuh. Aku dok rasa dia ikut bola nih. Kalau hantu ikut barang-barang yang hang beli bawak balik. Hang secara tak sedaq dah ‘izinkan’ dia masuk ke dalam rumah. Sebab tuh walau aku dah pagaq dah rumah hang, dia boleh jugak mencelah masuk. Nanti laa aku terang kat hang, bawak mai bola tu dulu.
Ayah : Ni ustaz. (Aku masih tak ingat nama ustaz tuh…huhuhu).

Lalu dicapainya bola dari tangan ayahku. Dipegang bola dengan tangan kiri, manakala tangan kanan menadah doa. Mulut Ustaz mula terkumat-kamit. Membaca ayat suci al-Qur’an. Seraya itu Chott menjerit sekuatnya! “Panaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaasssssssss!!!Dah laa….dah laaa…..sakit!!!”, kata Chot yang dirasuk. “Boleh! Kalau tak mau sakit hang keluaq! Kalau dak, lagi pedih aku buat!”, balas ustaz. “Tapi…kalau aku keluar pun, banyak lagi yang akan datang….lagi dahsyat dari aku, lagi hebat dari aku! Aku hanya mai untuk berkawan…tapi mereka akan datang dengan ‘tugasan’. Kan lagi bagus kalau aku yang menjadi pelindung mereka dari pagar bodoh hang tuh?haha!”, balas Chot yang dirasuk. “Minta maaf, keluarga ini tidak dan takkan syirik kepada Allah s.w.t!! Dari mana hang mai, disitu jugak hang pi!!Jangan sesekali mengganggu keluarga ini atau yang lain!! Hang faham dak? Kalau tak faham aku boleh ‘selesaikan’ hang sekarang,” kata ustaz dengan yakin. “Baik, aku pergi dari sini, tapi jaga-jaga…hehehehe…”, balas Chot. Bola plastik yang dipegang ustaz mula kemik sedikit demi sedikit. Chot bagai menjerit dan mengeluh pada waktu yang sama. Pooff! Bola yang dipegang kemek/kecut sama sekali.

Lemah longlai badan adik aku. Terjelepuk diatas pangkuan ustaz. Ayah aku terus mengambil adik aku dan disapukan dengan air bacaan al-Qur’an. Matanya mula celik perlahan-lahan. Perlahan tapi konsisten. Ayah aku terus mengangkat adik aku dan membaringkannya diatas tilam dibilik mereka. Setelah semua selesai, ayah aku dan kawannya berborak sebentar di kerusi kayu yang terdapat diluar rumah bersebelahan dengan pokok pelam siam yang ditanamnya dahulu. Apa yang diborakkan aku tak tahu. Tapi yang aku pasti mesti disebabkan ‘ugutan’ jin yang menyerupai nenek tersebut. Apa-apa pun keadaan sudah pulih seperti sedia kala.

Selepas kejadian itu adikku demam panas selama dua-tiga hari sebelum kebah, sementara aku sudah pun masuk ke sekolah sebagai pelajar darjah dua. Pendaftaran untuk Chot masuk ke tadika ditangguhkan kerana ibu bapa aku bimbang apa-apa yang buruk bakal berlaku. Semangat Chot masih lemah. Ketiga-tiga abang aku pula sudah pun masuk ke asrama mereka yang berada agak jauh dari Sungai Petani. Keadaan normal buat seketika.

Kalau ada kesempatan yang lain, nanti aku ceritakan kesinambungan kisah-kisah mistik yang selama ini mengganggu hidup kami sekeluarga dimana ‘ugutan’ si nenek kebayan menjadi kenyataan. Terima kasih kerana sudi luangkan masa membaca kisah mistik dari aku Kay. Segala yang buruk datangnya dari aku, yang baik semuanya dari Allah s.w.t.

Assalamu’alaikum semua,

-Kay-

Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 0 Average: 0]
Kay

15 thoughts on “Siapakah Gerangan Nenek Itu?”

  1. Wah tahun 98 zaman aku dok pondok anak bukit.zaman bas utc dua hala(loqstoq-sp),zaman kegemilangan budak black,zaman lepak bus stand sp,loqstaq,..haha budak skolah agama saja tp layan black..tp layan muzik dengan dressup saja tak lebih dari tu..kalau mai budak2 extreme black dok juai knowledge dia kt kami memang kena ceramah la mamat tu…uhhh kenangannya

    Reply
  2. takde tulis cerita kat mana² website @ blog sendiri ke?
    best betul cara penceritaan…tak puas baca, tau² dah habis je satu cerita.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.