Hai nama aku Arif dan cerita ni hanya secebis dari pengalaman hidup aku, sebelum aku jadi pelupa, baik aku kongsikan.
Baiklah tanpa berbunga-bunga, sambungan episod 1
Beberapa peserta mengambil tempat dan beratur untuk berjalan diatas hamparan kaca. Dan seketika kemudian, mereka tanpa teragak-agak berjalan dan memijak serpihan kaca selepas diberikan isyarat untuk memulakan persembahan. Sungguh mengagumkan.
Aku jeling Uda disebelah, Uda buat muka menyeringai kesakitan, macam dia yang kena berjalan atas hamparan kaca. Pertunjukan berjalan atas kaca tamat, empat orang pemuda mula tampil kedepan dengan masing-masing membawa cangkul dan penggali.
Sebuah lubang sedalam empat kaki setengah mula digali, cukup pantas mereka membuat kerja. Kurang dari lima minit, lubang sudah mencapai kedalaman yang diinginkan. Usai mengali, seorang pemuda tanpa baju, hanya berseluar silat dan berbengkong warna hitam, terjun ke dalam lubang, berdiri dengan hanya kepala yang terjengah melepasi kedalaman lubang.
“Kambus!” Arah Badal yang hanya berdiri dan memerhati sedari tadi. Pantas empat orang pemuda tadi mula mengambus pemuda yang berada didalam lubang, hingga tinggal kepalanya sahaja yang terkeluar dari tanah.
Beberapa pesilat lain mula membawa ranting-ranting dan sesuatu yang kelihatan seperti sabut kelapa, disusun disekitar kepala pemuda tadi.
“Baik, BAKAR!” Arah Badal yang masih lagi memerhati.
Seketika kemudian api dinyalakan!
Api naik dengan marak, hingga kepala pemuda tadi hilang keseluruhannya dibalik api! Upacara berlangsung kira-kira sepuluh minit. Ramai hadirin yang terpegun, untuk tempoh yang panjang begini, sudah tentu kepalanya rentung dijilat api. Paling tidak kulit pipi akan lebur dalam jarak api yang dekat.
Api mula malap, dan beberapa pesilat tampil untuk memadamkan api. Lubang digali semula untuk mengeluarkan pemuda tadi, cuma digali tidak terlalu dalam. Separas hingga tangannya berjaya dikeluarkan, kemudian dia ditarik keluar oleh beberapa orang pesilat.
Ajaibnya, bukan sahaja tidak rentung dibakar! Malah rambut dan bulu-bulu dimukanya juga tak hangus. Cuma wajah pemuda tadi kemerah-merahan seperti udang terbakar!
Badal mula melangkah ke tengah gelanggang, dan menanggalkan baju yang dipakai. Beberapa pesilat mengambil tempat disekitar, masing-masing membawa senjata tersendiri, seperti parang, rantai, keris dan pisau.
Badal berdiri dengan tangan didepa kan kedua-duanya. Irama lagu asli masih lagi rancak dimainkan.
“SERANGG!!” Pesilat disekitar menjerit beramai-ramai dan masuk menyerang Badal yang tak memakai baju.
Pisau ditikam, parang ditetak, dan keris dihunus. Menyinggah dimana-mana bahagian badan Badal yang berdiri. Sedikit pun tak dielakkan! Hanya kekal berdiri statik seperti tadi.
Barang senjata yang menjamah tubuh, menjadi tumpul dan tak memberi kesan pada Badal. Badal masih lagi tenang dan berdiri tegak. Hebat Badal gelanggang ni, tak lut dek senjata, tak tembus ditikam, tak jatuh ditetak dan tak lemas di hanyut!
Persembahan yang berlangsung kira-kira sepuluh minit, diakhiri dengan isyarat berhenti oleh Badal. Baju mula dipakai semula dibadannya. Sambil beliau membuat pengumuman.
“Untuk upacara terakhir pada malam ini, pesilat-pesilat kami akan mempersembahkan tarian ilmu dalam..”
“Pada mana-mana yang tak pernah tahu.. Dalam tarian ini, semangat pahlawan lama akan diseru dan meresap ke dalam badan pesilat..”
“Pesilat akan berada dalam keadaan separa sedar, dan saya minta penonton untuk berdiri dibelakang tali garisan yang kami pasangkan sekarang..” Serentak, satu tali panjang direntangkan oleh beberapa orang pesilat, dan kawasan gelanggang dikepung kosong dibahagian tengah. Mewujudkan satu kawasan empat segi sama yang besar, sebesar lima belas kaki.
Aku lihat sekeliling, lebih ramai penonton yang dah hadir untuk upacara pembukaan gelanggang dan menyertai kami, berdiri berhampiran tali yang direntangkan untuk melihat persembahan seterusnya.
Gendang lagu bertukar menjadi rancak, kira-kira sepuluh minit berlalu dan beberapa pesilat masuk ke gelanggang. Terhuyung hayang menari mengikut gendang silat.
HAAAAAAAAAA!!
Pesilat didalam gelanggang tiba-tiba menjerit sepontan. Dua tiga orang pesilat lain pula secara tiba-tiba melompat melepasi tali yang dirintang untuk ke tengah gelanggang. Mereka mula bersilat sendirian mengikut gerak dan lagu. Ke kiri dan ke kanan tanpa dikawal atau diganggu siapa-siapa.
Aku nampak pesilat-pesilat yang dah ‘naik syeikh’ mula berkumpul dipenjuru hujung gelanggang, berdiri dan memerhati pada arah luar gelanggang. Tangannya dilambai-lambaikan, seperti memanggil seseorang masuk!
Tak boleh jadi ni!
Lambat laun aku dan Uda pun akan terjebak masuk ke gelanggang! Seluruh gelanggang dah macam nak berperang. Kalau dah terjebak, susah nak mengelak! Bimbang berakhir dengan petarungan!
Aku cuit Uda untuk berundur beberapa langkah. Menjauhi kawasan tali yang dah direntang. Uda tak mahu beralah, masih kekal berdiri di tempat yang sama. Dalam pada berundur beberapa langkah ke belakang, aku sempat menjeling ke arah gendang silat yang sedang rancak dipalu.
Aneh..
Ada mahluk berpakaian seperti panglima, besar dan tinggi sedang berdiri didepan gendang yang paling besar. Tangannya panjang hingga mencecah tanah. Tubuhnya separa bongkok, dan badannya berbulu ditutup pakaian persis seorang pahlawan. Takde siapa-siapa yang perasan ke kelibat ‘tetamu’ tak diundang ni?
Perhatian aku tertancap pada mahluk tersebut, sesekali dia terkinja-kinja seperti beruk. Melompat-lompat setempat. Saiznya cukup besar setinggi dua orang lelaki dewasa.
Dua atau tiga pesilat, berdiri betul-betul didepan mahluk tersebut, mengadap gendang yang berada dibelakang. Mereka membuka pencak diatas tanah, bermain tarian silat laksana harimau. Tanah dicakar beberapa kali, dan cakar dibuka kedua-dua tangan. Sesekali ditarik dan ditolak.
HAAAAAAAAAAA!!
Jeritan berulang yang dibuat untuk mengamatkan suasana. Lebih ramai lagi pesilat dan orang awam yang dah naik syeikh melompat memasuki gelanggang. Suasana didalam gelanggang betul-betul hiruk pikuk dipenuhi manusia yang bersilat dan sesetengah yang lain terhoyong-hayang menari mengikut alunan gendang silat.
Dua orang yang dah naik syeikh berdiri didepan tali rentangan dan mula menghadap Uda. Tangannya dilambai-lambai menjemput Uda untuk turut masuk. Uda dah mula mengelabah melihat sekeliling. Aku perhati dari jauh kelakuan si Uda, gagal mengesan aku yang dah tersorok dibelakang kumpulan beberapa orang pakcik dan pemuda didepan aku.
Mereka masih lagi berdiri statik dengan kaki separuh terkangkang, sambil melambai-lambaikan tangan mengajak Uda masuk. Aku kira agak lama juga begitu. Hingga Uda putus asa gagal mengesan aku. Uda mula bertindak nekad dengan menyeberangi tali yang direntang.
Uda mula dikelilingi beberapa kali oleh pesilat yang naik syeikh. Dua tiga kali bahu dilanggar, seolah mencabar Uda untuk turut berpencak. Satu atau dua pesilat, dengan sengaja menjerit di sebelah telinga Uda. Menaikkan dan menyorakkan semangat Uda.
Mahluk yang berdiri didepan gendang, mula berundur menghampiri gendang, gendang disentuh beberapa kali. Alunan paluan mula berubah! Mahluk tadi mula terkinja-kinja melompat dan bersilat ke kanan dan ke kiri.
“Aduhhhhhhh!!” Uda ditumbuk curi secara berdepan dalam keributan pesilat yang mengerumuninya.
Dua lagi tumbukan sampai pada Uda, sebab aku nampak Uda menepis beberapa kali. Cukup tangkas Uda membuang tumbukan yang menyinggah belikat dan rusuknya.
Mahluk yang berpakaian seperti panglima menghampiri pesilat yang paling hampir dengan Uda, kepalanya dipegang dan dia seperti membisikkan sesuatu pada pesilat yang paling hampir dengan Uda.
Tak boleh jadi ni! Gumam aku sendiri dalam hati.
Pesilat tadi mula memanjat di belakang Uda dan mengigit dibahagian tengkuk Uda! Tangan berpaut pada bahu dan kakinya ditahan di bahagian pinggang, seperti rupa beruk yang memanjat pokok. Cukup fleksibel badannya hingga boleh memanjat dan berpaut pada Uda yang masih dalam kerumunan pesilat yang dah naik syeikh.
“Aripppppppppp!!!! Tolonggggg!”
Uda menjerit sepontan. Berdesup d***h menyirap ke kepala! Kalau sedari tadi aku lebih kepada memerhati. Sekarang aku perlu turut serta meleraikan kejadian yang berlaku pada Uda.
Dari dua langkah, aku bertapak lagi tiga langkah ke depan dan menghambur melompat melepasi tali yang direntang. Berdiri betul-betul disisi kiri Uda, dan mula menolak pesilat yang naik syeikh disekitar.
Suasana yang sungguh gamat!
Dalam pada meleraikan kerumunan, dua ke tiga penumbuk curi hinggap ke badan, tak berjaya ditepis! Agaknya, kami dikerumuni tak kurang dari tiga puluh orang pesilat yang mabuk dan naik syeikh!
“Uda! Kau ingat latih tempur royok?” Aku jeritkan pada Uda, dalam pada tangan masih menepis dan menolak pesilat yang masih melanggar dan menolak kami dengan bahu.
“Empat mata angin?” Uda membalas dengan sedikit berteriak
“Ya! Bukak penimbul, kita LANGGAR!” Aku tekadkan pada Uda, tindakan yang tepat untuk situasi meruncing macam ni. Kalau dibiarkan berlarutan, boleh bonyok badan ditumbuk curi beberapa kali,
“Satu!”
“Dua!”
“Tiga!”
ALLAHHHHHU AKHBAR!!
Aku dengar Uda dah mula menjerit! Sepontan tapak kuda-kuda diturunkan, dan gerak yang masuk. ‘Pergi’ tanpa ditahan-tahan!
Dari nafas yang naik, setiap gigilan menjadi gerak. Dan gerak ‘ditari’ menjadi ‘geri’ berisi pukulan! Natijahnya hanyalah satu, menghasilkan ‘ngeri’ dalam setiap langkah yang diatur!
BRAP! PAP! PAP!
BRAP! PAP! PAP!
Kata Cikgu Jakpar, adat bagi seorang ‘khalifah’ yang turun ke medan perang, ialah satu bernisbah seratus dua puluh untuk orang awam! Dan jika seteru yang dilawan juga berisi ilmu dalam dan berlatar belakangkan perguruan persilatan, jumlahnya dikecilkan menjadi satu bernisbah empat puluh! Selagi boleh ‘layan’, kita ‘layan’ dengan Kudrat dan iradat!
Aku lepaskan pukulan semahu-mahunya! Kiri bergilit ke kanan, dan kanan berganti kiri! Membentuk empat punca mata angin, dan berganding bahu ke bahu secara membelakang dengan Uda!
Dua tumbukan masuk serentak dikiri dan kanan! Aku tunduk dan terjah dengan sepakan pisau tepat diulu hati pesilat, manakala pesilat yang satu lagi, aku turunkan kuda-kuda dalam keadaan songsang dan hadiahkan satu pukulan jurus lurus tepat ke halkum!
Dia terduduk dan terbatuk-batuk! Saluran nafasnya dah diganggu dengan jurus halkum tadi!
Aku melompat dan melepaskan tendangan dibelikat salah satu pesilat yang cuba memukul curi Uda dari belakang. Nampak dia jatuh tersembam mencium tanah.
Cium-cium pun bahayo jugo yo.. So janganlah ekau semuo suko-suko nak mencium sapo-sapo.. Cium tanah takpo, cium eden, tak muleh.. Eden dah tak available.. Anyway, sambung esok gais! Jangan lupo share banyak2 haaa! Papai!
#Pusaka2 #Arifyahya
Dapatkan E-book Pusaka 2 gais. DM aku untuk tahu lebih lanjut.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit