Steruman Bahagian 1

Hai nama aku Arif dan cerita ni hanya secebis dari pengalaman hidup aku, sebelum aku jadi pelupa, baik aku kongsikan.

“Cepatlah, Da… Dah nak masuk Maghrib ni.. Tak Sempat nak Maghrib kat masjid sana nanti..” Gesa aku pada Uda yang masih sibuk membetul-betulkan pakaian yang dipakai diatas basikal.

Tanjak dengan ikatan ‘Pancung Tak Bertanya’ yang terjatuh dikutip Uda, dan disarungkan kembali dikepala. Tradisi ikatan tanjak ‘garang’ yang dianugerahkan kepada Daeng Selili Pahlawan Negeri Perak, berserta kuasa mandatori dari Sultan untuk menjatuhkan hukuman m**i pada mana-mana penentang dan pesalah sekitar 1740’an! Kami bergegas mengayuh basikal meninggalkan laman rumah Uda untuk ke kampung seberang.

Aku diajak Uda dari pagi tadi, untuk menonton upacara pembukaan gelanggang silat baru dikampung seberang. Mengikut kata si Uda, bakal meriah! Ada paluan kompang, permainan gendang silat, pertunjukan dan demonstrasi silat, upacara silat beramai-ramai oleh pesilat dan yang paling aku tunggu-tunggu ialah jamuan ringan selepas pertunjukkan.

Janji yang dipateri dengan Uda sedari pagi tadi, kami akan bertolak berbasikal ke sana menjelang petang, bakal Maghrib berjemaah dimasjid kampung sana dan terus menuju ke gelanggang yang dikatakan Uda.

Jarak dari kampung kami ke kampung seberang, taklah terlalu jauh, kira-kira 40 minit mengayuh basikal, kami akan sampai ke pintu masuk kampung tersebut.

Silat yang dikatakan Uda pula, agak baharu. Pasti menarik ramai penonton untuk turut melihat upacara gilang gemilang pembukaan gelanggang mereka. Uda ni pula gigih nak berbusana silat! Dah aku pesan berulang kali. Jangan sampai ada yang tertarik, bimbang kalau dikecam, diri sendiri juga yang tak tahan. Tak nak dengar, degil!

Begitu begini akhirnya Uda mengalah, tak jadi berbusana silat, takut dikecam pesilat gelanggang baru. Sungguh pun begitu, dia masih nak mengekalkan tradisi dengan memakai tanjak silat. Kiranya dah habis minima permintaan si Uda! Masalahnya, aku pun disuruh memakai tanjak sekali! Aku dipaksa menyarungkan tanjak ‘Solek Si Naga Beradu’

Kami mula mengayuh keluar dari kampung, dua orang remaja yang gigih bertanjak dikepala dan mengayuh basikal bmx dalam cuaca redup petang yang semakin kelam. Aku kira sudah masuk 6.45 petang pada waktu kami mula meninggalkan pintu gerbang kampung. Sampai ke kampung seberang, nasib kami baik kerana sempat menjadi makmum masbuk dirakaat terakhir.

Usai Maghrib, laman masjid ditinggalkan dan aku hanya menurut Uda yang menjadi pemandu arah untuk ke gelanggang yang dikatakan. Sudah ada ramai pesilat yang berlegar-legar diluar gelanggang dengan busana silat yang lengkap dan kemas. Suasana yang sungguh indah bagi kami pengamal dan pesilat-pesilat di Nusantara Tanah Melayu.

Warisan yang pasti tak akan hilang ditelan zaman. Bak kata Laksamana Hang Tuah, ‘Takkan Melayu hilang didunia!’.

Kami duduk ditepi dan menjadi penonton ‘persiapan terakhir’ majlis, tak berapa lama kemudian azan Isyak mula berkumandang. Aku dan Uda berjemaah diatas hamparan tikar saprah diatas tanah merah didalam gelanggang. Di imamkan sendiri oleh seseorang yang aku rasakan berjawatan dalam persatuan silat tersebut.

Usai Isyak dan doa selamat dibacakan. Majlis istiadat pun dimulakan. Tiupan nafiri, paluan gong, gamelan dan gendang mula dimainkan.

Rasa seru yang sampai, sungguh mengasyikkan! ‘Gema’ panggilan perang menguasai segenap gelanggang!

HAAAAAHHHHH!!

Beberapa pesilat dengan sengaja menjerit secara tiba-tiba bagi menaikkan semangat!

Mereka kemudiannya mengambil tempat dan menyusun barisan. Membuka gelanggang dengan memulakan upacara bersilat beramai-ramai didepan tetamu yang hadir. Gegak gempita suara perserta bersilat.

Majlis diteruskan lagi dengan persembahan dari enam orang kanak-kanak, kesemuanya bertangan kosong, memberi sembahan hormat dan mempersembahkan jurus ‘elak dan balas pukul’ dihadapan penonton. Walaupun mereka masih kecil, dengan persembahan boleh dikategorikan sebagai amatur. Tetapi pendedahan awal yang diberikan oleh ibu bapa, menjadikan persembahan mereka hidup dan bertenaga.

Persembahan silat oleh kanak-kanak pun tamat, bakal disusuli oleh persembahan yang lebih padu dan jitu!

“Hi.. Hi.. Dah habis pertunjukkan ni, kita masuk silat ni nak tak, Rip?” Uda cuit aku dan gatal mulut bertanya.

“Ah.. Taknaklah aku, jauh siut.. Belum mula bersilat, dah penat mengayuh..” Aku balas ayat Uda sepontan. Tengok upacara silat, memang seronok. Tapi nanti bila malam latihan nak mengayuh ke sini, dah habis latihan nak mengayuh balik lagi. Bukan benda yang seronok kalau dah penat. Mungkin Uda tak fikir masak-masak semasa bertanya.

Uda diam tak membalas apa-apa. Mungkin kritikan aku singgah sepenuhnya dalam benaknya.

“Tibalah masanya untuk petarung mengambil tempat.. Diminta tuan-tuan dan puan-puan untuk berundur sedikit memberi ruang kepada petarung beradu ditengah gelanggang..” Juruacara yang berpakaian seperti Guru silat, mula memberi arahan. Kami berundur beberapa langkah ke belakang. Ada pakcik-pakcik tua yang masih kekal berdiri ditempat yang sama, barangkali ilmu mereka cukup ‘padu’ untuk menundukkan pertarung didepan, jika pertarung tersilap langkah.

Dua orang pemuda yang lebih kurang sama tinggi mula masuk ke tengah gelanggang. Badal atau wakil guru mula menghimpit pesilat dan membisikkan sesuatu pada mereka, seorang demi seorang. Mereka mengangguk-angguk tanda faham.

Badal mula beransur ketepi dan pesilat mula memberi sembah sesama sendiri.

HIYAHHHHH!

Pencak mula dibuka diiringi paluan gendang semangat dibahagian kiri gelanggang! Dan pesilat mengayakan bunga pencak masing-masing. Bagai meniti titian hanyut, air tak berarus, sauh tak terdampar! Sungguh asyik melihat mereka membuka bunga silat sebelum menyerang dan bertahan.

“Rip.. Kau rasa tak?” Uda tersengih-sengih lagi dan mencuit pinggang aku.

“Rasa.. Rasa.. Jangan tanya lagi.. Kaki aku dah berjoget-joget tu..” Aku balas ayat Uda dengan selamba. Aura perang meluap-luap naik dirongga-rongga kulit. Terasa bahang panas mula mencium tubuh, dan rasa meremang-remang hingga naik kembang kepala. Bercampur baur diantara rasa ‘gemuruh’ dan rasa asyik.

Suasana ni mengingatkan aku pada perasaan yang sama ketika bertemu Awang Lidah Hitam, Tongkat Semambu dahulu. Sedikit pun tak kurang!

Serangan bermula! Masing-masing sama lincah dan sama padu! Menyerang dan mengelak, melepaskan buah pukul bertubi-tubi! Sesekali mereka melompat dan melenting sambil melepaskan penendang dan buah pukul. Cukup hebat!

Seketika kemudian, persembahan tempur tangan kosong tamat, Badal mula ke tengah gelanggang, memberi sembah hormat dan memberitahu sebentar lagi permainan senjata pula akan ditunjukkan.

Dua orang pemuda tadi kembali ke tengah gelanggang dengan masing-masing membawa parang dan rantai. Sama seperti tadi, mereka dibisikkan sesuatu sebelum mula membuka bunga sembah.

Kali ni lebih padu berbanding mula-mula tadi, rantai dibantai ke atas dan ke bawah, cuba melibas pesilat yang bersenjatakan parang!

HOP! HOP! HOP!

Nampak dia bersungguh-sungguh melompat untuk mengelakkan libasan parang yang dibanting dan dihempas.

Parang pula ditakik ke kiri dan ke kanan! Sesuatu yang aku sungguh pasti, beratus-ratus jam masa telah dihabiskan untuk menjadikan persembahan ini tampak sempurna didepan penonton.

Libasan parang ditahan dengan rantai yang diregangkan oleh kedua tangan, menghasilkan bunyi yang mengerikan dan sesekali kelihatan percikan api bila besi berlaga dengan besi. Kedua mereka sangat hebat dan persembahan mereka cukup mengagumkan!

Persembahan tamat apabila pesilat yang bersenjatakan parang dikalahkan. Masuk lagi dua pesilat yang baharu, kedua mereka membawa keris. Keris persembahan sepanjang lima lok. Paluan gendang berubah menjadi lebih perlahan.

TAK! TAK! TUNG!

TAK! TAK! TUNG!

Aku perasan Uda disebelah mula dibuai-buai angin mengikut paluan gendang. Biasanya bila ada persembahan silat dan upacara besar-besaran seperti ini. Gendang, nafiri, gong, gamelan dan segala alat muzik silat, dah dibacakan mentera tertentu untuk menaikkan ‘seru’ pada pesilat dan peserta.

Sesetengah penonton, yang mempunyai ilmu dan aura gerak. Akan dapat merasa kelazatan paluan gendang sehingga badan terhinggut-hinggut mengikut alunan lagu yang dimainkan. Seperti yang terjadi pada Uda, ‘rasa’ yang tak boleh ditepis. Dilayan dengan tangan dan kaki yang ‘menari’ mengikut lagu.

Aku masih khusyuk memerhati dua pesilat yang bersenjatakan keris saling tikam menikam didepan bila mana Uda mula mengangkat tangan separas bahu dan dirawang-rawangkan. Menari mengikut alunan gendang lagu silat yang dimainkan.

“Kawal sikit, Da.. Malu orang tengok..” Aku cuit Uda yang sedang asyik menyulam tangan kanan diatas tangan kiri, dan kiri diatas kanan berganti-ganti.

“Tengah syok ni..” Dibalas singkat oleh Uda sambil tersengih-sengih. Aku cuma mengeleng-gelengkan kepala melihat Uda.

Pesilat pertama nampak gagal mengelak tikaman, ditaji dan dikunci dalam keadaan separuh melutut. Keris yang digunakannya sendiri dirampas dan digunakan untuk menikam buah betisnya. Memberi isyarat persembahan keris untuk perserta ni telah tamat.

Beberapa orang yang berbaju silat mula membawa kaca botol yang telah ditumbuk ke tengah gelanggang, dihamparkan diatas sebidang kain, kira-kira seluas dua kaki dan sepanjang tujuh kaki.

Badal mula memaklumkan akan berlaku pertunjukkan kebatinan sebentar lagi, irama gamelan dan gendang masih lagi kekal berkumandang, cuma ditukar kepada rentak yang lebih laju berbanding semasa pertunjukan keris tadi.

Beberapa peserta mengambil tempat dan beratur untuk berjalan diatas hamparan kaca. Dan seketika kemudian, mereka tanpa teragak-agak berjalan dan memijak serpihan kaca selepas diberikan isyarat untuk memulakan persembahan. Sungguh mengagumkan.

Ekau jangan tighu pulak.. Bahayo berjalan atas kaco ni, nayo.. bodarah kaki an.. camno nak jalan esok? Yang mano bolum boli ebook pusako2, mehla PM den yo? Ceghito den sambung esok yo? Jauh laie ni..

#Pusaka2 #Arifyahya

Dapatkan E-book Pusaka 2 gais. DM aku untuk tahu lebih lanjut.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 17 Average: 4.6]
Arif Yahya

1 thought on “Steruman Bahagian 1”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.