STAY BACK DI PEJABAT

Hi pembaca semua. Harap semua dalam keadaan sihat selalu. #KitaJagaKita

Terima kasih pihak FS sekiranya kisah saya disiarkan. Selamat membaca.

********
Hari ini hari jumaat. Macam biasa, aku akan ‘stay back’ di pejabat untuk menyiapkan kerja-kerja yang tertangguh. Memang sudah menjadi tabiat aku sejak dari dulu lagi. Aku tidak suka membiarkan kerja aku bertimbun.

Bila semua kerja sudah siap, barulah aku boleh bercuti pada hujung minggu dengan fikiran yang tenang. Ramai kawan sepejabat aku bertanya, “Kau tak takut ke duduk kat pejabat sampai lewat malam? Hari jumaat pulak tu. Malam keliwoon..”

Merepek! Lagipun, buat apa nak takut? Bukan aku keseorangan. Pengawal kan ada. Setakat ni, tiada lagi berlaku apa-apa gangguan.

Hendak dijadikan cerita, pada satu jumaat yang indah, gempar satu pejabat dengan satu penemuan objek yang misteri. Rasanya makcik ‘cleaner’ orang pertama yang jumpa.

“Weh kenapa-kenapa? Ada apa ni?” tanyaku persis si minah kepoh.

“Ada barang mistik.” jawab Meimei dengan logat cinanya yang pekat.

“Barang mistik?” aku pun pelik.

“Aku rasa tu barang sihir la. Hishh.. siapa agaknya yang hantar.” Farid pula mencelah. Geram pula aku tengok lenggoknya yang lembut tu. Cepuk kang.

“Korang cakap pasal apa ni? Barang apa? Kat mana? Aku nak tengok gak.” tanyaku lagi tak puas hati.

“Kak Jah dah buang la. Tadi dia tunjuk sekejap je. Kitorang pun tak berani nak tengok. Eeee.. takooodd..” tambah Farid. Bukan main gedik lagi.

“Apa bendanya tu?” dahiku dah mula berkerut.

“Sini. Sini..” Farid mengarahkan agar aku mendekat.

“Patung jenglot..” bisik Farid perlahan.

“Hah? Jenglot?!”

“Ish kau ni. Janganlah cakap kuat sangat..”

“Oh sorry.. sorry..”

“Habis tu, patung tu Kak Jah buang kat mana?” aku dah cuak. Kat kepala dah terbayang gambaran patung jenglot yang aku pernah tengok kat majalah Mustika suatu masa dahulu (Kantoi dah tua).

Sangat mengerikan. Patung jenglot hanya sekecil tapak tangan, tapi mempunyai bentuk badan seperti manusia. Kuku dan giginya tajam dan rambutnya panjang melebihi badannya. Raut wajahnya pula, hmm.. google sendiri!

“Entah. Kat tong sampah kat belakang kot.”

“What? Tak apa-apa ke?”

“Hmm tak tahu aku. Nanti kan ada lori sampah yang akan kutip. It’s okay la kot. Dah la, aku nak pergi sambung buat kerja.” Farid meninggalkan aku yang terkebil-kebil.

Aku jadi tak sedap badan. Yela, kalau betul benda tu barang sihir, boleh ke buang macam tu je? Tak perlu panggil ustaz ke? Tapi persoalan tu berlalu sendirinya. Aku pun malas hendak bebankan fikiran dengan perkara tu. Mungkin patung biasa je kut.

Maka dengan itu, aku pun teruskanlah kerja aku macam biasa. Dari pagi, bawa ke tengahari, sampailah ke waktu petang.

Aku lirik jam tangan G-Shock berwarna merah milikku, 17:20. Sepuluh minit lagi sebelum waktu pulang.

Aku lihat rakan-rakan yang lain sudahpun mula mengemas meja. Pasti ada rancangan untuk malam hujung minggu. Manakala aku masih setia di meja. Aku harus habiskan kerja untuk minggu ini. “No tangguh-tangguh!” Itu slogan hidupku.

“Hey Maiya, you tarak pulang ka? Tak takut meh?” tanya Meimei yang bertubuh sedikit gempal itu.

“Mau takut apa? Tiada apa-apa la jangan risau. Have a great weekend.” aku balas soalan Meimei dengan senyuman.

Aku tahu dia risaukan aku. Mungkin sebab penemuan ‘benda’ itu tadi. Aku ni takdelah penakut sangat. Tapi kalau otak dah mula fikir yang bukan-bukan, lintang pukang juga aku lari.

Aku membontoti langkah Meimei hingga ke pintu utama. Aku balas lambaiannya seraya mengunci pagar. Aku jenguk dari luar, tiada kelibat Pak Halim, pengawal keselamatan kami. “Pak Halim pergi makan ke?” soalku sendiri.

Untuk makluman, syarikat tempat aku kerja ni adalah bangunan kedai dua tingkat. Tingkat bawah adalah lobi dan bahagian informasi pelanggan. Manakala tingkat atas adalah pejabat.

Aku pun naik semula ke tingkat atas dan menuju ke pantri. Secawan kopi wajib ada agar aku kekal segar untuk siapkan semua tugasan. Usai itu, aku pun matikan suis lampu pantri dan menuju ke meja.

Kemudian, aku ambil sebungkus keropok Jack&Jill kesukaanku yang aku beli tengahari tadi. Sangat cocok dimakan bersama kopi panas.

Mejaku berada di ruang paling belakang berhadapan dengan ruang masuk pantri. Selang di hadapanku ada tiga lagi meja dan di kanan dan kiriku ada pembahagi ruang yang lain. Hanya ruanganku sahaja yang aku pasangkan lampu. Sementara ruang yang lain gelap gelita.

Beginilah rutin mingguanku. Adakalanya, aku akan ‘stay back’ sampai pukul 10 malam. Tapi nasib baiklah pengawal keselamatan tu kerja syif malam.

Keadaan di pejabat ketika itu sunyi sangat. Yang kedengaran hanyalahh bunyi ketikan papan kekunci. Aku capai mug di kanan. Kepulan asap tipis menari-nari di atas permukaan mug. Memberikan aroma kopi yang cukup mengasyikkan. Ku hirup sedikit. Lega rasa tekakku.

Tiba-tiba seleraku m**i. Aku pantas menegakkan duduk. Tanpa aku sedari, bulu romaku menegak. Aku yakin sebentar tadi aku terdengar sesuatu. Bunyi yang agak asing dipendengaranku. Aku cuba mengamati bunyi itu semula.

KRREEEEEK…

Kali ini jelas kedengaran bunyi keriutan sesuatu. Seperti bunyi pokok-pokok bambu bergeseran dek tiupan angin. Tapi dari mana pula datangnya pokok bambu dalam pejabat ni?

Aku cuba mengorek ingatanku kalau-kalau kami pernah meletakkan pokok perhiasan di dalam pejabat. Namun kosong. Boleh jadi juga, itu adalah bunyi pintu yang dibuka. Tapi setahu aku, tiada pintu di pejabat ini yang mengeluarkan bunyi sedemikian rupa. Angin dari penyaman udara juga tidaklah sekuat itu.

“Habis tu bunyi apa?” persoalan itu berlegar di benakku. Aku memandang ke belakang sekilas. Bunyi itu seperti datang dari arah itu. Namun yang kelihatan hanyalah ruangan gelap koridor yang menuju ke pantri.

Seketika kemudian keadaan menjadi sunyi semula. Bunyi itu hilang dengan sendirinya.

“Perasaan aku kut.” aku cuba menenangkan hati yang sedikit terkesan dengan situasi itu. Selama tiga tahun aku bekerja di situ, tidak pernah lagi berlaku kejadian-kejadian pelik mahupun angker. Cepat-cepat aku tepis perasaan takut yang mula bersarang. “Sikit je lagi nak siap ni..” pujukku.

Jam sudahpun menginjak ke pukul 8.20 malam. Aku bingkas bangun untuk meregangkan badan. “Siap juga kerja ni. Kejap lagi nak singgah beli nasi la.” gumamku sendirian sambil tanganku tangkas mengemas meja. Sedang leka mengemas, aku terdengar bunyi orang berlari.

Spontan aku menoleh ke belakang. Tapi tiada sesiapapun di situ. Kenapa banyak sangat benda-benda pelik berlaku harini? Tanpa membuang masa, aku masukkan semua barang-barangku ke dalam bag dan aku capai kunci pejabat.

“Maiya.”

“Argghhh!!” bukan main kepalang lagi aku terkejut. Rasa macam nak luruh jantung ni. Apakan tidak, tiba-tiba sahaja Pak Halim menyapaku dari belakang.

“Ya Allah Pak Halim. Terkejut saya. Ingatkan siapalah tadi.” tersekat-sekat nafasku dibuatnya.

“Oh maaflah. Pakcik naik ni nak minum air. Boleh tak Pakcik pinjam pantri sekejap?” Pak Halim meminta izin.

“Eh boleh je Pakcik. Tak perlu minta kebenaran saya pun.” balasku. Bagiku, Pak Halim tidak perlu meminta izin dariku untuk ke pantri. Dia pun merupakan staf di pejabat ini.

Pak Halim pun berlalu menuju ke pantri. Aku pula mengusap-usap dadaku yang masih berdebar. Kemudian, aku berasa pelik. Pak Halim ke pantri, tapi lampu tidak dipasang. “Tak gelap ke?” tanyaku di dalam hati. Baru saja aku ingin memanggil Pak Halim, tiba-tiba telefonku berbunyi.

Pantas aku kembali ke meja dan mengambil telefon bimbitku.

YOU HAVE 1 UNREAD MESSAGE

Ada satu mesej baru dari Puan Zuraidah, Pengurus Sumber Manusia kami.

Puan Zuraidah: “Salam Maiya. You stay back kan malam ni? I lupa nak bagitahu you, Pak Halim dah balik jam 5.30 petang tadi sebab dia tak sihat. I pun tak dapat cari guard lain untuk ganti malam ni. So I suggest you balik awal la ya. Jangan lupa kunci semua pintu. Thanks.”

Serta merta jantungku berdegup kencang. Seluruh tubuhku merinding. Pak Halim dah balik dari tadi? Habis tu.. siapa…

KREEEEKKKK..

Sekali lagi bunyi yang sama berbunyi. Laju saja bayangan babak Ju On menerpa di minda. Ya Allah.. Janganlah ada pula lembaga yang merangkak kat sini. Aku takut….

Kali ini, aku sudah tidak dapat menahan diri. Apa nak jadi, jadilah. Yang penting aku mesti keluar dari sini. Aku capai beg di meja dan berjalan laju menuju tangga. Aku langsung tidak memandang ke arah pantri.

Tapi dari ekor mata, aku nampak macam ada orang sedang mengintai dari celah dinding. Terkumat-kamit bibirku melafazkan surah.

Sampai sahaja di tangga, langkahku terhenti. Ada sesuatu di hujung tangga.

“Astaghfirullah..” aku beristighfar. Air mata sudah menitik laju. Gangguan apakah yang aku lalui sekarang? Macam mana patung jenglot tu boleh ada kat situ? Ada orang cuba nak ‘prank’ aku ke? Aku benar-benar dalam ketakutan.

Perlahan-lahan aku menapak turun. Sampai di hujung tangga, aku jarakkan diri dari patung itu dan segera menuju ke pintu utama.

Masa tu segala jenis surah aku bantai. Sampai doa makan pun tersasul keluar. Entah kenapa susah sangat nak buka mangga ni. Sekejap-sekejap aku akan melirik ke sebelah tangga.

Akhirnya, pintu dapat dibuka dan sepantas kilat juga aku kunci semula. Takut-takut juga, tapi kalau aku biarkan pejabat tak berkunci, naya aku nak bayar ganti rugi kalau diceroboh.

Setelah itu, aku menuju ke kereta yang diparkir betul-betul di depan pejabat. Nak cari kunci kereta pun satu hal. Faham-faham jela beg perempuan. Dapat sahaja kunci, aku terus hidupkan enjin kereta dan ‘reverse’.

Masa tu, aku macam spontan mendongak ke tingkat atas pejabat aku. Kat satu tingkap tu, aku nampak ada lembaga berambut panjang dengan taring dan kuku yang tajam. Sebiji jenglot!

Malam itu, hampir beberapa kali aku kemalangan sebab bawa kereta macam orang gila. Tapi aku bersyukur ‘benda’ tu tak ikut aku balik.

Esoknya, aku demam seminggu dan itu adalah kali pertama aku ambil MC setelah tiga tahun bekerja di situ.

Farid ada bagitahu aku, dia ada tengok CCTV waktu kejadian aku diganggu. Katanya, dia nampak aku sedang bercakap seorang diri. Padahal masa tu, aku betul-betul nampak Pak Halim meminta izin untuk ke pantri.

Sejak dari hari itu, aku dah tak berani nak ‘stay back’ di pejabat lagi. Aku akan pastikan aku balik tepat pada masanya. Lagi satu, misteri patung jenglot yang ditemui haritu masih menjadi teka-teki. Tiada siapa yang tahu asal-usul benda tu.

Pak Halim pula ada cerita, kadang-kala pada waktu malam dia akan terlihat kelibat sama yang aku nampak di tingkat atas pejabat. Tapi setakat tu jela gangguan yang dia kena.

Sekian cerita aku. Terima kasih.

-Jenja-

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Jenja

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 4 Average: 5]

5 thoughts on “STAY BACK DI PEJABAT”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.