Hai nama aku Arif dan cerita ni hanya secebis dari pengalaman hidup aku, sebelum aku jadi pelupa, baik aku kongsikan.
Baiklah tanpa berbunga-bunga, sambungan episod 5
Sebagai watikah lantikan, aku dihadiahkan sebatang keris berlok lima, agak menarik dan cantik jika diteliti. Bertatahkan sebiji batu permata berwarna merah. Menurutnya keris itu diterima semasa tamat ujian bersuluk lama dahulu, tidak pernah digunakan, dan juga sudah dibersihkan dari penjaga yang tinggal didalam keris.
Pesan Abang Fuad yang masih aku ingat hingga kini.
“Melayu ni bangsa yang tua, Rip.. Yang dah bercampur aduk beribu tahun peradaban.. Berbahasa, bahasa hakikat..”
“Hebat lagi orang Arab bang, bahasa al-Quran..” Sahut aku bersahaja.
“Itu bahasa syurga, Rip.. Maksud aku, jika dinilai.. Bahasa Melayu juga adalah salah sebuah bahasa yang tua..”
“Bangsa Melayu sudah mengalami perang beribu tahun lamanya, ditindas, dizalimi dan bermacam lagi.. Dan kita tetap kekal utuh berdiri melawan penjajah yang datang..”
“Kita pernah dijajah, Portugis, British, Jepun, dijajah Kerajaan Siam, Kerajaan-Kerajaan dari Tanah Jawa, bahkan sesetengah negeri, pernah pula meluaskan jajahan takluk mereka ke Tanah Jawa..”
“Contohnya bang?”
“Contohnya Kerajaan Melayu-Pattani dan Johor-Riau, Riau dulu berada dalam taklukan kerajaan Johor.. Tapi itu bukanlah maksud aku yang sebenar.. Maksud aku yang sebenar, kita berganding bahu dari ‘seorang Melayu kepada seorang Melayu’ menentang penjajah yang datang, dan kita tak pernah mintak tolong bangsa asing untuk melumpuhkan penjajah!” Nampak bersemangat kata-kata Abang Fuad.
“Dan dengan kehadiran orang seperti Jebat inilah.. Yang menyebabkan Bangsa Melayu berpecah belah.. Melayu dan sakit hati, tak boleh dipisahkan..”
“Semangat Melayu ni harus dikekalkan! Jemaah kita, tetap jemaah kita! Mereka-mereka yang kuat melaungkan ketuanan orang Melayu tak perlu diwujudkan, walhal dulu datang dibawa masuk sebagai pelombong bijih timah, pekerja ladang.. Sekarang sudah lebih berkuasa dari kita.. Dan kau tengok? Orang Melayu pula berperangai seperti Jebat.. Mudah kita dikalahkan jika kita sendiri berpecah belah!” Semangat Nasionalisme yang begitu kuat, tak boleh aku sangkalkan.
Bagaimana pun ada benarnya kata-kata Abang Fuad, Abang Fuad berangkat pulang menjelang rembang tengahari, ada urusan digelanggang katanya. Meninggalkan aku sendirian, bapak pula sudah lama meninggalkan aku berdua dengan Abang Fuad, mungkin akan bertemu bapak dimasjid saat Zuhur nanti.
Menjelang petang, rumah aku dikunjungi Pak Seli lagi. Bersama cempedak yang diikat dibelakang basikal. Berpakaian lengkap untuk ke masjid. Salam diberikan dan cempedak bertukar tangan.
“Awal hari ni, Pak?”
“Malam ni, kita jemaah dirumah kamu je.. Kejap lagi kawan kamu datang, tadi aku dah panggil masa Asar..”
“Ohhhh… Jemput naik Pak, nanti aku buatkan air..” Pak Seli hanya membalas dengan senyuman. Kami berjemaah diruang tamu berimamkan bapak aku. Doa dibacakan Pak Seli sendiri, diberikan tazkirah ringkas sebelum dilanjutkan Isyak berjemaah.
Entah bila bapak aku memasak, tak dapat pula aku pastikan, tapi saat habis berjemaah. Makanan sudah pun terhidang, maka kami semua menjamu selera didapur, berlaukkan sayur lemak pucuk paku, sambal belacan, ikan tilapia goreng, keenaakan dan rasa pedas yang cukup, hingga kami berempat makan tanpa baju dibadan!
Usai makan malam, Kami duduk-duduk diberanda luar. Bersembang kosong sambil mengipas badan dek kerana kepanasan.
“Fuad dah datang tadi?” Tanya Pak Seli, aku hanya mengangguk.
“Hurmmm.. Ada lagi satu tamu.. Mungkin malam ni..” Keluh kecil Pak Seli.
“Dia ada bagi kamu apa-apa?” Aku bingkas bangun dan mengambil keris hadiah dari Abang Fuad. Keris bertukar tangan.
“Cantik! Keris Kedah, Kayu Kemuning!” Pak Seli beri komen pendek.
“Nah.. Simpan elok-elok..” Keris bertukar tangan dan dilihat Uda. Habis semua diteleknya, ditimang dan diukur.
“Aku tak dapat pun, Rip?”
“Siapa suruh kau lari, masa dia panggil semalam?” Tingkah aku, malas nak melayan.
“Sudahlah, jangan bergaduh.. Rumah aku banyak keris.. Kalau kamu nak, ambil je mana-mana yang kamu suka..” Tingkah Pak Seli, Uda terdiam.
“Taknak.. Keris Pak Seli, tak cantik..” Gumam Uda perlahan.
“Sudahlah.. Dari kita duduk tak buat apa, baik kita bergerak.. Dah pukul berapa, Rip?” Aku jeling jam didinding rumah.
“Pukul sepuluh, Pak! Gerak kemana, Pak?” Jawab aku sepontan.
“Hurmm.. Rasanya dia akan datang melalui jalan semalam.. Sudahlah, mari Mahat.. Kita bergerak ke pintu masuk kampung!” Kami bangun memakai baju dan menuju ke motorkar bapak. Motorkar dipandu perlahan ke pintu masuk kampung, mengambil masa kira-kira setengah jam dari rumah aku.
Sesampai dipintu masuk kampung, sudah ada tiga buah van yang dah menunggu. Seperti yang aku jangka, dari petunjuk melalui ayat yang diberikan Pak Seli, pasti Jebat dan rakan-rakannya sudah menunggu.
Betul! Tekaan aku! Masalahnya kami semua tak membawa senjata, dan nampak seperti beberapa orang dari pemuda yang turun dari van, membawa senjata! Ada yang berparang, besi keluli, dan ada yang aku nampak membawa keris! Tak kurang dari 30 orang kesemuanya.
“Jangan takut dengan apa yang kamu nampak, apa yang kamu tak nampak tu lebih membimbangkan, sebenarnya..” Tutur Pak Seli.
“Maksudnya Cik?” Balas Uda.
“Maksud aku, yang kamu nampak, kamu tahu senjata apa yang mereka bawa. Yang kamu tak nampak? Misalnya mereka bawak kerambit, buku lima atau senjata tersembunyi.. Itu lebih bahaya! Lagipun kita bukan datang nak berkelahi.. Tak perlu risau..” Pak Seli membalas bersahaja.
Bapak memberhentikan motorkar dibahu jalan, dan kami semua keluar dari perut motorkar. Berjalan menghampiri Jebat dan rakan-rakan.
“Hei orang tua! Aku mahu budak itu dan kawannya! Serahkan mereka kalau mahu selamat!” Mudah ayat dituturkan Jebat, dan pasti boleh naik d***h bapak aku yang mendengar!
“Ini anak aku! M**i pun aku takkan serah pada kau!” Bapak getap gigi menahan marah.
“Sabar.. Sabar.. Begini nak, kami datang nak minta maaf, menghulurkan salam perpaduan.. Dari seorang Melayu kepada seorang Melayu yang lain.. Maaflah jika ada terkurang bahasa dan adat dari anak-anak kami semalam..” Tenang ayat dituturkan Pak Seli.
“Tak begitu mudah orang tua! Marah aku belum habis lagi, dendam aku takkan tamat!” Jebat balas dengan nada yang kurang ajar, Pak Seli tetap tenang melayan dengan santun. Aku pula yang rasa marah dengan sikap biadap dia terhadap orang tua!
“Kamu sendiri berniat nak mengajar anak watan kan? Menentang penjajah, menentang ketidakadilan, membina jatidiri.. Kamu tak sepatutnya bersikap macam ni..”
“Kalau kau kuat sangat, bukan pukul Melayu.. kat bandar ada banyak Mat Saleh, tibai Mat Saleh laa…” Uda pula tiba-tiba menyampuk tanpa diminta. Bapak aku berpaling dan tenung muka aku.
Apa? Bukan salah kita! Dia yang bercakap! Aku buat ekspresi muka, ‘aku tak bersalah’.
“Ahhh! Kau banyak sangat cakaplaa orang tua.. Geng! Aku nak budak dua orang tu, siapa yang halang.. Korang tibai!” Jebat mula tuding jari dan bagi arahan, kawan-kawannya pula mula bergerak menghampiri kami. Aku dan Uda beranjak tiga empat langkah ke depan, mengambil tempat kami.
“Arip, Uda.. Korang tetap disini! Jangan masuk campur!” Bahu aku ditolak bapak, aku pandang muka Uda.. Hampa.. Ekspresi yang diberikan Uda.
“Dari tadi dah datang seru nak bergasak.. Tapi tak boleh masuk sekali.. Hampaa…” Uda keluhkan pada aku, aku hanya mengangguk tanda setuju.
Bapak mara kehadapan, berdepan dengan tiga ke empat orang rakan Jebat. Dengan tiba-tiba salah seorang cuba menetak bapak menggunakan besi keluli dari arah atas.
Bapak bergilit kekanan dan tetakkannya dilayan dengan tumbukan salam perkenalan yang tepat ke hidung! Cukup cepat dan tangkas, tak dapat dielakkan!
Seketika nampak dia membuang ke belakang, dan mengaduh kesakitan, paling kurang tulang rawan dalam hidung dah dipatahkan. Sepontan rakan-rakan yang lain masuk menyerang bapak. Aku nampak bapak tiba-tiba berputar dua ke tiga kali diudara.
SRAPPPPPPP!
SRAPPPPP!!
SRAPPPPPPP!!
PADU!! Cukup padu bunyi siku-siku yang dihantar menyinggah poin-poin utama kelemahan dibadan. Bawah dagu, tengah dada, tengkuk, pelipis dan keseluruhan telinga. Terbungkam tiga ke empat pemuda tadi dengan jurus sesiku bapak, bunyi bising dan riuh pergaduhan mula terdengar.
Aku jeling Uda disebelah dah macam terkinja-kinja melihat bapak aku bertarung! Pak Seli tak berganjak sedikit pun dari posisi dia berdiri tadi, mungkin seluruh kawanan geng van si Jebat mampu diselesaikan secara solo oleh bapak!
“Tengok tu, Rip! Tengok tu! Aku nak masuk!” Uda tunjuk pada dua tiga orang lagi pemuda dari arah kiri yang cuba masuk dalam pekelahian bapak. Tak sempat dihalang, aku nampak Uda sudah berlari dan membuat tendangan kung fu diudara! Tendangan ala-ala bintang kung fu Bruce Lee.
HIYAHHHHH!!
Kuat betul suara Uda menjerit semasa masih diudara! Barangkali aura dan semangat Bruce Lee dah meresap ke segala liang roma dia!
Ah! Bodoh betul lah dia ni! Bapak dah suruh jangan ikut campur! Gumam aku sendiri.
Tendangan Uda tepat menyinggah kepala salah satu dari dua orang pemuda tadi, Uda turunkan kaki dan memberi satu tendangan belakang berputar!
Zupp!!
Tangkas! Tetapi berjaya dielakkan, dan Uda dirempuh dikaki secara kasar. Kedua mereka berguling diatas jalan raya. Cukup cepat keadaan yang berlaku, lebih ramai yang cuba masuk dan sukar dikawal. Seketika aku nampak Uda sudah ditindih dan ditaji dimuka.
Sedas! Sedas lagi! Dan sedas lagi!
Aih dia ni! Geram pula aku rasa! Nak taknak terpaksalah aku turut serta! Aku hampir dan dengan kasar aku rentap kolar baju pemuda yang menindih Uda! Dia terlentang ke belakang! Uda aku bantu untuk berdiri. Tiga empat orang lagi mula bertindak, bila melihat aku pun turut serta.
MARI!!
Pemuda pertama merenggut kolar baju aku dari depan, dengan cubaan untuk menjulang aku naik, badannya lebih besar dan lebih kekar dari aku! Aku hadiahkan penumbuk serangkai tepat ke hidungnya!
PAP! PAP! PAP!
Dia cuma berpaling ke kiri dan mengaduh. Namun cengkaman kejab tangannya tidak dilepaskan. Aku pegang kedua pergelangan tangannya yang mengenggam kolar baju, dan aku tolak muka dia menggunakan kedua kaki yang aku luruskan!
ZRAPPP!
Baju yang aku pakai terkoyak dari kolar ke tengah dada, sepontan aku melenting dan berpusing sebelum berdiri dengan kuda-kuda bersilang!
Bersambung laie gais, second last day, lantak koghang la nak komen apo, boie icon love naaa… Muahciked!
Hantar kisa anda : fiksyenshasha.com/submit
#Pusaka2 #Arifyahya
Dapatkan E-book Pusaka 2 gais. DM aku untuk tahu lebih lanjut.