Stesen

MALAM makin larut. Perjalanan Ammar ke kampungnya masih jauh. Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi kenduri kahwin adiknya di kampung akan berlangsung. Maklumlah, cuti sekolah, pasti ramai di antara kita mahu menikah dan sebagainya. Tiket bas untuk pulang juga terhad. Silap dia juga kerana membeli tiket tersebut pada saat-saat akhir yang tidak membolehkannya terus sampai ke destinasi menaiki satu bas sahaja. Terpaksa bertukar-tukar kenderaan untuk pulang menuju ke kampung halamannya.

Pada malam itu, adalah bas terakhir yang memberhentikan para penumpang di suatu stesen bas. Tepat jam 12 malam. Tiada siapa yang berada di stesen bas melainkan penumpang yang baru sahaja turun.

Ammar mengeluh. Dia menyesal berhadapan situasi seperti itu. Dalam fikirannya di mana lagi tempat dia mahu melelapkan mata. Kalau sebulan lepas dia membeli terus sebuah kereta, pasti semua ini tak akan berlaku. Mungkin juga dia telah sampai ke rumah. Sedap melayan mimpi di atas katil waktu ketika itu.

Namun, semuanya telah berlalu. Duit yang cadangnya untuk membeli kereta telah dirompak oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Salah Ammar juga kerana tidak mengunci pintu rumah selepas keluar.

Ammar melemparkan pandangan ke arah sekeliling. Makin berkurang orang yang berada di situ. Para penumpang yang berada di situ juga telah ramai yang pulang ke destinasi masing-masing. Ada yang diambil oleh seseorang, ada juga menaiki kenderaan sendiri yang diparkir kenderaan mereka di kawasan berhampiran.

Ammar menjadi buntu. Perasaan tak sedap hati juga mula timbul. Ammar terpaksa duduk sebelah tembok sambil memerhati ruangan dingin ketika itu. Sekali-sekala kepalanya ditundukkan. Mungkin berasa sungguh ngantuk. Terkebil-kebil matanya menahan ngantuk yang sedang menyengat. Wajahnya kelihatan sungguh penat.

Tanpa berlengah dia terus berdiri. Tidak mahu duduk lagi. Dalam fikirannya hanya ingin mencari tempat untuk melelapkan mata buat seketika.

Dari arah jauh kelihatan suatu bangku panjang diperbuat daripada batu. Ammar terus menghampiri tempat tersebut. Perlahan-lahan kakinya melangkah dalam keadaan dingin ketika itu. Mujur juga dia memakai jaket tebal berwarna biru gelap ke atas badannya. Kalau tidak pasti cuaca dingin itu menusuk masuk hingga ke tulang putihnya.

Ammar terus melabuhkan p******g. Terasa sedikit selesa. Rembesan penat juga makin hilang. Ammar meletakkan beg sandangnya di atas kerusi batu tersebut. Sedikit jauh seakan paras kepalanya untuk baring. Tanpa membuang masa, Ammar terus menelentangkan badannya di atas kerusi itu. Matanya perlahan ditutup rapi. Tangannya diangkat seolah berdoa meminta agar tidak ada apa-apa perkara buruk berlaku.

Setelah itu, diaminkan doanya perlahan. Matanya terus tertutup tanpa melihat ke sekeliling lagi. Ammar dalam keadaan minda separuh sedar. Hampir tertidur sepenuhnya.

“Boleh pakcik duduk?”

Ammar terkejut. Suara garau itu mengejutkannya daripada terus tertidur. Lalu, dibuka matanya perlahan. Terkebil-kebil. Kemudian, digosok tanpa henti sehingga dapat melihat tubuh di sebelahnya.

“Eh boleh, boleh pakcik.”

Ammar terus bangun dari perbaringannya. Segan juga dia terus baring di situ sedangkan ada orang yang mahu menumpang duduk di sebelahnya. Kurang beradab juga kalau terus dengan ego sendiri untuk terus baring di situ.

“Anak dari mana?” soal pakcik tua itu perlahan.

Ammar tersenyum. Seolah-seolah soalan yang ditanya itu adalah lucu.

“Dari Kuala Lumpur nak balik ke Kelantan.”

“Oh, masih jauh ni. Kenapa tak naik bas terus ke sana?”

Ammar tertunduk. Seperti tidak mahu memberi jawapan untuk soalan itu. Kalau dia menceritakan sepenuhnya pasti pakcik itu menganggap Ammar dungu.

“Takpala pakcik paham. Eh dah lama duduk sini? Maaf lah pakcik ganggu kamu tidur.”

“Eh baru je pakcik.”

Pakcik tersenyum. Sedikit manis. Ammar membalas kembali senyumannya itu. Agak segan.

“Kat sini jarang ada orang. Kalau ada pon mesti aneh.”

Ammar tersentak. Perkataan aneh itu membuatkan Ammar tertanya-tanya. Dia menjegil biji matanya tepat menghadap wajah pakcik itu. Seperti ingin tahu akan apa maksud pakcik itu.

“Biasalah siapa sahaja yang ada di sini lalu waktu malam? Mesti tak ada orang. Kalau ada pon adalah perkara pelik berlaku.”

Makin merunsingkan kepala Ammar. Apa maksud pakcik tadi?

“Siapa nama anak?”

“Ammar, pakcik. Pakcik dari mana?”

Pakcik itu ketawa. Mula-mula perlahan. Kemudian makin kuat kedengaran. Mahu pecah tekaknya ketawa seperti itu. Ammar pula mengerutkan dahinya. Dia juga berasa hairan. Adakah soalan itu membuatkan pakcik itu ketawa besar. Seperti digeletek oleh huruf-huruf yang ditanya oleh Ammar.

“Kenapa pakcik ketawa?”

“Tak ada apalah Ammar. Pakcik duduk sini je. Kawasan sini. Tak jauh pun.”

“Kenapa pakcik tak balik rumah je?”

Pakcik itu mengeluh kuat. Matanya seperti ingin melepaskan air bah yang banyak.

“Pakcik nangis?”

Pakcik itu terus mengesat air matanya yang tidak sempat keluar.

“Tak ada apalah. Terharu bila anak muda yang bertanya.”

Pakcik itu ketawa sekali lagi. Ammar makin hairan. Tadi nangis, lepas itu ketawa. Mungkin tak betul agaknya orang tua itu. Kemudian, matanya terus membulat melihat keadaan sekitar. Kemana sahaja dia mahu melarikan diri daripada pakcik itu.

Terdapat dua tanda. Satunya untuk lelaki dan satunya untuk perempuan. Tandas.

“Saya nak ke tandas dulu pakcik.”

Ammar tersenyum. Lalu, bangun dari tempat duduknya. Beg yang menjadi alas kepalanya tadi diambil dan dipakai.

“Sekejap je tak lama.”

Ammar terus berjalan. Mula-mula seperti kura-kura. Tak lama selepas itu, laju seperti dikejar sesuatu.

“Ammar.”

Kedengaran jauh suara pakcik itu memanggil.

“Ada apalah orang tua ni.”

Suaranya tidak keluar sepenuhnya menjadikan gelombang suaranya perlahan. Tak lama selepas itu, dia menoleh. Ammar terperanjat. Berderau darahnya. Tubuh pakcik itu berdiri tepat di belakangnya. Diusap beberapa kali dadanya agar kembali tenang.

“Ada apa pakcik?”

“Tak ada apa. Pakcik nak pesan. Masuk tandas tu bawa batu ni sekali. Pakcik selalu pesan kat semua orang. Siapa yang nak masuk kena bawak batu ni sekali.”

Ammar melihat sahaja 3 biji batu di tangan pakcik itu. Agak aneh.

“Untuk apa pakcik?” soal Ammar.

“Kan pakcik cakap, sebagai berjaga-jaga.”

Bila masa pula ada petua seperti itu. Tidak pernah dia dengar petua orang tua seperti pakcik itu. Tanpa berlengah, dia mahu sahaja mengikut kata-kata pakcik itu. Mengambil 3 biji batu tanpa berfikir lagi. Kemudian, terus melangkah pergi. Beberapa langkah telah diajukan.

Pada masa yang sama, bertubi-tubi kepalanya melemparkan soalan aneh. Siapa pakcik itu? Dari mana dia datang? Ammar mempersoal sambil melihat batu di tangannya. Tak lama selepas itu, dia menoleh lagi. Kelihatan tubuh pakcik itu telah hilang berdiri di belakangnya tadi sebelum dia melangkah menuju ke tandas.

Dililau pandangannya dengan pantas. Kelihatan, tubuh pakcik itu telah berada di kerusi batu tempat Ammar terbaring tadi.

“Cepatnya pakcik tu berjalan.”

Ammar menggaru kepala yang tidak gatal. Kemudian, menoleh kepalanya ke hadapan sambil megorak langkah perlahan. Jari telunjuknya diletakkan ke atas bibir. Seolah-olah sedang berfikir mencari jawapan yang tidak akan pernah menemui penamatnya.

Tiba sahaja di pintu tandas. Sempat Ammar membaca doa agar tiada apa-apa yang berlaku. Keadaan sedikit samar dan malap tapi masih dapat melihat dengan mata kasar. Batu yang dipegang tadi terus diletakkan di atas sinki. Kemudian, tangannya laju membuka pili air tersebut. Dihulurkan tangan dan dilap ke mukanya. Memang segar. Perasaan ngantuk tadi makin hilang.

“Ammar.”

Kedengaran jelas suara pakcik tua itu memanggil. Ammar tersentak. Badannya tergerak sedikit. Seperti terkena renjatan elektrik. Kemudian, matanya terus mencari suara itu. Tempat pertama yang dilihat adalah di hadapan pintu tandas. Dia menggeleng. Tiada siapa yang muncul di pintu tandas tersebut.

Tak lama selepas itu, dia terus dengan perbuatannya tadi. Mencuci muka sehinggalah dia berasa puas. Ketika mencuci, Ammar melelapkan matanya agar tiada cecair masuk sehingga membuatkan matanya pedih.

Ketika itu, keadaan sekeliling tiba-tiba kedinginan. Terasa amat sejuk bagai 20 darjah selsius. Ammar terkehadapan. Seoalah-olah punggungnya ada yang menolak. Badannya yang dibongkokan tadi untuk mencuci muka di tegakkan semula sambil menutup mata.

Ketika tulang belakangnya sudah mula berasa lurus, Ammar membuka mata. Dia terperanjat. Tangannya berwarna merah seakan d***h. Kemudian, dia terus melihat air yang keluar dari kepala pili tersebut. Sama seperti warna pada tangannya. Cermin yang berada betul-betul di hadapannya di renung rapi. Wajahnya penuh dengan warna d***h. Sekali-sekala matanya terlihat suatu kelibat yang sedang berdiri kaku di belakangnya.

Ammar terkejut. Lalu, menoleh kebelakang. Tiada siapa.

“Tup, tup tup.”

Bunyi batu-batu yang jatuh ke lantai. Seolah-olah ada yang sedang bermain dengan batu tersebut. Matanya terus tertancap ke arah batu yang diletakkan di atas sinki. Kelihatan batu tersebut sudah hilang. Bunyi yang tadi masih jelas kedengaran. Sebelum ini bunyi itu jauh, tapi kini makin dekat menghampiri.

“Ammar.”

Bahu kanannya disentuh. Suara yang memanggil juga jelas masuk ke gegendang telinganya. Ammar terus menoleh. Tubuh manusia yang memanggil sebentar tadi tetap tidak berani menjelmakan diri.

“Siapa yang panggil aku?”

Ammar cuba memberanikan diri. Selepas soalan itu ditanya. Pintu tandas ditutup dengan kuat. Bagai dihempas oleh seseorang yang sedang marah. Ammar terperanjat. Perasaan takut sudah mula menyelubungi mindanya serta tubuh kurusnya.

“Apa kau nak? Kalau berani keluarlah.”

Pintu tersebut tidak henti daripada dihempas. Ammar terus berjalan songsang menghampiri dinding tandas. Kini, air paip di setiap bilik tandas terbuka sendiri. Ammar menjadi lebih takut. Dia seperti sudah buntu. Menyesal masuk ke tandas tanpa ada tujuan yang kukuh. Hanya ingin melepaskan diri daripada pakcik itu sahaja.

Ammar terus berlari hingga ke perkarangan pintu. Dicapai tombol dengan rakus. Tapi, tidak boleh dipulas seperti dikunci dari luar. Ammar mengetuk pintu itu beberapa kali. Seolah-olah ingin seseorang dari arah luar untuk membuka pintu tersebut. Namun, semuanya tidak berjaya. Ammar terkurung.

Gangguan tadi masih subur di sekelilingnya. Wajah Ammar sudah merah padam. Dia tidak tahu cara apa untuk melepaskan diri lagi. Dia terus duduk bersebalahan pintu tandas. Kini, dinding-dinding tandas retak secara tiba-tiba. Ammar makin takut. Takut jika batu-batu serpihan menghempapnya.

“Jangan ganggu aku.”

Ammar cuba meronta-ronta. Namun, masih seperti biasa. Tak lama selepas itu, Ammar terus bangun dari tempat duduknya. Dia mengetuk pintu itu seperti tadi. Walaupun kuat bunyi ketukan yang dilakukan, Ammar masih tidak dapat melepaskan diri. Bunyi retakan pada dinding masih tidak henti. Perbuatan Ammar itu makin laju dilangsungkan.

Suatu dengusan nafas menghampiri Ammar. Ammar memusingkan kepalanya. Dia terperanjat. Lampu terus terpadam. Keadaan menjadi gelap. Satu batu besar dihentakkan kepalanya.

Ammar menjerit dengan kuat. D***h banyak mengalir ke mukanya. Dia terjatuh kemudiannya terbaring. Ammar pengsan dan terus m**i setelah kehilangan banyak d***h.

Keesokan harinya, mayat Ammar ditemui oleh beberapa orang pekerja yang bekerja di situ. Mereka menggelengkan kepala. Seakan tahu akan apa puncanya.

“Dah masukĀ  tiga kali perkara sama berlaku.”

“Ya, kejadian yang sama. Kerusi batu tu pun retak. Aku tak fahamlah, setiap kali perkara ni terjadi, pasti kerusi tu retak. Mungkin ada penunggu kot. Sebab tu sebelum ni ramai tak berani duduk kat tempat tu.”

Mayat Ammar kemudiannya dibawa keluar oleh anggota polis. Orang sekeliling ketika itu telah mengerumuni tempat kejadian. Semuanya di antara mereka menggelengkan kepala.

Pada waktu malam, suasana kawasan tempat stesen bas sunyi sepi. Kelihatan seorang pakcik tua yang duduk di atas kerusi batu seorang diri sambil memegang batu besar yang berlumuran d***h. 3 biji batu tersusun lurus di sebelah tempat duduknya. Tersenyum sambil mendongak kepala. Akhirnya 3 manusia m**i di tangannya seperti 3 biji batu di sebelahnya.

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Tulus

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 5]

5 thoughts on “Stesen”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.